Sunday, February 8, 2009

BERTENANG & KAWAL PERASAAN

Dah lah, dah dapat berkuasa semula pun.
Barisan Nasional (BN) dan penyokongnya jangan sampai riak pula.

Ketika ini kita sewajarnya cuba mengawal perasaan sebaik mungkin – yang naik mahupun yang tersungkur.

Memang ada yang gembira dan yang berduka dan marah.
Kalau tidak tak kanlah gambar muka Datuk Seri Mohd Najib Razak di pijak-pijak!

Saya mendapat berita lebih 3,000 penyokong Barisan Nasional berhimpun tanda sokong Sultan Perak di Ipoh pagi ini.

Mereka mengadakan demonstrasi secara aman di Ipoh bagi menunjukkan sokongan mereka kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Demonstrasi selama sejam bermula pukul 10.30 pagi itu diadakan di belakang sebuah hotel dan diterajui oleh Barisan Bertindak Perpaduan Melayu Malaysia (BBPM).

Selepas perhimpunan itu, Ketua Umum BBPM, Osman Bakar menghantar memorandum sokongan tersebut kepada Istana Kinta untuk diserahkan kepada Tuanku Sultan.
Memorandum tersebut menyatakan taat setia kepada Tuanku dan agar keluhuran perlembagaan dan Rukun Negara dihormati oleh rakyat Malaysia seluruh negara.
Oklah, cukuplah setakat ini.

Himpunan ini diadakan sebagai jawapan kepada sekumpulan inidividu dipercaya penyokong Pakatan Rakyat mengadakan protes ketika majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru kelmarin.

Jangan menimbulkan sebarang kedudukan yang tidak tenteram dan tidak selesa di Perak.
Kerajaan ada polis, ada angkatan bersenjata dan sebagainya yang boleh menjaga keselamatan dan kita semua jangan turut serta dalam perhimpunan sama ada menentang atau menyokong.
Periksa dulu ada permit atau tidak.

Ini kerana polis sudah member amatan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengadakan atau terlibat dengan perhimpunan atau demonstrasi yang bertentangan dengan undang-undang, ekoran suasana politik di Perak sekarang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata semalam polis menerima maklumat bahawa terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khabar angin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya, mengajak orang ramai berkumpul bagi mengadakan perhimpunan atau berdemonstrasi.

"Pihak polis tidak akan membenarkan sebarang aktiviti tersebut yang bertentangan dengan peruntukan undang-undang negara yang sedia ada.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung kerana perbuatan sebegitu boleh menggugat suasana ketenteraman semasa," katanya dalam satu kenyataan.

Ismail menasihati orang ramai supaya tidak bertindak mengikut perasaan tetapi perlu bersikap bertanggungjawab, menghormati serta menyanjung keluhuran undang-undang negara.

Setakat ini keadaan di Perak adalah selamat dan terkawal dengan pihak polis sentiasa memantau keadaan agar situasi terus kekal aman dan damai, katanya.
Jadi dengarlah amaran polis, lagipun semuanya sudah selesai.

Bagi penyokong parti tunggulah apa juga keputusan yang akan dibuat – sama ada pilihan raya kecil atau sebagainya.

Kita semua sudah tahu bahawa keadaan politik di Perak kini walaupun tenang di atas tetapi sedang bergolak di bawah apabila Pakatan Rakyat tidak mengiktiraf kerajaan baru BN yang secara rasminya kembali 'merampas' negeri itu setelah Datuk Dr Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Jumaat lalu.

BN berjaya mengambil alih pentadbiran 11 bulan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu selepas tiga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bebas daripada Pakatan keluar parti dan menyatakan sokongan kepada BN.
Lagipun seperti saya ulangi berkali-kali sejak Khamis lalu, patuhi dan terimalah dengan hari terbuka keputusan Sultan Azlan Shah memutuskan baginda tidak berkenan untuk membubarkan DUN seperti yang dipohon Pakatan.
Tuanku sendiri sudah meminta Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar setelah yakin Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan ADUN.

