Showing posts with label Kalimah Allah. Show all posts
Showing posts with label Kalimah Allah. Show all posts

Friday, January 31, 2014

BAHAS KALIMAH ALLAH - MASYARAKAT ISLAM, KRISTIAN PERLU FAHAM UNDANG-UNDANG


"Perkara berkaitan agama yang termasuk di bawah bidang kuasa negeri, perlu ditangani dengan paling sensitif agar sebarang tindakan yang diambil, tidak melukai perasaan mana-mana kaum di negara ini. Itulah sebabnya Kabinet menganjurkan penyelesaian 10 Perkara, yang membenarkan orang Kristian menggunakan 'Allah' dalam Bible Bahasa Malaysia. Ia juga membenarkan Bible dalam semua bahasa, bukan setakat diimport ke negara ini, malah dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak."

Bagi memelihara keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat, masyarakat Islam dan Kristian perlu berhenti daripada berbahas tentang isu kalimah Allah.

Ketika menyuarakan saranan itu, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah berkata ini kerana kebanyakan kumpulan Islam dan Kristian tidak memahami atau tidak mahir tentang undang-undang negeri dan persekutuan.

Menurutnya peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan membenarkan orang Islam menyebarkan ajaran agamanya kepada bukan Islam, manakala orang bukan Islam pula dibenarkan menyebarkan agama atau kepercayaannya kepada orang atau pengikut agama lain, kecuali kepada orang Islam.

Beliau berkata Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa setiap individu berhak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agama atau kepercayaan masing-masing.

"Bagaimanapun, Perkara 11 (4) perlembagaan itu menyebut bahawa penyebaran agama orang bukan Islam dalam kalangan orang Islam adalah dilarang. "Ini bermakna, Perkara 11(4) memberi kuasa kepada negeri melalui badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama atau kepercayaan bukan Islam kepada orang Islam," katanya kepada Bernama di Menara Felda di Kuala Lumpur.

Mohd Noor berkata ini bererti sesebuah kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menyekat penyebaran mana-mana agama, akidah, ideologi atau malah kepercayaan yang mengandungi walaupun sedikit ajaran bukan Islam dalam sebarang bentuk.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa Seksyen 9 (1) Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Dalam Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 melarang orang bukan Islam daripada menggunakan dalam penulisan atau ucapan, mana-mana daripada 25 perkataan yang terkandung dalam Bahagian 1 Jadual berkaitan agama bukan Islam.


"Seseorang bukan Islam didapati melakukan kesalahan sekiranya dia menggunakan perkataan Allah dan perkataan Arab lain seperti Firman Allah, Ulama, Hadith, Ibadah, Kaabah, Kadi, Ilahi, Wahyu, Mubaligh, Syariah, Qiblat, Haji, Mufti, Rasul, Iman, Dakwah, Injil, Salat, Khalifah, Wali, Fatwa, Imam, Nabi dan Sheikh," katanya.

Seksyen 9 (2) juga melarang orang bukan Islam daripada menggunakan 10 kalimah berasal daripada agama Islam seperti yang ditetapkan di dalam Bahagian II Jadual berkenaan, termasuk Alhamdulillah, Insya-Allah, Allahu Akbar, Astaghfirullahal Azim dan Masya Allah.

Di samping Seksyen 9, Mohd Noor berkata Enakmen Selangor itu juga mendapati adalah menjadi kesalahan bagi seseorang bukan Islam apabila di: mempengaruhi atau menghasut seseorang Islam supaya menukar agamanya (Seksyen 4); menyebabkan seseorang Islam bawah umur terpengaruh dengan agama bukan Islam (Seksyen 5).

Perbuatan lain yang menjadi kesalahan ialah: mengajak orang Islam mendengar ucapan tentang atau melihat pameran tentang sebarang perkara berkaitan agama bukan Islam (Seksyen 6); mengirim atau menyampaikan sebarang penerbitan berkaitan agama bukan Islam kepada seseorang Islam (Seksyen 7); dan menyebar di tempat awam sebarang penerbitan berkaitan agama bukan Islam kepada orang Islam (Seksyen 8).

Mohd Noor berkata setakat ini, 10 negeri meluluskan enakmen serupa yang mempunyai peruntukan hampir sama, kecuali dari segi hukuman, perkataan dan ungkapan.

