Thursday, November 20, 2008

LARUT YANG SEMAKIN MELARUT-LARUT

Saya ‘kembali ke Larut’ apabila terpesona dengan kata-kata Agendadaily bahawa kes ini mungkin kecil dalam kontek politik nasional tetapi ada pemerhati politik yang menilai ia satu kes contoh dan menarik untuk dilihat bagaimana ia tanganinya oleh pihak atasan UMNO.

Membaca analisis Agendadaily mengenai ‘UMNO Bahagian Larut….yang berlarutan’ pada 16 November lalu, jelas sekali fakta yang dikemukakan seimbang.

Sebahagian besar fakta-fakta yang diperkatakan oleh Agendadaily itu sebenarnya sudah saya sentuh melalui posting ‘Larut Yang Berlarutan’ pada 9 November 2008 dan kemudian melalui analisis ‘tiga bahagian’ bermula Selasa, 11 November dan Rabu 12 November 2008 bertajuk “Mata Tertumpu kepada JK Pengurusan’.

Sehingga kini, mesyuarat UMNO Bahagian Larut masih ditangguhkan kerana pertikaian kedudukan Datuk Hamzah Zainuddin yang juga Ahli Parlimen kawasan itu sama ada beliau layak bertanding atau tidak. Jawatan Ketua UMNO Bahagian yang kini disandang oleh Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin.

Hamzah ialah calon ‘ payung terjun’ yakni orang luar yang bertanding kerusi parlimen kawasan itu mengambil alih tempat Raja Ahmad yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah di situ.

Persoalannya bukan isu ‘orang luar’ di sini kerana Hamzah diterima baik oleh kepimpinan UMNO Bahagian Larut yang turut memainkan peranan menjamin kemenangannya dan Barisan Nasional.

Seperti yang sudah banyak dilaporkan mengenainya Hamzah yang sebelum ini mengetuai UMNO Bahagian Ipoh Barat telah menukar keahliannya ke sebuah cawangan di UMNO Bahagian Larut iaitu Sungai Bayur pada bulan April lalu.

Ada suara-suara mengatakan Hamzah kini mencanang ke seluruh bahagian itu dan di Perak, bahawa beliau datang ke Larut pada bulan Jun 2008.

Kenapa tidak April dan mahu Jun pula? Mesti ada sebab tersendiri bagi Hamzah atau orang-orangnya!

Selain fakta disebutkan oleh saya dan Agendadaily, perkembangan terbaru khususnya perkara-perkara berikut menarik untuk diteliti, khususnya berkaitan kenyataan-kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Raja Ahmad dan Hamzah sendiri.

1. Apa maksud Setiausaha Agung UMNO apabila mengatakan ‘Bukan kerana kami kawan baik”.

Pelik sedikit apabila tiba-tiba Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan keputusan beliau membenarkan Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Larut bukan dibuat atas dasar beliau adalah kawan baiknya. (Utusan Malaysia, 15 November 2008 ).

Kata Tengku Adnan: ''Ada orang kata dia (Hamzah) kawan baik saya sedangkan bukan dia seorang sahaja yang boleh bertanding.

Dia boleh (bertanding) kerana dia tidak menggunakan hak dia di cawangan dan bahagian yang lama tetapi orang tidak mahu dengar peraturan. Kenapa takut pada bayang-bayang?" soalnya.
Persoalannya, siapa yang mengatakan Tengku Adnan kawan baik dengan Hamzah? Tiada kenyataan dibuat oleh mana-mana pihak pun yang mengatakan mereka berdua kawan baik. Tengku Adnan membuat kenyataan mungkin berdasarkan hearsay sahaja.

Dan memangpun Tengku Adnan perlu menjadi ‘kawan baik’ dengan semua Ketua Bahagian, termasuk Raja Ahmad juga kerana kedudukannya sebagai Setiausaha Agung UMNO.

Dengan ‘menafikan’ bukan kerana kawan baik, Tengku Adnan mengundang persoalan lain yang berbagai dan diperkatakan dalam konteks yang berbagai. Tahulah orang UMNO - yang sejengkal menjadi satu hasta.

Dan siapa pula Tengku Adnan maksudkan dengan “tidak mahu dengar peraturan” dan “takut pada baying-bayang”? Bukankah Raja Ahmad?

2. Tengku Adnan memberikan alasan Hamzah boleh bertanding kerana keputusan tersebut adalah berdasarkan peraturan (Perlembagaan Umno mengikut Fasal 6 iaitu berkaitan tanggungjawab dan hak seseorang ahli)sebagaimana kebenaran diberikan kepada Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir bertanding di Kulim/ Bandar Baharu, Kedah setelah bertukar dari UMNO Bahagian Baling, selain bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Osman Desa juga dibenarkan bertanding di UMNO Bahagian Sik setelah bertukar dari Kepala Batas, Pulau Pinang, manakala Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad dibenarkan bertanding apabila bertukar ke bahagian Parit Sulong, Johor.

