Sunday, January 30, 2011

CIK GU MALA TEWAS KEPADA MOHD AZHAR DENGAN MAJORITI 3,706 UNDI


Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Mohd Azhar Ibrahim berjanji akan menumpukan kepada masalah banjir yang melanda penduduk di sekitar pekan Labis dan Tenang.

"Selepas ini saya berjanji akan menumpukan kepada masalah banjir di Labis dan DUN Tenang. Saya juga akan menumpukan perhatian kepada masalah penduduk dan isu tempatan," katanya pada sidang media selepas pengumuman calon yang memenangi DUN Tenang di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Majlis Daerah Labis malam ini.

Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Md Asri Amir di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis jam 10 malam ini.

Barisan Nasional (BN)menerusi Mohd Azhar mencapai kemenangan besar mempertahankan kerusi N.05 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan majoriti 3,706 undi dengan menewaskan pencabarnya Normala Sudirman (gambar kiri) dari Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Mohd Azhar yang juga bekas Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Tanah Daerah Kecil Rengit meraih 6,699 undi berbanding Normala yang hanya mendapat 2,992 undi.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh semua sayap Umno dan Barisan Nasional. Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada sayap Puteri, Pemuda dan Wanita yang telah banyak membantu saya berkempen di sini.

"Pada masa yang sama, saya ingin melahirkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan parti komponen dan sahabat-sahabat BN," katanya.

Beliau melahirkan rasa kesyukuran atas kemenangannya sebagai wakil rakyat yang baru kawasan tersebut.

Pada pilihan raya semalam, proses pengundian tetap dijalankan dalam suasana banjir teruk melanda Labis hingga menyebabkan jalan-jalan utama dari kampung terputus hubungan.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandanganya, Datuk Sulaiman Taha 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur pada 17 Disember tahun lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Sulaiman menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran.

Majoriti yang diperoleh Mohd Azhar adalah 3,707 undi, berbanding 2,492 yang diperoleh Sulaiman pada pilihan raya umum 2008.

Hujan lebat yang turun sejak awal pagi ini sehingga mengakibatkan banjir menyebabkan para pengundi terpaksa dibawa ke tempat-tempat mengundi dengan menaiki trak tentera dan bot.

Keadaan cuaca buruk bagaimanapun tidak menghalang lebih kurang 72 peratus pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil kali ini.
BN memperolehi majoriti di tiga daripada empat pusat mengundi kawasan Cina iaitu di Bandar Labis Timur, Labis dan Tenang malah pengaruh PAS di kubu kuatnya di Bandar Labis Tengah turut terhakis.

Keseluruhannya BN berjaya meraih 40 peratus undi Cina.

Sokongan kepada BN di kawasan-kawasan Felda dan kampung-kampung Melayu turut meningkat. Tiga kawasan Felda, iaitu Felda Tenang, Felda Chemplak Barat dan Felda Chemplak menunjukkan majoriti meningkat BN daripada 1,966 undi pada 2008 kepada 2,241.

Difahamkan, undi kaum India turut beralih kepada BN di mana majoriti undi di dua kawasan penduduk India meningkat daripada 260 pada 2008 kepada 365.

No comments:

Post a Comment