Monday, September 12, 2011

KENAPA POLIS LENGAH-LENGAHKAN TINDAKAN LAPORAN PALSU ANWAR?


Sudah dua minggu kita dibuai dengan isu komunis dan Mat Sabu.

Mat Sabu, Mat Sabu juga. Namun jangan pula lupa ada seorang lagi yang lebih memerlukan perhatian polis iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim .

Jangan kerana kebijaksanaan pembangkang memainkan isu komunis, kita lupa terus kepada pembohongan yang dilakukan Ketua Pembangkang itu.

Benar kata Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong bahawa pihak polis jangan tunggu kes liwat membabitkan Anwar selesai di mahkamah sebelum menyiasat sama ada Ketua Pembangkang itu telah membuat laporan palsu bagi menafikan beliau adalah pelaku dalam video aksi seks yang tersebar pada Mac lalu.

Ini kerana kes liwat kedua Anwar itu dan isu video seks yang dikatakan membabitkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu adalah dua perkara yang berbeza.

Memang benar sekali isu video seks tiada kena-mengena dengan kes liwat.

Semua pihak mengharapkan siasatan dibuat secepat mungkin kerana tanpa tindakan tegas, masyarakat akan tertanya-tanya apakah polis pilih kasih. Selain itu, jika siasatan tidak dibuat akan mencerminkan bahawa polis menggalakkan masyarakat membuat laporan palsu untuk mengaburi pandangan orang ramai atau demi kepentingan politik.

Bukan Choo Keong sahaja mahukan siasatan segera tetapi banyak pihak sudah menyuarakan sentiment itu.

Desakan demi desakan dibuat oleh banyak pihak supaya polis segera mengambil tindakan terhadap Anwar berikutan laporan palsu yang dikatakan dibuatnya berhubung isu video aksi seks yang dikaitkan dengannya.

Puteri UMNO minggu lalu membuat laporan polis terhadap tindakan Anwar membuat laporan palsu bagi menafikan penglibatannya dalam video seks yang didedahkan trio Datuk T.

Ini kerana pihak polis berdasarkan bantuan pakar sebelum ini mengesahkan bahawa video seks tersebut adalah 99.9 peratus tulen.

Yang penting, siasatan terhadap kes itu bukan sahaja dapat dijadikan contoh kepada orang ramai untuk tidak sewenang-wenangnya membuat laporan palsu kepada polis tetapi mengesahkan bahawa Anwar ialah pelakuknya.

Tidak adil jika apabila kes membabitkan orang ternama dan terkenal siasatan dilakukan secara sambil lewa sahaja.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali sekali lagi mendesak supaya pihak polis bertindak terhadap Anwar kerana melakukan laporan palsu itu.

"Sudah banyak kali kita mendesak supaya pihak berkaitan mengambil tindakan terhadap Anwar kerana telah dibuktikan bahawa video itu adalah tulen, " katanya.


Malah Peguam Negara juga diminta bertindak kerana perlakuan Anwar itu adalah salah di sisi undang-undang.

Choo Keong sebelum ini sudah membuat desakan di Parlimen bahawa jika video itu direka, bukan tulen maka memang ada konspirasi, tapi polis sendiri mengatakan ia tulen.

Jadi bagaimana sekarang?

Yang sah, laporan polis oleh Anwar adalah palsu. Polis sendiri mengakuinya. Persoalannya, bagaimana polis boleh melengah-lengahkan kes ini?

FATWA NIK AZIZ SEMAKIN JELAK & MENGELIRUKAN...

"Kita berjuang untuk agama bangsa dan negara. Jangan jadi angkuh kerana ingat kita seorang saja yang berjuang untuk Islam. Kita kena terima hakikat bahawa setiap orang menyumbang kepada Islam dan negara melalui cara masing-masing. Cuma, tidak semua perjuangan itu ada sama kaedahnya," - Mustapa Mohamed


http://kijang-jantan.blogspot.com/

Kalau ia pun ‘berfatwa ala PAS’, biarlah berpada-pada.