Soal tindakan atau cara mana Mohammad Nizar sehingga hari ini masih enggan melepaskan jawatan itu kerana menganggap beliau masih secara sah menjawat jawatan Menteri Besar di bawah peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Perak, itu kita serahkan kepada kerajaan dan istana.
Jangan ambil keputusan melalui otak dan tangan kita sendiri. Tidak tercapai kita untuk memikirkannya dan lebih buruk jika termakan dakyah pihak tertentu yang gila kuasa!
Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya Jumaat lalu berkata, pihaknya akan memfailkan satu saman bagi mencabar kesahihan pelantikan Menteri Besar yang baru dari BN.
Biarlah Anwar berbuat sesuatu sekiranya ia mematuhi lunas undang-undang. Hormatilah tindakannya.

Yang benar tetap benar.

Ia tidak akan terserlah serta merta tetapi perlahan-lahan mereka ‘yang tersesat’ akan kembali ke pangkal jalan!

APABILA TIDAK BERTUANKAN SULTAN PERAK

Jangan sampai Sultan negeri lain ikut murka.

Jangan perkecilkan institusi istana. Cubit peha kiri, peha kanan akan terasa.

Mungkin sesetengah orang merasakan tidak apa ‘membelakang’ dan ‘mencerca’ Raja Perak. Apa perasaan sultan-sultan lain? Kalaupun mungkin negeri lain-lain dan ada yang menganggap tidak ada kena mengena tetapi ramai daripada mereka ada kerabat dan saudara mara di negeri lain.
Sudah pasti kerabat dan saudara-mara juga terasa.

Jadi, perbuatan membelakangkan Raja di Perak itu sudah pasti memberikan kesan kepada sultan di negeri ini.

Jika di Perak institusi Raja mula diherdik dan dicerca, apakah ada jaminan tidak akan berlaku di negeri lain?

Mana janji mahu patuhi keputusan Sultan Perak?

Apakah rakyat Perak mahu mereka dianggap yang pertama menderhaka kepada Rajanya di zaman moden ini?

Semua tindak-tanduk sesetengah pemimpin dan ahli politik Perak yang menentang keputusan Raja sedang diperhatikan.

Bagi saya wajar sekali jika Menteri Besar mahupun Exco Pakatan Rakyat melihat ke dalam diri sendiri – apakah mereka sendiri mereka kedudukan seperti sekarang atau berbuat demikian kerana diarahkan oleh ‘tangan ghaib’?

Petang semalam, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang masih menganggap menjawat Menteri Besar, berkata barisan exco Pakatan Rakyat akan meneruskan tugas seperti biasa sehingga Mahkamah Tinggi memutuskan kedudukan kerajaan negeri itu.

Mohammad Nizar yang mempengerusikan mesyuarat khas exco di kediaman rasmi Menteri Besar Perak berkata Pakatan Rakyat menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada kerajaan negeri yang ada sekarang sah atau sebaliknya.

Katanya di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di Ioph petang semalam: “Jadi kita serah sebulat-bulatnya kepada mahkamah untuk menentukan. Kalau mereka teruskan (angkat sumpah exco kerajaan negeri Barisan Nasional) sebelum mahkamah bersidang, maknanya kita akan ada dua menteri besar dan dua kerajaan. Belum pernah ada dalam dunia begini.”

Jadi kepada siapa Muhammad berketuakan sekarang? Sultan atau pemimpin PAS?
Bagaimana pula dengan Exconya yang terdiri daripada anggota PKR dan DAP? Apakah mereka bertuankan Sultan atau Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang?

Bagi rakyat yang menentang keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah – kepada siapakah mereka berketuakan sekarang? Parti PKR, DAP dan PAS atau Abdul Hadi Awang, Anwar atau Kit Siang.

Jangan buat precendent tidak mahu turun kerajaan walaupu n sudah tidak jadi majoriti.
Bagaimana kelak kalau ada negeri yang mungkin berlaku perkara yang sama. Mahukah BN atau parti komponen BN melakukan perkara yang sama?

Apakah rakyat di negeri lain juga mahu berdegil untuk menunjukkan mereka juga tidak bertuankan Sultan masing-masing?

Selain itu, siapa pula ‘tangan ghaib’ yang menghasut dan mendesak mereka ini mengingkari perintah Raja?

