Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali mengingatkan - jangan ulangi kesilapan pilih calon.
Kenapa siapa beliau tujukan kenyataan itu?
Yang umum tahu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang turut bertanggungjawab memilih calon.
Ini bermaka Tajol Rosli dipersalahkan.
Jadi, apakah apabila Tajol Rosli mengingatkan jangan ulangi kesilapan pilih calon ini bermakna beliau bukan yang memilih calon untuk pilihan raya umum lalu di Perak.
Hari ini, Tajol Rosli dengan nada terbuka berkata, pucuk pimpinan BN diminta belajar daripada kesilapan pada pilihan raya umum lalu berhubung pemilihan calonnya untuk pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang 7 April ini.
Katanya, dalam memilih bakal calonnya, pucuk pimpinan BN perlu menghormati kehendak penduduk tempatan.
Jelas, daripada nada dan kenyataan itu, Tajol Rosli mengingatkan pemimpin tertinggi BN dan UMNO agar tidak lagi membuat kesilapan.
Apakah ini bermakna kekalahan Datuk Seri Azim Mohd Zabidi di Bukit Gantang pada pilihan raya lepas kerana calon tidak sesuai?
Apakah juga bermakna Tajol tidak merestui Azim bertanding sekali lagi di Bukit Gantang?
“Cuma saya berharap kepada pengundi di Bukit Gantang, siapa juga calon BN yang dipilih oleh pucuk pimpinan, kita kena hormat,” katanya penuh diplomasi.
Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini mengumumkan bahawa penamaan calon bagi kerusi itu akan diadakan pada 29 Mac, dan jika ada pertandingan, pengundian akan berlangsung pada 7 April.
Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Roslan Shaharum, 50, daripada Pas pada 9 Februari lalu akibat serangan jantung.
Tajol Rosli berkata, beliau yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN Perak dan Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, BN akan mencapai kejayaan pada pilihan raya kecil itu.
Persoalan yang timbul di sini ialah, apakah Tajol Rosli tidak mempunyai kawalan terhadap pemilihan calon di Perak yang menyebabkan BN dan calon UMNO kalah?
Jika demikian, wajarkah beliau dipersalahkan kerana Perak jatuh kepada pembangkang?
Kalau beliau bukan menjadi ‘orang yang mencaturkan Perak’, siapa yang melakukannya?
Jawapan kepada persoalan di Perak sewajarnya orang berkenaan turut dijadikan ‘korban’, bukan Tajol Rosli seorang sahaja.
Saya ingin mendengar daripada mulut Tajol Rosli sendiri, siapa sebenarnya di belakang agenda pemilihan calon di Perak yang menyebabkan tumbangnya BN.
Mungkin ada ruang dan waktu untuk saya bertanyakan bekas Menteri Besar dalam masa terdekat.
Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz pula berkata pergerakan itu tidak akan mendesak pucuk pimpinan Umno untuk memilih wakil daripada sayap itu sebagai calon BN di Bukit Gantang.
“Kini bukan masanya untuk berebut jadi calon,” katanya.
Rafidah berkata, Wanita Umno akan menerima sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai oleh pucuk pimpinan parti sebagai calon BN di Bukit Gantang.
“Pucuk pimpinan akan membuat penilaian yang terperinci dan akan memilih calon paling sesuai berdasarkan kepada pelbagai maklumat balas,” katanya.
No comments:
Post a Comment