Thursday, January 10, 2013

MURAHNYA DENDA SEBAR BERITA PALSU MELALUI SMS, MEDIA SOSIAL

Keratan laman web mendakwa Najib mengalami strok pada 5 Januari lalu.
“Kami mengambil serius perkara ini. Siasatan sedang dijalankan dan seperti biasa kami bekerjasama dengan Polis dan jika didapati melanggar undang-undang, mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang sedia ada.” 
- Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Berbaloikah denda RM50,000 terhadap penyebar berita palsu melalui SMS atau media sosial yang boleh mendatangkan kerosakan kepada ekonomi dan politik negara?

Hukuman terhadap mereka yang melakukan kerja seperti ini sepatutnya amat berat kerana perbuatan menyebarkan berita palsu sedemikian boleh mengganggu gugat keselamatan negara.’

Selain itu, perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini boleh menggugat kesejahteraan masyarakat dan merupakan pengaruh buruk terhadap kedudukan ekonomi masa kini.

Ada pemimpin pembangkang yang turut terpengaruh dengan berita palsu ini apabila meminta penjelasan melalui media sosial.

Tidak tahulah apakah ia benar-benar mahukan maklumat atau sengaja panaskan hati berita palsu berkenaan. Hanya tuan punya diri sahaja yang boleh menjelaskannya seperti mana dia meminta orang yang disebut dalam berita palsu itu menjelaskan kedudukan sebenar.


Laman Malaysia Chronicle pula menyedapkan berita palsu ini dengan mengemukan soalan :”Betul-betul sakit atau helah pesaing Umno memaksanya berhenti?”

Menurut laman itu, “terdapat spekulasi bahawa parti Najib sendiri mahu dia digantikan menjelang pilihanrayaumum ke-13, untuk memberi laluan kepada Muhyiddi Yassin, timbalannya untuk menggantikannnya. Muhyiddin dipercayai telah mendapat sokongan daripada bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, yang masih mempunyai pengaruh besar dalam parti Umno itu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam mengakui kesan buruk yang diakibatkan oleh perbuatan buruk oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Kalau masih ada Akta Keselamatan Dalam Negeri, sewajarnya mereka seperti ini ditahan agar menjadi pengajaran kepada orang lain dan apabila di bawa ke mahkamah, jika didapati bersalah, kenakan hukuman berat dan maksimum.

Perbuatan mencemarkan imej dan menyebabkan keselamatan dan menggugat kesejahteraan negara tidak boleh dikompromi.

Walaupun ada pihak khususnya pembangkang gemar dan merasakan ia sebagai sesuatu yang boleh membantu mereka tetapi percayalah jika mereka ditakdirkan memerintah, merekalah dulu yang bertindak tegas!

Kerajaan wajar meminda Di bawah seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seseorang yang menggunakan internet atau telefon untuk menyebar berita palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Jika didapati bersalah mereka boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Akhir-akhir ini nampaknya penyangak media sosial bagaikan tidak takut malah berani memperlekehkan pihak bekuasa kerana tiada tindakan atau hukuman pengajaran terhadap mereka yang sengaja memainkan sentiment rakyat yang kesannya akan menyebakan negara mengalami kerugian.


Menghairankan pemimpin pembangkang enggan sama-sama pihak berkuasa mengutuk dan menyeru agar mereka yang melakukan perbuatan seperti ini dikenakan tindakan tegas, bukan sekadar denda RM50,000.

Atau apakah mereka tahu dan buat-buat tidak tahu kerana dengan denga yang begitu rendah atau murah, mereka tidak heran kalaupun dikenakan hukuman.

Wajar sekali semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperingatkan orang ramai tentang bahayanya penyebaran berita palsu menerusi internet dan SMS ekoran penyebaran berita palsu mengenai kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini.

“Kami mengambil serius perkara ini. Siasatan sedang dijalankan dan seperti biasa kami bekerjasama dengan Polis dan jika didapati melanggar undang-undang, mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang sedia ada,” kata Dato’ Mohamed Sharil Tarmizi, Pengerusi SKMM.

