Wednesday, September 7, 2011

MERDEKA - SUMBANGAN UMNO TERSANGAT BESAR...

Pada Persidangan Agung UMNO 25 dan 26 Mac 1951 di Kuala Lumpur, wakil Pemuda UMNO, Encik Abdul Samad Idris (Allahyarham Tan Sri) dari Kuala Pilah dengan semangat yang membakar dan berkobar-kobar membentangkan usul Pemuda UMNO menukar slogan perjuangan UMNO dari 'Hidup Melayu' kepada 'Merdeka' untuk diluluskan oleh badan induk UMNO.

Ulasan pemimpin PAS mengenai kemerdekaan menggambarkan seolah-olah rakyat Malaysia dan penyokong UMNO buta sejarah.

Tidak siapa pun yang menolak sejarah bahawa pemimpin lain, selain UMNO turut memperjuangkan kemerdekaan.

Namun, perjuangan UMNO tetap utuh dan perlu disanjung. PAS yang lahir selepas kewujudan UMNO pada hakikatnya tidak layak bercakap mengenai kemerdekaan!

Semalam, PAS mula menerima hakikat bahawa UMNO memang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Berbeza dengan kenyataan kontroversi Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu sebelum ini, Setiausaha Agung parti itu Datuk Mustafa Ali memberitahu sidang akhbar di ibu pejabat Pas di ibu negara bahawa parti itu tidak menafikan bahawa Umno memperjuangkan kemerdekaan.

Mustafa berkata, terdapat dua kaedah perjuangan menuntut kemerdekaan iaitu secara konfrontasi menolak British dan cara 'peaceful cooperation' (kerjasama damai) yang dilakukan oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Datuk Onn Jaafar.

"Kita nak sebut perjuangan (kemerdekaan) tak bermula dengan penubuhan UMNO. PAS juga menolak ideologi dan menolak perjuangan komunis. Perjuangan sudah mula lama sejak Datuk Maharajalela di Perak, Datuk Bahaman (Pahang), Dol Said (Melaka dan Negeri Sembilan), Tok Janggut (Kelantan), dan banyak lagi lain, menentang penjajahan Inggeris," katanya.

Dalam buku saya ‘Putera Mahkota UMNO’ (1995) yang asalnya berdasarkan sebuah tesis untuk ijazah sarjana M. Soc. Sc. (USM, 1982) dengan jelas menyebut bahawa perjuangan kemerdekaan lebih dahulu diperjuangkan oleh kumpulan lain sebelum UMNO.

Cuma yang dipertikaikan kini ialah kenyataan Mat Sabu mengagungkan komunis berbanding perjuang di Bukit Kepong.

Mat Sabu di Tasek Gelugor 21 Ogos lepas yang antara lain dipetik sebagai berkata bahawa Kompeni Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang Bukit Kepong sehingga mengorbankan 25 perajurit dan keluarga mereka pada 1950 sebagai wira atas alasan mangsa yang terkorban adalah polis penjajah British.

Dalam Bab Ketiga buku saya bertajuk ‘Merdeka – Slogan Tidak Ternilai’ dengan jelas saya menyebut bahawa kemerdekaan membebaskan tanah air dariapada cengkaman penjajah mucul sejak awal kurun kedua puluh lagi.

Al-Imam, majalah bulanan bertulisan jawi yang diterbitkan di Singapura berusia lebih kurang dua tahun setengah, iaitu sehingga 1908, dipimpin oleh Sheikh Mohd Tahir Jalaluddin, Sayid Sheikh Ahmad Al-Hadi, Haji Abas Mohd Taha dan Sheikh Mohd Salim Al-Kalali, walaupun membincangkan soal bahasa dan ekonomi Melayu, menyebut beberapa faktor utama kemunduran orang Melayu adalah kerana sikap mereka sendiri.

Namun ketika pendudukan Jepun, suasana ketika itu memberikan kesan yang mendalam dari aspek nasionalisme Melayu dan gerakan kemerdekaan di Indonesia turut mempengaruhi semangat nasionalisme di kalangan orang Melayu.

Golongan yang paling menonjol dan mendapat galakan Jepun dalam soal politik ialah kumpulan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada bulan Mei 1937.

KMM lahir daripada usaha pelajar-pelajar di Maktab Perguruan Sultan Idris yang bergerak secara sulit, pada mulanya terdapat tiga kumpulan radikal yang berpecah, Sebelum terbentuknya KMM kumpulan ini berpadu dulu dalam Belia Malaya, bagaimanapun terpaksa dibubarkan kerana pemimpin-pemimpinnya keluar dari maktab.

Bila tugas ini disambung oleh Ibrahim Yaakub, terbentuklah KMM yang dikatakan bersifat sosialistik, anti kolonial, anti feudal dan bercita-cita untuk bersatu dengan Indonesia. Jepun menggalakkan kumpulan ini kerana ia bersikap anti-British.

Walaupun KMM terpaksa dibubarkan kerana kehendak Jepun juga namun pergerakannya tetap tidak berubah di segi matlamat perjuangan dengan nama baru iaitu Pembela Tanah Air atau PETA yang kemudiannya bertukar pula menjadi Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS). KMM pimpinan Ibrahim Yaakub menjadi penting kerana adanya perjumpaan dengan pemimpin Indonesia, Sukarno dan Hatta pada bulan Ogos 1945 untuk mengistiharkan kemerdekaan serentak dengan Indonesia.

Bagaimanapun bila Jepun menyerah kalah, Indonesia telah mengistiharkan kemerdekaannya dan Sukarno seolah-olah "terlupa" janji-janjinya dengan KMM, bila Tanah Melayu telah dilupakan untuk sama-sama diistiharkan merdeka.

