Wednesday, August 31, 2016

MUHYIDDIN TALAM DUA MUKA, KREDIBILITI & PEGANGAN MORALNYA SUDAH HANCUR...


Gara-gara menyebut bahawa Datuk Seri Mohd Najib Razak menerima sejumlah RM1 bilion ke dalam akaun bank peribadi lama sebelum pendedahan presiden Umno itu menerima RM2.6 bilion, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibelasah teruk.

Kenyataan Muhyiddin itu dianggap sebagai usaha mengalihkan perhatian umum daripada 'skandal terlarang' yang melibatkannya dengan seorang wanita bernama Nika Gee.

Bukan itu sahaja. Muhyiddin dikatakan bercakap mengenai isu yang tidak lagi penting buat rakyat Malaysia seluruhnya.

Sabtu lalu, Muhyiddin mendakwa Najib sudah menerima sejumlah RM1 bilion ke dalam akaun bank peribadi lama sebelum pendedahan presiden Umno itu menerima RM2.6 bilion.

Muhyiddin, yang juga presiden protem Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata ia bermakna hampir RM4 bilion berada dalam akaun Najib.

Menurut Muhyiddin, bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah menunjukkan bukti padanya bahawa Najib mempunyai wang sebanyak itu dalam akaunnya.

Ahli Parlimen Pagoh yang dipecat daripada Kabinet pada Julai tahun lalu itu sebelum ini mengkritik Najib kerana menerima wang RM2.6 bilion pada ketika Najib dan pemimpin Umno sudah pun ‘jelas’ bahawa  wang itu adalah sumbangan Arab Saudi kepada parti.

Malah, bagi penyokong Najib, ia bukan dana berkait 1MDB seperti didakwa The Wall Street Journal yang memetik dokumen siasatan.

Jika Muhyiddin mengatakan dia hampir  pengsan mengetahui dalam akaun Najib ada RM4 bilion, Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau pula 'akan mati' serta merta sekiranya melihat RM4 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri.
  
"Kenapa dia tak pengsan, kenapa hampir pengsan kalau betul. Dia patut pengsan jika ia betul. Hakikatnya tak betul, itu sebab dia tak pengsan. Sepatutnya dia (Muhyiddin) pengsan bila tengok akaun Najib ada RM4 billion. Bila dia tak pengsan, makna itu tak betul. Kalau saya tengok RM4 bilion, bukan saya pengsan, saya mati terus," katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Muhyiddin kini kehabisan isu menyebabkan beliau terus bercakap mengenai perkara yang tidak lagi penting bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Bekas timbalan perdana menteri itu cuba mewujudkan persepsi yang perkara itu masih berbangkit sebagai cara untuk mengalihkan perhatian rakyat Malaysia daripada hakikat bahawa pembangkang berada dalam keadaan kucar-kacir dan sudah kehilangan banyak sokongan, kata Dr Salleh.

"Bilakah Muhyiddin mahu menerima hakikat bahawa hal berkaitan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan derma dari Timur Tengah telah pun diperjelaskan lebih daripada sekali, dan kini ia merupakan perkara yang sudah pun ditutup?" kata beliau dalam laman blognya sskeruak.blogspot.my.


Pejabat Perdana Menteri pula kelmarin berkata Muhyiddin cuba mengalihkan perhatian umum daripada kes yang melibatkannya dengan seorang wanita bernama Nika Gee dalam dakwaannya terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan keras terhadap bekas timbalan perdana menteri itu, setiausaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sariffuddin turut mempersoalkan kredibiliti Muhyiddin yang menurutnya membawa imej seorang warak sepanjang karier politiknya.

“Kredibiliti dan pegangan moral Tan Sri Muhyiddin sudah hancur. Jelas beliau bercakap sesuatu demi kesesuaian politik tetapi melakukan sebaliknya dalam arena peribadi.

“Begitu juga ketika beliau menyerang perdana menteri dengan tuduhan palsu mengenai rasuah, apabila orang dalam sedia maklum sejarah sebenarnya ketika memangku menteri besar Johor dulu,” katanya, tanpa memberikan butir lanjut.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kes cerai melibatkan bekas pendakwa raya Stanley Clement Augustin dan isterinya Nika Gee Siew Yee.