Kata beliau Kelantan mengenakan hukuman paling berat, termasuk sebatan mandatori bagi semua kesalahan, manakala Enakmen Negeri Johor pula, walaupun tidak mengandungi sebarang Jadual, tetapi mengenakan larangan menyeluruh tentang penggunaan sebarang kalimah berasal daripada agama Islam.

"Dalam kata-kata lain, secara undang-undang, kalimah dan ungkapan tertentu ini menjadi milik eksklusif agama Islam. Tidak akan menjadi masalah sekiranya kalimah berkenaan tidak langsung digunakan oleh agama lain.

"Enakmen Selangor tidak menyebut tentang kesalahan syariah, tetapi kesalahan sivil, yang bermakna, sesuatu kes itu akan dibicarakan di mahkamah sivil, bukan di mahkamah syariah, yang bidang kuasanya hanya meliputi orang Islam," kata beliau.

Mohd Noor berkata perkara berkaitan agama yang termasuk di bawah bidang kuasa negeri, perlu ditangani dengan paling sensitif agar sebarang tindakan yang diambil, tidak melukai perasaan mana-mana kaum di negara ini.

"Itulah sebabnya Kabinet menganjurkan penyelesaian 10 Perkara, yang membenarkan orang Kristian menggunakan 'Allah' dalam Bible Bahasa Malaysia. Ia juga membenarkan Bible dalam semua bahasa, bukan setakat diimport ke negara ini, malah dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.





Kontroversi berhubung kalimah Allah tercetus daripada keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009, yang mengekalkan hak gereja Katolik dari segi perlembagaan untuk menggunakan perkataan itu dalam seksyen bahasa Malaysia penerbitan majalah mingguannya, 'The Herald'.'


Isu ini timbul semula awal bulan ini apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Bible Society of Malaysia (BSM) dan merampas kira-kira 300 naskhah Bible dalam bahasa Melayu dan Iban serta menahan dua pegawai BSM.

Ketegangan, khususnya antara masyarakat Islam dan Kristian, reda apabila pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Rayuan membuat keputusannya tentang penggunaan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Malaysia, 'The Herald'.

Keputusan itu dilihat sebagai melarang penggunaan kalimah Allah oleh semua orang bukan Islam.

Keputusan mengenai pertikaian undang-undang antara kerajaan dan Gereja Katolik masih tertangguh di Mahkamah Persekutuan, yang mendengar kes itu pada 5 Mac ini.

Sementara itu, Exco Pemua Umno dan cendekiawan Islam Dr Fathul Bari Mat menegaskan bahawa gerakan dakwah atau usaha menyebarkan ajaran Islam perlu mematuhi tiga kriteria iaitu Perlembagaan, hukum Islam dan sensitiviti masyarakat tempatan.

"Walaupun tiada siapa boleh disekat daripada menunaikan hak asasinya, mereka masih mempunyai pilihan. Bagi orang Islam, kami tidak mempunyai pilihan selain daripada menggunakan kalimah Allah, tapi bagi orang Kristian, mereka boleh memilih sama ada menggunakan 'Lord' atau God' atau 'Jesus' bagi merujuk kepada Tuhan mereka.

"Bagaimanapun, dalam kes ini, mereka bertegas untuk menggunakan kalimah Allah, yang telah mengelirukan umat Islam dan menimbulkan suasana sensitif serta tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam," katanya.

Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Agung India yang mengekalkan larangan yang dikenakan kerajaan negeri Gujarat terhadap penyembelihan lembu pada 2005 dan berpendapat rakyat Malaysia juga perlu mengelak daripada melukai perasaan, kepercayaan dan amalan satu sama lain.

Saturday, January 19, 2013

PARTI PAS SUDAH ‘BUSUK DI KEPALA’, HADI & NIK AZIZ PERLU BERTANGGUNGJAWAB!




Pemimpin PAS sering meneriakkan bahawa pemimpin UMNO atau Barisan Nasional (BN) yang berbuat silap khususnya yang menyebabkan maruah parti tercalar perlu meletakkan jawatan.

Itu dalam konteks perkara biasa yang mungkin berkenaan dasar atau disiplin parti yang tidak kena mengena dengan soal akidah atau kesucian agama Islam.

Namun bagaimana dengan keputusan Presiden Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melafazkan sesuatu yang bertentangan dengan dasar dan kehendak PAS sendiri dalam isu Kalimah ALLAH?

