Saturday, February 13, 2010

EMPAT LAGI PEMIMPIN PEMBANGKANG MELOMPAT?

Dengan tindakan Datuk Seri Zahrain Hashim keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pagi semalam, kerusi pakatan pembangkang dalam 222 anggota Parlimen sekarang tinggal 81.

Ketika ini BN menguasai 137 kerusi dengan SAPP dari Sabah mempunyai dua kerusi manakala dua lagi termasuk Zahrain dikuasai oleh bebas.

Juga, sejak pilihan raya umum 2008, lima ADUN PKR telah keluar parti untuk menjadi penyokong Barisan Nasional (BN).

Hakikatnya, pergolakan politik dan kepincangan pentadbiran kerajaan Pulau Pinang sepatutnya membuka mata seluruh masyarakat di negeri itu dan rakyat seluruh negara tentang sikap sebenar pakatan pembangkang.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan Zahrain Mohamed akan diikuti oleh ahli pembangkang lain.

"Saya harap lebih ramai lagi Ahli Parlimen PKR atau DAP mengikuti jejak langkah Zahrain," katanya di Melaka semalam.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan dan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang menyifatkan tindakan Zahrain itu sebagai satu tindakan kembali ke pangkal jalan kerana peranan Pakatan Rakyat yang berkuasa di Pulau Pinang serta negeri lain sebagai hanya pandai beretorik politik.

Ahmad Zahid berharap menjelang Persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula 15 Mac depan akan lebih ramai ahli pembangkang menyertai Barisan Nasional (BN).

"Kita di Barisan Nasional fokus untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat berbanding harga tinggi yang perlu dibayar oleh pengundi yang memilih kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.


Katanya, berdasarkan kenyataan media oleh beberapa pemimpin PKR dan DAP, beliau menjangkakan empat lagi pemimpin pembangkang yang akan keluar parti menyertai langkah Zahrain.

Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bukan Zahrain sahaja yang telah meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap beberapa isu dalam pakatan pembangkang tetapi ramai lagi telah menyatakan perkara yang sama.

"Saya percaya bahawa ada lagi yang akan keluar parti dan saya juga yakin bahawa mereka akan tuduh ini kerja Umno dan Barisan Nasional tetapi orang ramai boleh menilai sendiri.

Hishammuddin juga berkata, taktik dan strategi untuk menuduh Umno dan BN punca segala-gala yang tidak kena dengan parti mereka sebagai tidak ada asas.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam berkata tindakan terkini adalah pembatalan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul di negeri itu, selain keputusan Ahli Parlimen Bayan Baru itu keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Muhyiddin berkata tindakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng itu yang membatalkan acara tradisi umat Islam yang diadakan sebagai tanda rasa cinta dan sayang mereka kepada Nabi Muhammad, seolah-olah menunjukkan mereka tidak menyokong hasrat dan cita-cita orang Islam.

Katanya perkara yang telah menjadi amalan tradisi tidak sepatutnya diberhentikan apatah lagi dalam situasi negara yang perlu sentiasa menjaga sensitiviti semua kaum.

"Saya tidak fikir itu (perarakan) boleh menimbulkan kebimbangan yang mungkin boleh menjejaskan keselamatan," katanya semalam.

"Tapi dengan keadaan ''panas'' di Pulau Pinang, agaknya dia (Lim Guan Eng) takut dan sebab itu buat tindakan begitu. Saya jangkakan itulah asas sebabnya (tindakan membatalkan perarakan dibuat)," katanya.

Muhyiddin berkata, sebagai sebuah kerajaan negeri yang memerintah, mereka sepatutnya meneruskan amalan yang membawa kebaikan kepada sesebuah masyarakat di negeri berkenaan kerana ia melambangkan pimpinan memahami dan menghormati agama-agama lain.

"Apakah ini hendak menunjukkan satu sikap baru daripada DAP bahawa mereka tidak menyokong hasrat dan cita-cita umat Islam? Kita tanya balik pada dia (Guan Eng)," katanya.

Menurut laporan akhbar, mesyuarat jawatankuasa induk majlis sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah/2010 Masehi peringkat negeri pada 3 Februari lalu memutuskan perarakan berkenaan dibatalkan tetapi majlis perhimpunan ummah diteruskan di Dewan Sri Pinang.

