Showing posts with label Berita Palsu. Show all posts
Showing posts with label Berita Palsu. Show all posts

Tuesday, November 3, 2015

BERAPA KALI LAGIKAH KERAJAAN MAHU BIARKAN LAPORAN PALSU?


“Kenapa tindakan tegas tidak dikenakan, bukan sahaja menghukum tetapi memberi pengajaran kepada individu dan syarikat yang menerbitkan berita palsu kerana ia   menjejaskan siasatan  dan ‘menutup periok nasi ‘pegawai yang dikaitkan.”

Sekali lagi berita palsu tersebar membabitkan pegawai tinggi kerajaan yang ada kaitan dengan kes penting yang sedang disiasat.

Kali ini dilaporkan ada arahan perpindahan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Shazalee Abdul Khairi diarahkan untuk kembali ke Jabatan Peguam Negara  (AGC)  walaupun tempoh pinjamannya dilanjutkan sehingga 2017.

Laporan yang disifatkan EKSLUSIF oleh portal berita berkenaan semalam sudah pasti mengejutkan semua pihak.


Laporan bertajuk ‘Pemindahan mengejut pendakwa raya’ yang disiarkan pada  2 Nov 2015, 6:45 petang itu menyebut, “Seorang pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) yang terbabit dengan penahanan beberapa saksi penting secara mengejut dipindahkan hari ini. Menurut sumber kepada Malaysiakini, pegawai itu adalah Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Shazalee Abdul Khairi.”

Laporan portal berita itu turut menyebut, pemindahan Ahmad Shazalee secara mengejut itu juga disahkan oleh sumber daripada Jabatan Peguam Negara dan SPRM.

Bagaimanapun, tidak diketahui di mana Ahmad Shazalee melaporkan diri untuk kerjanya hari ini.

Portal berita berkenaan turut melaporkan : “Apa yang menjadi pemindahannya penuh tanda-tanya adalah peminjaman Ahmad Shazalee ke SPRM baru sahaja dilanjutkan pada pertengahan tahun ini dan sepatutnya berkuatkuasa sehingga 2017.”


Bagaimanapun, Peguam Negara Mohamed Tan Sri Apandi Ali pada surat bertarikh 14 Oktober mengarahkan Ahmad Shazalee melaporkan diri pada hari berikutnya. Difahamkan SPRM hanya menerima surat arahan pemindahan itu pada hari Jumaat (30 Oktober) lalu.

Menurut portal berita itu lagi yang memetik sumber yang tidak mahu namanya disiarkan, keputusan Jabatan Peguam Negara itu sebagai 'kerja gila' kerana tidak ada penggantian.

Sumber yang dipetik The Malaysian Insider pula menyebut, Ahmad Shazalee yang ditahan polis kerana didakwa membocorkan maklumat sulit Ogos lalu, dikatakan masih bertugas dengan SPRM, walaupun ada laporan mengatakan beliau dipindahkan secara mengejut ke Pejabat Peguam Negara.

"Beliau tidak menerima sebarang surat pertukaran walaupun beliau dijadualkan akan dinaikkan pangkat. Beliau boleh kekal dalam SPRM selepas proses kenaikan pangkat ini," kata sumber itu kepada The Malaysian Insider sambil menyatakan Shazalee sudah berkhidmat dengan SPRM sejak 7 tahun lepas. 


Pada 1 Ogos, Shazalee merupakan antara tujuh pegawai SPRM yang ditahan polis kerana didakwa membocorkan maklumat sulit berkaitan siasatan ke atas SRC International.

Ia berhubung pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pemindahan seterusnya RM42 juta ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

SRC International adalah bekas anak syarikat milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Ogos lalu, Ahmad Shazalee adalah seorang daripada enam pegawai SPRM yang ditahan polis yang bertanggungjawab menyiasat dakwaan kebocoran maklumat berkaitan siasatan pasukan petugas khas 1MDB.

Polis menyerbu rumah beliau di Persint 11, Putrajaya dan pejabat Badan Operasi Khas SPRM di Presint 3.

Beberapa kotak fail dan komputer riba antara yang dirampas daripada agensi itu.

Jika memang benar laporan ‘ekslusif’  itu TIDAK BENAR atau PALSU, ia sesuatu yang sangat malang kepada jabatan dan agensi kerajaan, selain kepada  Ahmad Shazalee sendiri.

Ini kerana selain perbuatan itu  pastinya akan menjejaskan siasatan ke atas SRC International, ia juga mungkin menjejaskan kenaikan pangkat pegawai berkenaan.

Dilaporkan , laporan media yang tidak disahkan boleh menjejaskan kenaikan pangkat Shazalee ini.

