Sunday, January 30, 2011

CIK GU MALA TEWAS KEPADA MOHD AZHAR DENGAN MAJORITI 3,706 UNDI


Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Mohd Azhar Ibrahim berjanji akan menumpukan kepada masalah banjir yang melanda penduduk di sekitar pekan Labis dan Tenang.

"Selepas ini saya berjanji akan menumpukan kepada masalah banjir di Labis dan DUN Tenang. Saya juga akan menumpukan perhatian kepada masalah penduduk dan isu tempatan," katanya pada sidang media selepas pengumuman calon yang memenangi DUN Tenang di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Majlis Daerah Labis malam ini.

Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Md Asri Amir di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis jam 10 malam ini.

Barisan Nasional (BN)menerusi Mohd Azhar mencapai kemenangan besar mempertahankan kerusi N.05 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan majoriti 3,706 undi dengan menewaskan pencabarnya Normala Sudirman (gambar kiri) dari Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Mohd Azhar yang juga bekas Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Tanah Daerah Kecil Rengit meraih 6,699 undi berbanding Normala yang hanya mendapat 2,992 undi.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh semua sayap Umno dan Barisan Nasional. Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada sayap Puteri, Pemuda dan Wanita yang telah banyak membantu saya berkempen di sini.

"Pada masa yang sama, saya ingin melahirkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan parti komponen dan sahabat-sahabat BN," katanya.

Beliau melahirkan rasa kesyukuran atas kemenangannya sebagai wakil rakyat yang baru kawasan tersebut.

Pada pilihan raya semalam, proses pengundian tetap dijalankan dalam suasana banjir teruk melanda Labis hingga menyebabkan jalan-jalan utama dari kampung terputus hubungan.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandanganya, Datuk Sulaiman Taha 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur pada 17 Disember tahun lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Sulaiman menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran.

Majoriti yang diperoleh Mohd Azhar adalah 3,707 undi, berbanding 2,492 yang diperoleh Sulaiman pada pilihan raya umum 2008.

Hujan lebat yang turun sejak awal pagi ini sehingga mengakibatkan banjir menyebabkan para pengundi terpaksa dibawa ke tempat-tempat mengundi dengan menaiki trak tentera dan bot.

Keadaan cuaca buruk bagaimanapun tidak menghalang lebih kurang 72 peratus pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil kali ini.
BN memperolehi majoriti di tiga daripada empat pusat mengundi kawasan Cina iaitu di Bandar Labis Timur, Labis dan Tenang malah pengaruh PAS di kubu kuatnya di Bandar Labis Tengah turut terhakis.

Keseluruhannya BN berjaya meraih 40 peratus undi Cina.

Sokongan kepada BN di kawasan-kawasan Felda dan kampung-kampung Melayu turut meningkat. Tiga kawasan Felda, iaitu Felda Tenang, Felda Chemplak Barat dan Felda Chemplak menunjukkan majoriti meningkat BN daripada 1,966 undi pada 2008 kepada 2,241.

Difahamkan, undi kaum India turut beralih kepada BN di mana majoriti undi di dua kawasan penduduk India meningkat daripada 260 pada 2008 kepada 365.

EPISOD KELUAR PKR TIDAK AKAN BERAKHIR

Apa sebenarnya sedang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ia menjadi peneraju untuk menawan Putrajaya?

Apakah malapetaka yang sedang melanda parti itu sedangkan ia berpaksikan ‘Keadilan’. Keadilan apa dan untuk siapa sebenarnya?

Perkembangan terbaru membabitkan anggota Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan yang mengisytiharkan keluar PKR dan melepaskan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Padang Serai pada Sabtu lalu bukan mengejutkan tetapi membawa banyak makna mengenai kedudukan parti berkenaan.

Gobala yang kini menjadi Anggota Parlimen Bebas berkuat kuasa serta merta berbuat demikian kerana bosan dengan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang menurut Gobala, kini telah mengawal 100 peratus pentadbiran PKR. Beliau juga sempat membidas Anwar yang dakwanya bukan sahaja memperkudakan kaum Melayu dan Cina sahaja dalam mencapaikan cita-citanya tetapi kaum India juga tidak terkecuali. Beliau yakin hasrat Anwar untuk menakluk Putrajaya akan tersasar sekaligus gagal kerana bagaimana mahu mentadbir negara dengan masalah dalaman parti pun semakin teruk.