Ulasan oleh orang seperti Mohamad Sabu tidak payahlah diambil kisah kerana dia hanya tahu menganjurkan perhimpunan bukan perkara berat seperti ini. 

Tokoh-tokoh agama turut memberikan pandangan supaya isu kalimah Allah tidak lagi dibangkitkan kerana keputusan berkaitan perkara tersebut telah diputuskan sebelum ini.


Bekas Mufti Perlis, Datuk Mat Jahya Hussin menegaskan, orang bukan Islam tidak wajar menggunakan kalimah Allah kerana penggunaannya membawa maksud berbeza. "Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan 2008 telah memutuskan agama lain tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah. Pengertian kalimah Allah bagi umat Islam adalah berbeza dengan Kristian. Hal ini akan membawa rasa tidak selesa kepada umat Islam jika bukan Islam dibenar menggunakannya," katanya.

Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusof Othman berpendapat, isu kalimah Allah perlu dihentikan segera kerana hanya akan menimbulkan kekeliruan makna antara tuhan orang Kristian dan umat Islam.

"Kalimah Allah mempunyai ciri-ciri dan sifat falsafah yang difahami umat Islam. Selain itu, makna Allah dalam kamus-kamus berwibawa juga bermaksud tuhan bagi umat Islam. Penggunaan kalimah ini tidak boleh sewenang-wenangnya dan dipermudahkan. Tidak ada agama yang akan membenarkan agama lain mentafsir agama dia," jelasnya.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Abdul Halim Abd. Kadir turut menentang penggunaan kalimah Allah untuk bukan Islam. "Kita harap mereka dapat faham kerana isu ini adalah sensitif dan akan menimbulkan kebimbangan bagi masyarakat Islam," jelasnya.

Namun apakah Hadi dan Nik Aziz peduli? Keputusan dan ulasan Hadi dan Nik Aziz mengenai Kalimah ALLAH ternyata bertentangan dengan ulasan mufti, cendikiawan Islam dan Syura PAS, namun Hadi tetap membuat pendirian bersama Anwar dan Lim Kit Siang pada 8 Januari.

Selain Nik Aziz yang mengatakan pendirian Hadi sebagai betul dari sudut agama berkenaan isu kalimah Allah ialah bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Dari sudut agama, pandangan Hadi betul. Umat bukan Islam mempunyai hak memanggil Supreme Being sebagai Allah. Orang Yahudi dan Kristian juga boleh menggunakan kalimah Allah,” kata Asri.

Beliau menambah bahawa pandangannya turut disetujui oleh ramai ulama Islam di peringkat antarabangsa seperti Yusuf Qardawi.

Beliau menyifatkan titah Sultan Selangor yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam sebagai ‘urusan pentadbiran’.

Apa sekali pun kini bukan ‘kepala’ parti PAS sahaja yang buruk tetapi keadaan menjadi lebih buruk apabila keputusan Hadi pada 8 Januari 2013 yang disokong regu kuatnya, Nik Aziz kini ‘membakar diri mereka sendiri’ serta parti yang mereka ketuai apabila Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh berharap pendirian PAS berhubung isu kalimah Allah tidak bercanggah dengan pendirian Pakatan Rakyat (PR).

Beliau menyeru Hadi mengkaji semula pendirian Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Karpal juga berharap Abdul Hadi akan menentukan semula pendirian PAS agar selaras dengan keputusan yang telah dicapai Majlis Pakatan Rakyat pada 8 Januari lepas.

Apakah akan jadi selepas ini?

Tidakkah perbuatan Hadi dan Nik Aziz sebelum pusing 360 darjah itu sudah mencemarkan Islam dan terang-terang bersekongkol dengan ‘kepentingan bukan Islam’? 
Parti PAS kini ternyata dipimpin oleh Presiden dan Musyridul Amnya yang sanggup ‘menggadai’ maruah Islam dan parti hanya kerana kuasa dan mahu menjamin PAS berada dalam pakatan pembangkang.

Jika seekor ikan yang buruk di kepalanya, pastinya isi hingga ke ekor buruk juga. Dan begitulah sekarang kongsi Hadi-Nik Aziz ternyata sudah ‘kepala buruk’ dan wajarkah pengikut PAS mahu terpalit sama?