Shazalee adalah satu-satunya timbalan pendakwa raya yang berkhidmat dengan unit operasi khas SPRM ketika ini, yang mengendalikan kes berprofil tinggi, dan terdapat kira-kira 30 timbalan pendakwa raya dipinjamkan ke SPRM dari Jabatan Peguam Negara bagi membantu siasatan dan menjalankan pendakwaan. 

Beliau sudah berkhidmat dengan perkhidmatan kehakiman dan perundangan selama 20 tahun.

Agak aneh dengan laporan ‘ekslusif’ itu apabila tuan badan sendiri - Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) – berkenaan – menegaskan beliau sendiri  tidak mengetahui mengenai arahan perpindahan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) sehingga ia dilaporkan media.

Ahmad Shazalee terkejut mengenai arahan perpindahan secara tiba-tiba itu."Saya juga terkejut. Saya masih datang ke pejabat SPRM, tiada siapa memberitahu saya apa-apa mengenai arahan perpindahan," katanya semalam.

Yang peliknya pula laporan ada menyebut bahawa Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Mohd Shukri Abdul mengesahkan arahan perpindahan itu tetapi berkata beliau tidak pasti tarikh arahan itu berkuatkuasa. Beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali semalam menafikan dakwaan bahawa timbalan pendakwa raya (DPP) di bahagian operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysua (SPRM) dipindahkan.

“Saya sudah semak. Berita kamu berkaitan DPP yang dikatakan dipindah keluar daripada SPRM adalah palsu,” katanya dalam pesananteks kepada Malaysiakini lewat malam semalam.

Tweet Pejabat Peguam Negara (AGC) malam semalam  menyebut:“AGC menjelaskan bahawa tiada arahan pemindahan kepada DPP Shazalee Abdul Khairi keluar daripada SPRM.”

Persoalannya:

1.     Berapa lama lagi pihak berkuasa mahu membiarkan perbuatan menyebarkan berita palsu yang menjejaskan siasatan dan kenaikan pangkat pegawai berterusan?

2.     Kenapa tindakan tegas tidak dikenakan, bukan sahaja menghukum tetapi memberi pengajaran kepada individu dan syarikat yang menerbitkan berita palsu terpaksa menerima hukumannya;

3.     Tindakan tegas sangat wajar apabila berita palsu boleh menjejaskan siasatan sesuatu kes penting seperti dalam isu SRC International ini;

4.     Jika benar laporan sebegini boleh menjejaskan kenaikan pangkat seseorang, tidakkah ini perbuatan ‘menutup periok nasi keluarga pegawai’ berkenaan; dan

5.     Bagi individu yang teranianya sebegini, apakah tidak ada peluang untuk mereka mengambil tindakan, umpamanya saman ganti rugi atau sebagainya?

Kerana itu, Jabatan Peguam Negara, SPRM, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta agensi lain yang berkaitan juga Ahmad Shazalee sendiri boleh menilai opsyen tindakan yang sewajarnya.

Lebih dibimbangi, laporan ini dibuat mungkin dengan sengaja mahu menjejaskan reputasi semua pihak yang ada kaitan dengan siasatan terhadap SRC Internasional.


Mungkin banyak lagi jawapan dan tindakan selepas ini.

Thursday, January 10, 2013

MURAHNYA DENDA SEBAR BERITA PALSU MELALUI SMS, MEDIA SOSIAL

Keratan laman web mendakwa Najib mengalami strok pada 5 Januari lalu.
“Kami mengambil serius perkara ini. Siasatan sedang dijalankan dan seperti biasa kami bekerjasama dengan Polis dan jika didapati melanggar undang-undang, mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang sedia ada.” 
- Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Berbaloikah denda RM50,000 terhadap penyebar berita palsu melalui SMS atau media sosial yang boleh mendatangkan kerosakan kepada ekonomi dan politik negara?

Hukuman terhadap mereka yang melakukan kerja seperti ini sepatutnya amat berat kerana perbuatan menyebarkan berita palsu sedemikian boleh mengganggu gugat keselamatan negara.’

Selain itu, perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini boleh menggugat kesejahteraan masyarakat dan merupakan pengaruh buruk terhadap kedudukan ekonomi masa kini.

Ada pemimpin pembangkang yang turut terpengaruh dengan berita palsu ini apabila meminta penjelasan melalui media sosial.

Tidak tahulah apakah ia benar-benar mahukan maklumat atau sengaja panaskan hati berita palsu berkenaan. Hanya tuan punya diri sahaja yang boleh menjelaskannya seperti mana dia meminta orang yang disebut dalam berita palsu itu menjelaskan kedudukan sebenar.