Nanti bukan orang Islam yang rasa pelik dan jelak tetapi orang bukan Islam turut tergelak.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Jumaat lalu menyifatkan usaha UMNO Kelantan untuk menawan negeri ini daripada PAS tidak akan mendapat balasan yang baik di akhirat.

Sebabnya? Kata Nik Aziz, ini kerana ia tidak selari dengan kehendak Islam.

Nik Aziz yang nampak bimbang dengan perkembangan UMNO di Kelantan berkata UMNO boleh meletakkan apa sahaja sasaran kerusi untuk dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tetapi usaha mereka itu tidak berfaedah di mata agama.

Malah beliau yang juga Mursyidul Am PAS secara sinis berkata, jika UMNO yakin boleh menang 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mendapat kerusi majoriti di Kelantan, maka PAS pula akan menang 60 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan bersama pakatan pembangkang di peringkat pusat.

“Kita hendak menang Parlimen 60 kerusi, (segala usaha) langsung tidak ada faedah untuk akhirat melainkan dengan Islam, UMNO kena faham duduk atas dunia ini bukan manusia buat, tapi Allah Taala buat.

“Allah Taala menetapkan bahawa hujung dunia ini ada pembalasan di akhirat, syurga dan neraka, yang kena dengan kehendak al-Quran dapat syurga, yang tidak kena neraka, orang Arab pun kalau tidak kena dengan al-Quran akan masuk neraka, inikan pula orang Melayu,” kata Nik Aziz.

Berikutan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam mengingatkan PAS jangan mudah memperkecilkan sumbangan UMNO terhadap agama, bangsa dan negara sejak 54 tahun negara merdeka.

Beliau berkata, banyak perubahan sudah dialami negara hasil sumbangan UMNO bersama Barisan Nasional (BN) dalam memartabatkan Islam serta rakyatnya di mata dunia.

UMNO ingin memenangi Kelantan demi menguruskan negeri itu ke arah yang lebih baik dan menyerahkan kepada rakyat Kelantan yang menilai prestasi UMNO dan menentukannya dalam pilihan raya umum nanti.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menasihati Nik Aziz agar tidak mudah menjadi angkuh dengan memperlekehkan sumbangan dan perjuangan UMNO terhadap Islam.

"Kita berjuang untuk agama bangsa dan negara. Jangan jadi angkuh kerana ingat kita seorang saja yang berjuang untuk Islam. Kita kena terima hakikat bahawa setiap orang menyumbang kepada Islam dan negara melalui cara masing-masing. Cuma, tidak semua perjuangan itu ada sama kaedahnya," katanya di Kota Bharu, semalam.

Adalah lebih wajar PAS melihat sumbangan UMNO daripada aspek memartabatkan Islam melalui pembangunan dan kemajuan pengetahuan rakyat di negara ini.

"Kalau dulu sebelum merdeka orang Melayu terkenal dengan sifat malunya. Tetapi setelah 54 tahun merdeka, Melayu sudah berubah dengan membawa pelbagai perubahan dan kemajuan. Semua ini terima kasih atas sumbangan pemimpin Umno terdahulu dalam menubuhkan pelbagai dasar seperti Dasar Ekonomi Baru, Majlis Amanah Rakyat serta universiti untuk kemajuan rakyat khususnya umat Islam," katanya.

Kelmarin, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa secara sinis mempersoal sejak bila Nik Aziz 'menerima wahyu' sehingga Mursyidul Am PAS itu boleh mengeluarkan 'fatwa' bahawa usaha UMNO untuk menawan Kelantan tidak akan mendapat balasan baik di akhirat kelak.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, jika benar Nik Aziz dimuliakan sehingga melayakkan beliau menjadi orang Melayu pertama 'menerima wahyu' daripada Allah, Mursyidul Am PAS itu perlu menjelaskan kepada seluruh rakyat negara ini nama malaikat yang ditugas untuk menjalankan amanah tersebut.