Blog politik Sarawak Report dalam satu tulisannya pada 5 Januari lalu, mendakwa Najib yang juga presiden Umno diserang "minor stroke".

Tulisan bertarikh 5 Januari itu menimbulkan spekulasi bahawa ia adalah kesan daripada tekanan yang dialami Najib ekoran siri pendedahan oleh ahli perniagaan Deepak Jaikishan melibatkan perdana menteri dan keluarga.

Akhbar The Malay Mail kelmarin memetik kenyataan setiausaha akhbar perdana menteri Datuk Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad bahawa bosnya itu berada dalam keadaan sihat. Malah, Najib juga dilapor hadir dalam perhimpunan mingguan Jabatan Perdana Menteri pagi Isnin.


"Sudah tentu tidak ada apa-apa yang tidak baik dengannya. Perdana menteri kita sihat. "(Dakwaan) ini semuanya mengarut dan saya menggesa umum supaya jangan mendengarnya dan mengabaikan desas-desus ini," kata Tengku Sharifuddin dipetik.

Kelmarin (8 Januari 2013), Perdana Menteri sendiri menyangkal dakwaan kononnya beliau tidak sihat seperti yang dilaporkan dalam beberapa blog di Internet. Ketika berucap pada pelancaran Bon dan Sukuk Yang Diniagakan (ETBS) di Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

Najib menegaskan bahawa beliau sihat dan meminta rakyat Malaysia supaya tidak mendengar khabar angin. "Bursa Malaysia sihat, pasaran bon sihat, pasaran sukuk sihat dan saya juga sihat. Jadi tolong jangan percaya terhadap blog," katanya disambut dengan tepukan hadirin

Yang penting sekarang kita mahu melihat walaupun denda RM50,000 begitu murah berbanding kemusnahan yang dibuat, pihak bertanggungjawab menerbit dan menyebarkan berita palsu ini dihukum sewajarnya. Sekurang-kurangnya ia menjadi pengajaran!

Tuesday, January 8, 2013

SELANGOR LARANG AGAMA BUKAN ISLAM GUNA KALIMAH ALLAH

"Sultan Selangor telah membuat ketetapan dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah ALLAH yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang Iain sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010." 
- Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Misri Idris

Kini seorang Sultan, iaitu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah menyatakan terkejut dan kesal dengan pendirian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang lebih dua minggu lalu meminta agar kerajaan membenarkan kalimah ALLAH digunakan dalam Bible berbahasa Melayu.

Lebih terkejut, tiga ulamak pakatan pembangkang, Hadi, Kit Siang dan Anwar Ibrahim mengatakan Kalimah ALLAH itu boleh digunakan!

Kita tidak tahu selepas ini giliran Sultan yang mana pula akan menyatakan pendirian mengenai perkara ini. Sebagai 'pelindung agama Islam' rasanya Sultan wajar membuat pendirian.

Di pihak pakatan pembangkang, mereka begitu gembiran kerana - Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) - mencapai pendirian bahawa penggunaan kalimah ALLAH boleh digunakan oleh penganut Kristian dengan syarat ia tidak disalahgunakan.

Siapa buat keputusan?  Keputusan pakatan pembangkang itu diumumkan selepas mesyuarat pemimpin tertinggi pakatan pembangkang yang dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. 

Hadi berkata, Pas berpendirian konsisten seperti yang pernah dikeluarkan pada 4 Januari 2010 lalu di mana kalimah ALLAH adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

"Walau bagaimanapun, Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah ALLAH dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran," katanya.

Semalam, di sebalik percanggahan pendapat mengenai isu kalimah ALLAH, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat sepatutnya orang bukan Islam diberi ruang menggunakannya.

Menurutnya, ruang tersebut boleh diberikan namun beliau menegaskan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam adalah berdasarkan ketetapan tertentu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Misri Idris berkata: "Sultan Selangor telah membuat ketetapan dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah ALLAH yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang Iain sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010."

