Monday, June 1, 2009

POLITIK TERENGGANU - HISHAMUDDIN JADI PELERAI

Bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Rosol Wahid - salah seorang ADUN yang paling lantang mahu Menteri Besar Terengganu digantikan - menafikan laporan melalui blog ini bahawa akan ada ADUN UMNO Terengganu ‘melompat’ menjadi ADUN Bebas.
"Itu cerita mengarut, kalau saya nak masuk bebas, kita tidak buat senyap-senyap. Kita akan buat sidang akhbar (kalau menjadi ahli bebas)," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
"Itu cerita mengarut, kalau saya nak masuk Bebas, kita tidak buat senyap-senyap. Kita akan buat sidang akhbar (kalau menjadi ahli bebas)," kata Rosol.
Alhamdullilah, setidak-tidaknya ada jawapan kepada persoalan yang saya timbulkan.
Banyak juga sms yang saya terima untuk mengetahui siapa tetapi oleh kerana jawapan tersedia ada, faham-faham sajalah.
Habis sudah cerita yang dinanti-nantikan pada 31 Mei 2009.
Namun perkembangan terbaru yang dilaporkan oleh laman berita itu cukup menarik.

Ini kerana dikatakan politik Terengganu bakal bergolak lagi setelah bertiup khabar angin bahawa kumpulan 18 ADUN BN Terengganu akan mengemukakan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dalam sidang DUN Ogos ini jika kemelut politik di negeri masih gagal diselesaikan.

Sebelum ini 10 daripada mereka tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu baru-baru ini apabila tiga daripada mereka menerima SMS ugutan.
Bagaimanapun mereka menghadiri hari terakhir sidang DUN tersebut atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Mungkin satu usul tidak percaya terhadap Datuk Ahmad akan dibuat dalam sidang dewan yang dijadualkan Ogos ini. Kumpulan 18 ADUN masih percaya krisis politik Terengganu akan selesai jika Ahmad meletakkan jawatan sebagai menteri besar," kata satu sumber yang rapayt dengan kumpulan itu dihubungi Malaysiakini semalam.

Tidak payah pakai sumberlah, nyatakan terang-terang saja bahawa kumpulan 10 (Kumpulan 18) itulah yang sedang berusaha untuk mengadakan undi tidak percaya berkenaan.

Sebelum itu, sebahagian ADUN BN Terengganu mahu Ahmad digantikan atas alasan tidak berkeupayaan mentadbir negeri itu.

Isu ini turut ditimbulkan pada pertemuan dengan Hishamuddin tempoh hari. Malah ada antara yang bercakap mengenai perkara ini ialah anggota Exco kerajaan negeri yang selama ini dianggap rapat dengan Ahmad Said.

Aneh, pada mesyuarat Exco, mereka berdiam diri – takut atau malu kepada Menteri Besar – tetapi di luar berani bersuara!

Persoalannya, siapa yang wajar menentukan apakah Ahmad Said berupaya atau tidak berupaya. Kedua, apakah orang yang melantik Ahmad Said juga tidak berpuas hati terhadap keupayaan Ahmad Said?

Kini terpulanglah kepada Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk menyelesaikan kemelut tersebut sebelum sidang DUN bermula.

Persoalannya, apakah Hishamuddin akan turut mengakui pertemuan diaturnya, termasuk kehadiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh di pejabat Hishammuddin sendiri pada 20 Mei lalu sebagai gagal.

Tidakkah Hishamuddin menganggap kenyataan seperti – menggantikan Ahmad Said - sebagai mengugut beliau?

Cabaran sangat besar bagi Hishamuddin kerana bukan soal undi tidak percaya sahaja yang perlu dilihat. Cuba nilaikan kembali fakta berikut:

1. 10 ADUN UMNO tidak hadir sidang DUN kerana ‘ugutan’ terhadap tiga ADUN. Siapa buat ugutan? Pegawai kanan Menteri Besar atau orang daripada Kumpulan 10 berkenaan? (Pada 14 April lalu, 10 ADUN BN memulaukan DUN Terengganu pada hari kedua persidangan hari ini selepas beberapa orang daripada mereka menerima sms ugutan "YB tak sayang nyawa?"); Saya yakin Hishamuddin sebagai Menteri Dalam Negeri sudah dimaklumkan mengenai perkara ini.

2. Kenapa yang tidak kena ugut turut berlindung di sebuah hotel? Saya yakin Hishamuddin sebagai Pengerusi UMNO Terengganu dan Menteri Dalam Negeri tahu punca mereka ini enggan ke sidang DUN;

3. Kalau benar nyawa terancam, kenapa hadir sidang DUN selepas diarahkan oleh Perdana Menteri? Apakah kerana ada jaminan keselamatan baru hadir? Tidakkah sebelum itu jaminan keselamatan sudah diberikan oleh polis Terengganu tetapi tetap tidak hadir? Saya yakin Hishamuddin maklum mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa pegawai kanan Ahmad Said tidak melakukan sms ‘bodoh’ berkenaan;

4. Kumpulan ini tidak ‘percaya’ dengan jaminan keselamatan polis Terengganu dan selepas itu asyik mempertikaikan kenapa polis mengeluarkan waran tangkap terhadap Dr Ramzi; Hishamuddin pasti dapat laporan daripada polis Terengganu kenapa dan punca mereka ini asyik pertikaikan kenyataan dan penemuan polis mengenai sms berkenaan.