“Pada Nik Abdul Aziz, semua yang berkait dengan UMNO berdosa. Apa yang tidak berdosa pada pemikiran beliau hanya bersubahat dengan DAP walaupun akhirnya yang menjadi mangsa adalah orang Melayu beragama Islam," katanya.

Ibrahim tidak sedikit pun setuju dan percaya dengan 'fatwa' karut Mursyidul Am PAS itu kerana yakin jika UMNO berjaya menawan kembali Kelantan yang sudah diperintah selama 21 tahun oleh PAS, rakyat negeri itu akan menikmati kehidupan lebih senang.

JIka Barisan Nasional menang, rakyat Kelantan tidak lagi akan dibelenggu dengan masalah air iaitu salah satu keperluan asas yang tidak mampu disediakan oleh Kerajaan PAS Kelantan walaupun sudah lebih dua dekad memerintah kerana pemimpinnya lebih sibuk berceramah berbanding memikirkan cara menyelesaikan masalah rakyat.

Bagi Ibrahim, pemimpin PAS Kelantan yang diketuai Nik Abdul Aziz langsung tiada inovasi dalam pentadbiran meskipun untuk menyelesai masalah yang paling asas.

Air bersih adalah keperluan asas, tapi apa yang PAS buat selePAS 21 tahun?

Mereka hanya pandai menuduh dan memburukkan orang lain dalam ceramah sahaja!

Thursday, September 8, 2011

SUDAHLAH AZEEZ, KAU MEMANG GILA PUBLISITI...

Kalau tidak mahu publisiti pergilah senyap-senyap. Kalau dah satu Malaya tahu misi ini melalui publisiti awal, amat jelas AZEEZ yang memang gila publisiti mahukan publisiti. Apakah kalau AZEEZ keluar negara, media antarabangsa akan membuat liputan untuk beliau? Hanya kerana ada wartawan kita mati, ada liputan. Ia kerana ada kematian bukan kerana AZEEZ.

Membaca temubual Ketua Kelab Putera 1Malaysia Datuk AZEEZ Abdul Rahim seperti disiarkan Agenda Daily mengejut, MENYAMPAH dan menaikkan darah!

Bukan kerana cerita AZEEZ mengenai misinya itu tetapi kenyataannya mengatakan “Wartawan kami tidak pernah paksa, kami hantar surat, hendak ikut, ikut, tidak mahu ikut tak apa, wartawan ikut boleh jual surat khabar, untung, kami tidak dapat apa, itu pun NST tak ikut, The Star tak ikut, Sinar Harian tak ikut, kami tak marah. Kita tak suruh bayar apa-apa, apa yang kami makan itulah yang kamu makan...

Malah lebih jauh AZEEZ berkata: “Untung siapa? Rakyat Malaysia yang 28 juta jiwa ini, ke mana sahaja pergi, orang kata you Malaysian, you came and help in Gaza, in Pakistan, you go to Somali, bukan Azeez dapat nama, semua rakyat Malaysia dapat manafaat. Apa yang selalu kita minta dari rakyat Malaysia? Berulang kali kita minta, tolong doakan pemergian kami, tanpa kira agama, fahaman, kaum, semua kita ketepikan atas nama semangat 1Malaysia...

Waktu saya menjadi wartawan dan Pengarang Meja Luar Negara Berita Harian antara 1983 -1994, seingat saya ketika itu tidak ada misi seperti dianjurkan NGO seperti Kelab Putera 1Malaysia ini.
Ketika itu, wartawan yang dihantar meliputi misi di luar negara bukan dipilih oleh NGO tetapi oleh Ketua Pengarang atau Pengarang Berita.