Soal kemerdekaan ini tiba-tiba menjadi isu besar dalam UMNO dan menyeluruh di kalangan masyarakat Melayu apabila pada tahun 1951 UMNO Bahagian Kuala Pilah mendesak supaya slogan Hidup Melayu ditukarkan kepada Merdeka.

Slogan ini adalah usul dari Pemuda UMNO Bahagian Kuala Pilah yang dibawa ke Persidangan Pemuda UMNO 1951. Ia dibentangkan sebagai usul di Mesyuarat Setengah Tahun Ahli-ahli Perikatan Pemuda UMNO di Kuala Lumpur pada 4hb.Februari 1951 dan satu ketetapan telah diambil untuk dibawa ke dalam Mesyuarat Agung UMNO yang akan nantinya diadakan pada bulan Mac 1951.

Usul Merdeka ini menarik minat golongan muda yang mana sebelum ini tidak begitu diminati sama ada oleh Pemuda UMNO mahupun UMNO secara keseluruhannya.

Tetapi setelah usul ini mula dibentangkan oleh golongan muda dari Kuala Pilah dan seterusnya dibincangkan lagi di kalangan pemuda-pemuda di Kuala Lumpur kira-kira sebulan kemudiannya, perjuangan seperti yang diidam-idamkan oleh golongan muda semakin cerah.

Kerana itu di Persidangan Agung UMNO pada 25 dan 26 Mac 1951 di Kuala Lumpur, wakil pemuda Encik Abdul Samad Idris (Allahyarham Tan Sri) dari Kuala Pilah dengan semangat yang membakar dan berkobar-kobar membentangkan usul Pemuda UMNO ini untuk diluluskan oleh badan induk UMNO.

Bagaimanapun bukanlah mudah untuk menukar corak perjuangan UMNO pimpinan Dato' Onn (jaafar) ketika itu yang masih asyik dengan slogan Hidup Melayu.

Slogan Merdeka ini amat sesuai dengan fahaman dan matlamat perjuangan bukan sahaja kalangan muda dalam UMNO itu sendiri tetapi memang menjadi matlamat utama perjuangan PKMM yang telah pun lumpuh kerana diharamkan oleh British.

Jadi, kemungkinan mereka akan menyertai UMNO sebagai jalan terakhir untuk memperjuangkan terus matlamat politik mereka dari terus berdiam diri adalah cerah sekali.

Dalam konteks inilah agaknya Dato' Onn seakan-akan menolak slogan Merdeka kerana PKMM pernah menjadi "musuh ketat" UMNO dan dengan mengambil perjuangan Merdeka, UMNO seolah-olah mengambil perjuangan parti yang pernah menjadi "musuhnya" dan memberikan implikasi bahawa UMNO "kekeringan modal perjuangan".

Tetapi bagi mereka yang bersemangat muda, persoalan kemerdekaan adalah sesuatu yang penting dan "perlu" demi memungkinkan UMNO memasuki era baru dalam perjuangannya dan mendapat reaksi menggalakkan di kalangan golongan muda dalam UMNO.

Walaupun demikian keadaannya, sepanjang tahun 1951 agak kurang jelas sejauh manakah slogan tersebut benar-benar diperjuangkan oleh Pemuda UMNO. Ini mungkin kerana persoalan jus-soli masih terus "menghantui" pemimpin-pemimpin pusat UMNO dan begitu juga dengan persoalan Dato' Onn keluar dan masuk kembali dan keluar semula dari UMNO.

Juga, perubahan seruan dan lambang perjuangan UMNO belum cukup untuk menarik perhatian orang ramai dan rakyat jelata kerana pucuk pimpinannya masih juga di tangan orang-orang lama (kecuali jawatan Ketua Pemuda dari Kapten Hussein kepada Encik Abdul Razak).

Tetapi, pada tahun 1952, persoalan kemerdekaan ini tiba-tiba memuncak kerana dua sebab utama. Pertamanya, Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pimpinan Dato' Onn (setelah keluarnya beliau dari UMNO) sama-sama berjuang ke arah kemerdekaan.

IMP dengan tegas menyebut bahawa kemerdekaan boleh dicapai "lima hingga sepuluh tahun dari sekarang (1952)" di mana UMNO tidak pernah menentukan masa yang tepat atau jangkamasa tertentu dalam perjuangannya dalam UMNO yang diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman, kegiatan UMNO ke arah kemerdekaan semakin ranck walaupun caranya jauh berbeza dari langkah-langkah IMP.

UMNO mengharapkan bantuan MCA dari segi sumber kewangan dan setelah merdeka, Tanah Melayu akan berada di dalam Commonwealth British seperti yang diterima oleh India, Ceylon ataupun Pakistan.

Bertolak dari sinilah, perjuangan kemerdekaan UMNO bermula sehinggalah terbentuknya Perikatan yang menang dalam pilihan raya 1955 dan membawa kepada tuntutan kemerdekaan melalui rombongan yang diketuai Tunku Abdul Rahman ke London.

Amat jelas tuntutan kemerdekaan bukan jalan mudah tetapi perjuangan UMNO tetap mulia dan patut disanjung, bukan menagung-agungkan komunis yang memang menggangu-gugat perjuangan untuk memerdekakan tanah air!

Juga amat jelas Mat Sabu sengaja mahu spin sejarah untuk kepentingan perjuangan PAS sambil menidakkan perjuangan UMNO.

Namun, sejarah tidak boleh diubah dan sumbangan UMNO perlu dihormati oleh semua pihak, walaupun pahit untuk ditelan pembangkang!

No comments:

Post a Comment