Kenyataan Setiausaha Agung itu menarik untuk dibandingkan dengan kes Larut.

a. Kes Kulim/Bandar Baru – Menurut laporan Utusan Malaysia, 11 Ogos 2008, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu selepas menerima pencalonan daripada 72 cawangan UMNO yang bersidang dalam bahagian berkenaan. Abdul Aziz menerima pencalonan selepas abangnya yang juga penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengumumkan tidak mempertahankan jawatan tersebut untuk memberi laluan kepada muka baru. Ini bermakna ada kekosongan.(Abdul Aziz merupakan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil yang kemudiannya tewas bertanding bagi kerusi Parlimen Kulim/Bandar Baharu pada pilihan raya umum lepas);

b. Kes UMNO Bahagian Sik - Menurut laporan Utusan Malaysia, 23 Julai 2008, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman mengumumkan tidak akan mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sik, Kedah yang disandang sejak 20 tahun lalu bagi memberi laluan kepada pemimpin muda dan lebih berwibawa. Ini juga bermakna ada kekosongan.

Utusan Malaysia turut melaporkan, antara calon yang disebut-sebut akan bertanding sebagai Ketua Bahagian UMNO Sik ialah Ketua Pemuda Bahagian tersebut, Mohd. Tajuddin Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek selain bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Osman Desa yang sebelum ini tewas di Parlimen Sik dalam Pilihan Raya Umum ke-12, juga disebut-sebut akan bertanding jawatan tersebut. Pada 9 November lalu Mohd.

Tajudin dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Sik yang baru selepas menewaskan Osman dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 64 undi. Mohd. Tajudin yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO bahagian, meraih 232 undi mengatasi Osman yang hanya mendapat 168 undi, bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Othman yang berundur.

c. Bagaimana pula dengan kes Larut?

Laporan Utusan Malaysia, 16 November 2008 menyebut, calon Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Hamzah Zainuddin berkata pergolakan pada peringkat pemilihan bahagian itu mungkin disebabkan individu tertentu berasa terancam dengan kehadirannya selepas berpindah ke bahagian berkenaan. Sebelum itu melaporkan Hamzah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata beliau tidak berniat mengancam kedudukan mana-mana pihak dan keputusan bertanding Ketua Bahagian Larut adalah permintaan ahli peringkat akar umbi.

“Saya dah jumpa perwakilan cawangan, mereka mahu saya bertanding... 70 peratus daripada cawangan menyokong keputusan berkenaan,” kata Hamzah.

Walaupun alasannya mengatakan ahli Umno bahagian itu mahukan perubahan tetapi ternyata ia tiada kekosongan seperti dua bahagian yang dirujuk oleh Tengku Adnan.

Ternyata kes yang dirujuk oleh Tengku Adnan di Kulim/Bandar Baru dan Sik berdasarkan Fasal 6 Perlembagaan UMNO tidak sama dengan Larut kerana Ketua UMNO Bahagian tidak mengosongkan kerusinya atau bersedia melepaskannya.

Tidak mengapa sekiranya perkara itu masih boleh dipertikaikan.

Tetapi bagaimana dengan kenyataan terbaru Raja Ahmad bahawa beliau mempunyai bukti Ahli Parlimen Larut, sudah menggunakan haknya di bahagian lamanya di Ipoh Barat walaupun beliau menjadi ahli di sebuah cawangan di Bahagian Larut.

Raja Ahmad mendakwa, mengikut Fasal 6.3.8 Perlembagaan Umno, seseorang ahli tidak berhak mengambil bahagian bercakap, mengundi, memilih dan dipilih dalam cawangan atau bahagian baru yang disertainya, jika ahli itu menggunakan hak dalam cawangan atau bahagian asal bagi tahun berkenaan.

Menurut Raja Ahmad: "Umno Bahagian Larut sudah menyerahkan laporan dan bukti mengenai perkara itu kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Umno dalam satu pertemuan pada Selasa lalu (11 November 2008). Kami didapati dia (Hamzah) menggunakan haknya di Ipoh Barat (Bahagian Umno) dan itu yang dipertikaikan.... kita berharap perkara itu akan diselesaikan mengikut Fasal 6.3.8 dan peraturan parti," katanya.

Menurut Raja Ahmad, kerana itulah Umno Bahagian Larut dalam mesyuarat khasnya 2 November 2008 lalu, menolak pencalonan Hamzah untuk bertanding merebut jawatan ketua bahagian atas alasan melanggar peraturan keahlian parti, iaitu mesti mendaftar sebagai ahli cawangan sebelum 1 Disember 2007. Ketua Umno Bahagian Larut, Raja Ahmad Zainuddin, berkata Hamzah yang juga bekas Ketua Umno Ipoh Barat dan Ahli Parlimen Larut hanya menjadi ahli di satu daripada 97 cawangan bahagian Larut, April lalu.