Sudah pasti PKR dan DAP menyambut baik pendirian Pas (pendirian Hadi?) dalam isu penggunaan kalimah ALLAH seperti diputuskan pada 8 Januari lalu.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim : “Kenyataan Pas kita sambut baik dan ia selari dengan pendirian Islam. Oleh demikian, kita tidak halang namun dalam mesyuarat kita suarakan keprihatinan kita supaya tidak ada pihak mempermainkan isu ini. Pihak-pihak gereja juga perlu menghormati prinsip ini sebagaimana orang Islam meletakkan dan memuliakan nama ALLAH.”

Kenyataan ini dibuat sebelum Majlis Syura menyatakan pendiriannya terhadap kenyataan Hadi pada 8 Januari itu.

Isu kalimah ALLAH muncul semula selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam mesej sempena sambutan Hari Krismas tahun lalu mendesak agar kerajaan membenarkan kalimah ALLAH digunakan dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu.

Kenyataan Guan Eng ini mendapat kritikan keras oleh pelbagai pihak terutamanya oleh tokoh-tokoh agama dan kepimpinan Umno.

Namun, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa terjemahan tepat bagi ‘God’ dalam kitab Bible adalah ‘Tuhan’ dalam Bahasa Melayu.

Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid pula menyifatkan tindakan PAS menyokong kalimah Allah s.w.t untuk kegunaan Bible berbahasa Melayu adalah satu langkah seolah-olah sengaja mahu menyekutukan Allah s.w.t. Beliau juga berkata persetujuan PAS membiarkan kesucian kalimah Allah dinukilkan dalam Bible menggantikan perkataan 'God' dalam konsep ketuhanan Kristian, sama seperti PAS redha dan merelakan Allah s.w.t itu bukan lagi Yang Maha Esa.

Katanya, merujuk makna ALLAH sendiri bermaksud Esa iaitu tunggal berbanding ajaran Kristian bahawa Tuhan mereka adalah triniti seperti ayah, ibu dan anak Tuhan.

“Jika perkataan God ditukar menjadi ALLAH, menunjukkan ALLAH terdapat dalam pelbagai bentuk bagi Kristian, sedangkan Tuhan bagi umat Islam hanya satu iaitu, ALLAH.

“Ia dianggap salah dari segi akidah. Malah sejarah penggunaan kalimah ALLAH dalam kitab Bible tidak pernah berlaku,” katanya. Ulasan beliau senada dengan Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman yang turut mengkritik keputusan songsang PAS menyokong tuntutan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung penggunaan kalimah Allah untuk kitab Bible.

Katanya lagi, bagi umat Islam Tuhan hanya satu iaitu Allah s.w.t yang menciptakan alam dan seluruh kejadian di dunia ini, tiada sekutu atau menyerupai makhluk lain.

"Namun, (penganut) Kristian menyebut Allah sebagai Tuhan tetapi mempunyai pelbagai bentuk serta beranak pinak (ayah, ibu dan anak)." Malah beliau juga menyelar tindakan pihak gereja Kristian mahu mencetak Bible dalam Bahasa Melayu dengan menukarkan God kepada kalimah Allah yang dipercayai dilakukan dengan maksud tertentu untuk mempengaruhi generasi muda muslim supaya terkeliru dan menganggap al-Quran dan Bible, tiada perbezaannya.

Mufti Pahang itu melihat penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Melayu dilihat sebagai satu dakyah atau dakwah bukan Islam agar mempengaruhi umat Islam dengan ajaran Kristian.

“Sebelum ini, Majlis Fatwa Pahang telah menentang kalimah ALLAH ditukarkan dalam Bible kerana ia tidak digunakan penganut Kristian namun perkara ini sengaja dibangkitkan sejak beberapa tahun yang lepas. Perkara ini sudah termaktub dalam Fatwa Kebangsaan, pemerintah dan sultan berhak untuk menghalang pihak tertentu untuk menyebarkan ajaran mereka kepada umat Islam,” katanya.

Penggunaan kalimah ALLAH dilihat sebagai perkara baru di negara ini, terutamanya Semenanjung Malaysia berbanding negara Arab, ia merupakan bahasa mereka dan tertulis di dalam al-Quran mengenai perkara tersebut. Bagi umat Islam Tuhan hanya satu iaitu ALLAH (SWT) yang menciptakan alam dan seluruh kejadian di dunia ini, tiada sekutu atau menyerupai makhluk lain.

