Showing posts with label Pemuda UMNO. Show all posts
Showing posts with label Pemuda UMNO. Show all posts

Wednesday, April 24, 2013

DEMI PUTRAJAYA - PAS TERPAKSA BERGAUL MESRA DENGAN CALON SYAITAN, ‘EDAR PIL KUDA’ & MARXIS…


"Jika benar terdapat calon PKR pengedar pil kuda, Pemuda UMNO Terengganu meminta Presiden Pas kemukakan bukti yang sahih berdasarkan kenyataan yang dibuat itu, dan jangan biarkan rakyat tertunggu-tunggu dan tertanya berita itu. Jika dakwaan itu tidak berasas, ini menunjukkan pakatan pembangkang tidak bersatu dan mereka mempunyai masalah dalaman."
  - Ketua Pemuda UMNO TerengganuSaiful Bahri Baharudin

‘Ayah Chik’ sengaja mengundang masalah kepada diri dan partinya – PAS – apabila kenyataannya mengenai calon parti rakan seperjuangan dalam pakatan pembangkang iaitu Parti keadilan Rakyat (PKR) ada yang pengedar pil kuda

Apa akan jadi kalau calon ‘edar pil kuda’ itu menang. Apakah PAS akan menyisihkan mereka kerana tidak layak untuk menjadi ‘rakan seperjuangan’?


Dan sekiranya menerima mereka apakah PAS tidak merasa berdosa? Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau ‘Ayah Chik’ kini diasak supaya mendedahkan identiti calon berkenaan yang menggambarkan bahawa parti PKR memang jenis ‘tangkap muat’ dalam meletakkan calonnya.

Persoalannya, apakah Hadi benar-benar kenal atau tahu benar siapa calonnya.

Kita berharap Hadi tidak main ‘tembak-tembak’ kerana dia sudah ‘tembak’ oleh Pemuda UMNO Terengganu, NGO, pemimpin PKR dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Pemuda Umno Terengganu menggesa Hadi mendedahkan calon PKR yang didakwa terlibat dalam pengedaran pil kuda yang Hadi maksudkan ketika pada ceramah Pas di Marang kelmarin.

Ketua Pemuda Umno Negeri Saiful Bahri Baharudin berkata pemimpin Pas itu perlu mengemukakan bukti yang sahih berhubung dakwaan berkenaan.

PSM pula menuntut Hadi menjelaskan dakwaan dalam satu video di Youtube bahawa parti Islam tersebut tidak boleh bekerjasama dengan parti "Marxis".
 
Setiausaha agung PSM S Arutchelvan berkata kenyataan Hadi itu menggambarkan PSM walau tidak menyebut nama parti tersebut. "Kita mahu tanya, adakah Hadi merujuk kepada kami? Jika benar, tunjukkan bukti (bahawa PSM parti Marxis)," katanya.

 Presiden PSM Nasir Hashim juga menyatakan kekecewaan ke atas kenyataan Hadi itu sambil mengatakan dakwaan tidak berasas itu.


“ Al-Quran menyatakan bahawa fitnah itu lebih zalim daripada membunuh," katanya.

Presiden Pas mendakwa pihaknya mendapat maklumat ada calon tertentu membuat kerja 'haram' dan mempunyai 'fahaman' yang bertentangan dengan pakatan pembangkang.

"Ada calon-calon yang kita khuatir, berdasarkan maklumat, adalah tukang jual pil kuda. Nak jadi calon macam mana? Malah ada calon yang menjulang gambar Lenin, Stalin dan Karl Marx letak di markas. Orang Pas tidak boleh kerja dengan calon macam ini," katanya.

Abdul Hadi dalam ceramahnya di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang, Terengganu mendakwa, Pas terpaksa meletakkan calon di kawasan yang ditandingi PKR selepas menerima maklumat ada calon sekutu mereka itu menjual pil kuda serta menjulang gambar tokoh berfahaman komunis seperti Joseph Stalin, Vladimir Lenin dan Karl Marx.

Beliau mendedahkan perkara itu ketika membuat penjelasan berhubung punca pertindihan calon Pas dan PKR yang bertanding di kerusi Parlimen Labuan dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Sungai Acheh (Pulau Pinang), DUN Bukit Besi, DUN Seberang Takir, DUN Kota Putera (Terengganu), DUN Kota Damansara (Selangor) dan DUN Panti (Johor).