3. Kenyataan mengelirukan –Utusan Malaysia, 10 November 2008 melaporkan, Hamzah membuat pengumuman terbuka dengan mendakwa seramai 74 daripada 97 Ketua UMNO cawangan di bahagian Larut yang mengadakan pertemuan di Bukit Merah mendesak supaya beliau bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian itu.

a. Yang anehnya, menurut laporan sebelum itu, ketika mesyuarat cawangan, Raja Ahmad menerima 28 pencalonan untuk mempertahankan jawatannya manakala pencabarnya, iaitu timbalannya Datuk Mohamad Daud Yusof mendapat 33 pencalonan. Hamzah dikatakan menerima 22 pencalonan. Bahagian berkenaan mempunyai 97 cawangan tetapi pencalonan daripada 14 cawangan telah ditolak kerana mengadakan mesyuarat tanpa pengetahuan bahagian.

Apabila Hamzah mengatakan dia mendapat sokongan 74 cawangan, dari manakah datangnya angka itu? Kalau campur pencalonan untuk Hamzah sebanyak 22 dan mungkin sokongan daripada penyokong Daud sebanyak 33 cawangan, ia hanya menjadi 55 sahaja. Apakah sokongan untuk Raja Ahmad kini tinggal 9 cawangan sahaja selepas 19 cawangan sudah lari kepada Hamzah? Wallahualam!

b. Raja Ahmad mendakwa pertemuan di Bukit Merah yang dianjurkan oleh Hamzah itu sendiri menyalahi etika pemilihan parti yang tidak membenarkan sebarang pertemuan seumpama itu diadakan menjelang pemilihan jawatan. Katanya, ini lebih-lebih lagi Hamzah sebagai Ahli Majlis tertinggi UMNO.


Dalam soal sama ada Hamzah sebagai melanggar etika, hanya Lembaga Disiplin atau Jawatankuasa Pengurusan UMNO sahaja boleh menentukannya.

Apapun dalam konteks Bahagian UMNO Larut ini, ada beberapa kenyataan lain yang bersifat cliché umpamanya oleh Raja Ahmad yang menolak andaian beliau cari pasal kerana gentar hendak berdepan dengan Hamzah dalam pemilihan jawatan itu apabila berkata: “Ini bukan soal pertandingan tetapi soal prinsip melibatkan peraturan parti,”sementara Hamzah pula dengan kenyataannya bahawa beliau setuju untuk bertanding apabila meyakini bahawa majoriti anggota di kawasan Parlimen itu mahukan perubahan dan telah meminta agar beliau bertanding jawatan itu. "Soalnya adakah kemasukan saya ke bahagian Larut dan kemudian bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut mengancam kedudukan sesetengah pihak?," Tanya beliau.

Cuma yang saya tidak faham ialah kenyataan Tengku Adnan bagaikan seorang doktor politik hebat yang mampu merawat insiden pertelagahan dan pergaduhan selain politik wang pada pemilihan bahagian dengan berkata, UMNO sekarang sedang sakit, parti saya sakit. Katanya: ''Saya akan beri dos yang lebih bagi mengubati bahagian-bahagian yang terbabit. Kalau tidak, kita tidak akan berubah. Kalau kita sakit tetapi ubat yang diberikan tidak mengikut sukatan, macam mana hendak sembuh."

Jika saya berjumpa dengan doktor politik yang hebat ini saya akan bertanya, apakah boleh kita tegakkan sifat kita sebagai orang Melayu dan Islam - apabila sudah berjanji untuk tidak ‘langgar’ seseorang (maksudkan bertanding menentang) lebih-lebih lagi janji dibuat di hadapan Presiden UMNO dan Tengku Adnan sendiri - kita sewajarnya patuh kepada janji yang kita lafazkan itu. Jika kita engkar jenis manusia apakah kita ini?

(Dalam kenyataannya sebelum ini, Raja Ahmad berkata, pihaknya sebelum ini ada membangkitkan perkara keahlian Hamzah pada mesyuarat badan perhubungan Umno negeri sebanyak dua kali termasuk yang dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Ipoh, 21 September lalu. "Pada mesyuarat itu, Hamzah memaklumkan beliau tidak berhasrat bertanding jawatan ketua bahagian Larut kepada Pak Lah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor," katanya.)

Dalam UMNO hendaknya jangan ada lagi budaya seperti yang dilakukan oleh seseorang terhadap Tun Ghafar Baba pada awal 1990-an iaitu janji tidak melanggarnya untuk jawatan Timbalan Presiden tetapi kemudian menabur pink form berterbangan di Lautan China Selatan hingga ke Sabah untuk meraih kemenangan.

Akhirnya Tun Ghafar membawa diri dan sehingga menutup matanya pemimpin yang banyak berjasa kepada UMNO itu tidak memaafkan perbuatan orang itu.

Budaya buruk itu sewajarnya sudah dibuang jauh-jauh tetapi mungkin masih ada –bekas murid pemimpin berkenaan - dalam UMNO hari ini yang mahu memulakan semula budaya berkenaan!

No comments:

Post a Comment