Stanley dalam akuan bersumpahnya menuduh Nika mengadakan hubungan intim dengan lelaki lain.
Sebelum ini, Muhyiddin menafikan tuduhan mengaitkan beliau dengan Nika, dan mendakwa ia fitnah jahat disebarkan untuk merosakkan integriti beliau.

Muhyiddin menyifatkan tuduhan yang dilemparkan blogger kontroversi, Raja Petra Kamarudin dalam beberapa makalah Malaysia Today sebagai tidak berasas dan berniat jahat.

Bekas Timbalan Presiden Umno itu berkata tuduhan yang mengaitkan beliau pada satu skandal terlarang itu berbaur politik dan fitnah jahat yang disebarkan untuk merosakkan integriti beliau.

Tengku Sariffuddin menjelaskan, dana dalam akaun Perdana Menteri disiasat secara komprehensif, dan pelbagai pihak berkuasa memutuskan tidak berlaku sebarang pelanggaran undang-undang.

Menteri luar Arab Saudi mengesahkan dana dalam akaun perdana menteri adalah sumbangan daripada kerabat diraja Arab Saudi.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sudah pergi ke Arab Saudi dan memeriksa semua dokumen perundangan dan menemu bual wakil penyumbang tersebut,” katanya.

Tengku Sariffuddin menyifatkan Muhyiddin merupakan individu yang kecewa selepas dipergunakan sebagai boneka bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin dikatakan kecewa beliau tidak akan dapat menjadi perdana menteri seperti dijanjikan, kerana cubaan mereka untuk menyingkirkan pemimpin yang dipilih secara demokrasi gagal; dan marah kerana kini hidup sengsara akibat daripada perbuatannya sendiri.

“Ketidaksetiaan dan salah membuat pengiraan oleh Tan Sri Muhyiddin berikutan mahu mencapai cita-citanya itu membawa kepada penamatan kerjayanya secara mengaibkan.

“Beliau kini terdesak – jadi kenapa harus orang percaya dengan apa yang dikatakannya?,” kata Tengku Sariffuddin.

Beliau berkata jelas Muhyiddin ibarat talam dua muka iaitu berbuat sesuatu mengikut kesesuaian politiknya tetapi secara peribadi lain pula halnya.

“Ini jelas apabila beliau menyerang perdana menteri atas dakwaan rasuah, sedangkan semua orang dalam tahu sejarah sebenarnya sebagai menteri besar Johor,” kata Tengku Sariffuddin.

Muhyiddin yang kini menunggu pendaftaran Parti Peribumi Bersatu Malaysia naungan Tun Dr Mahathir Mohamad, ibarat boneka kepada bekas perdana menteri itu.

Apakah benar seperti dikatakan Dr Salleh bahawa jika pembangkang tidak memainkan isu lama yang sama, maka mereka sebenarnya tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diperkatakan?


Juga apakah pembangkang sengaja menimbulkan seperti ini berulang kali seolah-olah tiada apa yang telah dijawab, selain sambil terus berkeras meminta Najib menjawab tuduhan yang dibuat terhadapnya tetapi selepas Perdana Menteri  berbuat demikian, mereka tidak mengendahkannya?

Saturday, August 27, 2016

BERSATU SEDANG BERKEMBANG – JANGAN PERLEKEH, IA BOLEH MENJADI GAGAH...


Jangan pandang sebelah mata kemampuan Parti Pribumi BERSATU Malaysia (BERSATU).

Ini kerana kepimpinan parti itu dikepalai pemimpin-pemimpin berpengaruh dan berpengalaman.

Jangan perkecil kemampuan Tun Dr Mahathir Mohamad pada ketika beliau masih mempunyai pengaruh dan namanya tetap disanjung.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pula  yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, bukan calang-calang pemimpin.

Beliau berpengalaman dan pernah mengalami turun naik dalam parti.

Kesemua pemimpin BERSATU, termasuk Datuk Mukhriz Mahathir serta yang bersimpati dengan gerakan Deklarasii Rakyat dan Kempen Anti-Najib, memang   mempunyai pengaruh tersendiri.

