Thursday, December 16, 2010

KEPENTINGAN MELAYU – AHMAD SAID TIDAK BERRETORIK

"Berapa banyak tanah tempatan dibeli oleh orang lain dan dihalau oleh pembelinya begitu sahaja? Tetapi kerajaan bayar segala-segalanya, ayam, pokok pun (kerajaan) bayar. Malah orang yang menumpang di tanah (kerajaan) puluhan tahun secara haram, kerajaan tak pernah denda, sebaliknya beri lagi sagu hati, rumah dan subsidi. Ia mencerminkan keprihatinan kerajaan," - Ahmad Said

Tidak ada ucapan berdegar-degar memperjuangkan kepentingan Melayu. Tidak ada pernyataan untuk membela Melayu.

Bagi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, yang penting ialah melakukan. Melaksanakan program yang mampu menjamin orang Melayu mempunyai pemilikan dan tinggal dalam bandar.

Ahmad Said terbuka...sedia menerima memorandum daripada penduduk yang diatur oleh ADUN PAS.

Peduli apa dengan PAS dan parti pembangkang lain di Terengganu yang cuba menimbulkan suasana kurang selesa dan ‘menggugat’ usaha Ahmad Said.

Di Terengganu – Melayu itu Islam, Islam itu majoritinya dianuti orang Melayu.
Selagi kekal Melayu di bandar, masjid akan penuh dan aktiviti orang Islam akan berterusan.

Dengan kata lain di Terengganu, apabila Ahmad Said memperjuangkan kepentingan Melayu, khususnya di bandar raya, ia bermakna perjuangannya turut membabitkan Islam –bukan asobiyah yang dilaung-laungkan PAS.

Apakah yang dilakukan beliau?

Langkah paling berani ialah kerajaan negeri Terengganu sentiasa memastikan 80 peratus orang Melayu kekal di kawasan penempatan mereka, termasuk di Bandaraya Kuala Terengganu.

Kerajaan Negeri membina pangsapuri di dalam kawasan bandar dengan menyediakan subsidi 50 peratus terhadap pembeliannya dan menjualnya dengan harga RM75,000 setelah tiga tahun disewa.

"Berapa banyak tanah tempatan dibeli oleh orang lain dan dihalau oleh pembelinya begitu sahaja?

Tetapi kerajaan bayar segala-segalanya, ayam, pokok pun (kerajaan) bayar. Malah orang yang menumpang di tanah (kerajaan) puluhan tahun secara haram, kerajaan tak pernah denda, sebaliknya beri lagi sagu hati, rumah dan subsidi. Ia mencerminkan keprihatinan kerajaan," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, kelmarin.

Tindakan Ahmad Said membela orang Melayu itu menjawab dakwaan ADUN PAS Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi kononnya kerajaan negeri tidak peka dengan nasib dan hak orang Melayu berkaitan isu pengambilan tanah bagi tujuan penyusunan semula bandar raya Kuala Terengganu.

Syed Azman menuduh turut menuduh Kerajaan Negeri tidak mempertahankan hak orang Melayu dalam proses penyusunan semula bandar raya itu tidak benar sama sekali.

Hakikatnya, bagi Kerajaan Terengganu, pengambilan tanah bagi tujuan penyusunan semula bandar raya Kuala Terengganu turut dilakukan ekoran kajian mendapati terdapat banyak masalah sosial di kawasan Tanjung dan Ladang seperti sumbang mahram dan penyalahgunaan dadah.

Semalam pula Ahmad Said diasak lagi oleh pembangkang kononnya Kerajaan Negeri tidak peka dengan masalah orang Melayu di Bandaraya Kuala Terengganu.

Sedangkan realitinya, perancangan penyusunan semula bandar raya Kuala Terengganu dibuat dengan mengambil kira kepentingan orang Melayu agar mereka tidak terpinggir.

Kerana itu, pengambilan balik tanah dilakukan dengan imbuhan sewajarnya yang begitu tinggi termasuk kepada mereka yang menduduki secara haram di kawasan terbabit sejak sekian lama.

Selain itu Menteri Besar turut mengotakan janjinya mengenai sewa RM126 sebulan bagi pangsapuri ladang gemilang di pusat bandar raya ini tetapi sekarang dikenakan RM300.

