Sunday, February 15, 2009

PAK LAH: DENGARLAH CAKAP ORANG BUKIT GANTANG!

Amir Hamzah (Batu Pahat)
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Pemimpin-pemimpin atasan UMNO perlu belajar daripada PRK Permatang Pauh dan juga PRK Kuala Terengganu. Khususnya PRK Kuala Terengganu di mana dikatakan ahli UMNO tidak memberi sokongan 100% kepada calon pilihan Pak Lah dan Khairi.

Setelah kalah di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang menjadi kerusi taruhan BN untuk menguji sokongan rakyat berdasarkan krisis politik yang berlaku di Perak. Kemenangan atau kekalahan BN di Bukit Gantang nanti akan memberi gambaran umum tentang pendirian rakyat Perak sama ada bersetuju atau menolak peralihan kuasa kerajaan negeri baru-baru ini.

Bagi mempastikan sokongan orang-orang Melayu khususnya UMNO terhadap calon yang diketengahkan nanti ianya mestilah berdasarkan pandangan dan kehendak orang-orang Melayu akar umbi khususnya dan UMNO Bahagian Bukit Gantang amnya. Undi Melayu adalah undi penentu berdasarkan statistik pengundi 2008.

Jumlah pengundi di P059 Bukit Gantang menunjukkan pengundi Melayu masih menjadi pengundi utama daripada 55, 471 pengundi keseluruhan. Pecahannya adalah seperti berikut. Bagi DUN Changkat Jering, pengundi Melayu mencatat 63.43% daripada 24,864 orang, DUN Kuala Sepetang, pengundi Melayu berjumlah 59.83% daripada 19,699 orang dan pengundi Melayu bagi DUN Trong pula berjumlah 69.42% daripada 10, 908 orang.

Perkara yang pasti, calon BN mestilah datang daripada UMNO. UMNO telah berkorban dengan menyerahkan calon Gerakan bertanding di Parlimen Bukit Gantang pada pilihanraya 2004 atas semangat setiakawan dalam BN. Kini tibalah masanya masyarakat bukan Melayu menyokong calon UMNO berikutan kemerosotan pengaruh MCA, Gerakan dan MIC dalam pilihanraya Mac 2008 yang lalu.

Perkara kedua, calon UMNO mestilah dari kalangan anak jati Bukit Gantang dan diterima oleh ketua-ketua cawangan dan UMNO Bahagian Bukit Gantang kerana merekalah yang akan bekerja kuat dan merekalah yang mengundi. Tegasnya, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi bukanlah calonnya kerana beliau bukan anak Bukit Gantang. Beliau ini adalah orang Batu Gajah, menjadi ketua bahagian Bukit Bintang.

Tambahan pula,dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) yang lalu, Abdul Azim tewas dengan majoriti 1,566 undi apabila mendapat 18,499 undi berbanding calon Pas, Roslan Shaharum yang mendapat 20,015 undi.

Pendapat saya ini disokong oleh ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shahrir Samad.
"BN biasanya cepat belajar. Saya yakin BN, terutama UMNO pasti sudah belajar daripada kesilapan dan kelemahan kempen yang dilakukan ketika Pilihanraya Kecil (PRK) di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dulu," katanya.

Menurut Shahrir, beliau percaya berdasarkan pengalaman dan pengajaran daripada kedua-dua PRK itu, BN boleh mengaturkan strategi lebih tersusun dan memilih calon tempatan yang sesuai dan popular serta diterima masyarakat.

"Saya harap BN tidak bertindak seperti dahulu, iaitu lebih mengutamakan kepentingan parti daripada kehendak pengundi," katanya kepada agendadaily.

Perkara ketiga, selain pilihan UMNO akar umbi dan UMNO Bahagian ianya mestilah mendapat sokongan daripada Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perak yang baru bukannya terdiri daripada orang-orang Pak Lah atau Khairi. Sentimen anti Khairi dalam UMNO amat ketara di Kuala Terengganu. UMNO perlu belajar banyak perkara di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Perkara keempat, budaya mengutuk, menghentam, membelasah PR secara keterlaluan melalui ceramah dan media massa hendaklah diganti dengan budaya menjelas, menerang dan mesra pengundi. TV 3 jangan menjadi lebih sudu dari kuah. Isu yang berlebih-lebih akan menambah rasa meluat dikalangan pengundi atas pagar dan pengundi tidak berparti.

Perkara kelima, Isu-isu peralihan kuasa kerajaan baru ini perlu dijelaskan secara berhemah, mudah difahami oleh masyarakat luar bandar, rasional dan boleh diterima oleh akal rakyat teramai. Penerangan secara jujur dan telus amat diperlukan bagi menangkis gambaran yang telah terpesong.

Berilah rakyat berfikir dan membuat keputusan dengan ikhlas bukannya mengundi BN kerana mendapat habuan, hadiah dan janji-janji manis.

1 comment:

  1. Ah!! peduli apa abah, jangan dok dengar sangat depa-depa di bukit gantang tu, yang penting calon BN boleh support saya untuk naik ke jawatan TPM atau PM dalam masa 5 tahun lagi. Masa tu saya akan bagi kesenangan pada abah dan mama.Biarlah orang nak kutuk pun, buat pekak badak je. Saya susah sikit lepas ni kalau betul abah tak nak jadi PM mac nanti, sebab Najib ni saya agak "kureng" sikit dengan dia ni. Tapi tak pe "pen drive" yang abah kasi pada saya dah saya tengok dah untuk ....
    (mungkin itulah perbualan antara PM badut dengan Menantu hantu dalam gambar dipost diatas.

    ReplyDelete