Jangan termakan ‘racun’ yang diletakkan oleh pemimpin UMNO sendiri yang semata-mata mahu ‘mengampu’ Perdana Menteri dan Presiden UMNO dengan mengatakan BERSATU tidak akan ke mana-mana.

Presiden dan Naib-Naib Presiden UMNO jangan terjerat dengan ‘kata-kata pujian’ dan ‘angkat bakul’ di kalangan sesetengah pemimpin UMNO yang hanya mahu menarik perhatian pemimpin atasan mereka.

Sedangkan hakikatnya, UMNO sendiripun kini sukar untuk  membaca sikap ahli-ahlinya sendiri terhadap BERSATU ketika ini.

Jangan berpandu kepada ramainya yang hadir pada mesyuarat Bahagian UMNO atau sambutan terhadap pemimpin tertentu kerana semua tahu ‘kenapa’ dan ‘bagaimana’ kehadiran orang ramai ke perhimpunan-perhimpuan tajaan UMNO di negeri atau bahagian-bahagian di serata pelusuk negara.


Pada ketika kebanyakan pemimpin UMNO memperlekehkan kemungkinan kesan yang akan ditimbulkan oleh beberapa pemimpin veteran UMNO dalam BERSATU, Tengku Razaleigh jelas berpendapat sebaliknya.

Ketua UMNO Gua Musang itu mengingatkan pemimpin UMNO supaya tidak memandang rendah dan mengambil mudah selain memperlekehkan penubuhan BERSATU.

“Ini amaran kepada semua parti terutamanya UMNO. Jangan ambil mudah kerana parti ini (BERSATU) boleh jadi gagah.

Ini semua adalah lawan yang mahu mencabar kedudukan UMNO. Namun, gagah atau tidak, kita tengoklah nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Penutup Kem Kecemerlangan Perdana di Sekolah Menengah (SM) Sains Gua Musang, 25 Ogos lalu.
  
Tengku Razaleigh membuat pendirian ini pada ketika BERSATU menerima kecaman pelbagai pihak apabila parti itu mengumumkan keahliannya hanya dibuka kepada masyarakat bumiputera dan kaum pribumi di Sabah dan Sarawak, Tengku Razaleigh melihat sebaliknya.

Bagi pemimpin dan penyokong BERSATU, mereka mempertahankan parti itu dengan berkata imej sedemikian penting untuknya berdepan dengan UMNO di kubu majoriti Melayu.

Hakikatnya pandangan Tengku Razaleigh ini sudah berubah daripada pendapatnya sebelum ini,  iaitu pada 11 Ogos lalu di mana beliau menjangkakan BERSATU akan berdepan kesukaran untuk bertapak kukuh di negara ini.

Ini kerana menurut beliau, keahlian parti tersebut yang hanya terbuka kepada golongan bumiputera sementara golongan bukan bumiputera hanya boleh mendaftar sebagai ahli bersekutu.


Jelas Tengku Razaleigh, ia mungkin akan menyukarkan parti baharu anjuran bekas Dr Mahathir untuk mendapat sokongan menyeluruh rakyat Malaysia memandangkan hak mengundi atau bertanding mana-mana jawatan dalam parti tidak diberikan kepada ahli bersekutu.

"Lebih-lebih lagi golongan muda sekarang yang lebih terdedah selain berilmu, berpendidikan dan lebih terbuka daripada pemikiran cara lama.

"Jadi bila ahli bersekutu tidak boleh menentu arah tuju parti, nampak susah untuk tarik mereka bersama," katanya selepas melancarkan Pameran Warisan Budaya Artifak Melayu dan China di Muzium Kesenian Asia, Universiti Malaya.


Hari ini, Ketua UMNO Johor Baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad pula  mengingat supaya UMNO tidak harus memandang ringan terhadap penubuhan BERSATU,  sebaliknya perlu mempersiapkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
  
Menurutnya, dalam menghadapi perang PRU, parti ditunjangi orang Melayu itu perlu sedar bahawa parti baharu itu diwujudkan dengan matlamat mahu melihat kekalahan UMNO dan BN.

"Kita juga tidak boleh terlalu yakin terhadap kemenangan kerana perkara ini akan menyebabkan kita kalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang.

Bagaimanapun, Shahrir, yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berkata, berdasarkan pengamatan beliau dan ucapan yang didengarnya, parti baharu itu bukan membawa perjuangan rakyat atau falsafah alternatif.