Pemergian kami secara senyap-senyap dan dipilih oleh akhbar tempat kami dan begitu juga rakan-rakan lain. Cuma misi ke Bosnia-Herzegovina yang ditaja kerajaan sahaja, kumpulan wartawan dibawa secara berkumpulan.

Tidak pernah ada insurans ketika itu sama ada berkelompok atau persendirian seperti diperkatakan oleh AZEEZ. Kami pergi tanpa ada sebarang perlindungan. Kalau mati, mati kataklah kami!.

Seingat saya, saudara Ahmad Puad Onah ke Kuwait selepas penaklukan Sadam Hussein tanpa sebarang insurans, Roslan Abdul Hamid ke Afrika Selatan meliputi pilihan raya, Shaharuddin Latiff ke Tripoli selepas sahaja Libya dikenakan sekatan dan saya juga ke Libya ketika sekatan Amerika Syarikat serta ke kem pelarian Rohingya di sempadan Burma – Bangladesh pun tidak ada insurans.

Saya terpaksa membayar harga yang tinggi menggunakan dolar Amerika mengupah beberapa pihak di Cox’s Bazaar untuk melindungi saya ketika dalam kem pelarian Rohingya bimbang tentera Burma yang menyamar mengganggu tugas saya membuat liputan untuk Berita Harian.

Niat kami sama sekali bukan untuk menjual akhbar atau mendapat untung untuk syarikat kami bekerja.

Persoalannya apakah jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang terkorban ketika menyertai misi kemanusiaan di Somalia, Jumaat lepas itu bekerja untuk akhbar? Bernama mana ada akhbar. Ia agensi berita yang mengharapkan akhbar menggunakan beritanya. Begitu juga ntv7.

Bagi saya kenyataan AZEEZ itu benar-benar mengguris hati dan kalaulah saya berada di tempat wartawan yang mengikuti AZEEZ itu, saya akan marah!

Saya perturunkan sekali lagi apa komen AZEEZ: “Wartawan kami tidak pernah paksa, kami hantar surat, hendak ikut, ikut, tidak mahu ikut tak apa, wartawan ikut boleh jual surat khabar, untung, kami tidak dapat apa, itu pun NST tak ikut, The Star tak ikut, Sinar Harian tak ikut, kami tak marah. Kita tak suruh bayar apa-apa, apa yang kami makan itulah yang kamu makan...

Soal Malaysia terkenal di mata dunia bukan sekarang. AZEEZ lupa bahawa diplomasi Malaysia sudah bermula sejak awal tahun 1980an hinggalah akhir 1990an.

Saya ingat dengan jelas perkembangan dasar luar Malaysia sejak ketika Ghazali Shafie, Tengku Ahmad Rithaudeen, Rais Yatim, Abu Hassan Omar dan Abdullah Ahmad Badawi menjadi Menteri Luar. Dan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamadlah dasar luar Malaysia berkembang pesat!

Kita dikenali kerana misi kemanusiaan, menyokong perjuangan pembebasan dan banyak lagi seperti mana peranan kita dalam kemerdekaan Afrika Selatan, Bosnia-Herzegovina, isu Antartika, G-15, Apec dan banyak lagi yang ketika itu AZEEZ mungkin sibuk dengan halnya sendiri.

Persoalannya apakah tujuan AZEEZ ajak wartawan ke Somalia?

Malah AZEEZ mengatakan yang tidak mahu ikut beliau tidak marah. Kenapa pula dia nak marah?

Lagipun kalau tidak mahu publisiti pergilah senyap-senyap. Kalau dah satu Malaya tahu misi ini melalui publisiti awal, amat jelas AZEEZ yang memang gila publisiti mahukan publisiti.

Apakah kalau AZEEZ keluar negara, media antarabangsa akan membuat liputan untuk beliau? Hanya kerana ada wartawan kita mati, ada liputan. Ia kerana ada kematian bukan kerana AZEEZ.