Berikutan kenyataan dan gesaan tersebut, Sultan Selangor telah memanggil satu mesyuarat khas dengan beberapa orang ahli Mais, Mufti Selangor serta pegawai tertìnggi Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor kelmarin

Sultan Selangor juga menitahkan Mais dan Jais untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak sama ada orang bukan Islam atau di kalangan orang Islam sekali pun yang masih mempersoal atau memperlekehkan fatwa yang telah dikeluarkan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada di negeri itu.

Polemik penggunaan kalimah ALLAH timbul kembali apabila Guan Eng dalam perutusan Krismasnya pada 24 Disember lalu meminta kerajaan membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible Bahasa Melayu memandangkan ia telah dibenarkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu dan diguna pakai di Timur Tengah hampir 1,000 tahun lalu.

Menurut Mohd Misri, di Selangor terdapat undang-undang yang telah digubal oleh Dewan Undangan Negeri pada April 1988 dan dikuatkuasakan pada Julai 1988 berkaitan pengawalan penggunaan kalimah ALLAH iaitu Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Enakmen ini telah diwujudkan selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Katanya, Seksyen 9 enakmen berkenaan telah dengan jelas melarang kalimah ALLAH dari digunakan oleh orang bukan Islam di dalam apa-apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka.

Mohd Misri juga berkata Sultan Selangor juga menitahkan agar orang bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan agama Islam bagi mengelakkan permusuhan dan salah faham di kalangan kaum negara ini.

"Selanjutnya DYMM Tuanku menitahkan bahawa mana-mana pihak adalah ditegah dan dilarang sama sekali dari menggunakan atau memperalatkan agam Islam sebagai modal politik mereka kerana ia akan mengakibatkan kemusnahan kepada keamanan yang dikecapi oleh rakyat pelbagai agama di negara ini," kata beliau.

Sunday, January 6, 2013

PRU13 - PENYELARAS ANWAR DITANGKAP TERBABIT GANGGUAN SEKSUAL, RASUAH?


(Dikemaskini 5.00 ptg 6 Dis 2013) Hampir-hampir menyamai BAPA BOREK, ANAK RINTIK!

Tidak kisah kalau laman dan blog propembangkang enggan siarkan berita ini.

Setidak-tidaknya Malaysiakini online memuatkan juga berita mengenai pegawai Anwar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM).

Harapkan Sinar Harian online dan harakahdaily.net, ia bagai berita tidak bernilai. Mungkin nak tunggu pengesahan dulu. Atau tunggu kebenar Anwat kot! Atau tidak mahu membuka aib orang walaupun dalam harakahdaily.net mempunyai banyak laporan yang memfitnah, mencemar imej atau juga mengaibkan orang khususnya pemimpin UMNO dan Barisan Nasional.

Hingga jam 5:03 petang ini, harakahdaily.net tidak menerbitkan sepatah ayat pun mengenai penahanan itu. Pun begitu Sinar Harian online.

Benarlah kata rakan-rakan blogger, apabila kena batang hidung buat-buat tidak tahu dan tidak nampak.

Malaysiakini (yang menerbitkan berita pada pukul 12:55) memetik Mingguan Malaysia menyebut SPRM menahan seorang pembantu kepada timbalan ketua menteri Pulau Pinang berhubung satu dakwaan rasuah.

Pembantu itu dikatakan menyaksikan cubaan untuk menyerahkan rasuah RM30,000 orang seorang individu kepada seorang wanita. Pengarah SPRM Datuk Mustafar Ali mengesahkan kepada akhbar berkenaan bahawa pembantu berkenaan bekerja kepada salah seorang daripada dua timbalan ketua menteri, tetapi tidak menamakan timbalan ketua menteri itu.

Laporan  pula menyebut, jumlah sogokan itu adalah untuk mendorong wanita berkenaan agar menggugurkan satu aduan gangguan seksual ke atas seorang penjawat awam kanan. Penjawat awam tersebut didakwa di mahkamah beberapa bulan lalu.

