Monday, November 29, 2010

AHMAD SAID LETAK JAWATAN MB TERENGGANU HARI INI?

“SalamYB. Maaf mengganggu. Sy dapat info bhw esk ptg ada perjumpaan MB dgn semua ADUN. Ada maklumat diterima bhw terdpt rombakan BPUNT dan kemungkinan juga MB akan meletak jwtn. Cuma nak confirmation dd YB.”

Ini adalah SMS yang diforwardkan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu pukul 21:46 (09:46) malam semalam kepada saya.

Apa yang terkandung dalam SMS ini amat jelas bahawa subjek pentingnya ialah:

1. Ada perjumpaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan semua ADUN;

2. Rombakan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT) dan;

3. Kemungkinan Menteri Besar akan letak jawatan.

Saya berminat untuk mulakan perbincangan dengan perkara ketiga iaitu kemungkinan Menteri Besar akan meletakkan jawatan.

Tetapi sebelum itu, ingin diberitahu di sini bahawa yang SMS ini asalnya dihantar oleh ‘pegawai penyiasat’ yang jelas beliau sendiri tidak pasti dan mahukan pengesahan daripada YB tersebut.

Oleh kerana YB berkenaan juga tidak tahu ‘hujang pangkal’ mengenai perkara ini, beliau pula meminta penjelasan atau maklumat daripada saya.

Berbalik kepada perkara letak jawatan ini, saya rasa SMS seperti ini sudah lebih sepuluh kali dihantar oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengganggu pentadbiran Ahmad Said.

Malah, beberapa kali Ahmad Said sudah menjawab isu ini dengan mengatakan beliau menunaikan amanah parti dan istana. Selagi tidak diarahkan sama ada oleh Sultan Terengganu atau parti yang mendapat perkenan istana beliau tidak akan melakukannya.

Ini jelas kerana Ahmad Said dilantik menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh bukan kerana beliau melobi atau mencalonkan diri sendiri seperti sesetengah ADUN Terengganu lakukan sebelum ini, sebaliknya kerana ditakdir beliau dipilih daripada ADUN-ADUN yang menang pilihan raya umum lalu.

Ahmad Said ketika pentadbiran Idris atau ketika berlakunya krisis tidak bertindak seperti sesetengah ADUN di Terengganu yang menyatakan ‘mereka adalah layak’, ‘wajar dilantik’ atau ‘mampu menggantikan Ahmad Said’ menjadi Menteri Besar.

Berita angin yang ditiupkan kononnya Ahmad Said bakal diganti bermula selepas pilihan raya kecil Kuala Terengganu apabila BN kecundang dan ramai yang meletakkan kesalahan di bahu Ahmad Said. Jika kita ingat kembali, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Razak ditugaskan menjamin BN menang di Kuala Terengganu dengan kerjasama UMNO dan BN Negeri.

Kebetulan ketika itu Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri adalah Ahmad Said, maka beliau mahu dijadikan kambing hitam.

Sedangkan banyak faktor menyumbang kepada kekalahan berkenaan yang kebanyakannya tidak ada kena mengena dengan Ahmad Said mahupun Najib.

Juga pada pilihan raya itu tiada pengarah khusus ditugaskan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun).

Selepas peristiwa berkenaan, SMS mengatakan Ahmad Said akan ditukarkan hampir berlegar setiap dua atau tiga bulan sekali. Secara khusus antara peristiwa besar yang dikaitkan dengan pengunduran, perletakan jawatan atau Ahmad Said ditukar selain selepas pilihan raya kecil Kuala Terengganu ialah:

1. Peristiwa penghantaran SMS Ugut Bunuh terhadap tiga ADUN pada April 2009;

2. Pemulauan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh ADUN BN selepas tersebarnya SMS berkenaan;

3. Selepas Ahmad Said ‘diturunkan pangkat’ oleh Presiden UMNO apabila Datuk Seri Hishamuddin Hussein dilantik sebagai Pengerusi BPUNT;

4. Sinar Harian pada 28 Februari 2010 melalui satu analisis mengatakan Ahmad Said diminta lepaskan jawatan pertengahan Mac. Akhirnya pada 13 Mac 2010, Hishammuddin meminta pihak media tidak diperalatkan untuk menimbulkan persengketaan;

5. Pertengahan tahun ini kononnya Ahmad Said gagal menghadap Yang DiPertuan Agong di Jerman;

6. Terbaru sebelum SMS semalam ialah kononnya Tuanku Mizan Zainal Abidin murka dengan Ahmad Said di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada majlis keberangkatan pulang Yang DiPertuan Agong selepas mengambil bahagian dalam pertandingan kuda lasak Piala Sultan awal bulan ini.