Saiful Bahri berkata, jika benar terdapat calon PKR yang sebegitu, Pemuda UMNO Terengganu minta Presiden Pas kemukakan bukti yang sahih berdasarkan kenyataan yang dibuat itu, dan jangan biarkan rakyat tertunggu-tunggu dan tertanya berita itu.

"Jika dakwaan itu tidak berasas, ini menunjukkan pakatan pembangkang tidak bersatu dan mereka mempunyai masalah dalaman," katanya.

Beliau menyatakannya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu berhubung kenyataan Abdul Hadi yang tersebar luas di akhbar semalam.

Selain itu Presiden Pas itu berkata tindakan Pas menurunkan calon bertanding di tiga kawasan yang turut ditandingi PKR adalah bagi menyelamatkan parti itu dan pakatan pembangkang daripada anasir `syaitan’.

Menurut Hadi, Pas mendapat maklumat ada calon yang melakukan kerja `haram’ dengan bertindak mengedar pil kuda serta mempunyai fahaman bertentangan apabila meletakkan gambar pejuang revolusi komunis Rusia iaitu Karl Marx, Vladimir Lenin dan Joseph Stalin di markas parti mereka.

Saiful Bahri berkata, sekiranya benar apa yang didakwa Presiden Pas itu, ia jelas membuktikan bahawa calon-calon yang dicadangkan oleh PKR mempunyai masalah akhlak kerana terlibat dengan gejala jenayah dan sosial.

“Kes itu membuka mata pengundi terutama orang muda tentang wujudnya ketidaksepakatan dan kepincangan antara Pas dengan PKR berhubung isu calon sehingga menimbulkan isu sedemikian,” katanya.

Katanya, kejadian itu juga menyerlahkan lagi bahawa pakatan pembangkang berada dalam keadaan tidak menentu yang mungkin berpunca dengan masalah dalaman antara kedua-dua parti khususnya dalam aspek mengetengahkan calon yang sesuai di satu-satu kerusi.

Sehubungan itu juga, Pemuda Umno juga bersetuju dengan cabaran Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said yang dibuat pada sidang media di Besut, supaya Hadi tampil membuat laporan.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan juga meminta pihak polis supaya menyiasat calon-calon PKR yang didakwa terlibat dalam kegiatan jenayah dan menyokong fahaman songsang.

Menurut mereka, pendedahan Presiden Pas itu memberi gambaran wujudnya anasir-anasir yang boleh membahayakan keamanan negara dalam pakatan pembangkang.

Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah), S. Jeevan berkata, semua calon terbabit perlu disiasat bagi memastikan pembabitan sebenar mereka dengan kegiatan gelap yang didakwa oleh Presiden Pas itu.

Katanya, bagi tujuan itu, Hadi perlu dipanggil pihak polis bagi memberi penjelasan serta bukti terhadap kenyataan yang dibuatnya pada Ahad lalu.

“Walaupun perkara itu didedahkan oleh pihak ketiga (Hadi), ia tetap merupakan maklumat yang berharga mengenai kepincangan dan salah laku beberapa calon pakatan pembangkang.

“Mana-mana calon PKR yang menjual pil kuda dan membawa ideologi komunis perlu diheret ke muka pengadilan dan dihukum jika terbukti mereka bersalah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay pula berkata, selain tindakan daripada pihak polis, PKR sendiri perlu mengambil tindakan terhadap ahli-ahli parti berkenaan.

“Kita tidak mahu individu yang terlibat dengan jenayah dan berfahaman songsang diangkat sebagai calon untuk dipilih sebagai pemimpin di negara ini,” ujarnya.

Mengulas perkara itu, Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf meminta individu yang membuat dakwaan tersebut iaitu Hadi agar membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan. “Jika ada laporan baru kita boleh siasat. Individu yang mendakwa itu kena tampil buat laporan polis.

Jika hanya setakat cakap-cakap, kita tidak boleh buat apa-apa (tindakan),” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.


Semalam Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail menafikan calon PKR terlibat kesalahan jenayah dan aktiviti tidak bermoral termasuk mengedar dadah.