"Kita (UMNO dan BN) mahu kuasa dan kita yakin kita boleh majukan rakyat tetapi matlamat BERSATU bukan itu. BERSATU kata kalau tidak menang pun tidak mengapa, maknanya, parti itu tidak ada perancangan.

"Jadi, bagaimana BERSATU hendak majukan rakyat dan negara dan ini jelas matlamat parti itu hanya hendak lihat UMNO kalah sahaja," katanya.

Sebelum ini, anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata UMNO mampu menangani sebarang cabaran kerana ia adalah parti yang matang dan berpengalaman luas dalam kepimpinan negara.


Sehubungan itu, beliau yakin UMNO tidak mudah tergugat dengan kemunculan BERSATU  yang disifatkannya sebagai cubaan untuk menggugat kestabilan politik negara.

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata tindakan itu jelas menunjukkan parti pembangkang cuba main buyuk (tipu dalam bahasa tempatan Sabah) untuk menjatuhkan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Apabila tidak dapat jatuhkan presiden, mereka main buyuk dengan melemparkan pelbagai fitnah, tohmahan dan tuduhan. Tidak cukup itu, mereka cari pihak luar untuk mengganggu-gugat kestabilan politik negara kita," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sandakan Ahad lepas.


Di sebalik pandangan ‘orang muda’ itu, Tengku Razaleigh memberi peringatan kepada kepimpinan BN dan UMNO agar tidak mengambil mudah dengan penubuhan parti BERSATU.

Menurut beliau, parti naungan  bekas Perdana Menteri itu tidak boleh dipandang rendah kerana BERSATU dilihat mampu menjadi pencabar UMNO pada PRU14 nanti.

Berikutan itu, ‘bekas musuh ketat politik’ Dr Mahathir itu mengingatkan semua pihak, khususnya UMNO, mereka perlu memandang serius penubuhan parti baru itu kerana ia dianggotai mereka yang berpengaruh serta pernah berada dalam UMNO.

Dr Mahathir dan Muhyiddin yang mengasas parti berkenaan masih berpengaruh, berpengalaman dan kita tidak boleh memandang rendah terhadap mereka," kata Tengku Razaleigh baru-baru ini.

Ahli parlimen Gua Musang bagaimanapun tidak pasti sama ada parti baru itu akan mendapat sokongan rakyat.

"Saya sendiri tidak dapat membuat penilaian mengenai perkara itu kerana ia parti baru tapi yang pasti UMNO perlu memberi perhatian serius," katanya kepada pemberita selepas perasmian penutup Kem Kecemerlangan Perdana Parlimen Gua Musang.
  
Muhyiddin pada 9 Ogos lalu mendaftarkan BERSATU yang menyasarkan untuk bertanding melawan UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

Friday, August 19, 2016

NAFIKAN DANA 1MDB DIGUNAKAN UNTUK 'PARTI SEKS' DICAPRIO


"Apakah dengan berdiam diri itu, PAS merestui dana 1MDB disalahguna sewenang-weanngnya? Apakah bagi PAS adalah HALAL bagi bukan Islam menggunakan wang 1MDB bagi parti seks?"

Pihak yang rimas, tidak selesa atau merasa sangsi dengan kritikan serta pendedahan demi pendedahan media Barat mengenai bagaimana dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digunakan untuk ‘maksiat melampau’,  wajar melakukan penyelidikan dan jangan membiarkan negara dan 1MDB menjadi bahan ‘belasahan’.

Cari jalan untuk menjawab atau nafikan bahawa wang 1MDB tidak terbabit langsung dengan kegiatan mungkar itu.

Bukan sahaja cerita sebegini akan mendatangkan pelbagai spekulasi tetapi ia menjejas dan memalukan rakyat malah imej Malaysia sebagai negara Islam pasti terjejas.

‘Maksiat melampau’ ini tidak ada kena mengena dengan Perdana Menteri, pemimpin UMNO atau kerajaan secara langsung tetapi tempiasnya amat besar.

Apakah rakyat kita begitu  mudah dimanipulasi dan  negara kita begitu terdedah kepada perbuatan bersifat iblis oleh pihak-pihak tertentu menggunakan ‘wang rakyat’ bagi tujuan yang dilarang oleh Islam?

