Thursday, November 20, 2008

WANITA UMNO – PANAS & BERAPI

Wanita UMNO bukan sekadar sudah pandai baling kerusi pada mesyuarat Wanita Bahagian seperti yang berlaku di Kuala Selangor tetapi pada peringkat nasional sudah pandai memberi amaran dan dedah-mendedah.

Dan terbaru, dalam Wanita UMNO akan berlaku ‘langar-melanggar’ pula apabila Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengatakan beliau akan menentang Tan Sri Rafidah Aziz pada pemilihan Mac nanti.

‘Kak Aishah’ (Tan Sri Aishah Ghani) menyatakan rasa malunya kerana kemelut pelan peralihan kuasa Wanita Umno yang berlarutan hingga menyebabkan Presiden UMNO terpaksa campur tangan untuk menyelesaikannya.

Beliau menyatakan kecewa dengan senario politik pergerakan itu menyifatkan ia makin teruk berikutan sikap degil, ego dan terlalu mementingkan diri di kalangan pemimpin Wanita Umno.

Malah, beliau yang juga bekas Ketua Wanita Umno, berkata sebagai pergerakan yang berusia 59 tahun, seharusnya setiap masalah yang dihadapi diatasi di peringkat dalaman bukan hingga memaksa pemimpin tertinggi parti campur tangan bagi menanganinya.

Itu kata Kak Aishah tetapi wanita sekarang ‘mesti jadi punya’. Puteri UMNO pula ‘asal jadi’. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kalau Puteri UMNO kelak menjadi wanita UMNO (amaran – pertandingan Ketua Puteri membabitkan 7 penjuru - Datuk Shahaniza Samsudin, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datin Ismalina Ismail, Bibi Sharliza Mohd. Khalid, , Azlina Mehtab Mohd. Ishaq, Saarah Ali Bashah dan Ida Rahayu Md. Noor).

Dalam kenyataannya hari ini, Shahrizat menegaskan beliau terpaksa menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding jawatan ketua Wanita Mac depan, sekiranya Rafidah yang juga ahli parlimen Kuala Kangsar itu tetap mahu mempertahankan jawatan tersebut.

Pengumuman Shahrizat itu dianggap menjawab teka-teki selama ini sama ada beliau akan menerima pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut.

Saya sudah meramalkan dalam posting bertajuk “Shahrizat Tetap ‘Langgar’ Rafidah?” pada 11 November 2008 bahawa Shahrizat akan melanggar Rafidah ketika memfokuskan perbincangan kenapa Datuk Kamalia Ibrahim tetap dengan keputusannya bertanding Naib Ketua Wanita.

Malah M Star Online turut meramalkan perkara serupa. Saya menyebut dalam posting itu: “Pada ketika akhbar-akhbar online dan portal berita Malaysiakini melaporkan Mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO semalam sebulat suara bersetuju supaya proses peralihan kuasa kepimpinan pergerakan itu kekal seperti yang dirancangkan pada Jun tahun depan, MStar Online pula pergi jauh sedikit dengan mengatakan kemungkinan akan ada pertandingan dalam pergerakan itu.”

Wanita UMNO dah haru biru apabila ada yang menyokong formula peralihan kuasa cadangan Rafidah dan ada yang menyokong Shahrizat ‘melanggar’ Rafidah.

Kelmarin, Naib Ketua Wanita Umno Perak, Datuk Rusnah Kassim berkata pencalonan yang diberikan Wanita Umno Bahagian kepada Rafidah untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno adalah kerana arahan, bukannya kehendak sebenar ahli akar umbi.

“Kami berhasrat untuk mempunyai ketua pada Mac ini dan bukannya pemangku,” kata Rusnah.

Ini namanya dedah dan amaran pula bagaimana?

Amarannya ialah kata-kata daripada Exco Wanita Umno, Datuk Khamsiyah Yeop bahawa sekiranya Rafidah terus mempertahankan jawatan itu, Wanita Umno tidak ada pilihan selain memilih Shahrizat yang juga telah meraih sokongan sebenar daripada akar umbi.

Tegasnya: “Bagaimanapun kami mahu supaya tiada pertandingan (bagi jawatan ketua pergerakan). Ini sebaik-baiknya dan ini harapan semua orang. Kita mahu jadikan penyerahan dan perubahan kuasa (seperti ini) sebagai warisan seperti yang dibuat oleh Tan Sri Aishah Ghani yang serahkan kuasa kepada Rafidah dulu. Itu yang kita harapkan.”

Jelas Wanita UMNO bukan sahaja ‘panas’ tetapi kini berapi.

Selepas kesemua 191 bahagian Wanita selesai bermesyuarat awal bulan ini, 117 bahagian mencalonkan Rafidah untuk mempertahankan jawatannya manakala 73 lagi mencalonkan Shahrizat untuk jawatan ketua.

Khamsiyah yang Ketua Wanita Umno Bahagian Lenggong menjelaskan bahawa 117 pencalonan yang diterima Rafidah adalah 'sekadar di atas kertas' dan tidak boleh diguna pakai untuk mencerminkan kehendak sebenar anggota pergerakan itu yang mahukan gandingan Shahrizat dan Datuk Kamilia Ibrahim.

Mereka berkata demikian pada satu sidang akhbar di sini bagi mengumumkan bahawa 22 daripada 24 bahagian Wanita Umno di Perak kini mahu agar peralihan kuasa daripada Rafidah kepada Shahrizat dipercepatkan dari Jun ke Mac tahun depan.

Dan hari ini lebih 100 bahagian menyokong Shahrizat bertanding jawatan ketua Wanita Umno Mac ini.

Menurut exco pergerakan itu, Raja Ropiah Raja Abdullah yang juga ketua Wanita Umno bahagian Petaling Jaya Utara, sekurang-kurangnya lima negeri memberi sokongan penuh kepada Shahrizat untuk mencabar penyandang, iaitu Rafidah. Lima negeri tersebut, katanya, ialah Pulau Pinang, Perak, Melaka,Sabah dan Negeri Sembilan.

Raja Ropiah berkata, negeri-negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan - yang sebelum ini merupakan penyokong kuat Rafidah - kini telah mula beralih sokongan kepada Shahrizat.

Alasan utama sebahagian ahli Wanita UMNO mahu Shahrizat bertanding ketua Wanita ialah mereka tidak mahu Shahrizat menjadi pemangku selama tiga tahun.

Ini kerana proses itu tidak akan menguatkan kedudukan Wanita Umno terutamanya untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

No comments:

Post a Comment