AZEEZ mengemukakan kenyataan bodoh apabila mengatakan ‘kami tidak dapat apa...” Apakah wartawan sekarang pelahap ke luar negeri pada pandangan AZEEZ?

Sudahlah AZEEZ, kalau pun mahu pertahankan tindakan, jangan katakan anda tidak mahu publisiti.

Semua orang tahu anda seorang yang gila publisiti!

Wednesday, September 7, 2011

MERDEKA - SUMBANGAN UMNO TERSANGAT BESAR...

Pada Persidangan Agung UMNO 25 dan 26 Mac 1951 di Kuala Lumpur, wakil Pemuda UMNO, Encik Abdul Samad Idris (Allahyarham Tan Sri) dari Kuala Pilah dengan semangat yang membakar dan berkobar-kobar membentangkan usul Pemuda UMNO menukar slogan perjuangan UMNO dari 'Hidup Melayu' kepada 'Merdeka' untuk diluluskan oleh badan induk UMNO.

Ulasan pemimpin PAS mengenai kemerdekaan menggambarkan seolah-olah rakyat Malaysia dan penyokong UMNO buta sejarah.

Tidak siapa pun yang menolak sejarah bahawa pemimpin lain, selain UMNO turut memperjuangkan kemerdekaan.

Namun, perjuangan UMNO tetap utuh dan perlu disanjung. PAS yang lahir selepas kewujudan UMNO pada hakikatnya tidak layak bercakap mengenai kemerdekaan!

Semalam, PAS mula menerima hakikat bahawa UMNO memang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Berbeza dengan kenyataan kontroversi Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu sebelum ini, Setiausaha Agung parti itu Datuk Mustafa Ali memberitahu sidang akhbar di ibu pejabat Pas di ibu negara bahawa parti itu tidak menafikan bahawa Umno memperjuangkan kemerdekaan.

Mustafa berkata, terdapat dua kaedah perjuangan menuntut kemerdekaan iaitu secara konfrontasi menolak British dan cara 'peaceful cooperation' (kerjasama damai) yang dilakukan oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Datuk Onn Jaafar.

"Kita nak sebut perjuangan (kemerdekaan) tak bermula dengan penubuhan UMNO. PAS juga menolak ideologi dan menolak perjuangan komunis. Perjuangan sudah mula lama sejak Datuk Maharajalela di Perak, Datuk Bahaman (Pahang), Dol Said (Melaka dan Negeri Sembilan), Tok Janggut (Kelantan), dan banyak lagi lain, menentang penjajahan Inggeris," katanya.

Dalam buku saya ‘Putera Mahkota UMNO’ (1995) yang asalnya berdasarkan sebuah tesis untuk ijazah sarjana M. Soc. Sc. (USM, 1982) dengan jelas menyebut bahawa perjuangan kemerdekaan lebih dahulu diperjuangkan oleh kumpulan lain sebelum UMNO.

Cuma yang dipertikaikan kini ialah kenyataan Mat Sabu mengagungkan komunis berbanding perjuang di Bukit Kepong.

Mat Sabu di Tasek Gelugor 21 Ogos lepas yang antara lain dipetik sebagai berkata bahawa Kompeni Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang Bukit Kepong sehingga mengorbankan 25 perajurit dan keluarga mereka pada 1950 sebagai wira atas alasan mangsa yang terkorban adalah polis penjajah British.

Dalam Bab Ketiga buku saya bertajuk ‘Merdeka – Slogan Tidak Ternilai’ dengan jelas saya menyebut bahawa kemerdekaan membebaskan tanah air dariapada cengkaman penjajah mucul sejak awal kurun kedua puluh lagi.

Al-Imam, majalah bulanan bertulisan jawi yang diterbitkan di Singapura berusia lebih kurang dua tahun setengah, iaitu sehingga 1908, dipimpin oleh Sheikh Mohd Tahir Jalaluddin, Sayid Sheikh Ahmad Al-Hadi, Haji Abas Mohd Taha dan Sheikh Mohd Salim Al-Kalali, walaupun membincangkan soal bahasa dan ekonomi Melayu, menyebut beberapa faktor utama kemunduran orang Melayu adalah kerana sikap mereka sendiri.

