Tuesday, November 11, 2008

MATA TERTUMPU KEPADA JK PENGURUSAN

Oleh Hambali Abdul Latiff

Bahagian Kedua (sambungan daripada Bahagian Pertama - Bahagian Larut):

1. UMNO Bahagian Tanah Merah


Latar Belakang: Mesyuarat bahagian Tanah Merah diambil alih Badan Perhubungan Umno Kelantan selepas menerima arahan Ibu Pejabat Umno berikutan bantahan dan masalah yang berlarutan sejak mesyuarat cawangan, Julai lalu.

Ada dakwaan bahawa 27 daripada 117 cawangan dalam Bahagian UMNO Tanah Merah dibatalkan pendaftaran ekoran isu pembayaran yuran. UMNO Tanah Merah diketuai oleh Nik Kemaruzaman Sulung yang memangku jawatan Ketua Bahagian sejak Datuk Hashim Safin meninggal dunia April lalu.

Ada pihak mendakwa kepimpinan UMNO Bahagian Tanah Merah enggan mengiktiraf hak 27 cawangan yang layak bermesyuarat daripada keseluruhan 115 cawangan. Berikutan itu, UMNO bahagian Tanah Merah merupakan yang terakhir mengadakan mesyuarat selepas ibu pejabat parti mengarahkan Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengambil alih pengendalian kesemua 115 mesyuarat cawangan bahagian itu. Hasil pemantauan yang dibuat hanya 108 cawangan sahaja yang layak bermesyuarat.

Masalah: Masalah teknikal berikutan dakwaan wujud anggota hantu pada pemilihan peringkat cawangan. Satu permohonan mahkamah dibuat menghalang 32 perwakilan daripada menyertai persidangan bahagian itu kerana didakwa tidak layak menyertai mesyuarat kerana gagal menjelaskan yuran tahunan sebelum 31 Disember lalu.Siapa terlibat? Antara anggota Umno bahagian Tanah Merah yang terlibat dengan perintah itu ialah Ketua bahagian yang menang tanpa bertanding, Ikmal Hisyam Abdul Aziz, anggota jawatankuasa Umno bahagian, Ali Akbar Mayim, Bakri@Mohd Bakri Mustafa, Yahya Mustapha dan Rasdi Mohamad.


Tindakan Bahagian: Mesyuarat 8 November 2008 ditangguh dan keputusan mengenainya disampaikan peguam parti dari Ibu pejabat Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun mengenai masalah teknikal ekoran ada pihak yang menyerahkan satu permohonan mahkamah menghalang 32 perwakilan daripada menyertai persidangan bahagian itu kerana didakwa tidak layak menyertai mesyuarat kerana gagal menjelaskan yuran tahunan sebelum 31 Disember lalu. Mesyuarat yang diadakan di Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah itu yang sepatutnya berlangsung pukul 9 pagi hanya bermula pukul 10.10 pagi, dan sedikit tegang dipercayai disebabkan tindakan pihak yang mendapatkan perintah mahkamah cuba menyerahkan perintah injuksi kepada 32 anggota terbabit. Bagaimanapun, mesyuarat itu ditangguhkan kira-kira 40 minit kemudian sebaik ucapan perasmian oleh Naib Ketua Umno Bahagian Zakaria Hamad, selesai, apabila Pengerusi Tetap Sementara, Ali Akbar Mayim mengumumkan mesyuarat yang dipantau Umno Bahagian Rantau Panjang itu disambung semula pada pukul 1 tengahari untuk mendengar penjelasan Hasfanizam. Mesyuarat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian itu selesai diadakan sehari sebelumnya.

Hasfanizam berkata, keputusan menangguhkan mesyuarat bahagian itu dibuat setelah beliau merujuk kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.Persidangan Umno bahagian Tanah Merah semalam dihadiri 452 perwakilan daripada 171 cawangan.