Akhbar itu turut melaporkan bahawa pekeliling mengenai perkara itu telah diedarkan kepada semua ketua jabatan, ketua badan berkanun dan ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan.
Sementara juga terbaru ialah Kerajaan Pulau Pinang mengarahkan Pusat Khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Berangan, Kepala Batas, dikosongkan 23 Februari ini.

Tindakan itu membuktikan kerajaan negeri pakatan pembangkang itu tidak sensitif terhadap kepentingan rakyat.
ADUN kawasan itu Shabudin Yahaya berkata, beliau menerima surat daripada Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Utara berhubung arahan itu, bulan lalu.

“Tindakan itu tidak rasional kerana pejabat itu yang terletak bersebelahan Dewan Muhammad Haji Muhd Taib, Tasek Gelugor, adalah pejabat ADUN dan bukannya Pejabat Umno," katanya semalam.

Beliau yang juga bekas Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang itu berkata, premis itu dijadikan pejabat Adun Permatang Berangan pada tahun 2004 dengan kebenaran Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Utara dan jawatankuasa dewan terbabit.

Pejabat itu dibina oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) atas tanah milik kerajaan persekutuan dan disebabkan status tanah itu tidak jelas, ia dikendalikan oleh kerajaan negeri.

Keadaan dewan sebelum tahun 2004 sangat teruk dan ditinggalkan usang tanpa kelengkapan seperti bekalan air dan elektrik. Sejak dijadikan pusat khidmat ADUN itu, dibaik pulihkan keadaan dewan dan membayar bil air dan elektrik dewan yang digunakan oleh masyarakat untuk pelbagai aktiviti itu.

Gara-gara kemelut politik di Pulau Pinang kini, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Bang berkata beliau’mahu makan penadol’.

Pada satu sidang media semalam, seperti dilaporkan Malaysiakini, beliau berdolak-dalik apabila ditanya tentang masa depan politiknya selepas "Saya tidak boleh kata bahawa saya beri sokongan kepada tindakan beliau, tapi saya sokong dia menentang Ketua Menteri, Lim Guan Eng," ujarnya.

“Kepala saya sudah pening, saya mahu makan panadol malam ini,” katanya. Sejauh ini beliau sahaja yang berani menyuarakan sokongan kepada Ahli Parlimen Bayan Baru yang mengelarkan Lim sebagai diktaktor, cauvinis dan berfikiran komunis.

Tan juga mengelarkan Setiausaha Agung DAP itu "pemimpin yang tiada kelas" kerana meminggirkan pemimpin PKR dalam membuat keputusan.

Beliau juga mendakwa kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang enggan menyediakan peruntukan kewangan kepada wakil-wakil rakyat PKR di negeri itu.

Mengenai tindakan Zahrain itu, Tan berkata: "Saya tidak boleh memaksa beliau, saya menghormati tindakannya. Saya ucapkan selamat kepadanya.

"Itu berita yang mengejutkan bagi saya juga."

Ditanya sama ada beliau juga akan mengikut langkah keluar parti, Tan berkata beliau masih mahu berhadapan dengan pucuk pimpinan parti berhubung tindakan Lim.

"Setakat ini belum terlintas dalam fikiran saya. Saya masih dalam proses mengumpulkan lebih banyak bukti terhadap Lim dan saya harap parti akan bertindak.

Jika tidak kami perlu mempertimbangkan tindakan selanjutnya," kata beliau.

1 comment:

  1. Pemimpin melayu Pas yang selama ini menjadi pejuang jalanan sudah terkunci mulutnya disebabkan takut diluku kepala oleh kit siang anak beranak dan nuar...mereka ini umpama seekor kura-kura yang sesekali sahaja menjulurkan kepala tetapi pabila terpandang muka kit siang anak branak dan nuar..maka kepala yang dihulurkan itu dimasukkan kembali..

    Lagipun mereka ini terpaksa mengikut arahan daripada pas pusat supaya sebarang masalah kena letak dibawah karpet..semua kenyataan hanya boleh dilakukan oleh dua tiga kerat daripada pemimpin pusat..lagi pun kalau salah cakap nanti tok ajis sumpah tak boleh masuk surga pulak.

    ReplyDelete