Katanya: "Kerana itulah saya membuat keputusan keluar parti yang saya juga menjadi salah seorang pengasas ketika penubuhannya. Nampaknya parti ini sudah nak runtuh, jadi biarlah saya keluar sebelum “rumah” ini runtuh,". Gobala berkata tindakannya keluar parti adalah tindakan bersendirian dan terpulanglah kepada penyokong-penyokongnya sama ada mahu ikut bersamanya atau kekal sebagai anggota PKR."

Banyak ramalan mengatakan, episod keluar PKR oleh pemimpin parti itu tidak terhenti dengan tindakan Gobala semata-mata.

Sejauh ini sudah empat ahli parlimen telah meninggalkan PKR sejak pilihan raya umum 2008 - Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju) manakala seorang lagi Zulkifli Nordin (Kulim-Bandar Bahru) dipecat dari parti.

PKR kini mempunyai 23 kerusi di Dewan Rakyat, berbanding 30 yang dimilikinya selepas pilihan raya umum Mac 2008. Selain itu PKR juga gagal mempertahankan kerusi Hulu Selangor berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad. DAP kini mempunyai 29 kerusi dan PAS pula, 23. Hakikatnya, BN hanya memerlukan tiga lagi wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk berpaling tadah untuk mendapatkan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Jumlah yang diperlukan adalah 148 kerusi dan ini boleh dicapai menerusi 138 kerusi yang dimenanginya bersama sokongan tujuh ahli Bebas yang mesra BN (termasuk MP Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali) berserta tiga yang lain.

Anggota Parlimen Kulim Bandar Baharu Zulkifli Noordin berkata beliau menjangka beberapa lagi wakil rakyat dan kepimpinan kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan keluar daripada parti itu. Beliau berkata tindakan membuktikan bahawa jangkaan beliau sebelum ini adalah tepat.

"Perisytiharan yang dibuat oleh Gobalakrishnan sudah lama teman (saya)jangka, malah teman sudah pun membuat kenyataan sebelum ini bahawa beberapa orang wakil rakyat dan kepimpinan kanan PKR akan mengambil tindakan keluar, cuma masa dan cara sahaja yang berbeza. Teman (saya) tahu ada beberapa orang lagi anggota Parlimen (termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri), kepimpinan kanan parti yang akan mengambil langkah yang sama tidak lama lagi. Masing-masing menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk bertindak sedemikian," kata Anggota Parlimen Bebas itu dalam blog beliau www.zul4kulim.blogspot.com semalam.

Zulkifli melihat Anwar bukan sahaja menzalimi dirinya sendiri, tetapi beliau juga menzalimi umat, rakyat dan negara.” Beliau bukan sahaja merosakkan diri sendiri, tetapi menjadi makhluk perosak kepada umat, rakyat dan negara," kat Zulkifli. Kerana itu beliau mengulangi mencabar Anwar supaya meletak jawatan dan berundur daripada politik sebelum negara hancur dek kerana nafsu serakahnya yang terlalu ghairah mahu menjadi Perdana Menteri.

Apa yang jelas di sini ialah Anwar semakin dijauhi dan peletakan jawatan Gobala itu membawa isyarat bahawa PKR menuju kehancuran selain Anwar sedang berhadapan dengan krisis kepimpinan dan keyakinan yan g sangat serius.

Amat jelas bahawa jika Gobala yang hampir 12 tahun bersama PKR, kini mulai nampak PKR semakin tersasar jauh daripada asas perjuangannya kerana dikuasai pemimpin seperti Anwar dan Timbalan Presiden, Azmin Ali yang hanya berjuang atas kepentingan diri sendiri, apakah PKR mempunyai masa depan yang memperjuangkan kepentingan rakyat?

Bukan sahaja ahli tetapi pemimpin dalam PKR melihat Azmin membawa pelbagai kerosakan dan perpecahan dalam parti sehingga tidak lagi dilihat boleh membawa perubahan kepada rakyat.

Bak kata Gobala: “Terlalu banyak petunjuk termasuk dalam pemilihan parti baru-baru ini yang menunjukkan betapa PKR dirosakkan oleh Azmin. Berkali-kali saya bawa perkara ini kepada Anwar supaya semua kerosakan ini dibaiki tetapi nampaknya dia tidak boleh buat keputusan. Nampaknya Azmin yang lebih berkuasa. Kalau Anwar sendiri tidak boleh beri keadilan kepada ahli-ahlinya sendiri bagaimana dia mahu memberi keadilan kepada rakyat?”