Kesan: Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah yang berlangsung di Sekolah Menengah Teknik terpaksa ditangguhkan atas arahan Ibu Pejabat UMNO. Ia berdasarkan permohonan yang difailkan seorang AJK Umno Bahagian Tanah Merah, Ab Rahman Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kota Baharu 6 November lalu apabila 32 anggota Umno dilarang menggunakan hak mereka daripada bercakap, mengundi, dan memilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian itu sehingga kes mahkamah diselesaikan. Setiausaha Agung juga memaklumkan kes itu akan dirujuk kepada ibu pejabat Umno dan juga akan dibawa ke Mesyuarat Pengurusan Umno Malaysia. Perintah itu akan dikuatkuasakan sehingga 20 November akan datang apabila 32 anggota itu diberi hak untuk melantik peguam masing-masing, katanya semasa memberi penjelasan mengenai penangguhan itu.


Perkembangan Lain:

1. Pada 8 Ogos 2008, Setiausaha Agung UMNO berkata, tidak timbul isu pembatalan sebahagian cawangan dalam UMNO Bahagian Tanah Merah. Apa yang berlaku sebenarnya ialah senarai ahli cawangan itu sedang dikemas kini kerana terdapat unsur-unsur meragukan. Ibu Pejabat UMNO Pusat difahamkan mengeluarkan arahan bahawa semua cawangan yang telah membayar yuran tahunan adalah layak untuk bersidang mengikut perlembagaan parti. Wakil cawangan terlibat mendakwa wujud agenda pihak tertentu bagi mencorakkan pencalonan untuk bertanding jawatan tertinggi dalam pemilihan bahagian.Mereka meminta UMNO Pusat meneliti perkembangan itu dan segera mengambil tindakan bagi mengelak perkara tersebut menjadi lebih bercelaru hingga merosakkan imej parti.

2. Setiausaha UMNO bahagian itu, Amran Abdul Rahman mendakwa sebelum persidangan cawangan bermula dari 4 Oktober hingga 10 Oktober lalu, jawatankuasa pemantau yang ditubuhkan oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan dipengerusikan oleh pegawai khas kepada pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Tuan Hashim Tuan Yaakub bersetuju untuk menyerahkan salinan laporan mesyuarat kepada bahagian. Bagaimanapun hingga 20 Oktober lalu, laporan yang diminta untuk simpanan bahagian, tidak diserahkan.

Berikutan itu, UMNO bahagian itu membuat laporan polis berhubung dakwaan salah laku jawatankuasa pemantau perhubungan Umno Kelantan yang mengendalikan persidangan Umno cawangan di berkenaan. Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah Polis Tanah Merah kerana membantah tindakan jawatankuasa berkenaan yang disyaki cuba menyembunyikan fakta mesyuarat, seolah-olah cuba menipu bahagian dalam urusan mesyuarat pemilihan cawangan diadakan.

3. Pada 7 Oktober 2008, Umno Bahagian Tanah Merah membuat ketetapan membantah pengendalian persidangan tahunan cawangan Umno dalam bahagian itu. Mesyuarat itu yang dikendalikan Jawatankuasa Pemilihan dan Pemantauan Umno Kelantan dipengerusikan Tuan HashimTuan Yaakob. Pemangku Ketua Bahagian, Nik Kemruzaman Sulong, berkata bantahan itu dibuat mereka kerana keputusan dan tindakan jawatankuasa berkenaan yang didakwa tidak telus sehingga berlaku beberapa kejadian yang disifatkan melanggar peraturan ketika mesyuarat berlangsung.

4. Laporan polis dibuat di Balai Polis Sentul pada 28 Oktober 2008 mengenai penghantaran Notis Mesyuarat Perwakilan Bahagian yang lewat dari tarikh yang tertulis pada surat notis itu.

5. Pada, 7 November 2008 lalu, Umno Bahagian Tanah Merah, Kelantan, membuat satu laporan polis di Kuala Lumpur terhadap Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa. Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Bahagian itu Amran Abdul Rahman di Balai Polis Sentul. Beliau mendakwa, Tengku Adnan menggunakan kedudukan sebagai Setiausaha Agung mengeluarkan arahan bertulis kepada Badan Perhubungan Umno Kelantan supaya mengambil alih persidangan cawangan dalam bahagian Tanah Merah sebelum tempoh yang ditetapkan. "Tengku Adnan juga membuat fitnah kononnya Umno Bahagian Tanah Merah mengalami masalah pentadbiran," katanya.