Ahmad Said menjelaskan, kadar sewaan untuk tempoh beberapa tahun itu hanya dikhususkan kepada golongan benar-benar miskin dan bayaran RM300 kepada yang lain adalah wajar dengan keadaan pangsapuri dan lokasinya.

Isunya ialah sampai bilakah Bandaraya Kuala Terengganu tidak wajar diusik dan sakit mata memandang?

Orang Terengganu, khususnya nelayan, buruh dan peniaga kecil yang tinggal di Bandaraya Kuala Terengganu sewajarnya mulai sedar bahawa kerja tradisional itu perlu ditransformasi dalam bentuk semasa dan tidur mereka pun tidak boleh lagi didesirkan oleh angin TImur Laut.

Yang penting, mimpi dan harapan diterjemahkan kepada realiti bahawa tanah semakin meningkat dalam bandaraya dan jika Kerajaan Negeri tidak bantu, mereka bukan sahaja lambat laun akan terusir atau diusir tetapi mereka mungkin akan kehilangan segala-galanya.

Sekurang-kurangnya ketika ini mereka mungkin hilang nikmat ‘berumah di tepi pantai dan tidur dibelai bayu lembut’ tetapi mereka memiliki harta dan kediaman yang terjamin yang tidak kurang daripada RM100,000.

Pada ketika yang sama mereka mendapat pampasan, bantuan untuk berpindah serta berpeluang membeli harta itu dengan harga jauh lebih murah.

Sepatutnya mereka merenung sampai bilakah orang Melayu mahu dibiarkan tinggal dalam bandar dengan rumah beratapkan zinc dan suasana kediaman yang daif dan tidak tersusun?

Hari ini, bagi mereka yang sudah mempunyai flat dan pangsapuri, mereka bukan sahaja menerima subsidi ketika pembelian tetapi nilai harta mereka sudah meningkat hampir 40peratus daripada asalnya.

Pertanyaan ialah siapa yang aan mendapat untung apabila Kerajaan Negeri Terengganu menyasarkan untuk membina 13,000 unit rumah mampu milik menjelang 2013?

Bukankah di Terengganu majoritinya orang Melayu dan sudah pasti mereka yang akan mendapat faedah dengan memiliki rumah sendiri.

Semua rumah yang dibina itu dianggarkan menelan kos RM800 juta dengan keluasan lebih 800 kaki persegi untuk memberi keselesaan kepada rakyat.

Ketika ini hampir 7,000 unit rumah mampu milik sedang dalam proses pembinaan dan bilangan unit rumah itu tidak termasuk peruntukan yang diberikan kerajaan pusat untuk membina 1,002 lagi unit rumah yang sama dengan kos sebanyak RM100 juta.

Jika peluang ini dibuka kepada bukan-Melayu, sudah pasti bukan sahaja mereka berterima kasih menjela-jela tetapi mereka akan berebut-rebut untuk mengumpul sebanyak mungkin flat dan pangsapuri yang ditawarkan dengan harga yang begitu rendah.

Kerana itu orang Melayu Terengganu perlu buka mata luas-luas dan tepuk dada tanya selera!

Tuesday, December 14, 2010

AUTONOMI - IKRAR AZMIN ANCAM PERPADUAN WILAYAH

Nampaknya isu autonomi yang berbahaya kepada perpaduan wilayah ditiup lagi oleh pembangkang khususnya oleh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Yang pasti sejauh ini, hubungan kuasa dan hak antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan dan Kesepuluh Perlembagaan Malaysia tidak ada cact celanya.

Berpandukan kepada jadual itu, kerajaan Persekutuan perlu terus sedaya upaya membantu Sabah dan Sarawak daripada segi pembangunan dan kemajuan ekonomi. Kerajaan Persekutuan juga sentiasa bersedia dalam menghulurkan bantuan sama ada daripada segi kepakaran mahupun kewangan.

Apabila ikrar ini dibuat pembangkang amat jelas ia sedang bermimpikan bertanding di 42 kawasan dan menyasarkan kemenangan sekurang-kurangnya 21 daripada kerusi berkenaan. Inilah sebenarnya impian dan harapan PKR menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-10 yang akan diadakan pada bila-bila masa sebelum Julai 2011.