Bagi Ahmad Said, beliau sudah lali dengan SMS sebegini dan yang mampu dilakukan ialah mendamba diri kepada Allah yang menentukan nasibnya. Bagi MB Terengganu ini beliau berpegang kepada ketentuan Allah dan jika ditakdirkan hari ini atau esok beliau terus menjadi Menteri Besar itu adalah amanah dan jika sebaliknya beliau menerima dengan tangan terbuka dan penuh redha.

Mengenai ada perjumpaan beliau dengan semua ADUN Barisan Nasional hari ini, ia tidak benar sama sekali kerana pengesahan daripada Setiausaha Sulit Kanannya, Encik Azman Ghani dan Setiausaha Politiknya, Wan Ahmad Nizam Ab Hamid, Ahmad Said akan mempunyai dua mesyuarat penting hari ini iaitu Mesyuarat Jemaah Lembaga KETENGAH dan Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Tasik kenyir kali ke 3.

Pada sebelah malamnya Menteri Besar akan menghadiri Majlis Makan Malam Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PERMINT).

Dan esok (30 November 2010) Menteri Besar akan ke Acara Pelayaran Coronation Cup (Piala Pertabalan). Laporan media sebelum ini menyebut Tuanku Mizan akan menyertai acara ini.

Perkara yang juga menarik dalam SMS semalam ialah rombakan PBUNT. Sungguh pelik bagaimana mereka yang menghantar SMS itu boleh mengaitkan perkara ini.

Perlantikan dan pertukaran Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri hanya boleh dilakukan oleh Presiden UMNO.
Walaupun disebut akan berlaku pengumuman pertukaran yang akan dibuat oleh Najib pada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MT UMNO) malam esok (30 November) tetapi hanya Najib sahaja yang tahu.

Persoalannya siapakah Ahmad Said untuk memanggil ADUN UMNO untuk mengadakan mesyuarat. Untuk apa?

Apakah kerana kecewa kerana sesuatu sebab umpamanya sekiranya tidak dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu Ahmad Said terlalu kecewa?

Ahmad Said bukan jenis orang politik macam itu. Ahmad Said tidak mengkhianati ketua dan perjuangan. Ketika Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad diserang, Ahmad Said adalah orang di barisan hadapan mempertahankan Menteri Besar Terengganu itu ketika itu.

Dan jika pun tidak memegang jawatan UMNO Negeri, Ahmad Said yang menjadi Ketua UMNO Bahagian Kemaman tetap boleh memberikan sumbangan.

Lagipun jawatan Menteri Besar bukan boleh ditukar-tukar begitu sahaja.

Ahmad Said memegang amanah dan tidak boleh melepaskan amanah hanya kerana beliau digugurkan daripada PBUNT.

Kepercayaan istana dan sokongan rakyat yang semakin kuat terhadap gaya pemerintahannya yang berslogankan MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN perlu dipertahankan.

Dan kalaupun berpuluh lagi datang SMS mengatakan beliau akan meletakkan jawatan, Ahmad Said tidak hairan.

Yang pasti ia bukan datang daripada pembangkang tetapi mungkin daripada kalangan orang UMNO sendiri.

Lagipun, SMS sebegini tidaklah sehebat SMS Ugut Bunuh. SMS ini yang sedang dalam proses perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu lebih serius.

Bukan sekadar ia SMS yang cuba mencemarkan nama bekas Setiausaha Sulit Kanannya yang tempiasnya kelak akan dirasai oleh Ahmad Said.

Tetapi SMS itu menyebabkan berlakunya sabotaj bersejarah dan terulung dalam konteks UMNO dan Barisan Nasional apabila ADUN memulaukan sidang DUN Terengganu. Apakah cara ini akan menjadi ikutan di negeri lain jika wakil rakyat BN tidak bersetuju dengan Menteri Besarnya?

Mungkin kerana tidak ada hukuman atau tindakan terhadap kumpulan ADUN BN yang melakukan perbuatan sabotaj itu, SMS mengatakan Ahmad Said akan meletak jawatan terus berlaku.