6. Selain laporan polis, seorang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Tanah Merah, Abdul Rahman Ibrahim mengemukakan saman pemula pada 7 November 2008 dan mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu kelmarin bagi menghalang 32 ahli termasuk bekas Ketua Pemuda, Ikmal Hisham Abdul Aziz bersidang. Mereka didakwa tidak membuat pembayaran yuran mengikut prosedur yang ditetapkan oleh perlembagaan parti. Ikmal Hisham sepatutnya diumumkan sebagai Ketua Bahagian yang baru setelah menang tanpa bertanding.

7. Pada sidang media di Kuala Lumpur yang turut dihadiri bekas Ketua Wanita bahagian, Datin Suhanie Deraman; bekas Ketua Pemuda Umno Tanah Merah, Jusoh Deraman dan bekas Ketua Puteri, Paridah Mat Riffin, Nik Kamaruzaman meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak campur tangan bagi menyelesaikan beberapa kepincangan yang didakwa berlaku di bahagian itu termasuk ketika mesyuarat Umno cawangan dalam bahagian itu. Beliau bimbang jika tidak diatasi, ia boleh menyebabkan mesyuarat Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri tidak sah kerana wujudnya ahli hantu dan ahli yang gagal membayar yuran tahunan dibenarkan mengundi untuk memilih calon. Ketiga-tiga pemimpin Wanita, Pemuda dan Puteri terbabit tidak hadir ke mesyuarat perwakilan sayap pimpinan mereka yang dibuat di tiga lokasi berbeza di Tanah Merah pada 7 November 2008 bagi menyertai Nik Kamaruzaman untuk menyatakan bantahan.

Selain isu keahlian UMNO Bahagian Tanah Merah membantah keputusan Jawatankuasa Pengurusan UMNO menyerahkan penggendalian Mesyuarat Perwakilan UMNO Tanah Merah dan sayap-sayapnya kepada BadanPerhubungan UMNO Negeri mengikut Fasal 20.3 Perlembagaan UMNO.

1. Benarkah Setiausaha Agong membuat fitnah terhadap JK Bahagian Tanah Merah dan ‘merampas kuasa’ apabila mengarahkan Badan Perhubungan UMNO mengambil alih dan mengatur mesyuarat cawangan Bahagian UMNO Tanah Merah?

2. Benarkan Setiausaha Agung menggunakan kuasanya membenarkan sejumlah 30 daripada 45 cawangan gagal membayar yuran tahunan dan satu cawangan yang lewat membayar Yuran Tahunan menjalankan persidangan cawangan

3. Benarkah Saetiausaha Agung membenarkan cawangan bermesyuarat di luar tempoh ditetapkan oleh MT iaitu 4 hingga 10 Oktober 2008

4. Sebab masalah timbul pada mesyuarat cawangan berbeza antara kenyataan Setiausaha Agung dan Bahagian UMNO Tanah Merah. Setiausaha Agung berkata punca pengambil alihan ialah masalah dalaman pentadbiran Bahagian berkenaan tetapi UMNO Bahagian Tanah Merah berpendapat kegagalan Ibu Pejabat UMNO mengatasi permasalahan termasuk kesahihan penambahan, pengurangan dan pertukaran ahli UMNO serta kepincangan di Bahagian Sistem Maklumat Ibu Pejabat punca sebenar.

5. Benarkah Notis Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian tidak menepati Perkara 6.2 Peraturan Persidangan Perhimpunan Agung Perwakilan Bahagian dan Persidangan Cawangan iaitu “Setiausaha Bahagian hendaklah memberitahu Cawangan dengan bertulis sekurang-kurangnya 14 hari (14) hari terlebih dahulu dipada hari diadakan Perwakilan Bahagian’.

