Tuesday, November 11, 2008

TERENGGANU WAJAR JADI PUSAT KEJOHANAN KUDA LASAK

Tahniah kepada penganjur Kejohanan Kuda Lasak Dunia 2008 (WEC 2008) dan kerajaan Negeri Terengganu kerana menjayakan kejohanan berkenaan.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin turut menyertai kejohanan tersebut.

Lebih menggembirakan Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI), mengisytiharkan trek di TIEP antara lokasi terbaik bagi penganjuran kejohanan bertaraf dunia tersebut.

Sudah tentu kerana kejayaan penganjuran itu, Kerajaan Terengganu bersedia menjadi penganjur kejohanan WEC pada masa depan jika diberi peluang.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said mengegaskan kelmarin, jika diadakan kejohanan ini pada masa akan datang, Terengganu bersedia menjadi penganjur utama kerana ia mendapat sambutan hangat daripada orang ramai selain dapat menggerak dan merancakkan aktiviti ekonomi negeri.

''FEI gembira dengan semua kemudahan yang ada terutama trek yang rata selain terletak di tepi pantai dan kawasan berbukit," ujarnya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri juga bersedia untuk bertindak sebagai penganjur utama jika kejohanan berkenaan masih akan diadakan di sini pada masa depan.

Beliau berkata kerajaan negeri akan meningkatkan kemudahan di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong dekat Kuala Terengganu dari semasa ke semasa bagi memastikan ia menjadi antara trek terbaik bagi kejohanan kuda lasak.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis penyampaian hadiah WEC 2008 kelamarin.

Ahmad berkata pada WEC 2008, kerajaan negeri hanya membantu melicinkan penganjuran kejohanan itu yang dianjurkan Institut Sukan Negara (ISN) dengan kerjasama Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) dan diiktiraf oleh FEI.

Beliau berkata pada WEC 2008 yang berlangsung selama empat hari itu, ia mencatatkan rekod baru kejohanan berkenaan apabila 38.09 peratus atau 48 daripada 127 peserta menamatkan perlumbaan masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan.

Daripada maklumat yang diperolehi, beliau berkata FEI serta para peserta berpuashati dengan kemudahan yang disediakan di TIEP kerana ia bukan sahaja mempunyai trek tanah rata malah terdapat juga laluan pantai dan berbukit.

Ahmad berkata selepas kejohanan itu, TIEP akan digunakan untuk menganjurkan Kejohanan Piala Sultan serta beberapa kejohanan peringkat Asean tahun depan.

Pada kejohanan itu yang berakhir hari Sabtu, peserta Sepanyol, Maria Mercedes Alvarez Ponton muncul juara bagi kategori individu manakala pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang diwakili Putera Mahkotanya, Sheikh Hamdan Mohd. Al Maktoum, Mohd. Ahmad Ali Subose dan Mubarak Khalifa Shafya pula pemenang pertama kategori berpasukan.

Ponton menerima AS$100,000 (RM354,589), pingat emas dan trofi manakala pasukan UAE membawa pulang AS$80,000 (RM283,671), pingat serta trofi.

Kuda peserta Sepanyol itu pula, Nobby dinobatkan Kuda Terbaik dan pemiliknya membawa pulang AS$20,000 (RM70,917).

No comments:

Post a Comment