Susulan itu, penjawat awam berkenaan meminta bantuan daripada pembantu berkenaan yang seterusnnya menghubungi wanita tersebut, menurut laporan itu yang memetik satu sumber.

The Malaysian Insider turut menyiarkan berita ini memetik The Sunday Star dengan memetik laporan, "The woman had lodged a report with the Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) that lay in wait for the transaction to take place in a Seberang Jaya restaurant on January 3, the English-language paper reported, citing an unnamed source close to the investigation. “They were arrested on the spot at about 11.30pm,” the paper quoted the source as saying."

Sementara itu, laporan mStar menyebut, Pegawai  kepada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga koordinator program kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh ditangkap dalam satu serbuan operasi membanteras rasuah.


Lelaki berusia 50-an, dan dua yang lain telah ditangkap kerana didakwa menawarkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa terhadap kes gangguan seksual.

Mereka dikatakan telah memberikan RM30,000 kepada seorang wanita untuk menggugurkan aduan gangguan seksual ke atas wanita tersebut.

Pengarah penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali mengesahkan penangkapan itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Wanita yang merupakan seorang kerani, sebelum ini mengadu bahawa bekas majikannya melakukan gangguan seksual terhadap beliau.

Penjawat awam itu juga telah membawa perkara ini ke mahkamah beberapa bulan lalu. Penjawat awam tersebut kemudian meminta bantuan dari kawannya yang merupakan setiausaha politik.

Satu sumber yang terlibat dengan penyiasatan itu berkata bahawa wanita itu membuat laporan kepada SPRM dan operasi dilakukan pada lewat malam 3 Jan di sebuah restoran di Seberang Jaya.

Pada pertemuan dengan wanita itu, tiga daripada mereka didakwa memberi sejumlah wang supaya beliau berdiam diri.

Wanita itu telah dipaksa untuk menandatangani dokumen yang berjanji untuk tidak meneruskan kes tersebut di mahkamah. "Mereka ditahan di tempat kejadian pada kira-kira 11:30 malam," kata sumber itu.

Kesemua mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin. Pegawai khas tersebut merupakan pemegang jawatan bahagian Permatang Pauh PKR dan kini merupakan penyelaras bagi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketiga-tiga mereka mungkin akan didakwa di mahkamah selepas SPRM selesai melakukan siasatan.

Saturday, January 5, 2013

PRU13 - MICROSOFT EXCEL DIPERSALAH...POOI DIKORBANKAN BAGI PULIHKAN IMEJ DAP

"Mereka (DAP) membuat pindaan mengikut pengauditan dalaman dan luaran. Dia mengakui berkata kesilapan itu disebabkan masalah teknikal apabila keputusan telah dipindahkan menggunakan Microsoft Excel...Kesilapan menyebabkan calon-calon yang meraih kedudukan 31 hingga 38 dan mereka pada kedudukan 61 hingga 68 diberikan bilangan undi yang sama" 
- Pengarah pilihan raya DAP Pooi Weng Keong

Laporan mStar Jumaat 4 Januari 2013 menyebut seorang anggota jawatankuasa penganjuran kongres ke-16 parti DAP berkata keputusan pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) yang diumumkan pada 17 Disember, sepatutnya dikekalkan.

"Tiada siapa yang mempertikaikannya. Saya tidak faham mengapa terdapat keperluan untuk membuat pindaan,'' kata ahli yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Namun pemimpin tertinggi DAP tidak melihat demikian. Yang penting bagi DAP ialah memulihkan imejnya sebagai parti perkauman dan tetap meletakkan orang Melayu di kedudukan yang sepatutnya menurut perkiraan parti itu. Persoalannya, apakah dengan DAP mengakui berlaku kesilapan dalam pengiraan undi dalam pemilihan parti baru-baru ini boleh menghilangkan parut dan calar hasil pemilihan itu?
 