Selepas lebih 11 tahun mencuba nasib meraih sokongan daripada rakyat Sarawak, PKR menggunakan cara ikrar ini walaupun tahu ia akan menyebabkan kegoncangan kepada hubungan rapat Persekutuan dengan Sarawak yang sudah termeterai sekian lama.

Malah sejak 16 September1963 lagi lagi iaitu sejak penubuhan Malaysia, rakyat Sabah dan Sarawak bebas memilih pemimpin mereka sendiri melalui proses pilihan raya yang dilaksanakan di negeri berkenaan.

Amat jelas sejak itu Kerajaan Persekutuan tidak pernah campur tangan dalam proses demokrasi yang memberikan kuasa penuh ke tangan rakyat Sabah dan Sarawak dalam menentukan masa depan mereka sendiri.

Jadi apa masalahnya yang pembangkang timbulkan isu ini?

Hanya semata-mata gimik politik untuk menarik perhatian rakyat di Sarawak?
Jika pada pilihan raya kecil Parlimen Baru Sapi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengepalai berikrar bahawa Sabah akan diberikan autonomi penuh jika Pakatan Rakyat menduduki Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang. Kelmarin, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali pula menyebutnya.

Di Sabah tempoh hari, ikrar Anwar di buat bersama penasihat DAP Lim Kit Siang dan timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa. Bagaimanapun, autonomi penuh untuk Sarawak yang disebut Azmin, belum bersahut oleh PAS.

Ikrar autonomi agak signifikan di Sabah kerana sentimen tersebut masih kuat berhubung perjanjian 20 perkara yang dimeterai semasa pembentukan Malaysia antara Malaya, Sarawak dan Singapura pada 1963 yang terus diketepikan oleh kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun perkara itu kurang berkesan di Sarawak kerana ketua menterinya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berjaya mengurangkan campur tangan persekutuan di negeri itu pada tahap minimum.

Apapun isu yang dimainkan PKR ini semakin membimbangkan.

Timbalan presiden PKR itu menyatakan perkara itu pada satu ajlis makan malam di Bintulu dengan mengatakan pakatan akan menghormati perjanjian 1963 di mana Sabah dan Sarawak menyertai Semenanjung untuk membentuk Malaysia berdasarkan perjanjian 18 perkara.

Sedangkan pada 28 Oktober lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid sudah member amaran bahawa pemimpin semua parti yang ghairah memancing undi pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi di Sabah diingatkan supaya tidak mengkhianati Perjanjian 20 Perkara yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia pada 1963.

Ulasan itu Ahmad Zahid walaupun mengulas pendekatan kempen Parti Maju Sabah (SAPP) yang memperjuangkan konsep Sabah untuk Sabah dan autonomi pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi ketika itu jelas menggambarkan betapa perjuangan seperti itu tidak lagi relevan.

Malah, sehari sebelum itu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menegaskan, konsep SAPP itu tidak lagi relevan kerana semua rakyat termasuk di negeri berkenaan kini hidup dalam keadaan aman dan harmoni di bawah Malaysia.

Kata Azmin, "Sabah dan Sarawak tidak masuk Malaysia. Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia bersama-sama dengan negeri-negeri persekutuan Malaya," kata Azmin.

Menurut kenyataan media oleh pemimpin PKR Sarawak, Baru Bian, kenyataan Azmin itu menghantar "mesej yang sangat jelas" dan menunjukkan "komitmen" PKR dan pemimpin Pakatan terhadap rakyat Sarawak.

Malah, pada 4 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengatakan isu autonomi Sabah dan Sarawak tidak pernah timbul selama ini kerana kerajaan sentiasa mematuhi perjanjian dan melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, termasuk ketika Sabah berada di bawah pemerintahan pembangkang.

Perdana Menteri berkata, bantuan dan sokongan yang dipertanggungjawabkan untuk kedua-dua negeri ini tetap disalurkan pada ketika itu malah kerajaan negeri juga tidak pernah membangkitkan isu autonomi.