Mungkin ada pihak dalam UMNO atau Putrajaya seronok melihat apa yang berlaku di Terengganu.

Persoalannya bagaimana jika suatu hari Ahli Parlimen UMNO/BN yang mengambil contoh apa yang dilakukan oleh ADUN UMNO/BN Terengganu melakukan sabotaj atau cara serupa terhadap Perdana Menteri atau Timbalannya?

Saya tidak mampu meramal dan memberikan jawapan sama ada ia akan berlaku atau sebaliknya tetapi yang jelas precendent sudah ada.

UMNO Pusat serta Putrajaya dudah ‘menghalalkannya’ kerana mereka yang mensabotaj sidang DUN itu 'bebas' daripada sebarang hukuman.

SELEPAS AZIZAH, NIK AZIZ PULA ANGGAP ANWAR INSAN TERPILIH

''Masya-Allah, anugerah Tuhan maksudnya manusia yang istimewa dan menjadi contoh serta teladan.”

Demikian pandangan Tan Sri Muhyiddin, anak kepada seorang ulamak terkenal di Bandar Maharani (Muar), Johor.

Timbalan Perdana Menteri itu merujuk kepada kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai manusia terpilih.
“Jika beliau insan biasa seperti kita, (Anwar) sudah lama mengundur dan tenggelam di celah segala cabaran dan gelora yang berlaku,” kata Wan Azizah.

Semalam, Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mengatakan perkara yang sama.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyatakan perkara itu di Gua Musang, turut menyifatkan pemimpin seumpama Penasihat PKR itu sebagai pemimpin yang menjadi teladan terbaik untuk rakyat.

"Anwar adalah pemimpin yang dianugerahkan Tuhan kerana sanggup mengharungi pelbagai rintangan hidup," kata Nik Aziz.

Dengan kata lain, Anwar adalah ‘insan hebat’ yang memang dianugerahkan Tuhan kepada kita semua untuk menjadi pemimpin rakyat.

Apapun itulah kata-kata paling indah diucapkan seorang isteri untuk memuji seorang suami.

Isteri berkenaan - Wan Azizah Wan Ismail – memuji suaminya Anwar pada Kongres Nasional Tahunan Ketujuh PKR di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin yang menggambarkan betapa dalam pasangan itu ‘benar-benar gila untuk ke Putrajaya’.

Kata Muhyiddin: ''Saya nak tanya Wan Azizah, mahukah dia rakyat Malaysia termasuk generasi muda mencontohi teladan, perwatakan dan amalan dalam PKR pimpinan Anwar yang nampaknya cakap tidak serupa bikin."

Beliau berkata, dalam soal kepemimpinan dan politik, umum sudah tahu tentang sifat, perlakuan dan amalan Anwar yang sebenarnya.

''Saya tidak perlu sebut semua ini kerana masyarakat sudah tahu kes yang berlegar di sekitar Anwar. Saya tidak mahu mendahului mahkamah. Jadi, apakah ini anugerah Tuhan, bagi saya ia adalah takdir," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, Wan Azizah harus bersifat lebih realistik dalam memberikan pujian dan tidak harus melakukannya semata-mata kerana Anwar ialah suami yang disayanginya.

''Ucapannya ketika kongres berkenaan seharusnya melibatkan isu yang lebih daripada soal rumah tangga dan peribadi iaitu memberikan tumpuan kepada soal kepimpinan dan politik," katanya.

Setahu saya, hanya bangsa Yahudi sahaja yang merasakan mereka umat terpilih di muka bumi ini. Yang lain yang pernah mengatakan mereka istimewa ialah kalangan Firaun.

Tidak tahulah kini ada pula manusia istimewa yang menjadi pilihan atau dianugerah Allah untuk menjadi Perdana Menteri di negara ini.

Cuma anehnya tidak pula Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai 'manusia terpilih' kerana berjaya menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan berjaya menukar Malaysia daripada negara membangun yang kerdil kepada sebuah negara yang sedang menuju tahap negara maju.

Saturday, November 27, 2010

Hidup Melayu, Hidup Utusan!

Bahagian Kedua

Kerajaan perlu melihat kepada sumbangan Utusan Malaysia ini. Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar dan pemimpin negeri dan daerah perlu membantu Utusan Malaysia dalam apa cara sekali pun. Utusan Malaysia mempertahankan UMNO dan UMNO menjadi teras kerajaan Barisan Nasional – kenapakah ia ‘tersisih’ berbanding media lain contohnya yang dikuasai kumpulan NSTP? Kenapa Utusan Malaysia dibiarkan begitu sahaja seolah-olah ia berjuang bersendirian?