Dalam keputusan yang dipinda, Zairil Khir Johari (gambar kiri) , iaitu Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang pada mulanya berada pada kedudukan 39, kini diisytiharkan menduduki kedudukan 20 dalam CEC

Vincent Wu, yang pada mulanya diumumkan mendapat tempat keenam dengan 1,202 undi, telah jatuh ke tempat ke-26 kerana parti mendakwa beliau sebenarnya hanya meraih 669 undi. Zairil, yang sebelum ini dikatakan mendapat 305 undi, sebenarnya telah mendapat 803 undi, meletakkannya pada kedudukan 20.

Pengarah pilihan raya DAP Pooi Weng Keong berkata mereka membuat pindaan mengikut pengauditan dalaman dan luaran. Dia mengakui berkata kesilapan itu disebabkan masalah teknikal apabila keputusan telah dipindahkan menggunakan Microsoft Excel.

"Kesilapan menyebabkan calon-calon yang meraih kedudukan 31 hingga 38 dan mereka pada kedudukan 61 hingga 68 diberikan bilangan undi yang sama," katanya, sambil menambah Setiausaha Agung Parti, Lim Guan Eng telah dimaklumkan mengenai perkara ini.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, jawatankuasa, semasa mesyuarat malam Khamis telah mengesahkan Zairil dipilih sebagai ahli. Wu telah dilantik sebagai ahli dan dibenarkan kekal sebagai penolong setiausaha penganjur kebangsaan.

Kesan daripada itu Pooi meletakkan jawatan daripada kedudukan beliau sebagai pengarah pilihan raya DAP berikutan kesilapan dalam pengiraan undi dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Pooi juga meletakkan jawatan sebagai ahli jawatankuasa DAP Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata Pooi mengakui kesilapan beliau dan mengaku bertanggungjawab penuh di atas kesilapan yang dilaporkan sehingga menyebabkan calon yang berada pada kedudukan 31 hingga 38 dan mereka pada kedudukan 61 hingga 68 diberikan bilangan undi yang sama.

"Kita perlu memberitahu perkara sebenar. Kita tidak akan hidup dalam pembohongan. Parti tidak akan hidup dalam pembohongan. Ini (keputusan yang diperbetulkan) perlu diperjelaskan.

"Kami telah melantik pasukan audit dalaman yang diketuai oleh Dr Ong Kian Ming dan melantik juruaudit bebas luar untuk mengesahkan keputusan.

DAP mahu sebuah firma perakaunan mengendalikan pilihan raya parti itu pada masa depan untuk mengelakkan sebarang masalah.


Walaupun cuba menutup bangkai gajah, tindakan meminda keputusan pemilihan parti DAP ekoran kesilapan teknikal akibat pengiraan undi menimbulkan kontroversi yang cukup besar. Pelbagai pihak yakin bahawa ia dibuat semata-mata bagi membolehkan orang Melayu tersenarai sebagai CEC  parti itu.

Barisan Nasional (BN) dan pemimpin politik lain agak skeptikal dengan tindakan parti itu membuat pindaan kerana ia berlaku selepas 19 hari keputusan pemilihan CEC diumumkan pada 15 Disember yang memperlihatkan tiada orang Melayu menang dalam pemilihan tersebut.

Bukan itu sahaja, mereka menyatakan bahawa pindaan yang dibuat sengaja memberi peluang kepada Zairil yang merupakan setiausaha politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng – dari kedudukan ke-39 kepada kedudukan ke-20 bagi membolehkan beliau dilantik sebagai anggota CEC yang terakhir.

Vincent Wu yang pada mulanya diisytiharkan sebagai anggota CEC dengan memperoleh 1,200 undi telah jatuh ke tempat ke-26 menurut laporan terbaru yang dikeluarkan oleh DAP.

Pemimpin BN berkata tindakan DAP meminda keputusan pemilihan CEC menunjukkan mereka tertekan dalam usaha membuktikkan parti itu pelbagai kaum.

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan berkata pemilihan Zairil secara kebetulan sebagai anggota CEC ‘terlalu mudah’ untuk diteka .

“Jika DAP melakukan ini bagi menggembirakan orang Melayu, maka mereka benar-benar silap. Orang Melayu akan lebih rasa terhina dengan tindakan sebegini. Parti telah pun menghina komuniti ini apabila tiada undi yang diterima pada keputusan pemilihan terdahulu,” katanya.

