Monday, January 12, 2009

WAN FARID MAMPU JADI MP CEMERLANG

Salahkah seseorang itu dilahirkan dalam keluarga elit untuk terjun dalam politik.Apakah kerana dia dilahirkan dalam keluarga elit dia akan jauh dengan rakyat?

Apakah mereka yang lahir daripada masyarakat tani dan nelayan boleh duduk bersila dan rapat atau cakna dengan rakyat ?

PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) patut turut cermin diri, apakah wakil rakyat mereka ‘cakna rakyat’ dan benar-benar mengambil berat hal ehwal rakyat?

Tidak usah bercakap mengenai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini – iaitu orang yang belum diuji dan diberikan kepercayaan untuk berbakti kepada rakyat.

Perkara pokok ialah lihat dahulu calon pembangkang, apakah mereka mesra dan cakna rakyat?
Apakah masalah rakyat terbela hanya dengan kritik dan cakap berdegar-degar?
Apakah tindakan dan cakap yang berdegar-degar itu seimbang dengan usaha yang mereka lakukan. Kalau tidak, jangan tuding jari kepada orang lain sedangkan tiga jari sedang tegak menuding kepada diri sendiri.

Cakap di Parlimen hebat, cakap di Dewan Undangan Negeri hebat, kritik itu, syot ini dan sebagainya. Tetapi apakah inisiatif sendiri bagi menyelesaikan masalah rakyat dan kawasan sendiri.

Perkataan standard yang boleh dikatakan mereka ialah, “maaf kami bukan pemerintah, kami tidak ada peruntukan, merekalah yang bertanggung kerana kami hanya pembangkang”.
Cakap seperti ini adalah perbuatan lepas tangan kerana bukan semua masalah tidak boleh diselesaikan dan tidak semua penyelesaian mesti datang daripada Kerajaan Pusat atau UMNO.

Apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri umpamanya Kelantan, Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang?

Di Kelantan, PAS memerintah hampir 20 tahun (sejak 1990) tetapi negeri tetap ketinggalan dan dalam konteks belanjawan, kini ia berada pada tahap membimbangkan kerana hampir muflis.
Kerajaan negeri gagal membawa pendapatan baru dan terus bergantung kepada hasil balak dan tanah. Pelaburan baru yang didatangkan pada jumlah yang kecil.

Perak dengan isunya tersendiri, Pulau Pinang dengan pembangunan yang terbantut, Selangor dengan pentadbiran kucar-kacir sementara Kedah di bawah PAS menghadapi pelbagai masalah, termasuk kritikan daripada masyarakat Cina.

Jika di Perak ada kalangan penyokong Keadilan sudah masuk keluar mahkamah kerana tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, di Pulau Pinang, Timbalan Ketua Menteri dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikritik hebat dan diminta letak jawatan oleh penyokong pembangkang sendiri.

Kerajaan Pulau Pinang pimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula cuba mengambil keuntungan daripada usaha kerajaan BN sebelum itu kononnya kerajaan pimpinan DAP itu berjaya membawa masuk pelaburan berjumlah RM10 bilion ke Pulau Pinang tahun lepas.

Pada 31 Dis tahun lepas, Lim mengeluarkan kenyataan bahawa Pulau Pinang mencatatkan pelaburan berjumlah RM9.47 bilion bagi tempoh 10 bulan antara Januari dan Oktober 2008 berbanding RM4.77 bilion bagi tempoh sepanjang tahun sebelumnya.

Berikutan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat lalu menyifatkan kerajaan Pulau Pinang yang kini dikuasai DAP tidak layak mendapat pujian terhadap peningkatan jumlah pelaburan itu kerana ia adalah hasil usaha kerajaan Barisan Nasional sebelum itu.

Muhyiddin berkata kenyataan Lim yang tidak berasas itu tidak layak digunakan oleh pembangkang dalam kempennya bagi memancing undi pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.

"Dia (Lim) nak bagi tahu semua orang ini adalah usahanya, berjaya bawa RM10 bilion, tapi kita nak cari satu, dua bilion bukan boleh dapat dalam masa satu tahun.