Saya menyambung ulasan mengenai Utusan Malaysia semalam dengan persoalan yang ditimbulkan Hatta – apakah Utusan Malaysia perlu jadi ‘bebas’ umpamanya seperti Malaysiakini?

Persoalan pertama ialah benarkah Malaysiakini bebas? Kedua, apakah Malaysiakini menyokong perkara yang baik diperjuangkan UMNO dan kerajaan?

Melihat kepada apa yang disumbangkan oleh Utusan Malaysia – sama ada berita, rencana, kolum khususnya Awang Selamat serta paparan lain – ia jelas mempunyai visi khusus yang meletakkan kepentingan Melayu dan Islam sebagai inti perjuangannya.

Kenapa Utusan Malaysia mendapat bantahan dan kritikan keras pembangkang? Ini kerana ia memperkata dan mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam yang tidak dibuat oleh akhbar Melayu lain, termasuk Berita Harian.

Kerana itu Utusan Malaysia dituduh membela Perkasa dan Datuk Ibrahim Ali. Sedangkan hakikatnya siapa juga yang memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam akan mendapat pembelaan.

Sementara mana-mana yang dilihat ‘terpesong’ sama ada agenda perjuangan daripada Melayu dan Islam akan ditentang dan dilawan habis-habisan oleh Utusan Malaysia.

Mungkin ada yang merasakan Utusan Malaysia terlebih UMNO, Melayu dan Islam. Salahkah?

Selama ini Utusan Malaysia memperjuangkan nasionalisme, kemerdekaan dan pengekalan dan kesinambungan perjuangan sedemikian sejak sebelum merdeka lagi.

Saya tidak hairan langsung jika pembangkang mengajak memboikot Utusan Malaysia kerana mereka antiUMNO.

Yang menghairan sedikit ialah apabila PAS turut serta mahu memboikot Utusan Malaysia yang memperjuangkan Melayu dan Islam.

Lebih menghairankan ialah antara pemimpin PAS, Subky Latiff umpamanya tahu sangat apa peranan Utusan Malaysia. Tetapi mungkin kerana kini dalam ‘bahtera lain’ beliau melawan Utusan Malaysia yang tetap memainka peranan yang sama tetapi dalam ‘padang politik yang berbeza ketika ini’.

Jika tidak Utusan Malaysia memperjuangkan isu orang Melayu dan Islam, siapa lagi? Harian Metro dengan berita sensasinya dan Kosmo! pula dengan berita masyarakatnya.
Berita Harian kini tidak lagi menjadi suara orang Melayu. Ia mementingkan keuntungan dan pengarang yang dipertanggungjawabkan meletakkan berapa keuntungan dan edaran sebagai ukuran. Soal agenda Melayu menjadi agenda kedua.

Namun tidak dengan Utusan Malaysia yang konsisten memperjuangkan kepentingan Melayu. Biarpun tahu jumlah edaranya menurun, itu bukan perkiraan mutlak. Yang penting masih ramai orang Melayu yang setia kepadanya.

Kerana itu, kerajaan – bukan parti UMNO – perlu melihat kepada sumbangan Utusan Malaysia ini. Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar dan pemimpin negeri dan daerah perlu membantu Utusan Malaysia dalam apa cara sekali pun.

Utusan Malaysia mempertahankan UMNO dan UMNO menjadi teras kerajaan Barisan Nasional – kenapakah ia ‘tersisih’ berbanding media lain contohnya yang dikuasai kumpulan NSTP?

Kenapa Utusan Malaysia dibiarkan begitu sahaja seolah-olah ia berjuang bersendirian?

Saya tidak menafikan ada Menteri Besar, pemimpin UMNO dan pihak-pihak lain yang begitu sayangkan Utusan Malaysia dan membantunya dengan pelbagai cara.

Ada yang membeli ruang, iklan, menaja pengedaran dan sebagainya.

Namun kebanyakan mereka menilai Utusan Malaysia dalam konteks apakah ada laporan mengenai mereka dan apakah laporan itu positif? Jika ada kritikan atau saranan, mereka mula melihat dengan ‘sebelah mata’.