Namun ketika pendudukan Jepun, suasana ketika itu memberikan kesan yang mendalam dari aspek nasionalisme Melayu dan gerakan kemerdekaan di Indonesia turut mempengaruhi semangat nasionalisme di kalangan orang Melayu.

Golongan yang paling menonjol dan mendapat galakan Jepun dalam soal politik ialah kumpulan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada bulan Mei 1937.

KMM lahir daripada usaha pelajar-pelajar di Maktab Perguruan Sultan Idris yang bergerak secara sulit, pada mulanya terdapat tiga kumpulan radikal yang berpecah, Sebelum terbentuknya KMM kumpulan ini berpadu dulu dalam Belia Malaya, bagaimanapun terpaksa dibubarkan kerana pemimpin-pemimpinnya keluar dari maktab.

Bila tugas ini disambung oleh Ibrahim Yaakub, terbentuklah KMM yang dikatakan bersifat sosialistik, anti kolonial, anti feudal dan bercita-cita untuk bersatu dengan Indonesia. Jepun menggalakkan kumpulan ini kerana ia bersikap anti-British.

Walaupun KMM terpaksa dibubarkan kerana kehendak Jepun juga namun pergerakannya tetap tidak berubah di segi matlamat perjuangan dengan nama baru iaitu Pembela Tanah Air atau PETA yang kemudiannya bertukar pula menjadi Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS). KMM pimpinan Ibrahim Yaakub menjadi penting kerana adanya perjumpaan dengan pemimpin Indonesia, Sukarno dan Hatta pada bulan Ogos 1945 untuk mengistiharkan kemerdekaan serentak dengan Indonesia.

Bagaimanapun bila Jepun menyerah kalah, Indonesia telah mengistiharkan kemerdekaannya dan Sukarno seolah-olah "terlupa" janji-janjinya dengan KMM, bila Tanah Melayu telah dilupakan untuk sama-sama diistiharkan merdeka.

Soal kemerdekaan ini tiba-tiba menjadi isu besar dalam UMNO dan menyeluruh di kalangan masyarakat Melayu apabila pada tahun 1951 UMNO Bahagian Kuala Pilah mendesak supaya slogan Hidup Melayu ditukarkan kepada Merdeka.

Slogan ini adalah usul dari Pemuda UMNO Bahagian Kuala Pilah yang dibawa ke Persidangan Pemuda UMNO 1951. Ia dibentangkan sebagai usul di Mesyuarat Setengah Tahun Ahli-ahli Perikatan Pemuda UMNO di Kuala Lumpur pada 4hb.Februari 1951 dan satu ketetapan telah diambil untuk dibawa ke dalam Mesyuarat Agung UMNO yang akan nantinya diadakan pada bulan Mac 1951.

Usul Merdeka ini menarik minat golongan muda yang mana sebelum ini tidak begitu diminati sama ada oleh Pemuda UMNO mahupun UMNO secara keseluruhannya.

Tetapi setelah usul ini mula dibentangkan oleh golongan muda dari Kuala Pilah dan seterusnya dibincangkan lagi di kalangan pemuda-pemuda di Kuala Lumpur kira-kira sebulan kemudiannya, perjuangan seperti yang diidam-idamkan oleh golongan muda semakin cerah.

Kerana itu di Persidangan Agung UMNO pada 25 dan 26 Mac 1951 di Kuala Lumpur, wakil pemuda Encik Abdul Samad Idris (Allahyarham Tan Sri) dari Kuala Pilah dengan semangat yang membakar dan berkobar-kobar membentangkan usul Pemuda UMNO ini untuk diluluskan oleh badan induk UMNO.