Yang bijak pandai dalam kumpulan tentera siber yang digaji dan mendapat upah daripada parti politik yang menyokong kerajaan, khususnya UMNO atau kerajaan dan ada yang mendapat latihan sehingga ke luar negara,  kenapa berdiam diri?


Nafikan laporan media Barat yang memburukkan 1MDB yang tempiasnya sangat dirasakan oleh negara, apa lagi  pendedahan terbaru The Hollywood Reporter (THR) bertajuk “Leonardo DiCaprio, the Malaysian Money Scandal and His "Unusual" Foundation”.

Ini kerana laporan terbaru THR itu menyebut sebuah penerbitan industri hiburan yang berpangkalan di Amerika Syarikat membuat tuduhan berat bahawa  aset yang dipercayai dicuri daripada firma pelaburan strategik negara Malaysia itu, mungkin ada kait-mengait dengan yayasan kebajikan kepunyaan bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio.

Di sini disebut mungkin dan sudah pasti ada ruang untuk diselidiki dan diperbetulkan laporan itu untuk membersihkan 1MDB.

Menurut THR, “While the complaint does not target DiCaprio — he's referred to twice in the 136-page document and only as "Hollywood Actor 1" — the scandal shines an unfamiliar light on the charitable foundation of the most powerful actor in Hollywood thanks to the way the LDF has benefited directly from DiCaprio's relationship with key figures in the saga.”

Siapa “key figures” berkenaan? 

Laporan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika sudah mendedahkan baru-baru ini nama-mana mereka dan sewajarnya bagi yang bersimpati dengan 1MBD, akan  berusaha membersihkan nama mereka yang disabitkan oleh DOJ itu.

DiCaprio terkenal di seluruh dunia bukan sahaja kerana lakonannya tetapi juga dengan penganjuran parti liar.


Membersihkan 1MDB ini penting bukan sahaja penting untuk ‘membebaskan tempias’ terhadap Perdana Menteri tetapi juga kerajaan, UMNO dan semua pihak yang sering dijadikan bahan belasahan oleh media antarabangsa dan pembangkang di negara ini.

Cara menutup mulut pembangkang ialah menidak atau menyakinkan rakyat bahawa laporan seperrti yang dibuat oleh THR ini BOHONG, BERNIAT JAHAT dan TIDAK BENAR SAMA SEKALI.

Malah, PAS yang terus membisu dan tidak menentang kemungkaran seperti parti seks ini amat pelik.

Sewajarnya PASlah yang melakukan sesuatu bukan sahaja sekadar mendedah dan membongkar keburukan dan kemungkaran daripada kemungkinan akibat menggunakan dana 1MDB ini tetapi menyerang pihak-pihak yang melakukan maksiat ini.

Apakah dengan berdiam diri itu, PAS merestui dana 1MDB – yang ditubuhkan untuk tujuan pembangunan negara – disalahguna sewenang-weanngnya?

Apakah bagi PAS adalah HALAL bagi bukan Islam menggunakan wang 1MDB bagi parti seks seperti ini?
  
‘Dibenarkan oleh PAS’ untuk dibelanjakan untuk tujuan maksiat?

Apakah suara menentang perbuatan menyalahgunakan dana ini diserahkan kepada pihak lain dan PAS mengunci mulut kerana sesuatu sebab untuk tidak ;menyakitkan’ pemimpin UMNO tertentu?

Menurut laporan THR terbaru, wujud parti serba bebas dan liar dipanggil ‘bacchanal’ pada Julai lalu.

‘Bacchanal’  boleh diterjemahkan sebagai "orgies" atau pesta seks berkumpulan dan ia merujuk kepada sambutan kumpulan kultus Bacchus, dewa purba anggur, kegilaan ritual, keghairan agama dan teater.

Mungkin keterlaluan, tetapi ‘bacchanal’ akan membuatkan para isteri pasti tergugat dengan wanita Slavic yang pakaian menjolokkan mata di mana para pasangan secara terbuka bercengkerama di bilik mandi,".

Itu adalah bagaimana THR menghuraikan majlis tahunan Yayasan Kebajikan DiCaprio (LDF) itu, berdasarkan mereka yang pernah menghadirinya.