Laman Malaysia Chronicle pula menyedapkan berita palsu ini dengan mengemukan soalan :”Betul-betul sakit atau helah pesaing Umno memaksanya berhenti?”

Menurut laman itu, “terdapat spekulasi bahawa parti Najib sendiri mahu dia digantikan menjelang pilihanrayaumum ke-13, untuk memberi laluan kepada Muhyiddi Yassin, timbalannya untuk menggantikannnya. Muhyiddin dipercayai telah mendapat sokongan daripada bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, yang masih mempunyai pengaruh besar dalam parti Umno itu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam mengakui kesan buruk yang diakibatkan oleh perbuatan buruk oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Kalau masih ada Akta Keselamatan Dalam Negeri, sewajarnya mereka seperti ini ditahan agar menjadi pengajaran kepada orang lain dan apabila di bawa ke mahkamah, jika didapati bersalah, kenakan hukuman berat dan maksimum.

Perbuatan mencemarkan imej dan menyebabkan keselamatan dan menggugat kesejahteraan negara tidak boleh dikompromi.

Walaupun ada pihak khususnya pembangkang gemar dan merasakan ia sebagai sesuatu yang boleh membantu mereka tetapi percayalah jika mereka ditakdirkan memerintah, merekalah dulu yang bertindak tegas!

Kerajaan wajar meminda Di bawah seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seseorang yang menggunakan internet atau telefon untuk menyebar berita palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Jika didapati bersalah mereka boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Akhir-akhir ini nampaknya penyangak media sosial bagaikan tidak takut malah berani memperlekehkan pihak bekuasa kerana tiada tindakan atau hukuman pengajaran terhadap mereka yang sengaja memainkan sentiment rakyat yang kesannya akan menyebakan negara mengalami kerugian.


Menghairankan pemimpin pembangkang enggan sama-sama pihak berkuasa mengutuk dan menyeru agar mereka yang melakukan perbuatan seperti ini dikenakan tindakan tegas, bukan sekadar denda RM50,000.

Atau apakah mereka tahu dan buat-buat tidak tahu kerana dengan denga yang begitu rendah atau murah, mereka tidak heran kalaupun dikenakan hukuman.

Wajar sekali semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperingatkan orang ramai tentang bahayanya penyebaran berita palsu menerusi internet dan SMS ekoran penyebaran berita palsu mengenai kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini.

“Kami mengambil serius perkara ini. Siasatan sedang dijalankan dan seperti biasa kami bekerjasama dengan Polis dan jika didapati melanggar undang-undang, mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang sedia ada,” kata Dato’ Mohamed Sharil Tarmizi, Pengerusi SKMM.

Blog politik Sarawak Report dalam satu tulisannya pada 5 Januari lalu, mendakwa Najib yang juga presiden Umno diserang "minor stroke".

Tulisan bertarikh 5 Januari itu menimbulkan spekulasi bahawa ia adalah kesan daripada tekanan yang dialami Najib ekoran siri pendedahan oleh ahli perniagaan Deepak Jaikishan melibatkan perdana menteri dan keluarga.

Akhbar The Malay Mail kelmarin memetik kenyataan setiausaha akhbar perdana menteri Datuk Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad bahawa bosnya itu berada dalam keadaan sihat. Malah, Najib juga dilapor hadir dalam perhimpunan mingguan Jabatan Perdana Menteri pagi Isnin.


"Sudah tentu tidak ada apa-apa yang tidak baik dengannya. Perdana menteri kita sihat. "(Dakwaan) ini semuanya mengarut dan saya menggesa umum supaya jangan mendengarnya dan mengabaikan desas-desus ini," kata Tengku Sharifuddin dipetik.

Kelmarin (8 Januari 2013), Perdana Menteri sendiri menyangkal dakwaan kononnya beliau tidak sihat seperti yang dilaporkan dalam beberapa blog di Internet. Ketika berucap pada pelancaran Bon dan Sukuk Yang Diniagakan (ETBS) di Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

Najib menegaskan bahawa beliau sihat dan meminta rakyat Malaysia supaya tidak mendengar khabar angin. "Bursa Malaysia sihat, pasaran bon sihat, pasaran sukuk sihat dan saya juga sihat. Jadi tolong jangan percaya terhadap blog," katanya disambut dengan tepukan hadirin

Yang penting sekarang kita mahu melihat walaupun denda RM50,000 begitu murah berbanding kemusnahan yang dibuat, pihak bertanggungjawab menerbit dan menyebarkan berita palsu ini dihukum sewajarnya. Sekurang-kurangnya ia menjadi pengajaran!