Saya mencadangkan Datuk Seri Najib Razak melihat semula peranan dan kedudukan kewangan Utusan Malaysia agar ia dapat dibantu kerana Utusan Malaysia adalah suara UMNO!

Akhbar UMNO sendiri tidak mampu bertahan lama dan sering berkubur pada ketika maklumat dan kerhja-kerja mempertahankan UMNO dari Perlis hingga ke Sabah diperlukan.

Mengharapkan Malaysiakini? Ia tidak pernah menyiarkan berita atau ulasan yang memberikan advantage atau milage kepada UMNO. Biar baik sekalipun dasar kerajaan dan UMNO, Malaysiakini akan spin supaya dilihat merugiakan rakyat. Kerana apa? Kerana Malaysiakini yang diagung-agungkan oleh Hatta Watari itu mempunyai agendanya sendiri!

Lebih mengejutkan Hatta nampaknya memuji Malaysiakini daripada akhbarnya sendiri. Apakah sikap ini wajar dilakukan oleh seorang pekerja di Utusan Malaysia yang kononnya berfikiran terbuka?

Saya fikir pendirian seperti ini tidak wajar, melainkan Hatta adalah seorang kakitangan Malaysiakini. Tidak tahulah jika Hatta sudah memikir atau menilai kedudukan dirinya untuk ‘berhijrah’.

Mahu dikatakan Malaysiakini ‘bebas’ rasanya tidak sekali-kali. Ia banyak memberikan ruang kepada pembangkang sesuai dengan peranannya sebagai suara alternatif kepada media perdana.

Bagi saya Malaysiakini adalah saingan langsung kepada Utusan Malaysia ketika ini, seperti juga beberapa akhbar elektronik lain yang mirip pembangkang dan tidak senang kepada UMNO, orang Melayu dan Islam.

Satu perkara yang dilupakan orang Melayu dan Islam ialah bagaimana Utusan Melayu (M) Bhd mempertahankan tulisan Jawi melalui akhbarnya Utusan Melayu dan kini terus dicetak dalam saiz lebih kecil (tabloid).

Bayangkan berapa banyak wang yang Utusan Melayu perlu belanjakan demi memartabatkan tulisan Jawi. Apakah ini bukan tanggungjawab sosial. Sedarkah Hatta dan orang Melayu lain (jika mereka masih merasakan diri mereka Melayu) mengenai perkara ini?

Saya mengharapkan agar semua pihak di Utusan Melayu khususnya yang ada kena mengena dengan Utusan Malaysia tidak undur.

Dari Pengerusi Eksekutif, Ketua Pengarang dan seluruh kakitangan Utusan Malaysia perlu tabah dan tidak mengorbankan prinsip dan perjuangan Utusan Malaysia.

Nama yang sinonim dengan UMNO dan orang Melayu tidak perlu digadai dengan kepentingan keuntungan semata-mata.

Lagipun, media cetak kini terpaksa berdepan dengan media elektronik dan media siber yang di mana-mana juga di dunia ini kini mengalami penurunan dari segi edaran.

Namun Utusan Malaysia membuktikan Utusan Online mampu bersaing dan kenapa tidak suara Melayu dan Islam itu diperkasakan lagi menerusi media ini.

Mungkin Utusan Online boleh dipertingkatkan peranannya dan dengan sokongan pihak yang sewajarnya membantu Utusan Melayu - Utusan Malaysia sama ada melalui edisi cetak atau juga sibernya perlu terus dipertahankan.

Apapun ancaman atau juga persaingan, Utusan Malaysia sebagai wadah perjuangan dan suara orang Melayu dan Islam tidak boleh luntur semangat.

Hidup Melayu, Hidup UMNO, Hidup Utusan!

Friday, November 26, 2010

UTUSAN MALAYSIA - KERUGIAN & PEMILIKAN POLITIK

Utusan Malaysia berada dalam keadaan tersepit antara ‘menjaga kepentingan dan masa depan Melayu’ dengan keuntungan. Yang berlaku sehingga hari ini ialah Utusan Malaysia meletakkan perjuangan kepentingan Melayu, Islam dan masa depan Malaysia sebagai matlamat utama.


Bahagian Pertama

Berita mengenai Utusan Malaysia (M) Bhd rugi yang dikatakan akibat pemilikan politik menarik minat saya untuk turut serta memperkatakannya.