“Namun, (penganut) Kristian menyebut ALLAH sebagai Tuhan tetapi mempunyai pelbagai bentuk serta beranak pinak (ayah, ibu dan anak). Bukan Islam (Kristian), tuhan mereka adalah ALLAH dan perkataan yang diterjemahkan pada dasarnya mereka tidak menyebut ALLAH tetapi God (Tuhan),” katanya.

Beliau berkata, Bible yang dicetak dalam Bahasa Melayu dengan menukarkan God kepada kalimah ALLAH dibuat dengan agenda tertentu supaya anak muda terkeliru dan dipengaruhi bahawa al-Quran dan Bible, tiada perbezaan.

Abdul Rahman menjelaskan bahawa Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982, iaitu Seksyen 163. Fatwa dan Seksyen 169, penghinaan terhadap pihak berkuasa agama akan diguna pakai sekiranya terdapat pihak tertentu cuba menyebarkan ajaran lain selain Islam kepada umat Islam.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berpen dapat mana-mana pihak selain orang Islam yang berkeras ingin menggunakan kalimah “Allah” perlu memeluk agama Islam.

Ulama yang terkenal dengan sifat tegasnya itu berkata, perkataan Allah itu adalah eksklusif untuk masyarakat Islam dan penganut agama selain Islam tidak seharusnya mempersoalkan perkara itu kerana ia telah dienakmenkan dalam undang-undang negeri di setiap negeri di negara ini.

“Penggunaan kalimah Allah itu telah dienakmenkan setiap negeri ... mereka sengaja mahu melakukan provokasi supaya orang Islam melatah,” tegas Harussani. 

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij), Datuk Noh Gadut  menegaskan penggunaan kalimah ALLAH adalah hak mutlak umat Islam, atas sebab itu, ia tidak boleh digunakan oleh kaum lain. Katanya, bagi penganut agama lain boleh menggunakan perkataan lain selain daripada ALLAH.

“Dia (agama lain) boleh menggunakan kalimah lain iaitu Tuhan dan sebagainya. Itu pegangan kita, sebab itu hak mutlak tentu tidak boleh orang lain gunakan. “Perkara ini nak kaji apa, kerana kajian itu untuk benda yang tidak ada, tidak diisytiharkan dan benda yang tiada hukum, tidak jelas dalam al-Quran. ‘Perkara ini (penggunaan kalimah ALLAH) adalah jelas, terang nak kaji apa?” katanya.

Berikutan teguran-teguran itu, tidak sedikit penyokong dan ahli PAS yang buta hati dan kelam mindanya bangkit merendah-rendahkan kewibawaan mufti dengan pelbagai komen buruk dan sinis.

Pada mereka, sokongan Nik Aziz  terhadap persetujuan PAS dalam isu kalimah Allah adalah tepat dan tiada salahnya. Jika benar martabat para Mufti sebegitu rendah malah lebih rendah daripada Nik Aziz, apa pula komen pengikut taksub PAS terhadap pendirian dua orang ulama PAS yang jelas bertentangan dengan pendapat songsang Nik Aziz?

Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Haron Din misalnya tetap tegas dengan pendirian sesiapa saja umat Islam yang redha ,menyokong tuntutan kalimah Allah s.w.t untuk dicetak dalam Bible boleh ditimpa kekufuran.

Selain Ustaz Haron Din, seorang lagi pemimpin PAS yang juga adalah pendakwah terkenal, Ustaz Ismail Kamus juga mengecam pendirian PAS dalam isu ini. Katanya, penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam tidak sepatutnya dibenarkan kerana tidak sesuai dengan keadaan dan situasi.

"Siapa pun bertanya, jawapan saya tetap sama iaitu kalimah Allah tidak sesuai digunakan orang bukan Islam di negara ini. Kalau dibenarkan, nanti orang keliru. Allah ini Tuhan siapa sebenarnya? Islam atau agama lain?