Kenapa ‘lempar batu sembunyi tangan?” kenapa tidak berani tonjolkan diri dan menggunakan Mohammad Nizar dan rakyat Perak?

Apakah tangan ghaib itu Anwar? Atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat? Atau juga Lim Kit Siang.

Saya cuma bertanya bukan menuduh. Saya kesian kat orang Perak dan Muhammad Nizar yang pastinya akan menjadi ‘kambing korban’.

Apakah Muhammad Nizaru mempertahankan semua itu kerana beliau gila jawatan Menteri Besar atau kerana dihasut dan diasak oleh mereka yang mempunyai agenda tersendiri?

Tun Dr Mahathir Mohamad melalui blognya ada menyebut bahawa oleh kerana Sultan Azlan Shah mengisytiharkan tidak perlu diadakan pilihan raya, keputusan itu harus dihormati.
Jadi, hormatlah keputusan Raja kita dan jangan anggap keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak itu sebagai mementingkan Melayu semata-mata.

Sebagai seseorang yang pakar mengenai undang-undang, sudah tentu Raja Azlan Shah menimbang banyak perkara sebelum membuat dua keputusan penting – tidak perlu pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak dan meminta Nuhammad Nizar mengosongkan kerusi Menteri Besar!

KARPAL ADA MAKSUD TERSIRAT?

Saya mendapat respons menarik daripada amir hamzah dari Batu Pahat (www.amirhamzah-segalanyamungkin.blogspot.com) yang berkisar sekitar “apakah tujuan tersirat Karpal saman Sultan Perak ?”

Saya tidak pasti dan tidak pandai membaca isi hati orang, apa lagi ahli politik seperti Karpal Singh.

Saya juga tertanya-tanya apakah benar DAP sedang menanam kebencian terhadap Sultan?
Semua ini hanya Karpal sahaja yang dapat menjawabnya.

Apapun, baca ulasan amir hamzah ini untuk sama-sama menilai:

“DAP akan sentiasa mengambil kesempatan!

Dalam pilihanraya ke 12, Mac 2008 Perak ditakdirkan jatuh kepada Pakatan Rakyat apabila BN hanya mampu mempertahankan 28 kerusi berbanding PR 31 kerusi iaitu gabungan , PAS (6), DAP (18), KeADILan (7). Disebabkan DAP memenangi majoriti 18 kerusi sepatutnya atas dasar demokrasi DAP yang menjadi Menteri Besar berbanding 2 parti sahabatnya itu.

Tetapi Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan kehendak Sultan mestilah Melayu dan Islam layak menjadi Menteri Besar Perak.

Dengan kata lain, dengan pembahagian kerusi yang ada sekarang sampai kiamatlah DAP tidak boleh menjadi MB, kecuali DAP berjaya mengalahkan calon-calon UMNO di kawasan majoriti Melayu dengan meletakkan calon-calon Melayu.


Sebab itu pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang membantah perlantikan Setiausaha PAS Perak Muhammad IR Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak.

Kit Siang di dalam blognya membantah calon MB yang diperkenan oleh Sultan Perak atas alasan PAS mempunyai kerusi yang sedikit jika dibandingkan dengan DAP dan PKR.
Dalam kes yang lain Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tindakan pengerusi DAP Karpal Singh mempertikaikan kuasa Sultan Perak berhubung pertukaran pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Datuk Jamry Sury secara terbuka adalah tidak betul dan boleh dianggap derhaka.

Dalam hal ini, Pok Nik hanya berani mengeluar kenyataan sahaja tetapi tidak boleh berbuat apa-apa pun kepada Karpal. Kenyataan itu hanya menjadi penyedap halwa telinga sahaja.
Kenapa DAP beriya-iya sangat hendak menyaman Sultan Perak sedang DAP jugalah yang menentang Nizar sewaktu hendak menjadi MB. Sekarang DAP pula menjadi hero mempertahankan pulak MB besar ini.

Sebabnya kerana Nizar adalah kuda tunganggan DAP Perak sewaktu menjadi MB dan perletakan Nizar menjadikan 18 kerusi DAP hanya sebagai pembangkang dan kehilangan 6 kerusi exco.
Menyaman Sultan Perak adalah untuk mencabar orang Melayu dan UMNO khususnya yang dikatakan sebuah parti yang mempertahankan Institusi Raja Perlembagaan di Malaysia.