Lagipun Presiden Wartawan Malaysia (NUJ) , Hatta Wahari (gambar kanan) yang saya difahamkan masih menjadi kakitangan syarikat itu turut membuat kenyataan yang pada saya tidak adil dalam beberapa konteks.

Pertama, Hatta membuat kenyataan bukan sahaja menghentam Utusan Malaysia tetapi membanding dan memuji Malaysiakini.

Kedua, Hatta mengatakan Utusan Malaysia rugi kerana ‘tidak bebas’.

Ketiga, apakah akhbar bukan Utusan Malaysia membuat keuntungan kerana ‘bebas’?

Keempat, apakah Hatta membuat kenyataan mengenai Utusan Malaysia itu bersifat peribadi atau sebagai Presiden NUJ. Apakah wartawan lain menyokong sepenuhnya pendapat beliau ini? Apakah kenyataan ini dibuat sebagai pendirian bersama?

Dalam menyatakan pendapat ini mungkin saya salah kerana sudah meninggalkan dunia akhbar sejak 1998.

Namun, sedikit pengalaman boleh dikongsi bersama untuk sama-sama kita merenungi kedudukan sebenar Utusan Malaysia dan dilema yang dihadapinya.

Saya mahu mengulas perkara kedua terlebih dahulu yang menyabitkan Utusan Malaysia sebagai akhbar ‘bebas’.

Saya mula menulis dengan Utusan Malaysia sejak 1971 ketika tingkatan empat untuk memaparkan masalah masyarakat yang berlaku di daerah Besut, Terengganu.

Contohnya rencana saya di sebelah kanan ini disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 17 Januari 1973 ketika saya menunggu keputusan Malaysian Certificate of Education (MCE). Bermakna ketika saya menulis rencana ini umur saya adalah 18 tahun.

Saya bernasib baik kerana mengenali beberapa penulis Utusan Malaysia yang sudah terkenal ketika itu termasuk Ustaz Ropik (Rafia) - bapa kepada Allahyarham Sirajuddin Rafia (wartawan dan Pengarang di Utusan Malaysia) – yang ketika itu menjadi Ketua Biro Kelantan serta Muis Jabar, Ketua Biro Bernama Kelantan ketika itu.

Selepas penulis saya mengenali Mohamad Jusoh yang menjadi Ketua Biro Utusan Melayu di Kota Bharu selain beberapa wartawan di Kuala Terengganu. Selain itu, ada beberapa yang lain yang saya lupa namun rakan penulis di Utusan Melayu Kelantan yang saya ingat ialah Wan Ahmad Wan Hassan dan Saroji Mokhtar. Melalui mereka saya juga mendapat tunjuk ajar menulis dengan lebih baik selain asas penulisan berita dan rencana diajar oleh abang saya sendiri – Hasbullah Latiff yang sudah bersara dengan RTM dan masih menetap di Kota Kinabalu.

Ketika itu Utusan Malaysia mahukan penulisnya memberikan tumpuan kepada cerita-cerita masyarakat – kemiskinan, peluang belajar, pertanian, perniagaan – yang semuanya bercirikan keadaan setempat.

Malah, apabila Rancangan Malaysia Kedua dilancar pada 1970 dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971, saya diberitahu oleh mereka yang membimbing saya memberikan tumpuan kepada perkara berkenaan.

Maknanya, Utusan Malaysia adalah penggerak kemajuan orang Melayu dan sememangnya tidak bebas. Utusan Malaysia adalah suara dan nadi pembangunan orang Melayu yang ketika itu masih miskin dan jauh ketinggalan berbanding dengan rakyat bangsa lain.

Dengan menyiarkan berita-berita serta pembangunan kampung dan daerah - selain menimbulkan masalah kampung dan daerah, ia membantu kerajaan khususnya Pejabat Daerah dan Kerajaan Negeri untuk mendekati masyarakat secara terus.

Mengharapkan rakyat membuat aduan pada 1970an dan 1980an? Jauh sekali. Hanya akhbar Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harianlah yang menjadi suara dan nadi orang Melayu!

Apabila saya ‘tinggalkan’ Utusan Malaysia kerana menerima tawaran Berita Harian untuk menjadi stringer melalui surat Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail (pada 1973) saya tidak menulis lagi dengan Utusan Malaysia.