Sambutan itu terkenal dengan keseronokan hedonistik seperti penggunaan alkohol, dadah, seks, orgies serta kerakusan.

Dan jika laporan oleh penerbitan itu adalah benar, wang yang didakwa dicuri dari 1MDB mungkin didermakan kepada ‘yayasan kebajikan’ itu di dalam salah satu parti liar yang dianjurkan bagi mengutip derma dan menghidangkan makan malam mewah dengan pelayan Slavic yang separuh bogel.

THR emndedahkannya berdasarkan maklumat dalam pemfailan pelucutan aset berkaitan 1MDB yang dibuat oleh DOJ itu.

THR melaporkan pada majlis tahun ini yang diadakan pada 20 Julai lalu di St Tropez, tiket bermula pada harga AS$11,778, dengan DiCaprio menyambut kehadiran kira-kira 500 tetamu parti liarnya.

Bagaimanapun dilaporkan Jho Low, 35, tidak hadir pada pesta seks 20 Julai itu. 

Sunday, August 14, 2016

KEPADA PENYOKONG 4M, KAMU JANGAN MUSNAHKAN UMNO...


Bukan  yang sokong Mukhriz sahaja perlu keluar UMNO, yang sokong Muhyiddin mahupun Dr Mahathir juga perlu keluar UMNO dengan segera.

Juga, yang bersimpati dengan Shafie Afdal  cepat-cepat  lakukan perkara yang sama.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan,  keahlian anggota UMNO Kedah akan gugur serta-merta sekiranya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Perkara tersebut berlandaskan perlembagaan UMNO yang anggota parti itu tidak boleh mempunyai dua keahlian parti yang berbeza. 

Namun sejauh ini UMNO tidak boleh bertindak atau melakukan pengguguran secara automatik dan ia tidak akan berlaku kerana parti yang diasaskan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu belum terdaftar secara rasmi.

Ahmad Bashah....program pemutihan
Malah, sejauh ini tiada ahli parti itu yang didaftarkan secara rasmi sehingga parti berkenaan diluluskan pendaftarannya. 

Ahmad Bashah berkata UMNO Kedah akan melakukan  program pemutihan bagi mengesan sekiranya terdapat anggota parti itu mempunyai dua keahlian selain Umno.

UMNO Negeri lain bagaimana?

Malah, Menteri Besar Kedah itu berkata anggota UMNO yang mempunyai jawatan dalam parti itu tidak kira di peringkat cawangan dan bahagian juga akan dipecat daripada jawatan yang disandang mereka jika didapati melakukan kesalahan itu. 

Jika mereka ada jawatan lain seperti Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) mereka juga akan dilucutkan jawatan berkuat kuasa serta merta.

Hebat penegasan ini. 

Selepas pembersihan ini, agaknya ada berapa ahli UMNO? Masih kekal lebih tiga juta?

Jadi kepada yang ada hati dengan BERSATU atau berhasrat tinggalkan UMNO, buatlah pendirian supaya KAMU semua jangan dicop  sebagai gunting dalam lipatan dan lebih teruk ‘DURI DALAM DAGING’.

Johari...tidak mahu ada ejen parti lain
Rasanya itu adalah langkah terbaik bagi UMNO, jika mengikut pendapat Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharom.

Johari sekadar menyebut Mukhriz tetapi jika hati sudah berubah dan yang berminat dengan parti baru – BERSATU – adalah lebih baik berundur secara sukarela daripada UMNO.

Soalnya, apakah UMNO juga akan memecat mereka yang diketahui menyokong dan bersimpati dengan perjuangan empat tokoh yang dikenali dengan 4M  –  Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir?

Johari menganggap mereka yang menyokong  salah satu ‘M’ itu akan menjadi perosak parti kerana akan menyalurkan pelbagai maklumat sulit berkaitan UMNO.

Mungkin kerana berucap di Kubang Pasu dan di Kedah, beliau hanya menyebut Mukhriz tetapi yang 3M lagi itu juga ada pengikut mereka.

Johari berkata, UMNO tidak mahu mereka terbabit menjadi ejen kepada parti lain yang akan merosak dan memporak-perandakan keharmonian sesama anggota dan kepimpinan parti.

