Sunday, February 14, 2010

TULISAN AWANG SELAMAT MENGENAI KES ANWAR

Anwar dan kebenaran (Mingguan Malaysia 14 Feb 2010)

Awang bersyukur kebenaran akhirnya terjelma. Tuduhan liar dan kata-kata cerca Anwar Ibrahim terhadap Utusan Malaysia berkaitan laporan perbicaraan kes liwat terhadap pembantunya, Saiful Bukhari Azlan, ternyata tidak berasas.

Dalam ruangan ini, minggu lalu (baca artikel di bawah bertajuk Utusan sasaran Anwar), Awang mengulas tentang dakwaan Anwar dan barisan peguamnya terutama Karpal Singh bahawa tajuk utama laporan hari pertama perbicaraan, adalah salah dan berniat jahat.

Gambar katil yang disiarkan oleh Utusan selain beberapa akhbar lain, turut dipersalahkan. Anwar telah meminta akhbar berkenaan disabitkan atas kesalahan menghina mahkamah. Cubaan itu ditolak oleh hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah kerana tiada asas.

Menerusi portal pro pembangkang seperti Malaysiakini, Anwar melabelkan Utusan sebagai biadab, kotor dan jijik.

Nampaknya Utusan menjadi kambing hitam bagi menjayakan strategi Anwar melengah-lengahkan perbicaraan yang makin panas dengan fakta-fakta, yang beliau amat tidak selesa.

Usaha Anwar memohon hakim ditukarkan kononnya kerana bias sudah dijangka. Ketegasan Mohamad Zabidin menyebabkan Anwar merasa goyah.

Rabu lalu dalam perbicaraan yang sama, mahkamah diberitahu oleh Peguam Cara Negara II, Mohd. Yusof Zainal Abiden bahawa laporan Utusan adalah benar berdasarkan nota prosiding.
Malah beliau menyatakan bahawa Anwar dan barisan peguamnya perlu memohon maaf kepada Utusan.

Pertanyaan Awang, apakah wajar Anwar menuduh Utusan yang melaporkan kebenaran sebagai biadab, kotor dan jijik? Pun begitu, Awang tidak akan tergamak mengucapkan kata-kata itu terhadap beliau dalam kaitan apa sekalipun.

Awang juga tidak akan teruja mengharapkan Anwar memohon maaf. Cukuplah sekadar ia menjadi pengajaran kepada Anwar. Janganlah terbawa-bawa dengan sentimen liar, yang hanya memburukkan lagi reputasi beliau.

Di luar mahkamah, banyak petunjuk menampakkan Anwar makin terdesak. Lebih-lebih lagi selepas gagal dalam usaha untuk mengheret rakyat menyokong beliau sebagaimana kes liwat pertama 10 tahun lalu.

Rakyat malah ramai penyokong pembangkang tidak mahu terjebak dalam isu moralnya. Kerana menyedari tiada sokongan, Anwar mendapatkan bantuan negara luar.

Kenapa sampai begitu sekali? Tidakkah kita belajar daripada sejarah lampau betapa padah yang bakal menimpa jika ada pembesar dan pemimpin mengundang campur tangan asing? Sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri, berapakah harga yang perlu dibayar untuk semua itu? Awang pasti terlalu besar nilai balasannya yang kedaulatan negara menjadi pertaruhan.

Sebab itu, Awang bengang apabila 50 ahli Parlimen Australia menuntut agar pertuduhan terhadap Anwar ditarik balik. Ia adalah tindakan angkuh dan bermotif jahat. Janganlah jadi anjing yang suka menyalak. Tetapi tidak adil menyalahkan kumpulan ahli parlimen itu, semata-mata.

Anwar juga perlu dipertanggungjawabkan. Gerakan beliau sejak tahun lalu bagi melobi mendapatkan simpati dan bantuan asing berhubung kes mahkamahnya, bukan rahsia lagi.
Tidak cukup setakat itu, kini digerakkan pula kempen Selamatkan Malaysia di dalam negara, yang turut memaparkan gambar beliau pada pemidang dan papan iklan.