“Isu ini diwujudkan ketika ini kerana pembangkang berhasrat untuk memainkan sentimen rakyat supaya dapat meraih undi di musim pilihan raya akan datang. Isu ini dibangkitkan demi kepentingan peribadi semata-mata," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan lisan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) di Dewan Rakyat, awal bulan November lalu.

Apa yang dilakukan pembangkang ini sebenarnya lebih membawa kepada perpecahan negara – akibat ancaman kepada perpaduan wilayah – sama ada kalah atau memang pilihan raya.

Walaupun kalah, bagi sesetengah rakyat Sarawak yang termakan umpan ini akan merasakan tuntutan perlu dibuat dan ia menjadi ‘api dalam sekam’. Sementara jika PKR menang, perlaksanannya bergantung kepada persetujuan Kerajaan Pusat dan desakan demi desakan akan berlaku.

Bukankah tuntutan itu akan membawa kepada keretakan hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.

Ikrar atau janji mengenai autonomi ini perlu dihentikan segera dan sewajarnya ada suatu amaran atau tindakan dilakukan oleh kerajaan.

Ini kerana kalau dibiarkan pembangkang aktif meniupkan sentimen sebegini sedangkan pihak berkuasa sedar kempen sebegini membahayakan perpaduan wilayah yang sejauh ini tidak pernah terancam dari dalam - 'bom jangka' ini apabila meletup sudah terlambat dan perpaduan wilayah sudah tidak wujud lagi!

Saturday, December 11, 2010

SAMAN RM1B - PAS PERLU MOHON MAAF SECARA TERBUKA

Apakah wang rakyat sebanyak RM1 Bilion terpaksa digunakan untuk membayar saman ini gara-gara kecuaian PAS? Bergantunglah kepada keputusan rayuan oleh kerajaan Barisan Nasional nanti tetapi yang nyata, PAS sudah melakukan kesilapan dan sewajarnya PAS berdepan dengan rakyat Terengganu dan MEMOHON MAAF atau MENGAKUI KESILAPANNYA secara terbuka!

Daripada www.teganuku.blogspot. com (Tajuk asal - PAS Perlu Akui Kecuaian & Mohon Maaf Kepada Rakyat Terengganu)

Harakahdaily Online semalam melaporkan kenyataan tidak senang Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada laporan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Abdul Rahim Muda yang membuat keputusan memihak kepada syarikat pembalakan, Riyapadu Sdn Bhd dalam penghakiman 27 Oktober lalu.

Menurut Mustafa, laporan akhbar pro Umno, Utusan Malaysia semalam kononnya Kerajaan PAS Terengganu cuai sehingga disaman RM1 bilion dianggap menyalahi etika.

Menurut Mustafa, kes tersebut masih dalam proses perundangan dan pihak kerajaan negeri sedang dalam proses rayuan.

“Adalah tidak beretika untuk meletakkan kesalahan itu kepada parti,” ujarnya yang juga bekas Exco kerajaan negeri kepada Harakahdaily.

Apabila Utusan Malaysia melaporkan kes berkenaan berdasarkan kenyataan pihak yang membuat kenyataan akhbar, Utusan Malaysia sebenarnya memetik kata-kata individu dan sesiapa juga yang hadir pada majlis itu.

Persoalannya, jika akhbar Harakah atau portal berita PAS, Harakahdaily mengulas, mencerca dan membuat ramalan yang ternyata tidak benar, PAS tidak pernah mahu meminta maaf.

Persoalannya, kenapa Mustafa tidak senang dengan laporan berkenaan? Apakah ia ada kaitan rapat atau beliau antara orang yang dikatakan terbabit dalam kes berkenaan?

Apakah Mustafa ibarat "seorang lembu yang membawa lumpur, semua yang lain ikut terpalit"?

Ada cakap-cakap - sama ada benar atau tidak - mengatakan dalam isu konsesi balak ini Mustafa adalah ‘orang penting’ di belakang kes ini.

Utusan Malaysia semalam menyebut, akibat kecuaian dan mungkir janji kerajaan Terengganu pimpinan Pas pada tahun 2003, kerajaan negeri (Barisan Nasional) perlu membayar tuntutan saman RM1 bilion kepada sebuah syarikat pembalakan, Riyapadu Sdn. Bhd. (Riyapadu).