“Sebenarnya bukan sahaja PKR Terengganu, PKR Pusat pun membuat saringan ketat. Pakatan Rakyat (PR) di peringkat Pusat dalam proses pemilihan calon masing-masing, memang wujud saringan yang amat ketat antaranya dari sudut kelayakan mereka sebagai calon yang akan bertanding.

“Saya menafikan ada antara calon-calon yang kita ketengahkan terlibat ataupun pernah terlibat, atau sedang terlibat dengan segala aktiviti sebagaimana yang dikatakan,” katanya ketika sidang media di Pejabat Perhubungan PKR Terengganu, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Kalau demikian, siapa Hadi maksudkan?

Atau Hadi sengaja ‘nak angkat bakul sendiri’ kononnya calon PAS lebih baik daripada calon PKR, DAP atau PSM.

Calon baik pun, kalau sekiranya pakatan menang, Hadi tidak dapat memimpin calon-calon ‘terpilih’ partinya kerana dia bukan Perdana Menteri.

Satu persoalan ialah apa akan jadi jika calon ‘edar pil kuda’ menang, apakah Hadi akan meminta calon ‘terpilihnya’ itu menyisihkan diri daripada mereka kerana mereka adalah calon kotor dan jijik di mata PAS dan Hadi?

Wednesday, September 7, 2011

MERDEKA - SUMBANGAN UMNO TERSANGAT BESAR...

Pada Persidangan Agung UMNO 25 dan 26 Mac 1951 di Kuala Lumpur, wakil Pemuda UMNO, Encik Abdul Samad Idris (Allahyarham Tan Sri) dari Kuala Pilah dengan semangat yang membakar dan berkobar-kobar membentangkan usul Pemuda UMNO menukar slogan perjuangan UMNO dari 'Hidup Melayu' kepada 'Merdeka' untuk diluluskan oleh badan induk UMNO.

Ulasan pemimpin PAS mengenai kemerdekaan menggambarkan seolah-olah rakyat Malaysia dan penyokong UMNO buta sejarah.

Tidak siapa pun yang menolak sejarah bahawa pemimpin lain, selain UMNO turut memperjuangkan kemerdekaan.

Namun, perjuangan UMNO tetap utuh dan perlu disanjung. PAS yang lahir selepas kewujudan UMNO pada hakikatnya tidak layak bercakap mengenai kemerdekaan!

Semalam, PAS mula menerima hakikat bahawa UMNO memang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Berbeza dengan kenyataan kontroversi Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu sebelum ini, Setiausaha Agung parti itu Datuk Mustafa Ali memberitahu sidang akhbar di ibu pejabat Pas di ibu negara bahawa parti itu tidak menafikan bahawa Umno memperjuangkan kemerdekaan.

Mustafa berkata, terdapat dua kaedah perjuangan menuntut kemerdekaan iaitu secara konfrontasi menolak British dan cara 'peaceful cooperation' (kerjasama damai) yang dilakukan oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Datuk Onn Jaafar.

"Kita nak sebut perjuangan (kemerdekaan) tak bermula dengan penubuhan UMNO. PAS juga menolak ideologi dan menolak perjuangan komunis. Perjuangan sudah mula lama sejak Datuk Maharajalela di Perak, Datuk Bahaman (Pahang), Dol Said (Melaka dan Negeri Sembilan), Tok Janggut (Kelantan), dan banyak lagi lain, menentang penjajahan Inggeris," katanya.

Dalam buku saya ‘Putera Mahkota UMNO’ (1995) yang asalnya berdasarkan sebuah tesis untuk ijazah sarjana M. Soc. Sc. (USM, 1982) dengan jelas menyebut bahawa perjuangan kemerdekaan lebih dahulu diperjuangkan oleh kumpulan lain sebelum UMNO.

Cuma yang dipertikaikan kini ialah kenyataan Mat Sabu mengagungkan komunis berbanding perjuang di Bukit Kepong.

Mat Sabu di Tasek Gelugor 21 Ogos lepas yang antara lain dipetik sebagai berkata bahawa Kompeni Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang Bukit Kepong sehingga mengorbankan 25 perajurit dan keluarga mereka pada 1950 sebagai wira atas alasan mangsa yang terkorban adalah polis penjajah British.