DAP mendakwa berlaku kesilapan teknikal dalam jadual pengiraan undi yang telah dibuat.

Presiden Parti Progresif Penduduk, Datuk Seri M. Kayveas yakin tindakan meminda keputusan pemilihan DAP adalah satu tindakan ‘melindungi kepentingan pihak tertentu’. Sudah buat silap, cuba tutup dengan pembohongan. Bagaimanakah anda hendak harapkan mereka untuk mentadbir negara ini dengan betul apabila mereka tidak boleh melaksanakan pemilihan parti dengan mudah?”, katanya.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liat dalam tweetnya mengatakan DAP sering menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan kesilapan teknikal namun pada masa yang sama sistem yang mereka gunakan sendiri lebih teruk macam ‘sampah’ jika hendak dibandingkan dengan SPR.

Pengarah Institut Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam berkata DAP sepatutnya bekerjasama dengan juruaudit antarabangsa yang diiktiraf dan syarikat teknologi maklumat bagi mengesahkan keputusan pemilihan CEC parti itu yang berlaku disebabkan oleh masalah teknikal.

“Kesilapan berkaitan sistem komputer harus dipastikan, kerana orang ramai akan melihatkan sebagai satu percubaan untuk menutup kesalahan orang lain,” katanya sambil menambah bahawa juruaudit dan syarikat teknologi maklumat hanya memerlukan tempoh beberapa hari itu menyelesaikan masalah dan menyediakan laporan mereka.

Ramon berkata DAP sepatutnya membenarkan satu siasatan terbuka dijalankan bagi menunjukkan integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban mereka dalam menghadapi risiko. "Ia bersangkut-paut dengan kepentingan orang awam untuk mengetahui perkara sebenar daripada audit dan syarikat teknologi maklumat yang dihormati di seluruh dunia," katanya.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata mengapa DAP tidak mengumumkan kesilapan dalam keputusan pemilihan CEC parti itu dalam tempoh tiga hari.

“DAP hanya umumkan kesilapan teknikal yang berlaku selepas menerima kritikan ketiadaan orang Melayu memenangi pemilihan CEC parti itu,” katanya.

Sementara itu, bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata ‘ada sesuatu yang tidak kena’ dengan keputusan pemilihan CEC parti itu.

“Hanya apabila terlalu banyak kritikan diterima kerana tiada orang Melayu dipilih dalam CEC, secara ajaibnya keputusan dengan dipinda dengan Zairil berjaya. Ia benar-benar macam tidak percaya dan orang ramai tidak bodoh untuk menilai,” katanya.

Beliau berkata prosedur keseluruhan amat mencurigakan. Tunku Aziz mencabar parti itu membuktikan bahawa tidak ada manipulasi dalam keputusan yang diumumkan itu.

Katanya, DAP telah hilang kredibiliti untuk mengkritik SPR, kerana pada ketika ini mereka sendiri tidak dapat memastikan mereka sebuah parti yang bebas dalam melaksanakan pemilihan CEC parti.

Bekas juruaudit DAP Selangor, Tan Tuan Tat pula hairan dengan tindakan pegawai pilihan raya parti itu, Pooi Weng Keong yang terpaksa meletak jawatan.  “Adakah Pooi dijadikan ‘kambing hitam’?,” soalnya. Beliau berkata wujudnya kurang ketelusan, kecekapan dan kebertanggungjawaban dalam pemilihan DAP baru-baru ini.

Tan berkata DAP harus mengumumkan pembatalan keputusan pemilihan CEC yang tidak sah dan mengadakan satu pemilihan yang baru.

Bagi Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang, Rahmad Ishak pula, tindakan DAP meminda keputsan pemilihan CEC mereka setelah sekiran lama telah menyebabkan ramai ahli-ahli parti itu merungut dan mahu mengambil tindakan undang-undang sebagai jalan penyelesaian

Sumber mStar