Keputusan yang memihak kepada syarikat berkenaan dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Abdul Rahim Muda dalam penghakiman 27 Oktober lalu.

Pengarah Riyapadu, Ally Azwin Datuk Abdul Hamid berkata, keputusan penghakiman berkenaan telah membuktikan ‘kezaliman’ yang dilakukan kerajaan Terengganu pimpinan Pas pada tahun 2003.

“Alhamdulillah Allah telah berikan keadilan pada hari ini, kami bersyukur,” katanya pada sidang akhbar, di Kuala Terengganu, semalam.

Menurut Ally Azwin, berdasarkan penghakiman itu, pihaknya yakin berjaya memperoleh bayaran RM1 bilion seperti mana yang dituntut berhubung kecuaian dan mungkir janji kerajaan negeri ketika itu berkaitan konsesi pembalakan di Empangan Kedua Hulu Terengganu.

Ally Azwain berkata, mahkamah dalam keputusannya memerintahkan defendan (kerajaan Terengganu) mengembalikan wang RM25 juta yang telah dijelaskan oleh plaintif (Riyapadu) pada 2003 bagi bayaran premium konsesi balak di kawasan seluas 16,587 hektar.

Katanya, mahkamah juga memerintahkan bayaran faedah RM7.55 juta pada kadar faedah empat peratus setahun manakala baki deposit bagi bayaran lesen dan cukai balak pula sebanyak RM166,432.86 yang dibayar kepada plaintif.

“Hakim juga putuskan plaintif berhak dapat bayaran keuntungan hasil kawasan balak seluas 1,200 ekar (486 hektar) yang merupakan sebahagian daripada keseluruhan konsesi yang diserahkan kepada Riyapadu,” katanya.

Pada Disember 2007 lalu, Riyapadu memfailkan saman RM1 bilion terhadap kerajaan negeri berikutan tindakan menamatkan perjanjian konsesi balak dengan syarikat itu.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu selepas syarikat tersebut mendakwa perjanjian konsesi mengambil hasil hutan pada 2003 itu ditamatkan secara tidak sah.

Ia membabitkan perjanjian antara syarikat tersebut dengan kerajaan negeri untuk mengambil hasil hutan di kawasan kira-kira seluas 16,587 hektar di Mukim Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu.

Mengulas lanjut, Ally Azwin berkata, keputusan mahkamah tersebut juga mendedahkan kecuaian kerajaan Pas Terengganu ketika itu yang bertindak menamatkan kontrak selain menarik balik lesen sesudah perjanjian dibuat.

Mustafa mungkin marah kerana akhbar lain yang turut melaporkan kenyataan Ally Azwin tidak memetik bahagian yang ‘sensitif’ dengan Mustafa.

Kosmo umpamanya membawa tajuk ’Syarikat menang saman RM1 bilion’ sementara Sinar Harian pula melaporkan ‘Tuntut 1 Bilion’.

Tidak faham kenapa Mustafa tidak marah kepada dua akhbar ini sedangkan turut disebut ia akibat kecuaian dan mungkir janji kerajaan PAS sebelum ini.

Sinar Harian menjadikan berita kenyataan Ally Azwin itu sebagai lead story muka 1 dan sepatutnya Mustafa juga tegur akhbar berkenaan.

Namun kita faham kenapa Mustafa marahkan Utusan Malaysia.

Jika Mustafa boleh menuduh Utusan Malaysia kononnya menyalahi etika, Mustafa juga sebenarnya bersikap memilih atau terlalu prejudis terhadap Utusan Malaysia yang dlihatnya proUMNO.

Itu sahaja!

Apapun, kita tunggu rayuan kerajaan negeri seperti ditegaskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengenai sebanyak mana kerajaan BN perlu menanggung kos yang diakibatkan oleh kecuaian kerajaan PAS Terengganu.

Apakah wang rakyat sebanyak RM1 terpaksa digunakan untuk membayar saman ini gara-gara kecuaian PAS atau apakah tuntutan dapat dikurangkan?

Bergantunglah kepada keputusan rayuan kerajaan Barisan Nasional nanti tetapi yang nyata, PAS sudah melakukan kesilapan dan sewajarnya PAS berdepan dengan rakyat Terengganu dan MEMOHON MAAF atau MENGAKUI KESILAPANNYA secara terbuka!