Namun saya tidak pernah lupa untuk menjenguk Utusan Malaysia hinggalah sekarang. Lagipun penulisan beberapa rakan wartawan seperti Zahari Affendi, Sirajuddin, Khalid Mohd, Mazlan Nordin terus menerus saya ikuti.

Malah ketika Johan Jaafar menjadi Ketua Pengarang pun saya tidak lupa menjenguknya walaupun hati saya sedikit tawar kerana Utusan Malaysia ketika itu ‘tidak bebas’ dalam keadaan tidak bebas kerana dipengarahui orang politik tertentu.

Bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi saya apabila berita mengenai Tan Sri Rahim Thamby Chik dan ‘anak gadis’ mulanya ‘pecah’ melalui laporan Utusan Malaysia. Bagi saya Utusan Malaysia di bawah Johan adalah paling ‘tidak bebas’.

Namun ketika itu tidak ada suara orang menjerit seperti Hatta terhadap Utusan dan jika ada pun ‘suara-suara sumbang’ ia dibuat dalam lingkungan orang UMNO dan pemimpin tertinggi sahaja.

Namun siapa berani buka mulut? Orang yang mengawal Utusan Malaysia ketika itu adalah di bawah ketiak Dr Mahathir Mohamad – Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Faham-fahamlah sendiri siapa dia!

Jadi apabila Hatta mengatakan Utusan Malaysia mesti bebas, saya tertanya-tanya, sebagai pekerja Utusan Malaysia, Hatta tidak fahamkah misi dan matlamat maklumat yang disebarkan Utusan Malaysia itu untuk siapa dan demi siapa?

Bagi saya, jika seseorang pekerja itu tidak tahu matlamat atau hala tuju syarikat di mana dia bekerja – dia seorang yang lemah dan tidak menyumbang kepada syarikat. Dengan kata lain jika ada penilaian terhadap prestasinya dia adalah pekerja yang gagal dan tidak layak dinaikkan pangkat atau diberikan merit.

Tidaklah tahu pula saya apakah Utusan Malaysia memang sanggup ‘memelihara’ pekerja yang lemah dan tidak menyumbang kepada syarikat dan berapa ramai di syarikat berkenaan.

Dan kalau rugi pun, antara sebabnya bukan semata-mata akhbar itu tidak bebas tetapi mempunyai pekerja yang ‘lemah’ dan ‘tidak menyumbang’ kepada syarikat.

Bercakap mengenai ‘bebas’ ini saya ingin merujuk kepada beberapa syarikat seperti The Star dan akhbar berbahasa Cina yang lain.

Apakah akbar ini bebas? Tidakkah ia juga dimiliki oleh parti atau individu yang berkait rapat dengan orang politik? Bebas untuk siapa?

Atau mereka untung bukan kerana beritanya baik tetapi kerana pengiklan yang setia kepada akhbar mereka?

Bagaimana pula pengiklan akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro dan Kosmo! ? Apakah syarikat-syarikat GLC, swasta dan kerajaan negeri benar-benar menyokong mereka seperti akhbar The Star dan akhbar Cina disokong oleh syarikat-syarikat swasta yang besar?

Kita jangan lupa bahawa pembaca The Star dan akhbar Cina ialah masyarakat peniaga, jutawan dan billionaire. Siapa pembaca Harian Metro, Kosmo!, Berita Harian dan Utusan Malaysia?

Di sinilah wujudnya kepentingan akhbar – apakah untuk keuntungan atau demi tanggungjawab sosial?

Setahu saya sesebuah akhbar tidak akan untung daripada jualannya – malah untuk cover kos pun tidak mampu. Akhbar yang jumlah kutipan dan hasil pengiklanan tinggi akan mendapat untung yang besar dan bukan kerana jualannya.

Saya melihat Utusan Malaysia berada dalam keadaan tersepit antara ‘menjaga kepentingan dan masa depan Melayu’ dengan keuntungan. Yang berlaku sehingga hari ini ialah Utusan Malaysia meletakkan perjuangan kepentingan Melayu, Islam dan masa depan Malaysia sebagai matlamat utama.

Sudah pasti dalam keadaan ini Utusan Malaysia akan tercicir dari segi pengiklanan dan keuntungan.

Pertanyaan ialah apakah Hatta mahu Utusan Malaysia ‘menggadai masa depan orang Melayu’ dengan keuntungan?

Bahagian Kedua – Utusan Malaysia Perlu Teruskan Misi