Ianya juga dilihat sebagai melihat reaksi UMNO setelah UMNO Terengganu sendiri pernah 'menderhaka' kepada YDP Agong mengenai isu Pok Yeh yang tidak dilantik menjadi MB.
Menyaman Sultan Perak juga adalah untuk menanam rasa benci kepada Sultan yang tidak adil seolah-olah Sistem Feudal telah dikembalikan semula. Kerajaan sekarang seolah-olah tidak mempraktikan Sistem Raja Berpelembagaan dan Raja mempunyai kuasa mutlak dan menafikan hak dan suara rakyat.

Perasaan ini mula ditanam dan disemai secara halus di dalam hati dan sanubari Melayu yang pro PAS dan PKR. Perasaan yang sama sudah lama tertanam di kalangan orang bukan Melayu. Demontrasi di Masjid Ubudiah dan Istana Iskandariah yang terletak berhampiran di Kuala kangsar semalam melihat taktik DAP dan Karpal telah berjaya. Rasa benci dan marah kepada Sultan telah dicetuskan oleh Melayu PAS dan PKR sendiri.

DAP akan menggunakan isu ini sebagai membuktikan hanya DAP sahaja yang berani. DAP sekarang menjuarai politik Malaysia dengan mengalahkan UMNO, PAS dan PKR. Hanya DAP sahaja di lihat banyak membawa isu-isu rakyat dan ianya satu-satu Parti Politik di Malaysia yang berani mencabar Raja-Raja Melayu walaupun kita tahu di belakangnya adalah Anwar dan Hadi. Inilah kempen terbesar dan terawal DAP sebelum menjelang Pilihanraya ke 13 nanti.

Menanam rasa benci kepada Institusi Raja ini sangat merbahaya. Ianya adalah kearah Malaysia sebagai sebuah negara republik. Malaysia sedang menuju ke arah revolusi rakyat seperti mana yang berlaku di Iran pada 1979. PAS Malaysia memang menjadikan Iran sebagai negara contoh mereka.

Jika Melayu PAS dan Melayu PKR sudah bergabung dengan DAP perkara ini tidak mustahil berlaku dalam waktu terdekat jika pemimpin-pemimpin Melayu khususnya hanya berpeluk tubuh dan memerhati sahaja.
NGO-NGO Melayu hilang entah ke mana? Ada NGO yang sanggup membuat demontrasi tentang penggunaan Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains tetapi apabila Karpal menyaman sultan, NGO ini menyorokkan diri.

Bukankah Bahasa dan Institusi Raja Melayu itu terletak dibawah Hak-Hak Istimewa Orang-Orang Melayu juga. Perjuangan seperti ini tidak istiqomah.
Kita mengharapkan pemimpin-pemimpin Melayu sama ada daripada parti politik kecuali PAS dan DAP yang telah diberi 'nasi kangkang' oleh DAP, badan-badan atau pertubuhan Melayu supaya bangkit menentang Karpal dan DAP bagi mengikis tujuan jahat mereka menanam rasa benci kepada Sultan.

SAYA MENGHARAPKAN AGAR AKTA HASUTAN DIGUNAKAN UNTUK MENAHAN PEMIMPIN-PEMIMPIN TERTENTU YANG MENGHASUT RAKYAT MEMBUAT DEMONTRASI DAN SUDAH TENTU KE ARAH MEMBUAT REVOLUSI MEMBUANG 9 ORANG RAJA-RAJA MELAYU.


DAP berpendapat agak sukar untuk DAP memerintah Malaysia selagi:

1. Adanya Institusi Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Negera yang perlu banyak di pinda.

2. Tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Perkara ini DAP telah berjaya apabila PAS dan PKR sudah berada bersama mereka.
Seperti mana Anwar, Karpal, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng juga berhasrat untuk menjadi PM Malaysia.”

Terima kasih amir hamzah.

Saturday, February 7, 2009

SAMAN SULTAN PERAK - SIAPA LIDAH BERCABANG?


(Isu Sabtu)


Karpal Singh, Mohamamd Nizar atau media pro-kerajaan?

Ia berkaitan isu saman Sultan.