Dalam Bab Ketiga buku saya bertajuk ‘Merdeka – Slogan Tidak Ternilai’ dengan jelas saya menyebut bahawa kemerdekaan membebaskan tanah air dariapada cengkaman penjajah mucul sejak awal kurun kedua puluh lagi.

Al-Imam, majalah bulanan bertulisan jawi yang diterbitkan di Singapura berusia lebih kurang dua tahun setengah, iaitu sehingga 1908, dipimpin oleh Sheikh Mohd Tahir Jalaluddin, Sayid Sheikh Ahmad Al-Hadi, Haji Abas Mohd Taha dan Sheikh Mohd Salim Al-Kalali, walaupun membincangkan soal bahasa dan ekonomi Melayu, menyebut beberapa faktor utama kemunduran orang Melayu adalah kerana sikap mereka sendiri.

Namun ketika pendudukan Jepun, suasana ketika itu memberikan kesan yang mendalam dari aspek nasionalisme Melayu dan gerakan kemerdekaan di Indonesia turut mempengaruhi semangat nasionalisme di kalangan orang Melayu.

Golongan yang paling menonjol dan mendapat galakan Jepun dalam soal politik ialah kumpulan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada bulan Mei 1937.

KMM lahir daripada usaha pelajar-pelajar di Maktab Perguruan Sultan Idris yang bergerak secara sulit, pada mulanya terdapat tiga kumpulan radikal yang berpecah, Sebelum terbentuknya KMM kumpulan ini berpadu dulu dalam Belia Malaya, bagaimanapun terpaksa dibubarkan kerana pemimpin-pemimpinnya keluar dari maktab.

Bila tugas ini disambung oleh Ibrahim Yaakub, terbentuklah KMM yang dikatakan bersifat sosialistik, anti kolonial, anti feudal dan bercita-cita untuk bersatu dengan Indonesia. Jepun menggalakkan kumpulan ini kerana ia bersikap anti-British.

Walaupun KMM terpaksa dibubarkan kerana kehendak Jepun juga namun pergerakannya tetap tidak berubah di segi matlamat perjuangan dengan nama baru iaitu Pembela Tanah Air atau PETA yang kemudiannya bertukar pula menjadi Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS). KMM pimpinan Ibrahim Yaakub menjadi penting kerana adanya perjumpaan dengan pemimpin Indonesia, Sukarno dan Hatta pada bulan Ogos 1945 untuk mengistiharkan kemerdekaan serentak dengan Indonesia.

Bagaimanapun bila Jepun menyerah kalah, Indonesia telah mengistiharkan kemerdekaannya dan Sukarno seolah-olah "terlupa" janji-janjinya dengan KMM, bila Tanah Melayu telah dilupakan untuk sama-sama diistiharkan merdeka.

Soal kemerdekaan ini tiba-tiba menjadi isu besar dalam UMNO dan menyeluruh di kalangan masyarakat Melayu apabila pada tahun 1951 UMNO Bahagian Kuala Pilah mendesak supaya slogan Hidup Melayu ditukarkan kepada Merdeka.

Slogan ini adalah usul dari Pemuda UMNO Bahagian Kuala Pilah yang dibawa ke Persidangan Pemuda UMNO 1951. Ia dibentangkan sebagai usul di Mesyuarat Setengah Tahun Ahli-ahli Perikatan Pemuda UMNO di Kuala Lumpur pada 4hb.Februari 1951 dan satu ketetapan telah diambil untuk dibawa ke dalam Mesyuarat Agung UMNO yang akan nantinya diadakan pada bulan Mac 1951.

Usul Merdeka ini menarik minat golongan muda yang mana sebelum ini tidak begitu diminati sama ada oleh Pemuda UMNO mahupun UMNO secara keseluruhannya.

Tetapi setelah usul ini mula dibentangkan oleh golongan muda dari Kuala Pilah dan seterusnya dibincangkan lagi di kalangan pemuda-pemuda di Kuala Lumpur kira-kira sebulan kemudiannya, perjuangan seperti yang diidam-idamkan oleh golongan muda semakin cerah.