5. Difahamkan Hishamuddin sebagai Menteri Dalam Negeri turut memberitahu Datuk Seri Idris Jusoh pada pertemuan enam mata di Putrajaya bahawa Datuk Ahmad Said tidak terlibat dalam kerja sms ‘bodoh’ itu; Hishamuddin pasti tahu siapa yang melakukan Cuma menunggu masa bertindak.

6. Hishamuddin perlu mendedahkan dalam masa terdekat siapa sebenar punca angkara sms dan apa tujuan sms diwujudkan – konspirasi atau sengaja enggan hadir sidang DUN kerana ‘tidak boleh membuat undi tidak percaya”.

Bagi saya, amat jelas jika Hishamuddin sebagai Naib Presiden UMNO, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri DalamNegeri gagal menjelaskan isu sms serta mencegah perbuatan mensabotaj kerajaan BN, ia adalah kegagalan besar bagi beliau.

Dengan kata lain, jika Hishamuddin ‘membenarkan’ ada undi tidak percaya di DUN Terengganu, akan terpahat dalam sejarah bahawa beliau adalah pemimpin UMNO paling gagal mengatasi kemelut. Kerana?

1. Undi tidak percaya jika dilakukan oleh DUN UMNO, mereka mensabotaj kerajaan pimpinan pemimpin UMNO peringkat negeri. Ahmad Said ialah Ketua Bahagian dan Timbalan pengerusi perhubungan;

2. Undi tidak percaya jika dilakukan adalah perbuatan mensabotaj parti dan BN. Jika sesuatu berlaku kepada BN punca daripada tindakan ‘dendam atau apa saja”, adalah perbuatan sabotaj paling buruk dilakukan oleh ahli parti UMNO, iaitu komponen terbesar BN;

3. Jika dibiarkan undi tidak percaya, ia akan menjadi satu precedent kepada mana-mana parti komponen BN untuk melakukan perkara serupa pada masa hadapan; dan,

4. Menunjukkan pemimpin UMNO memang sanggup melakukan perbuatan, ‘kalau aku tidak dapat, biar orang lain tidak dapat juga’ yang pastinya akan meranapkan UMNO.

Dalam konteks ini, UMNO ada cara pencegahan dan tindakan disiplin. Jadi gunakanlah mana-mana yang difikirkan sesuai jika kesannya boleh mendatangkan kebaikan kepada UMNO.
Ada pendangan sebelum ini mengatakan biarlah UMNO mempunyai ahli yang sedikit dan penuh disiplin daripada mempunyai ahli berjuta-juta tetapi melakukan tindakan sesuka hati yang kelak akan menjejaskan survival parti.

Pilihan ialah antara ‘menyimpan pemimpin dan ahli UMNO yang bermasalah’ dengan ‘mengekalkan kerajaan BN dan UMNO pilihan rakyat’.
Hishamuddin dan pucuk pimpinan UMNO buatlah sesuatu yang bijak.
Jangan kerana ‘kawan, sekutu dan kroni’ UMNO lingkup di Terengganu.

4 comments:

  1. Apa kes pula dengan sms ugutan selepas polis menangkap Dr Ramzi?
    Adakah polis nak proceed dengan pendakwaan?
    Bila nak dakwa?
    Kenapa senyap saja ni?

    ReplyDelete
  2. Baca juga di http://rakyattranung.blogspot.com/

    ReplyDelete
  3. Aku cadang SPB Yang Dipertuan Agong panggil je mengadap semua semua ni. Beri kata dua. Tanya mereka ni masih berminat jadi ADUN lagi ke tak. Kalau minat baik buat kerja. Fokus ke pembangunan negeri. Dengar masalah rakyat.

    Kalau tak minat berhenti je. Letak jawatan je. Ramai lagi orang lain yang boleh dan mahu jadi pemimpin.

    Saya rasa campurtangan SPB Yang Di Pertuan Agong adalah perlu kerana negeri kini sangat memerlukan semua wakil rakyat bekerjasama dengan YAB MB untuk membangunkan negeri. Kita dah tak ada masa nak main dengan benda2 macam ni. Rakyat tak mahu dah benda2 macam ni. Kita semua nasihatkan mana2 ADUN yang dah tak berminat nak jadi ADUN dan yang gilakan kuasa tu letak jawatan je la terutama kepada rosol yang haritu beria-ia sangat nak letak jawatan.

    Daulat Tuanku!

    ReplyDelete
  4. Kumpulan 10/18 - jangan jadi kacang lupakan kulit.
    lihat malaysia-hariini.com

    ReplyDelete