"Bagi umat Islam, kita perlu pertahankan agama kita. Bagi saya, kerajaan perlu menggunakan kuasa yang ada untuk menghalang penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam daripada berlaku," demikian kata Ustaz Ismail Kamus kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Semua kenyataan di atas merupakan satu tamparan hebat buat PAS khususnya kepada Nik Aziz yang sebelum ini bersungguh mempertahankan kesediaan PAS menyokong tuntutan kalimah Allah dimasukkan dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Jika dikira dari segi ketokohan dan kelayakan pengetahuan agama, siapa Nik Aziz jika dibandingkan dengan para Mufti sekalian yang terbukti memiliki kelayakan dan luas pengetahuan agama Islam di dada mereka. Hatta Ustaz Haron Din dengan Nik Aziz pun ibarat membanding intan berlian dengan kaca, tak begitu?


Jadi, apabila Timbalan Presiden PKR, Azmi Ali kelmarin, yang menegaskan pakatan rakyat mempunyai keputusan sebaliknya daripada ketetapan Majlis Syura dan berpegang kepada kenyataan Presiden PAS itu pada 8 Januari lalu, amat jelas dua pemimpin PAS itu sudah benar-benar terlajak kata.

Benarlah seperti kata Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Nik Aziz ini jenis celupar sehinggakan perkara membabitkan soal Islam pun dia tidak peduli!

Nik Aziz yang terlanjur itu dengan tegas meminta semua pihak termasuk pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menerima keputusan Majlis Syura bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.

Nik Aziz berkata, perkara itu tidak perlu ditimbulkan semula setelah Majlis Syura pada Ahad lalu menetapkan larangan penggunaan kalimah yang eksklusif bagi orang Islam itu diterjemahkan mana-mana kitab agama bukan Islam kerana salah dari segi maknanya.

Nik Aziz adalah penyokong kuat kepada kenyataan Hadi pada 8 Januari 2012 yang mengatakan bahawa 'Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran'.

Pada 11 Januari lalu, beberapa mufti membantah dan tidak bersetuju kalimah ALLAH digunakan orang bukan Islam, termasuk dalam Bible versi Melayu seperti yang dipersetujui Majlis Pakatan Rakyat (PR) 'bahawa penggunaan kalimah ALLAH wajar diberikan untuk semua agama dengan syarat kalimah itu tidak disalahgunakan'.

Malah mereka juga tidak bersetuju dengan kenyataan Hadi kerana ia sudah termaktub dalam perlembagaan di mana agama Islam adalah agama rasmi persekutuan dan kalimah itu adalah hak eksklusif umat Islam.

Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad berkata, negeri itu mewartakan 40 perkataan yang dilarang sama sekali bukan Islam untuk menggunakannya, termasuk kalimah ALLAH. Beliau berkata, perbuatan tersebut akan dikenakan tindakan undang-andang oleh Jabatan Penguat kuasa Negeri bagi menentang penggunaan perkataan itu selain dari orang Islam.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad pula mengingatkan semua pihak di negeri ini tentang kalimah Allah yang eksklusif untuk orang Islam dan tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain.

Menurutnya, sidang Dun Kelantan pada 1 Disember 1981 telah meluluskan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1981 iaitu satu enakmen untuk menjaga kesucian kalimah itu.

Ini belum lagi mengambil kira pandangan daripada kalangan ulamak PAS sendiri yang dianggap oleh Nik Aziz ‘cetek pemikiran mereka berbanding Hadi’.

Kerana itu benar juga kata Bekas Setiausaha Dewan Ulama PAS Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad bahawa Nik Aziz Hadi seharusnya meletak jawatan selepas tindakan mereka mengeluarkan kenyataan berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, mendahului keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS.

Kedua-duanya disifatkan mempunyai ego yang tinggi serta tunjuk pandai berhubung isu tersebut. "Sepatutnya mana-mana pemimpin PAS kena mesyuarat dahulu sebelum keluarkan sebarang kenyataan. Tapi sebab Nik Aziz, Hadi Awang nak tunjuk pandai, maka keluarkan kenyataan yang mendahului Majlis Syura.

Keputusan Majlis Syura didapati bercanggah dengan pendapat mereka sebelum ini yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Malah, bukan sahaja mufti dan ulama yang dianggap proUMNO, malah ulama terkenal yang juga Imam Besar Masjid Saidina Jaafar, Jordan, Syeikh Solah Khalifah Muhammad Khalifah turut menyatakan tafsiran sebenar kalimah ALLAH hanya milik umat Islam yang disebut dengan iman. "...bagi orang bukan Islam penggunaan kalimah ALLAH bukan diiringi dengan makna sebenar-benarnya kalimah ALLAH.