Ceramah yang menyentuh kes liwat itu turut diatur oleh PKR sedangkan perbicaraan sebenar masih berjalan. Ia ternyata menghina mahkamah. Pertanyaan Awang apakah itu semua dilakukan untuk menyelamatkan Malaysia atau sebenarnya menyelamatkan Anwar?

Utusan sasaran Anwar (Mingguan Malaysia 07 Feb 2010)

Perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim terhadap pembantunya, Saiful Bukhari Azlan menjadi topik perbualan paling panas rakyat Malaysia sepanjang minggu ini. Siapa sangka sejarah berulang lagi. Anwar yang pernah dihadapkan ke mahkamah atas kes liwat lebih 10 tahun lalu, sekali lagi menghadapi tuduhan yang sama.

Awang tidak berminat menyentuh apa yang terkandung dalam perbicaraan kes tersebut, ia urusan mahkamah. Tetapi apa yang berlaku di luar mahkamah juga tidak kurang menarik perhatian.

Seperti biasa, Anwar dan PKR menjadikan akhbar Utusan Malaysia sebagai sasarannya. Laporan polis telah dibuat berhubung tajuk berita muka depan Utusan yang didakwanya sebagai penipuan dan berniat jahat.

Begitu juga gambar Bernama yang memaparkan Saiful menunjukkan katil, turut mengundang aduan polis. Cubaan Anwar semasa perbicaraan untuk mensabitkan Utusan menghina mahkamah ditolak oleh hakim kerana tiada asas tetapi PKR tidak berdiam.

Anwar menerusi portal berita pro pembangkang melabelkan Utusan sebagai biadap, kotor dan jijik. Mengapa Anwar begitu sensitif kepada Utusan? Laporan akhbar Cina hampir sama dengan Utusan termasuk penyiaran gambar katil tetapi yang tetap menjadi sasaran adalah Utusan.

Awang tidak terkejut kerana Anwar sememangnya sejak dahulu lagi menyerang institusi Melayu seperti Utusan. Sebab itu, apa sahaja kata nista Anwar terhadap Utusan, Awang tidak ambil pusing. Malah Awang tidak akan menggunakan istilah kotor dan jijik terhadap apa sahaja perbuatan beliau termasuk gerakannya bersama DAP memboikot dan melemparkan banyak tuduhan liar terhadap Utusan selama ini.

Anwar turut mendakwa Utusan sengaja mensensasikan kes beliau. Sebenarnya, semua akhbar memberikan liputan besar, bukan sahaja Utusan. Berita tetap berita. Lagi tinggi kedudukan dan jawatan seseorang yang disabitkan dengan kes mahkamah apatah lagi kes liwat, lagi tinggi nilai berita. Anwar tentu tahu hakikat itu tetapi beliau ada muslihat mahu mengalih perhatian daripada keterangan penting pada perbicaraan itu.

Pada Awang, jika kes tersebut dilihat begitu sensasi, ia juga antara lain berpunca daripada tindakan beliau. Sebelum mahkamah bersidang, ketua pembangkang itu telah lama mengadakan perbicaraan di luar mahkamah dengan mengadakan road show untuk memberikan versi beliau bagi mempertahankan diri.

Kali ini, usaha Anwar mengheret rakyat dalam isu moralnya dengan membakar sentimen awam, tidak berhasil. Hanya puluhan sahaja penyokongnya hadir. Malah cubaan untuk mengadakan demonstrasi selepas sembahyang Jumaat, juga gagal kerana orang ramai tidak mahu terjebak. Ekoran itu, khabarnya, PKR terpaksa memanggil mesyuarat bagi mencari jalan menghimpunkan jumlah penyokong yang besar, selepas ini.

Awang juga berharap kumpulan sorak PKR di mahkamah tidak bertindak keterlaluan. Perbuatan penyokong dan seorang anggota keluarga tertuduh menjerit terhadap Saiful memintanya bertaubat dan penghinaan yang lain, adalah tidak wajar.

Bagaimana pula jika kumpulan atau individu yang bersimpati dengan Saiful membalas bahawa Anwar yang sepatutnya bertaubat dan apa pula perasaan beliau? Maka serahkan sahaja kepada proses mahkamah. Demi mencari keadilan, lapangkan hati dan tenteramkan jiwa.

No comments:

Post a Comment