Amat jelas PKR bukan lagi memperjuangkan keadilan untuk rakyat tetapi parti itu kini menjurus kepada menjaga kepentingan Anwar dan konco-konconya sahaja.

Thursday, January 27, 2011

APA MUSLIHAT MAJLIS PEGUAM TIDAK MAHU KARPAL SINGH JADI SAKSI?

"Apa yang dilakukan oleh Ragunath ini hanya menjejaskan imej dan kredibiliti Majlis Peguam sahaja. Bagi saya kenyataan Ragunath ini lebih bersifat politik. Sekiranya dia mahu berpolitik lebih baik berkecimpung dalam bidang politik. Lagipun kenyataan ini dikeluarkan tanpa asas,'' - Wee Choo Keong (Ahli Parlimen Wangsa Maju)

Apa muslihat Majlis Peguam dalam isu Karpal Singh menjadi saksi di mahkamah dalam kes liwat Anwar Ibrahim?

Kenapa Majlis Peguam masuk campur dalam isu Karpal ini? Apakah Karpal juga ‘manusia istimewa’ seperti Anwar?

Majlis Peguam semalam menyatakan pendirian bahawa Karpal Singh tidak wajar dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Tidakkah Jabatan Peguam Negara yang mempunyai hak untuk menentukan sama ada Karpal boleh menjadi saksi atau tidak?

Kenapa pula Majlis Peguam tiba-tiba menjadi ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong?”.

Bagi Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, beiau mahu Majlis Peguam mengemukakan usul mencela Ragunath atas kenyataan kontroversinya berhubung isu memanggil Karpal sebagai saksi dalam kes liwat Anwar.

Beliau percaya kenyataan yang dibuat oleh Ragunath itu membelakangkan Exco Majlis Peguam secara keseluruhan iaitu diputuskan tanpa mesyuarat rasmi.

"Apa yang dilakukan oleh Ragunath ini hanya menjejaskan imej dan kredibiliti Majlis Peguam sahaja. Bagi saya kenyataan Ragunath ini lebih bersifat politik. Sekiranya dia mahu berpolitik lebih baik berkecimpung dalam bidang politik. Lagipun kenyataan ini dikeluarkan tanpa asas,'' kata Choo Keong.

Persoalannya, beliau berkata, mengapa Ragunath secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan mempertahankan Karpal.

Amat jelas kenyataan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan tidak wajar dikeluarkan kerana dengan bebuat demikian dia mendahului peranan Jabatan Peguam Negara.

Ragunath kelmarin berkata mengikut pandangan Majlis Peguam, Karpal tidak wajar dipanggil sebagai saksi dan memberi testimoni di dalam perbicaraan kes liwat Anwar yang kini sedang berjalan.

Sebelum ini, beberapa pihak telah mendesak Karpal supaya berundur daripada menjadi peguam bela Anwar bagi kes liwat kedua yang dihadapinya kini.

Karpal sebelum itu mengeluarkan kenyataan bahawa beliau pernah disapina untuk hadir perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar pada 1997 tetapi tidak dipanggil untuk memberikan keterangan.

Pendirian Majlis Peguam ini dibidas oleh beberapa pihak dan menurut Utusan Malaysia hari ini, , pengamal undang-undang, Hasnal Rezua Merican Habib Merican berkata, dalam konteks perundangan, Majlis Peguam tidak berhak menentukan sama ada Karpal Singh boleh atau tidak boleh dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes liwat tersebut.

"Saya bercakap atas undang-undang. Dalam perkara berkaitan dengan saksi, hanya Jabatan Peguam Negara yang mempunyai kuasa dan bukannya Majlis Peguam,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hasnal Rezua Merican berkata, dalam isu tersebut adalah lebih baik Majlis Peguam mengambil langkah berdiam diri daripada membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan.

Bagaimapun, sekiranya pihak pendakwa raya mahu Karpal menjadi saksi dalam kes tersebut, perkara pertama yang harus dilakukan, ialah keterangannya perlu dirakamkan dengan berdasarkan peruntukan Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah.

