Tuesday, December 14, 2010

AUTONOMI - IKRAR AZMIN ANCAM PERPADUAN WILAYAH

Nampaknya isu autonomi yang berbahaya kepada perpaduan wilayah ditiup lagi oleh pembangkang khususnya oleh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Yang pasti sejauh ini, hubungan kuasa dan hak antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan dan Kesepuluh Perlembagaan Malaysia tidak ada cact celanya.

Berpandukan kepada jadual itu, kerajaan Persekutuan perlu terus sedaya upaya membantu Sabah dan Sarawak daripada segi pembangunan dan kemajuan ekonomi. Kerajaan Persekutuan juga sentiasa bersedia dalam menghulurkan bantuan sama ada daripada segi kepakaran mahupun kewangan.

Apabila ikrar ini dibuat pembangkang amat jelas ia sedang bermimpikan bertanding di 42 kawasan dan menyasarkan kemenangan sekurang-kurangnya 21 daripada kerusi berkenaan. Inilah sebenarnya impian dan harapan PKR menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-10 yang akan diadakan pada bila-bila masa sebelum Julai 2011.

Selepas lebih 11 tahun mencuba nasib meraih sokongan daripada rakyat Sarawak, PKR menggunakan cara ikrar ini walaupun tahu ia akan menyebabkan kegoncangan kepada hubungan rapat Persekutuan dengan Sarawak yang sudah termeterai sekian lama.

Malah sejak 16 September1963 lagi lagi iaitu sejak penubuhan Malaysia, rakyat Sabah dan Sarawak bebas memilih pemimpin mereka sendiri melalui proses pilihan raya yang dilaksanakan di negeri berkenaan.

Amat jelas sejak itu Kerajaan Persekutuan tidak pernah campur tangan dalam proses demokrasi yang memberikan kuasa penuh ke tangan rakyat Sabah dan Sarawak dalam menentukan masa depan mereka sendiri.

Jadi apa masalahnya yang pembangkang timbulkan isu ini?

Hanya semata-mata gimik politik untuk menarik perhatian rakyat di Sarawak?
Jika pada pilihan raya kecil Parlimen Baru Sapi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengepalai berikrar bahawa Sabah akan diberikan autonomi penuh jika Pakatan Rakyat menduduki Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang. Kelmarin, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali pula menyebutnya.

Di Sabah tempoh hari, ikrar Anwar di buat bersama penasihat DAP Lim Kit Siang dan timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa. Bagaimanapun, autonomi penuh untuk Sarawak yang disebut Azmin, belum bersahut oleh PAS.

Ikrar autonomi agak signifikan di Sabah kerana sentimen tersebut masih kuat berhubung perjanjian 20 perkara yang dimeterai semasa pembentukan Malaysia antara Malaya, Sarawak dan Singapura pada 1963 yang terus diketepikan oleh kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun perkara itu kurang berkesan di Sarawak kerana ketua menterinya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berjaya mengurangkan campur tangan persekutuan di negeri itu pada tahap minimum.

Apapun isu yang dimainkan PKR ini semakin membimbangkan.

Timbalan presiden PKR itu menyatakan perkara itu pada satu ajlis makan malam di Bintulu dengan mengatakan pakatan akan menghormati perjanjian 1963 di mana Sabah dan Sarawak menyertai Semenanjung untuk membentuk Malaysia berdasarkan perjanjian 18 perkara.

Sedangkan pada 28 Oktober lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid sudah member amaran bahawa pemimpin semua parti yang ghairah memancing undi pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi di Sabah diingatkan supaya tidak mengkhianati Perjanjian 20 Perkara yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia pada 1963.

Ulasan itu Ahmad Zahid walaupun mengulas pendekatan kempen Parti Maju Sabah (SAPP) yang memperjuangkan konsep Sabah untuk Sabah dan autonomi pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi ketika itu jelas menggambarkan betapa perjuangan seperti itu tidak lagi relevan.

Malah, sehari sebelum itu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menegaskan, konsep SAPP itu tidak lagi relevan kerana semua rakyat termasuk di negeri berkenaan kini hidup dalam keadaan aman dan harmoni di bawah Malaysia.

Kata Azmin, "Sabah dan Sarawak tidak masuk Malaysia. Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia bersama-sama dengan negeri-negeri persekutuan Malaya," kata Azmin.

Menurut kenyataan media oleh pemimpin PKR Sarawak, Baru Bian, kenyataan Azmin itu menghantar "mesej yang sangat jelas" dan menunjukkan "komitmen" PKR dan pemimpin Pakatan terhadap rakyat Sarawak.

Malah, pada 4 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengatakan isu autonomi Sabah dan Sarawak tidak pernah timbul selama ini kerana kerajaan sentiasa mematuhi perjanjian dan melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, termasuk ketika Sabah berada di bawah pemerintahan pembangkang.

Perdana Menteri berkata, bantuan dan sokongan yang dipertanggungjawabkan untuk kedua-dua negeri ini tetap disalurkan pada ketika itu malah kerajaan negeri juga tidak pernah membangkitkan isu autonomi.

“Isu ini diwujudkan ketika ini kerana pembangkang berhasrat untuk memainkan sentimen rakyat supaya dapat meraih undi di musim pilihan raya akan datang. Isu ini dibangkitkan demi kepentingan peribadi semata-mata," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan lisan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) di Dewan Rakyat, awal bulan November lalu.

Apa yang dilakukan pembangkang ini sebenarnya lebih membawa kepada perpecahan negara – akibat ancaman kepada perpaduan wilayah – sama ada kalah atau memang pilihan raya.

Walaupun kalah, bagi sesetengah rakyat Sarawak yang termakan umpan ini akan merasakan tuntutan perlu dibuat dan ia menjadi ‘api dalam sekam’. Sementara jika PKR menang, perlaksanannya bergantung kepada persetujuan Kerajaan Pusat dan desakan demi desakan akan berlaku.

Bukankah tuntutan itu akan membawa kepada keretakan hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.

Ikrar atau janji mengenai autonomi ini perlu dihentikan segera dan sewajarnya ada suatu amaran atau tindakan dilakukan oleh kerajaan.

Ini kerana kalau dibiarkan pembangkang aktif meniupkan sentimen sebegini sedangkan pihak berkuasa sedar kempen sebegini membahayakan perpaduan wilayah yang sejauh ini tidak pernah terancam dari dalam - 'bom jangka' ini apabila meletup sudah terlambat dan perpaduan wilayah sudah tidak wujud lagi!

No comments:

Post a Comment