Kerana itu di Persidangan Agung UMNO pada 25 dan 26 Mac 1951 di Kuala Lumpur, wakil pemuda Encik Abdul Samad Idris (Allahyarham Tan Sri) dari Kuala Pilah dengan semangat yang membakar dan berkobar-kobar membentangkan usul Pemuda UMNO ini untuk diluluskan oleh badan induk UMNO.

Bagaimanapun bukanlah mudah untuk menukar corak perjuangan UMNO pimpinan Dato' Onn (jaafar) ketika itu yang masih asyik dengan slogan Hidup Melayu.

Slogan Merdeka ini amat sesuai dengan fahaman dan matlamat perjuangan bukan sahaja kalangan muda dalam UMNO itu sendiri tetapi memang menjadi matlamat utama perjuangan PKMM yang telah pun lumpuh kerana diharamkan oleh British.

Jadi, kemungkinan mereka akan menyertai UMNO sebagai jalan terakhir untuk memperjuangkan terus matlamat politik mereka dari terus berdiam diri adalah cerah sekali.

Dalam konteks inilah agaknya Dato' Onn seakan-akan menolak slogan Merdeka kerana PKMM pernah menjadi "musuh ketat" UMNO dan dengan mengambil perjuangan Merdeka, UMNO seolah-olah mengambil perjuangan parti yang pernah menjadi "musuhnya" dan memberikan implikasi bahawa UMNO "kekeringan modal perjuangan".

Tetapi bagi mereka yang bersemangat muda, persoalan kemerdekaan adalah sesuatu yang penting dan "perlu" demi memungkinkan UMNO memasuki era baru dalam perjuangannya dan mendapat reaksi menggalakkan di kalangan golongan muda dalam UMNO.

Walaupun demikian keadaannya, sepanjang tahun 1951 agak kurang jelas sejauh manakah slogan tersebut benar-benar diperjuangkan oleh Pemuda UMNO. Ini mungkin kerana persoalan jus-soli masih terus "menghantui" pemimpin-pemimpin pusat UMNO dan begitu juga dengan persoalan Dato' Onn keluar dan masuk kembali dan keluar semula dari UMNO.

Juga, perubahan seruan dan lambang perjuangan UMNO belum cukup untuk menarik perhatian orang ramai dan rakyat jelata kerana pucuk pimpinannya masih juga di tangan orang-orang lama (kecuali jawatan Ketua Pemuda dari Kapten Hussein kepada Encik Abdul Razak).

Tetapi, pada tahun 1952, persoalan kemerdekaan ini tiba-tiba memuncak kerana dua sebab utama. Pertamanya, Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pimpinan Dato' Onn (setelah keluarnya beliau dari UMNO) sama-sama berjuang ke arah kemerdekaan.

IMP dengan tegas menyebut bahawa kemerdekaan boleh dicapai "lima hingga sepuluh tahun dari sekarang (1952)" di mana UMNO tidak pernah menentukan masa yang tepat atau jangkamasa tertentu dalam perjuangannya dalam UMNO yang diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman, kegiatan UMNO ke arah kemerdekaan semakin ranck walaupun caranya jauh berbeza dari langkah-langkah IMP.

UMNO mengharapkan bantuan MCA dari segi sumber kewangan dan setelah merdeka, Tanah Melayu akan berada di dalam Commonwealth British seperti yang diterima oleh India, Ceylon ataupun Pakistan.

Bertolak dari sinilah, perjuangan kemerdekaan UMNO bermula sehinggalah terbentuknya Perikatan yang menang dalam pilihan raya 1955 dan membawa kepada tuntutan kemerdekaan melalui rombongan yang diketuai Tunku Abdul Rahman ke London.

Amat jelas tuntutan kemerdekaan bukan jalan mudah tetapi perjuangan UMNO tetap mulia dan patut disanjung, bukan menagung-agungkan komunis yang memang menggangu-gugat perjuangan untuk memerdekakan tanah air!

Juga amat jelas Mat Sabu sengaja mahu spin sejarah untuk kepentingan perjuangan PAS sambil menidakkan perjuangan UMNO.

Namun, sejarah tidak boleh diubah dan sumbangan UMNO perlu dihormati oleh semua pihak, walaupun pahit untuk ditelan pembangkang!