"Setelah selesai keterangannya itu hendaklah dinilai oleh Jabatan Peguam Negara sama ada Karpal layak sebagai saksi yang material atau sebaliknya. Penilaian dibuat berdasarkan sama ada keterangan Karpal itu benar-benar relevan dengan kes perbicaraan Anwar yang berlangsung ketika ini.

"Sekiranya keterangan Karpal relevan, hasrat itu boleh diteruskan dan jika sebaliknya biarkan sahaja Penasihat DAP itu terus menjadi peguam bela kepada Anwar. Segala-galanya terletak pada usaha Jabatan Peguam Negara,'' ujarnya.

Pengerusi Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainul Rijal Abu Bakar yang turut senada mahu Majlis Peguam mengambil pendekatan berdiam diri dan bukannya membuat kenyataan bersifat kontroversi.

"Isu ini melibatkan hak Jabatan Peguam Negara. Mengenai isu disiplin yang dibangkitkan oleh Majlis Peguam, ia adalah di bawah kuasa Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib yang berhak untuk menentukan dan bukannya badan itu sendiri,'' katanya lagi.

Monday, January 24, 2011

Ahmad Said Buat Perubahan Perhubungan UMNO Terengganu Esok?

Saya terbaca dalam blog teganukini bahawa esok mungkin akan ada pengumuman Ketua Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengenai struktur baru perhubungan berkenaan.

Apakah Ahmad Said yang juga Menteri Besar Terengganu berani melakukan perubahan besar? Atau beliau sekadar menyusun semula mana-mana yang dirasakannya lemah.

Sejak diumumkan perlantikannya, Ahmad Said menjadi tumpuan kerana setelah Datuk Seri Hishamuddin Husein melepaskan jawatan mulai 1 Januari lalu, beliau dikatakan akan meneliti setiap peranan yang dimainkan oleh mereka yang memegang jawatan dalam UMNO Terengganu.

Ada kalangan peramal politik mengatakan Datuk Rosli Mat Hassan yang juga Ketua UMNO Bahagian Dungun yang menjadi 'orang kesayangan' Ahmad Said mungkin tercicir kerana Tengku Putera Tengku Awang (Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu) tidak ada sebab untuk digugurkan.

Lagipun, ketika Ahmad Said menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu sebelum diambil alih oleh Hishamuddin, Tengku Putera adalah Timbalan Pengerusi.

Apapun, baca entri dalam teganukini yang memetiknya dari teganuku.

Tajuk Asal: Perubahan Untuk UMNO Terengganu Lebih Aktif & Berkesan?

Banyak sudah laporan mengatakan Badan Perhubungan UMNO Terengganu akan melakukan perubahan dalam struktur pengurusan bagi memastikan jentera parti dapat bergerak lebih aktif dan berkesan.

Ini dilakukan dengan melantik muka baru dan lama menduduki jawatankuasa pengurusan peringkat negeri.

Sama ada di Kuala Nerus, Kuala Terengganu atau juga Jerteh, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata struktur pengurusan perlu diubah bertujuan memastikan jentera parti bergerak aktif.

Badan Perhubungan UMNO Terengganu dikatakan akan mengadakan mesyuarat pertamanya di bawah kepimpinan ‘kali kedua’ Ahmad Said esok yang antara lainnya akan membincangkan pelantikan itu selain merancang agenda parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ahmad Said yang juga Menteri Besar Terengganu dan mengambil alih jawatan itu pada 1 Januari lalu, dikatakan berharap sangat agar mesyuarat pertama itu akan memberi nafas baru kepada perjuangan UMNO Terengganu terutama untuk berdepan dengan pembangkang.

Persoalan yang timbul sekarang ialah, siapakah yang akan terlibat dengan rombakan itu.

Yang pastinya, Timbalan Pengerusi sudah dinamakan oleh Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Razak, iaitu Ketua Bahagian Marang, Yahya Khatib Mohd. Dengan sendirinya salah seorang jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri nanti ialah Alias Abdullah.

Alias, ADUN Alor Limbat yang selama ini dikenali sebagai antara ‘Kumpulan 10’ juga pernah mengejutkan banyak pihak apabila beliau mengemukakan soalan pada persidangan Dewan Undangan Negeri tahun lalu yang menyebabkan berlaku’pertikaman lidah’ antaranya dengan Ahmad Said.