Makna yang sebenar hanya ada pada orang Islam yang beriman terhadap-Nya," kata beliau .

Tambah Imam Besar berkenaan, “semua nabi bila berdakwah kepada kaumnya, memang dia mengajar Tuhan yang satu... tak ada Tuhan yang lain iaitu ALLAH. Persoalannya sekarang nak beriman atau tidak terhadap-Nya?”

Tuesday, January 8, 2013

SELANGOR LARANG AGAMA BUKAN ISLAM GUNA KALIMAH ALLAH

"Sultan Selangor telah membuat ketetapan dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah ALLAH yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang Iain sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010." 
- Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Misri Idris

Kini seorang Sultan, iaitu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah menyatakan terkejut dan kesal dengan pendirian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang lebih dua minggu lalu meminta agar kerajaan membenarkan kalimah ALLAH digunakan dalam Bible berbahasa Melayu.

Lebih terkejut, tiga ulamak pakatan pembangkang, Hadi, Kit Siang dan Anwar Ibrahim mengatakan Kalimah ALLAH itu boleh digunakan!

Kita tidak tahu selepas ini giliran Sultan yang mana pula akan menyatakan pendirian mengenai perkara ini. Sebagai 'pelindung agama Islam' rasanya Sultan wajar membuat pendirian.

Di pihak pakatan pembangkang, mereka begitu gembiran kerana - Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) - mencapai pendirian bahawa penggunaan kalimah ALLAH boleh digunakan oleh penganut Kristian dengan syarat ia tidak disalahgunakan.

Siapa buat keputusan?  Keputusan pakatan pembangkang itu diumumkan selepas mesyuarat pemimpin tertinggi pakatan pembangkang yang dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. 

Hadi berkata, Pas berpendirian konsisten seperti yang pernah dikeluarkan pada 4 Januari 2010 lalu di mana kalimah ALLAH adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

"Walau bagaimanapun, Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah ALLAH dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran," katanya.

Semalam, di sebalik percanggahan pendapat mengenai isu kalimah ALLAH, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat sepatutnya orang bukan Islam diberi ruang menggunakannya.

Menurutnya, ruang tersebut boleh diberikan namun beliau menegaskan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam adalah berdasarkan ketetapan tertentu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Misri Idris berkata: "Sultan Selangor telah membuat ketetapan dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah ALLAH yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang Iain sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010."

Berikutan kenyataan dan gesaan tersebut, Sultan Selangor telah memanggil satu mesyuarat khas dengan beberapa orang ahli Mais, Mufti Selangor serta pegawai tertìnggi Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor kelmarin

Sultan Selangor juga menitahkan Mais dan Jais untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak sama ada orang bukan Islam atau di kalangan orang Islam sekali pun yang masih mempersoal atau memperlekehkan fatwa yang telah dikeluarkan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada di negeri itu.

Polemik penggunaan kalimah ALLAH timbul kembali apabila Guan Eng dalam perutusan Krismasnya pada 24 Disember lalu meminta kerajaan membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible Bahasa Melayu memandangkan ia telah dibenarkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu dan diguna pakai di Timur Tengah hampir 1,000 tahun lalu.

Menurut Mohd Misri, di Selangor terdapat undang-undang yang telah digubal oleh Dewan Undangan Negeri pada April 1988 dan dikuatkuasakan pada Julai 1988 berkaitan pengawalan penggunaan kalimah ALLAH iaitu Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Enakmen ini telah diwujudkan selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Katanya, Seksyen 9 enakmen berkenaan telah dengan jelas melarang kalimah ALLAH dari digunakan oleh orang bukan Islam di dalam apa-apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka.

Mohd Misri juga berkata Sultan Selangor juga menitahkan agar orang bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan agama Islam bagi mengelakkan permusuhan dan salah faham di kalangan kaum negara ini.

"Selanjutnya DYMM Tuanku menitahkan bahawa mana-mana pihak adalah ditegah dan dilarang sama sekali dari menggunakan atau memperalatkan agam Islam sebagai modal politik mereka kerana ia akan mengakibatkan kemusnahan kepada keamanan yang dikecapi oleh rakyat pelbagai agama di negara ini," kata beliau.