"Kebanyakan perundingan pelaburan telah dibuat sejak dua tahun lepas, dan dia kena akui asas-asas pembangunan Pulau Pinang telahpun dibangunkan oleh kerajaan BN di bawah parti Gerakan," katanya.

"Dakwaan ini suatu pembohongan kering, dosa kering yang Lim Guan Eng buat kerana perkara pertama yang dibuat oleh pakar pelabur ialah berjumpa dengan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) serta kementerian ini dan tak terus pergi ke kerajaan negeri dulu.

Jelas dalam konteks ini, katanya, “kerajaan pimpinan DAP berbohong kerana proses mendapat lesen, insentif atau nak tahu suasana dan dasar kerajaan, dia (pelabur) datang kepada kita (kementerian) dulu, lepas pihak kami dah setuju, barulah pelabur itu akan beritahu ke mana dia nak pergi," katanya kepada pemberita seperti dilaporkan oleh Bernama selepas sesi dialog bersama bersama pengusaha-pengusaha batik di Losong Feri di Kuala Terengganu.

Di Selangor, banyak isu sukar dijawab oleh kerajaan PKR dan ia tidak mungkin selesai kerana semakin hari semakin banyak kesilapan dilakukan selain kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menimbulkan kontroversi dalam banyak perkara.

Sebelum melihat ke luar, lihatlah dalam PAS dan Keadilan sendiri, apakah wakil rakyat yang sudah dipilih itu cakna rakyat.

Contohnya mudah – nilailah wakil rakyat di Kelantan, Terengganu dan Kedah bagi PAS dan Keadilan di Perak, Selangor dan Pulau Pinang.

Apakah mereka memikirkan hal rakyat?

Ramai daripada mereka ‘cuci tangan’ dan menganggap pembangunan adalah kerja Kerajaan Pusat walaupun hakikatnya mereka berjanji pelbagai perkara sebelum pilihan raya.

Selepas pilihan raya banyaklah alasan kononnya sukar dilaksanakan kerana tidak cukup peruntukan dan sebagainya.

Janji-janji menegakkan negara atau negeri kebajikan tidak dilakukan dan begitu juga dengan projek-projek kemudahan asas.

Setidak-tidaknya calon BN pada ketika berusaha untuk rapat dengan rakyat dan turun padang sudah memandang jauh dengan visi dan perancangan membangunkan kawasan yang akan diwakili mereka.

Memang sukar dan sulit untuk orang baru seperti Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk terlalu mesra dengan rakyat.

Namun apakah semua wakil rakyat yang PAS dan Keadilan tonjolkan mesra rakyat?

Pembangkang atau yang bersimpati dengannya melalui media pembangkang dan termasuk media yang dimiliki oleh mereka yang rapat dengan pemimpin tertinggi negara (UMNO) seperti Malaysian Insider turut menggambarkan seolah-olah Wan Farid sombong dan hidung tinggi.
Kalau tidak masakan The Malaysian Insider pada 11 Januari 2009 boleh menyiarkan rencana bertajuk “Berjayakah BN menukar imej dengan media” dengan nada serangan terhadap Wan Farid begitu jelas dan nyata.

Kata penulis rencana berkenaan: “Pengundi Kuala Terengganu tahu, “cakna rakyat” bukannya ciri atau kekuatan calon BN. Calon BN ini lahir dan membesar dalam keluarga elit dan agak jauh dengan rakyat. Beliau mempunyai kekuatannya tersendiri tetapi bukannya cakna rakyat. Untuk itu, kalau sesiapa pergi ke bandar Kuala Terengganu sekarang, penuh poster dan banner BN yang bertulis, “pemimpin berjiwa rakyat” dan seumpamanya. Poster dan banner ini cuba memberitahu rakyat perkara yang selama ini mereka tahu itu bukan ciri calon BN. Apakah media dan jentera kempen BN kali ini berjaya mencipta sesuatu yang ‘artificial’ kali ini. Kita tunggullah 17 Januari ini.”

