Friday, January 16, 2009

PAS HALALKAN SERANGAN PERIBADI

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan calon dan penyokong jangan menyerang peribadi.

Malah, dari segi etikanya, serangan peribadi atau ‘membunuh peribadi seseorang’ (character assassination) dalam pilihan raya adalah amalan buruk yang sepatutnya tidak dilakukan. Apalagi jika serangan itu dilakukan oleh penyokong parti yang melaungkan ia memperjuangkan Islam.

Saya perhatikan sejak nama Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh diumumkan sebagai calon, serangan pertama ialah kononnya beliau berkaraoke dengan seorang gadis muda.

Ternyata gadis itu, anak saudara Wan Farid sendiri yang juga "berpangkat cucu kepada seorang pemimpin PAS"."Kalau saya mendedahkan identiti orang tersebut, nanti ada orang yang susah hati. Kempen saya ialah kempen yang positif dan bukannya negatif," katanya kelmarin.

Gambarnya berkaraoke itu telah menjadi senjata terhadapnya bagi berdepan calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dalam kempen di kawasan parlimen Kuala Terengganu.

Selepas itu, melalui ‘bantuan’ media perdana, pembangkang khasnya media yang bersimpati dengan PAS dan Keadilan menggambarkan Wan Farid sebagai seorang yang sombong, tidak mesra dan sukar diterima orang bawahan.

Gambaran ini juga berupa serangan peribadi yang sewajarnya tidak digunakan.
Dengan kedudukan ini jelas PAS menghalalkan serangan peribadi dan bagi mereka untuk mendapatkan kuasa, semuanya halal segala-halanya!

Pengundi boleh membandingkan antara yang bekerja dan menyumbang kepada rakyat dengan yang hanya bercakap kosong dan mementingkan kuasa semata-mata.

Apapun, Wan Farid meramalkan beliau mempunyai sedikit kelebihan untuk menang dalam pilihanraya, Sabtu ini.

Tambahnya, keyakinannya itu berdasarkan maklum balas yang diperolehi hasil daripada lebih 65,000 pengundi yang ditemui jentera pilihanraya BN.

Kuala Terengganu mempunyai 80,229 pengundi berdaftar - 88 peratus Melayu dan 11 peratus Cina.

Kenapa Wan Farid berani mengatakan demikian?

Ini kerana Wan Farid mempunyai peranan penting untuk dimainkan demi rakyat Kuala Terengganu. Kerana kseungguhan untuk berbakti, Wan Farid sanggup menjadi ‘lilin’.
Ternyata segala perang psikologi oleh PAS terhadap calon Barisan Nasional itu hanya untuk memperlekehkannya.

Selepas tiada isu besar boleh diperkatakan oleh PAS terhadap BN di Terengganu, mereka mengumpul tenaga memperkecil-kecilkan ketokohan dan kemampuan calon BN itu untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganun. Itu sahaja.

Namun, di sebalik semua kritikan dan tindakan untuk memperlekehkan calon BN itu, Ahmad Farid sebenarnya bagaikan sebatang lilin.

Pengerusi BN Terengganu, Datuk Ahmad Said menyifatkan pengorbanan Wan Farid bagai ‘sebatang lilin yang cuba menerangi rakyat Terengganu’ dan pilihan raya kecil Kuala Terengganu akan membuktikan kebenaran kata-kata itu.

Kenapa Menteri Besar Terengganu berkata demikian?

Ini kerana Wan Farid menawarkan diri untuk berbakti. Kalau dia mahu ‘bersenang-lenang’, dia boleh menjadi Senator dan Timbalan Menteri, tidak payah letak jawatan dan bertanding.
“Bagi saya Wan Farid memang bagai lilin. Dia mahu berbakti kepada Kuala Terengganu.

Dia sanggup mengambil risiko,” kata Ahmad Said pada majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Di Antara Universiti Kuala Lumpur dengan Kolej Tesdec dan Memorandum Persefahaman di Antara Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu dengan Koperasi Ladang Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia Berhad Ahad lalu.

Hakikatnya, Wan Farid bertanding bukan kerana jawatan. Menang pun, beliau hanya akan menjadi Timbalan Menteri, iaitu jawatan yang disandangnya sekarang. Dia tahu apa risiko yang akan dihadapinya.

Tetapi risiko bagi Wan Farid ialah jika kalah. Dia bukan sahaja akan kehilangan jawatan Senator tetapi juga Timbalan Menteri. Ini bermakna bahawa Wan Farid akan hilang “pangkat dan pendapatannya” selama ini.

Apakah dengan mengatakan sebegini bermakna Ahmad Said memperjuangkan kemenangan untuk peribadi Ahmad Farid?

Bukan. Yang sebenarnya Ahmad Said cuba memberitahu orang Terengganu bahawa UMNO meletakkan calonnya yang tidak tamak jawatan dan bersiap sedia untuk berkhidmat.
Jelas ia berbeza dengan calon PAS?
Calon PAS rela mengambil dua jawatan serentak. Dia sudah ADUN dan sanggup pula bertanding untuk kerusi Parlimen.
Kalau menang siapa dapat untung?

Rakyat? Jauh sekali. Sudah tentu Mohd Abdul Wahid Endut. Kemenangan akan membolehkan beliau bercakap di Parlimen, selain pada persidangan DUN Terengganu. Selain itu mudahlah untuk beliau tinggalkan kawasan – ada alasan katakan.

Dan sebenarnya inilah pun budaya wakil rakyat PAS – khususnya Ahli Parlimen PAS – iaitu meninggalkan kawasan dengan alasan sibuk di Kuala Lumpur.

Bandingkan apa pula yang boleh Wan Farid lakukan. Bukan sekadar boleh berkhidmat untuk rakyat Kuala Terengganu.

Dengan menjadi Timbalan Menteri, beliau boleh berbakti dan menyumbangkan tenaga dalam banyak perkara bagi membela rakyat Kuala Terengganu.

Dalam konteks Wan Farid ini, Datuk Seri Najib Tun Razak ada menyatakan bahawa beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sama-sama bersetuju mengenai pemilihannya. Jadi, tidak perlu timbulkan cakap-cakap bahawa Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu itu "orang Pak Lah".

Cakap-cakap itu lebih kapada untuk meremeh atau memperlekehkan calon berkenaan, apa lagi jika orang UMNO sendiri terikut-ikut dengan perang psikologi PAS.

Yang penting sekarang ialah BN memastikan Wan Farid dipilih sebagai wakil rakyat. Selepas ia benar-benar menjadi kenyataan, rakyat akan tahu mereka sebenarnya membuat pilihan tepat memilih Wan Farid.

Wan Farid nantinya akan menjadi penggerak utama memajukan Kuala Terengganu bukan setakat menjayakan visi Allahyarham Datuk Razali Ibrahim tetapi juga dengan pendekatan dan strategi baru pembangunan Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment