Tuesday, November 11, 2008

MATA TERTUMPU KEPADA JK PENGURUSAN


Oleh Hambali Abdul Latiff


Rencana Tiga Bahagian

Wajarkah kita menjadikan masalah yang melanda beberapa UMNO Bahagian yang gagal bermesyuarat seperti Larut, Tanah Merah dan Seremban sebagai kes kajian memperbetulkan masalah yang melanda cawangan dan bahagian?

Penyelesaian kepada kes-kes seperti ini amat penting untuk perpaduan dan kesepakatan ahli UMNO demi kekuatan UMNO menghadapi sebarang pilihan raya – umum dan pilihan raya kecil.
Sesuatu harus dilakukan segera bermula dari Ibu Pejabat UMNO, Perhubungan UMNO Negeri hinggalah ke peringkat cawangan agar
perjalanan pemilihan dan pengurusan parti di masa akan datang lebih licin.

Pengajaran tidak datang jika tidak ada masalah melanda. ‘Blessing in Disguise”. Semua pihak perlu melihat kes ini dengan dada terbuka dan menerima baik sebarang keputusan.
Semua mata kini tertumpu kepada Jawatankuasa Pengurusan menggendalikan kes ini demi jawapan dan tindakan sewajarnya untuk dijadikan suatu precedent pada masa hadapan.

1. Kes Pertama – UMNO Bahagian Larut:
2. Kes Kedua – UMNO Bahagian Tanah Merah:
3. Kes Ketiga – UMNO Bahagian Seremban, Tenom & Pengkalan Chepa


(Bahagian Pertama)
1. UMNO Bahagian Larut:

Masalah: Pencalonan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding merebut jawatan ketua Umno Bahagian Larut ditolak selepas didapati melanggar peraturan keahlian yang ditetapkan parti. Alasan penolakan oleh UMNO Bahagian Larut terhadap Hamzah ialah dia baru bertukar keahlian pada 3 April lalu sedangkan mengikut pekeliling (Ibu Pejabat UMNO), mereka yang menjadi ahli dan membayar yuran sebelum 31 Disember 2007 sahaja layak bermesyuarat. (Mengikut surat pekeliling dikeluarkan ibu pejabat Umno negeri, seseorang hanya layak menghadiri mesyuarat cawangan atau bahagian serta bertanding jika mereka mendaftar sebagai ahli mana-mana cawangan Umno sebelum 31 Disember 2007.)

Tindakan Bahagian: Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata bahagian itu dalam mesyuarat khas sebulat suara menolak pencalonan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dan bekas Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat. (Pada mesyuarat cawangan Umno Bahagian Larut yang berlangsung pada 17 Julai hingga 24 Ogos lalu, Raja Ahmad mendapat 28 pencalonan, Daud (33) dan Hamzah (22) untuk melayakkan mereka bertanding merebut jawatan ketua bahagian itu.)

Kesan: Mesyuarat UMNO Larut yang sepatutnya diadakan pada 9 November 2008 terpaksa ditangguhkan sehingga masalah itu diselesaikan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti.

Perkembangan lain:

1. Raja Ahmad berkata, pihaknya sebelum ini, sudah bertolak ansur untuk menerima Hamzah bertanding di Parlimen Larut pada pilihan raya umum lalu. Sebelum ini beliau ada membangkitkan perkara keahlian Hamzah pada mesyuarat badan perhubungan Umno negeri sebanyak dua kali termasuk yang dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi 21 September lalu. Pada mesyuarat itu, Hamzah memaklumkan beliau tidak berhasrat bertanding jawatan ketua bahagian Larut kepada Pak Lah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

2. Setiausaha Agung UMNO menjelaskan kepada Agendadaily, Hamzah boleh bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO. Di bawah perkara itu, seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih. Menurut Tengku Adnan, Raja Ahmad boleh dikenakan tindakan jika tidak mengadakan mesyuarat UMNO bahagian sehingga tarikh akhir semua mesyuarat bahagian ditetapkan perlu diadakan iaitu pada 9 November.