Apakah makna kata-kata ini dan bagaimana orang yang menjaga atau menapis rencana di portal media itu boleh melepaskan rencana ini untuk disiarkan?

Tidakkah ini usaha memperlekehkan Wan Farid, malah tingkah laku calon BN ini awal-awal lagi dipersoalkan oleh New Straits Times, juga akhbar yang ada ‘bau’ UMNO dan Barisan Nasional.

Saya pun turut tertanya-tanya, apa niat media yang dimiliki dan dikawal oleh BN sendiri, seperti NST, pada 21 Disember lalu - sehari selepas nama calon BN diperkenalkan - menulis mengenai sifat calon BN ini. Kerana itu, tidak hairan media lain berani membuat laporan yang sama, apatah lagi media yang pro pembangkang yang menambah-nambah untuk ‘mencemarkan imej’ Wan Farid.

Persoalannya, benarkah watak Wan Farid sedemikian? Atau ia dicipta media yang pro-pembangkang dan sesetengah media milik parti komponen BN yang sengaja mahu ‘mencalar arang ke muka’ Wan Farid dan Timbalan Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertungkus lumus di Kuala Terengganu untuk memenangkan Ketua Bahagian Kuala Terengganu itu.

Benar kata-kata Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Said bahawa, "Kalau anda hendak kita berpuas hati semua sekali, anda buat robot (sebagai calon) pun tidak menjadi. Mana ada seseorang yang sempurna?

"Kenapa anda bertanya (prestasi) calon kita (BN). Anda tidak bertanya tentang calon PAS. Kita kena buat perbandingan (dengan wajar)."

Hakikatnya, seperti kata Ahmad Said, Wan Farid adalah Ketua UMNO bahagian dan tidak pernah bertanding lam pilihan raya dan kerana itu pengundi Kuala Terengganu perlu memberi peluang kepada calon BN itu membuktikan dirinya boleh menjadi wakil rakyat dan berkhidmat kepada penduduk di parlimen berkenaan.

“Manusia boleh berubah. Kalau kata dia payah jumpa orang memanglah...ada 38 peti undi dan 135 cawangan dia kena pergi,” ujar Ahmad.

Hakikatnya, perbandingan dibuat untuk menonjolkan calon PAS yang sudah lima penggal memenangi pilihan raya bagi kerusi DUN Wakaf Mempelam.

Ada mengatakan dia memang ‘mesra rakyat’ namun apakah sumbangannya kepada kawasan itu selepas menjadi wakil rakyat sejak 1990?

Apakah rakyat Kuala Terengganu mahukan wakil rakyat yang manis menabur janji dan sentiasa melepaskan diri daripada tanggungjawab membangunkan kawasan, golongan belia dan wanita dan perancangan masa depan Wakaf Mempelam?

Bolehkah kita mengatakan beliau sebagai wakil rakyat yang baik sedangkan sumbangannya kosong. Sanggupkah rakyat Terengganu menyandarkan masa depan diri dan keluarganya kepada wakil rakyat dan parti yang bersifat kosong perancangan dan kosong sumbangan?

1 comment:

  1. Salam...

    Saya amat meminati tulisan saudara dan hampir setiap hari saya mengikutinya.

    Apapun kisah pilihanraya KT ni ramai daripada org2 Umno mengakui bahawa BN akan kalah.

    Faktor utamanya adalah calon itu sendiri.

    Beberapa rakan saya mewakili Umno dan Badan2 kerajaan yg telah berkampung di KT untuk membuat analisa mendapati pengundi2 di sana mahukan perubahan dari sudut ekonomi individu.Malangnya BN bekempen mengutamakan kemajuan prasarana setempat berbanding pas yang memperjuangkan kehendak masyarakat.

    Beberapa rakan saya amat khuatir sekiranya bn tewas pada kali ini mereka bakal berdepan dengan bnyak risiko.Terutama dari kakitangan awam.

    Saya percaya seandainya bn kalah maka sabah dan sarawak akn bertukar pendirian melihatkan senario yang berlaku.

    Boleh saudara beri komen tentang perkara ini.

    ReplyDelete