Bagaimanapun bukanlah mudah untuk menukar corak perjuangan UMNO pimpinan Dato' Onn (jaafar) ketika itu yang masih asyik dengan slogan Hidup Melayu.

Slogan Merdeka ini amat sesuai dengan fahaman dan matlamat perjuangan bukan sahaja kalangan muda dalam UMNO itu sendiri tetapi memang menjadi matlamat utama perjuangan PKMM yang telah pun lumpuh kerana diharamkan oleh British.

Jadi, kemungkinan mereka akan menyertai UMNO sebagai jalan terakhir untuk memperjuangkan terus matlamat politik mereka dari terus berdiam diri adalah cerah sekali.

Dalam konteks inilah agaknya Dato' Onn seakan-akan menolak slogan Merdeka kerana PKMM pernah menjadi "musuh ketat" UMNO dan dengan mengambil perjuangan Merdeka, UMNO seolah-olah mengambil perjuangan parti yang pernah menjadi "musuhnya" dan memberikan implikasi bahawa UMNO "kekeringan modal perjuangan".

Tetapi bagi mereka yang bersemangat muda, persoalan kemerdekaan adalah sesuatu yang penting dan "perlu" demi memungkinkan UMNO memasuki era baru dalam perjuangannya dan mendapat reaksi menggalakkan di kalangan golongan muda dalam UMNO.

Walaupun demikian keadaannya, sepanjang tahun 1951 agak kurang jelas sejauh manakah slogan tersebut benar-benar diperjuangkan oleh Pemuda UMNO. Ini mungkin kerana persoalan jus-soli masih terus "menghantui" pemimpin-pemimpin pusat UMNO dan begitu juga dengan persoalan Dato' Onn keluar dan masuk kembali dan keluar semula dari UMNO.

Juga, perubahan seruan dan lambang perjuangan UMNO belum cukup untuk menarik perhatian orang ramai dan rakyat jelata kerana pucuk pimpinannya masih juga di tangan orang-orang lama (kecuali jawatan Ketua Pemuda dari Kapten Hussein kepada Encik Abdul Razak).

Tetapi, pada tahun 1952, persoalan kemerdekaan ini tiba-tiba memuncak kerana dua sebab utama. Pertamanya, Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pimpinan Dato' Onn (setelah keluarnya beliau dari UMNO) sama-sama berjuang ke arah kemerdekaan.

IMP dengan tegas menyebut bahawa kemerdekaan boleh dicapai "lima hingga sepuluh tahun dari sekarang (1952)" di mana UMNO tidak pernah menentukan masa yang tepat atau jangkamasa tertentu dalam perjuangannya dalam UMNO yang diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman, kegiatan UMNO ke arah kemerdekaan semakin ranck walaupun caranya jauh berbeza dari langkah-langkah IMP.

UMNO mengharapkan bantuan MCA dari segi sumber kewangan dan setelah merdeka, Tanah Melayu akan berada di dalam Commonwealth British seperti yang diterima oleh India, Ceylon ataupun Pakistan.

Bertolak dari sinilah, perjuangan kemerdekaan UMNO bermula sehinggalah terbentuknya Perikatan yang menang dalam pilihan raya 1955 dan membawa kepada tuntutan kemerdekaan melalui rombongan yang diketuai Tunku Abdul Rahman ke London.

Amat jelas tuntutan kemerdekaan bukan jalan mudah tetapi perjuangan UMNO tetap mulia dan patut disanjung, bukan menagung-agungkan komunis yang memang menggangu-gugat perjuangan untuk memerdekakan tanah air!

Juga amat jelas Mat Sabu sengaja mahu spin sejarah untuk kepentingan perjuangan PAS sambil menidakkan perjuangan UMNO.

Namun, sejarah tidak boleh diubah dan sumbangan UMNO perlu dihormati oleh semua pihak, walaupun pahit untuk ditelan pembangkang!