3. Utusan Malayia kelmarin, 10 November 2008, bertajuk ‘UMNO Larut mahu Hamzah’ melaporkan seramai 74 daripada 97 Ketua UMNO cawangan di bahagian Larut mendesak supaya Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin bertanding jawatan Ketua Bahagian itu pada mesyuarat perwakilan bahagian yang dijangka diadakan pada 16 November ini. Desakan itu turut dibuat oleh kira-kira 400 ahli dan perwakilan cawangan di hadapan Hamzah dalam satu perjumpaan khas di Bukit Merah Lake Town Resort di Bukit Merah.Kenyataan ketua-ketua UMNO itu adalah jawapan kepada kenyataan Raja Ahmad bahawa Hamzah tidak layak bertanding kerana menjadi ahli UMNO bahagian selepas 31 Disember 2007, sekali gus melanggar pekeliling yang dikeluarkan oleh ibu pejabat parti.

Kini, selain isu keahlian, ada empat pertanyaan baru di sini:

1. Adakah perhimpunan seperti ini dibenarkan? Bukankah ini kempen terbuka yang dilarang oleh Lembaga Disiplin dan Majlis Tertinggi;

2. Sebagai Ahli Majlis Tertinggi, apakah kehadiran Hamzah ke perjumpaan ini menunjukkan beliau sendiri melanggar arahan MT yang melarang perhimpunan diadakan yang sudah dipersetujui bersama oleh anggota MT?

3. Apakah ada ahli Jawatankuasa Pemantau di perhimpunan di Bukit Merah dan siapa penganjurnya? Bagaimana agaknya laporan JK Pemantau itu (jika ada)?

4. Sebagai ahli seumur hidup, adakah peruntukan diberikan keistimewaan kepada Hamzah untuk membayar yuran selepas 31 Disember 2007 bagi melayakkannya bertanding?

Selain itu, Hamzah turut membuat beberapa kenyataan untuk membela dirinya pada perjumpaan Bukit Merah itu:

1. Hamzah buat pertama kalinya membuat pengumuman secara terbuka untuk bertanding jawatan itu setelah mendapat sokongan ahli parti di peringkat akar umbi;

2. UMNO pusat turut memberi 'lampu hijau' kepadanya untuk bertanding atau 'memilih dan dipilih' mengikut perlembagaan UMNO;

3. Tujuan beliau datang ke Bahagian Larut bukan untuk mencipta perpecahan. Beliau sanggup melucutkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat semata-mata untuk jadi ahli di sini. (Persoalan di sini tarikh beliau melucutkan jawatan berkenaan dan siapa yang bertanding untuk Ketua Bahagian Ipoh Barat);

4. Berhubung keahliannya di bahagian Larut, Hamzah menjelaskan beliau adalah ahli UMNO seumur hidup dan telah berpindah keahlian ke bahagian itu sejak April lalu;

5. Hadir di perjumpaan Bukit Merah ialah wakil kumpulan Othman Sidek (ahli UMNO Bahagian Larut); Ketua Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohamad Annuar Ariffin yang baru dipilih pada mesyuarat Pemuda Bahagian dan Naib Ketua Wanita, Mariatul Kiptiah Abdul Rahman.

Rumusannya dalam kes UMNO Bahagian Larut ini ialah:

a) Bolehkah Raja Ahmad menyekat Hamzah bertanding berdasarkan pekeliling Ibu Pejabat UMNO mengenai yuran.

b) Kenyataan Setiausaha Agung bahawa Hamzah boleh bertanding sah atau tidak?

c) Bolehkah Hamzah menggunakan ahli UMNO Bahagian Larut membuat kenyataan bagi pihak dirinya?

d) Bolehkah perjumpaan dihadiri 400 ahli UMNO dianjurkan? Apakah ini kempen terbuka?


e) Dipantau oleh wakil ibu pejabat atau sebaliknya?


f) Bolehkah ahli MT hadir pada perjumpaan yang memang dilarang oleh MT diadakan seumpamanya?

Jawapan ada pada Jawatan Pengurusan UMNO dan Jawatan Disiplin UMNO.
(Ikuti sambungan Bahagian Kedua)

No comments:

Post a Comment