Walau apapun, krisis yang berlaku dalam parti itu tidak mematahkan semangat perjuangan anggota parti yang ditunjangi Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak.

"Kita mesti patuh kepada pemimpin yang dilantik... sama seperti kita mempertahankan Tun Mahathir suatu ketika dahulu ketika UMNO dilanda krisis besar sehingga beliau (Tun M) menjadi perdana menteri selama 30 tahun," katanya.

Anggota UMNO boleh melupakan pemimpin yang lepas (Mukhriz) serta yang lain dan memberi fokus dalam mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Menteri itu mengingatkan, anggota UMNO yang masih berpihak dan menyokong Mukhriz  boleh keluar daripada parti itu kerana hanya merosakkan perpaduan dalam parti, ibarat gunting dalam lipatan.

Adalah tidak wajar mereka kekal dalam UMNO kerana  hanya menyebabkan pecah belah dalam kalangan anggota lain yang taat pada perjuangan parti.

"Sebelum ini ramai yang keluar UMNO apabila menyokong kepimpinan UMNO yang keluar parti dengan menubuhkan parti baru seperti Semangat 46 dan PKR tetapi akhirnya mereka kembali kepada UMNO.

Bukankah mereka ini pernah menjadi pengkhianat dan gunting dalam lipatan?

Kenapa pula mereka diterima malah diberikan jawatan penting dalam kerajaan dan parti?

Apakah kerana mereka sudah insaf atau demi kepentingan pemimpin tertentu?

Muliakah mereka ini berbanding ahli UMNO yang selama ini setia dan kini diminta berundur dari UMNO dan jika degil, mereka akan dipecat?

"UMNO merupakan sebuah parti yang kukuh dan sebagai anggota UMNO kita akan pertahankan kepimpinan kita yang bersilih ganti bagi memastikan parti yang memperjuangkan bangsa Melayu terus utuh pada masa depan," kata Johari.

Beliau menyatakannya  selepas perasmian mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO bahagian Kubang Pasu di Jitra semalam.

Memandangkan  UMNO tidak menghalang anggotanya keluar parti disebabkan rasa simpati terhadap Mukhriz dengan menyokong parti baru yang ditubuhkan Dr Mahathir,  adalah elok ramai-ramai berbuat demikian.

Tanpa mereka pun UMNO akan tetap teguh.

Buang dan halau mereka beramai-ramai kerana sekiranya anggota parti yang menyokong 4M dihalang daripada keluar parti,  mereka ini akan merosakkan UMNO.

Mereka akan membusukkan UMNO memandangkan mereka adalah ‘duri dalam daging’.

Ingatkah atau pernahkah anda membaca novel novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad?

Bahaya duri dalam daging ini umpamanya kisah Lahuma yang  terpijak duri nibung dan melarat kesakitan itu ke seluruh tubuhnya lalu dia meninggal dunia.

Apakah UMNO mahu menjadi Jeha sebagai ibu tunggal menggalas tanggungjawab membesarkan ‘anak-anak’ di samping mengusahakan sawah padi demi mencari sesuap nasi setiap hari.

Kita tidak mahu UMNO menjadi Jeha yang dilanda kurang siuman dek terlalu tertekan dan mula merayau-rayau keliling kampung sehinggalah pada suatu hari dia ke rumah Tok Penghulu dengan berkelakuan tidak sopan, yang menyebabkan dia dikurung di rumahnya di dalam sebuah kurungan,  sebelum dihantar ke rumah sakit jiwa di Tanjung Rambutan oleh Tok Penghulu agar dia kembali sembuh.

Kepada yang masih dalam UMNO dan pada ketika yang sama menyokong perjuangan 4M, keluarlah cepat-cepat dari UMNO supaya parti itu ‘tidak sasau’ seperti Jeha.

Juga, dengan tinggalkan UMNO, KAMU tidak dicop sebagai perosak dan pemusnah UMNO.

Malah dengan keluarnya KAMU, duri sudah dicabut daripada daging dan mudah untuk UMNO diubati.

Lagipun, kalaupun UMNO nak musnah, biarlah orang lain yang musnahkannya, bukan kerana KAMU yang selama ini sayang dan memuja UMNO!!!