Jika berdiam diri atau menyalahkan orang lain, ternyata PAS yang namanya parti Islam tetapi tidak berani mengakui kesilapan sendiri.

Jika demikian, biarlah rakyat Terengganu menilainya.

SAIFUL BERSERAH KEPADA ALLAH, ANWAR KEPADA SIAPA?

Ramai mempertikaikan sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan apabila dia bersumpah dalam Masjid Wilayah Persekutuan pada 15 Ogos 2008 bahawa dia diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penyokong Anwar termasuk pemimpin PAS menuduh Mohd Saiful berbuat demikian kononnya kerana agenda politik yang bertujuan menjatuhkan bekas timbalan perdana menteri itu.
Namun apabila dia mengaku di Mekah mengenai kejadian liwat berkenaan, nampaknya tidak ada yang berani mempertikaikannya.

Apakah akan ada orang yang akan mempertikaikan sumpah Mohd Saiful di tanah suci dan mungkin di hadapan Baitullah?

Angkat sumpah yang dibuat Mohd Saiful berlangsung sehari sebelum Anwar umum diri bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh dilihat dan dinilai secara politik oleh banyak pihak.

Malah kata Agendaily, pemimpin PAS yang sudah bersekongkol dalam pakatan rakyat turut mempertikai kaedah sumpah laknat yang dilakukan Mohd Saiful.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi macam-macam alasan termasuk kaedah sumpah Mohd Saiful memegang al-Quran juga tidak tepat, bahkan Mohd Saiful dianggap bodoh berbuat demikian.

Hadi yang membuat dakwaan itu turut menghina pegawai agama yang terbabit dalam sumpah laknat itu.

“Ia suatu kebodohan dan lebih malang lagi melibatkan golongan yang memakai jenama Islam,” katanya pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS ke-54 sebelum ini.

Ada menganggap kes itu menyamai zina dan perlu diadili di Mahkamah Syariah.

Kerana kes itu juga, pegawai Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi diusung PKR berkempen ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh dengan kenyataan beliau hanya diarah hadir ke majlis itu bagi menyempurnakan angkat sumpah Mohd Saiful di hadapannya.

Justeru itu semakin ramai terutama mereka yang taksub kepada Anwar tidak mempercayai kebenaran sumpah laknat Mohd Saiful

Tetapi amat jelas akhir-akhir ini pemimpin PAS seperti Presiden, Musyridum Am dan beberapa pemimpin yang lain nampaknya ‘tidak berani; membuat komen apabila Mohd Saiful mengatakan beliau menggunakan sepenuh peluang di tanah suci untuk mencurah dan mengadu perasaan dan kekesalahannya mengenai kejadian liwat yang berlaku.

Dalam satu entri Zulkifli Nordin dalam blognya mengatakan beliau masih ingat ada di kalangan ‘pak jangoat’ dok bawak cerita Saiful dah lumpuh. Saiful dah kena sopak. Saiful dah tak boleh berjalan. Saiful badan penuh kudis buta. Saiful dah terbaring dengan mulut berbuih. Saiful dok terbaring menyebut-nyebut nama Bang Non..Bang Non. Saiful dok berjalan macam orang tak waras nak mintak ampun dengan pemimpin anugerah tuhan. Semuanya berpunca daripada tohmahan konon Saiful telah terkena laknat ALLAH akibat sumpah muhabbalah yang dibuat Saiful.

Menurut Zulkifli: “Pelbagai cerita dongeng dibawa. Malah pemimpin anugerah tuhan sendiri pernah memberitahu bahawa Saiful ini tinggal masa saja untuk hancur dilaknat, begitu pemimpin anugerah tuhan ceritakan bagaimana golongan agamawan mengkhabarkan kapada pemimpin anugerah tuhan yang menyampaikannya pula kepada teman. Maka ramailah para pak jangoat yang dengan bodoh mengangguk dan mena'amkan patwa pemimpin anugerah tuhan itu; dan menunggulah para pak jangoat untuk laknat itu turun.”