Malah, Alias yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negeri (PAC) dikatakan pernah menimbulkan kontroversi apabila menyiarkan laporan mengenai temubual penuh dengan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Ahamad Wan Muda mengenai perbelanjaan pembelian ‘atap biru’ untuk rakyat.

Berbalik kepada jawatan penting lain seperti Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan, cakap-cakap mengatakan ketiga-tiga mereka yang dilantik oleh bekas Pengerusi Perhubungan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein akan ditukarkan.

Tengku Putera Tengku Awang yang juga Ketua Bahagian Hulu Terengganu yang ketika Ahmad Said memegang Pengerusi Perhubungan antara 2008-2009, pernah menjadi Timbalan Pengerusi dikatakan akan ditukarkan ke jawatan lain.

Namun, rasanya spekulasi itu kurang tepat kerana Ahmad Said berdepan dengan masalah melantik Setiausaha Badan Perhubungan yang baru dan sesuai walaupun ada beberapa nama ditonjolkan. Ramai mengatakan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang pernah menjadi Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu antara 2008 dan 2009 tidak akan dilantik menggantikan Tengku Putera.

Lagipun, Tengku Putera dilihat tidak ada cacat celanya dalam melaksanakan kerja-kerjanya dan dilihat ‘setia’ dengan kepimpinan Ahmad Said.

Bagi jawatan Bendahari pula, rasanya Ahmad Said mempunyai nama baru dan begitu juga Ketua Penerangan.

Ahmad Said sudah berbincang dengan Presiden UMNO di Putrajaya minggu lalu sebelum menghadiri majlis penyerahan tugas oleh Hishamuddin di sebuah hotel terkemuka selepas itu.

Pastinya, Ahmad Said akan akur dengan nasihat Najib yang mahu melihat ‘orang muda’ diberikan amanah untuk menjalankan kerja-kerja pentadbiran parti.

Malah, dikatakan mereka ini perlu didedahkan dengan pentadbiran parti kerana Terengganu yang diyakini akan dipertahankan kuasanya oleh UMNO pada pilihan raya umum ke 13 akan datang memerlukan tenaga muda yang ‘berjiwa besar’.

Kerana itu ada cakap-cakap mengatakan Datuk Rahin Mohd Said (Bendahari) dan Datuk Ahmad Shabery Cheek (Ketua Penerangan) akan digantikan.

Sebab-sebab mereka akan digantikan mungkin kerana faktor ‘membawa masuk orang muda’ selain sebab-sebab lain yang Ahmad Said sendiri ketahui.

Jika mereka digantikan, siapa pula akan dilantik?

Banyak nama disebut-sebut termasuk beberapa ADUN seperti Datuk Zaaba Mohd Adib, Ahmad Razif Abdul Rahman, Rozi Mamat serta juga ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof.

Namun, rasanya Ahmad Said lebih berminat dengan mereka yang menunjukkan ‘kesetiaan’ kepada kepimpinan beliau dan ADUN yang menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri.

Kedudukan Rozi ketika ini sudahpun ‘selamat’ dalam Perhubungan UMNO Terengganu kerana secara automatik, jika Tengku Putera dikekalkan, beliau akan menduduki jawatankuasa kerana kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Bahagian.

Ini menjadikan Zaaba dan Razif menjadi tumpuan. Jika demikian, jawatan apakah yang akan disandang mereka.

Apapun, nama-nama pemimpin muda lain tetap diperkatakan mempunyai peluang.

Segala-galanya mungkin sudah ada di kepala Ahmad Said dan esok akan diumumkan hasil perbincangan beliau dengan Najib.

Kita tunggu dan berharap UMNO Terengganu akan semakin mantap.

Yang penting seperti kata Ahmad Said di Jerteh Khamis lalu, UMNO Terengganu perlu merangka beberapa strategi untuk menggempur PAS berasaskan perkembangan semasa terutama mendedahkan pembohongan pemimpin parti itu kepada rakyat negeri ini.

Selain itu, Ahmad Said menegaskan: “Kepemimpinan baru parti akan memberi fokus kepada usaha menyatupadukan ahli dan pemimpin UMNO supaya sentiasa bersedia pada bila-bila masa menghadapi pihak lawan.”

Beliau percaya, rakyat negeri ini akan terus memberi sokongan kepada BN kerana kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap masalah rakyat menerusi pelbagai program pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan secara berkesan melalui kepimpinannya yang berteraskan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.