Selain isu peribadi yang ditujukan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilih dan Pemantau Negeri Kelantan, Tuan Hashim Tuan Yaacob kenyataan Ikmal Hisham di Utusan Malaysia Online pada 11 Oktober 2008 yang beliau menang tidak bertanding, mengundang banyak pertanyaan. Ulasan mengenai kemenangannya itu dianggap ‘ tidak wajar dibuat’ kerana keputusan rasmi belum dibuat. Difahamkan, sebarang kenyataan keputusan pencalonan cawangan-cawangan hanya boleh dibuat oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan atau selepas tujuh (7) hari persidangan perwakilan Bahagian tamat. Ringkasan Laporan Utusan Malaysia Online adalah seperti berikut:

Ikmal Hisham, Ketua UMNO Tanah Merah
http://www.utusan.com.my

KOTA BHARU 11 Okt. - Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian tersebut selepas tiga lagi pencabarnya tidak mendapat pencalonan yang mencukupi.

Pada mesyuarat cawangan yang berakhir semalam, Ikmal mendapat sebanyak 91 pencalonan manakala tiga lagi pencabarnya iaitu pemangku ketua UMNO bahagian tersebut, Nik Kemaruzaman Sulong memperoleh lapan pencalonan; ahli jawatankuasa bahagian, Rosli Kadir (enam) dan ketua penerangan bahagian, Datuk Supardi Md. Noor (dua).

Bagi jawatan timbalan ketua, ia akan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara seorang tokoh agama, Baharudin Yusof yang mendapat 53 pencalonan dan bekas Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Shaari Hassan (50) manakala dua lagi individu iaitu Supardi dan ahli jawatankuasa bahagian, Moktar Bahari tidak mendapat pencalonan yang mencukupi.

Dalam pada itu, seorang guru, Bakri @ Mohd. Bakri Mustapa turut menang tanpa bertanding bagi jawatan naib ketua selepas mendapat 82 pencalonan selepas empat lagi pencabarnya tidak layak untuk bertanding.

Sementara itu, Ikmal Hisham ketika dihubungi di sini hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua cawangan yang mencalonkannya dan yakin dengan kebolehannya untuk memimpin serta membawa perubahan kepada parti di bahagian tersebut.

"Saya bersyukur kerana mesyuarat cawangan ini berjalan dengan lancar dan aman tanpa sebarang masalah walaupun pelbagai halangan terpaksa ditempuh sebelum ini," katanya.

Apapun, harapan bagi UMNO Bahagian Tanah Merah ialah Najib melihat masalah mereka serta mahu keputusan dan budi bicara Tengku Adnan dalam menggendalikan kes bahagian mereka berkiatan dengan individu tertentu turut disiasat.

Rumusannya dalam kes UMNO Bahagian Tanah Merah ialah:

a) Kenapa UMNO Bahagian Tanah Merah enggan mengiktiraf hak 27 cawangan yang dikatakan layak bermesyuarat daripada keseluruhan 115 cawangan dalam Bahagian itu?

b) Kenapa UMNO Bahagian tidak dibenarkan menghantar Wakil Bahagian ke Persidangan Cawangan;

c) Kenapa salinan Buku Laporan Mesyuarat tidak dibenarkan diserahkan kepada Cawangan dan Bahagian;

d) Kenapa Jadual Persidangan Cawangan tidak dibincang terlebih dahulu dengan Bahagian dan Cawangan;

e) Kenapa laporan dan keputusan rasmi Persidangan Cawangan tidak dimaklumkan kepada UMNO Bahagian walaupun persidangan telah 30 hari berakhir;

f) Benarkah Wakil Pemantau yang dihantar oleh Jawatankuasa terabit membuat Akuan Palsu apabila mengaku menyerahkan Peringatan Persidangan 2007, Kertas Persidangan 2007/2008 dan Laporan Kewangan 2007 untuk simpanan Urusetia Bahagian tetapi sebenarnya tidak berlaku demikian?

g) Knapa membuat perubahan tarikh Persidangan Cawangan tanpa memaklumkan kepada UMNO Bahagian? Dan

h) Kenapa tidak melayan dan responsive terhadap aduan-aduan UMNO Bahagian kepada pelbagai penyelewengan yang dikesan berlaku dalam Persidangan Cawangan?

Jawapan ada pada Jawatan Pengurusan UMNO dan Jawatan Disiplin UMNO.

(Ikuti sambungan Bahagian Akhir)

No comments:

Post a Comment