Zulkifli bertanya: “Di mana pemimpin anugerah tuhan? Dengan wajah yang semakin keruh dan kerut. Parti yang semakin hancur. Penyokong yang makin menjauhkan diri. Rakyat yang mula menyedari pembohongannya. Umat yang insaf tembelangnya. Kawan yang makin tersedar kelentongnya. Hanya golongan kafir yang makin merapati. Hanya penyokong antarabangsa termasuk dari golongan gay terus menyokong. Dan hari ini diisytihar oleh bini sendiri sebagai pemimpin anugerah tuhan. Apakah kelak nanti akan mengikut jejak Fir'aun, "ana robbukumul a'laa!!"? Na'uzubillah min zalik!!”

Bagi Mohd Saiful pula, berdoa di dua tanah suci iaitu Mekah dan Madinah menyebabkan beliau tidak melepaskan peluang berdoa dengan harapan Allah akan menunjukkan siapa yang benar!

Bukan mudah untuk seseorang untuk ‘menjatuhkan maruah dirinya sendiri’ dengan mengakui diliwat kerana isu ini mendapat perhatian seluruh dunia.

Berapa ramai yang berani tampil mengatakan perkara yang sebenar tanpa berlindung seperti Mohd Saiful?

Menurut beliau, kesempatan dan peluang berada di tanah suci digunakan secukup-cukupnya untuk beribadah, berdoa dan memohon pada Allah SWT.

Antara tempat-tempat mustajab yang beliau ambil peluang untuk berdoa termasuklah - Wukuf di Arafah, Mina, Makam Rasulullah, Raudah, Multazam, Rukun Yamani, Gua Hira' Jabal Nur dan banyak lagi.

Bagi Saiful, sudah dua tahun setengah dia menanti agar kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan dan beliau tabah menghadapinya. Biarpun belum selesai, beliau redha dan bersyukur dengan segala bantuan yang Allah berikan. Banyak hikmah di sebalik kelewatan, penangguhan demi penangguhan, katanya.

“Mungkin ramai yang telah dapat lihat hikmah di sebaliknya. Itulah kebesaran Allah. Dia Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui.”

Ujar Saiful, dia tidak mempunyai apa-apa kekuatan, kuasa, pengaruh, wang untuk berjuang, hanya Allah SWT tempat beliau mohon dan mengadu.

“Walaubagaimanapun, saya akan terus berdoa, istiqamah dan bersabar, tidak sesekali saya akan menyerah kalah! Kebenaran pasti akan bangkit jua akhirnya,”katanya.

Menurut laporan Agendadailylagi, Saiful yang mengalami berbagai-bagai tekanan berikutan tindakan Anwar suka membuat permohonan tangguh perbicaraan kes liwatnya berkata antara doa yang dipohon - agar terus diberi kekuatan untuk istiqamah dalam menegakkan kebenaran, diampuni dosa-dosa, kesejahteraan dan keselamatan keluarga, agama, umat, bangsa dan tanah air tercinta.
“Juga, mohon rakyat dibukakan Hijjab agar diperlihatkan yang HAQ dan dilenyapkan segala yang batil!,” katanya.
Mendengar dan mengambil pengajaran daripada tindakan Mohd Saiful bermuhabalah atau sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan, keyakinan semakin menyerlah di hati kita bahawa apanya yang diperkata dan diakui Saiful itu memang menimpannya.

Peliknya, sehingga ke hari ini Anwar masih tidak berani melakukan tindakan serupa sebaliknya membawa kes itu ke Mahkamah Syariah supaya Mohd Saiful dikenakan Hukum Qazaf kerana membuat dakwaan diliwat tanpa bukti dan saksi menurut Islam.

Mungkin ada kebenarnya apabila Zulkifli menasihatkan: “Cukuplah para pak jangoat menghina ALLAH dengan memartabatkan manusia yang dituduh meliwat sebagai pemimpin anugerah tuhan. Cukuplah menggadaikan anak isteri untuk dagangan politik. Cukuplah menghina dan meludah bangsa sendiri. Cukuplah dengan menjual nama ALLAH Maha Esa untuk disyirikkan…Beban yang pemimpin anugerah tuhan pun tidak akan dapat menolong kamu. Bertaubatlah sebelum terlambat!