Bagi saya yang kelam-kabut berlaku adalah kerana Pakatan Rakyat terkejut sehinggakan tidak lagi terancang tindakan mereka.

Pertama, mereka tidak menyangka dua bekas DUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggalkan parti itu, tidak percaya ADUN UMNO yang masuk PKR kembali semula ke UMNO dan ADUN DAP boleh meninggalkan DAP.

Kedua, ialah tidak percaya Sultan Perak, Sultan Azlan Shah memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun Menteri Besar Pakatan Rakyat sebelum itu mengumumkan pembubaran berkenaan.

Ketiga, tidak menduga Sultan Perak berkenan untuk menerima pembentukan kerajaan baru (Barisan Nasional) dan turut berkenaan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Baru.

Hakikatnya, media arus perdanahanya melaporkan berasaskan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh mengenai saman Sultan Perak ini.

Bukan akhbar media perdana sahaja melaporkannya, Malaysiakini turut melaporkannya pada 6 Februari pukul 09 5:07 malam berkenaan yang berbunyi: “Pakatan Rakyat bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak dan BN jika terus melantik menteri besar BN yang baru, kata pengerusi DAP Karpal Singh.

“Beliau berkata Pakatan tidak mempunyai pilihan bagi mengambil tindakan itu kerana pelucutan jawatan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin oleh Sultan Azlan Shah jelas di luar batas kuasa dalam peruntukan Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri.”

Pada sidang media Pengerusi DAP, Karpal Singh di Kuala Lumpur semalam, Mohammad Nizar dilaporkan akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa ini.

Ini kerana Mohamad Nizar mendakwa Tuanku bertindak melampaui bidang kuasanya untuk mengisytiharkan kerajaan pakatan pembangkang di negeri ini sebagai tidak sah.

Karpal berkata, di dalam saman tersebut, Sultan Perak akan dinamakan sebagai defendan pertama dan kerajaan negeri BN di negeri ini sebagai defendan kedua.

Di Ipoh semalam, bekas Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata tiada langsung dalam hatinya terniat mahu mengambil tindakan terhadap Sultan Perak.

''Di dunia akhirat saya akan tuntut kerana tidak ada langsung dalam hati saya terniat untuk menyaman atau ambil tindakan terhadap Tuanku," katanya pada satu sidang akhbar khas di kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya laporan bahawa beliau akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Semalam, dihubungi mStar Online, selepas idang media Karpal Singh, Mohamad Nizar menafikan dakwaan tersebut.

"Saya tak tahu mengenai perkara (saman) itu, saya akan hubungi Karpal sendiri untuk tahu apa yang sebenarnya beliau lakukan.

"Saya memang tak tahu mengenai saman-saman ini, nanti saya dapatkan kedudukan sebenar," katanya.

Pada sidang media semalam, Mohammad Nizar menjelaskan, tidak pernah terniat langsung di hatinya untuk menyaman Sultan Azlan sebaliknya mendakwa apa yang dilaporkan itu adalah satu fitnah daripada media UMNO dan Barisan Nasional (BN).

''Saya hendak nyatakan saya menafikan sekeras-kerasnya niat untuk menyaman Tuanku. Ini satu pembohongan besar, satu fitnah daripada BN khususnya UMNO.

Menurut Mohammad Nizar, beliau sebenarnya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar yang baru mengangkat sumpah, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir yang didakwa beliau sebagai Menteri Besar tidak sah.

Katanya, saman tersebut akan difailkan melalui peguam Raja Aziz Adruse di Mahkamah Tinggi Ipoh seawal-awalnya petang ini atau selewat-lewatnya Selasa ini.

''Saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar haram kerana apa yg dibuat oleh BN khususnya UMNO telah merampas hak rakyat.

''Jadi kerajaan itu adalah haram di sisi undang-undang dan rakyat," jelasnya sambil menambah, saman itu adalah atas kapasiti beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar mendakwa keengganan beliau untuk akur kepada titah Sultan Azlan adalah kerana ingin mengembalikan martabat institusi diraja supaya dihormati rakyat.

Katanya, ini kerana beliau tidak mahu rakyat melihat Sultan Azlan menyebelahi mana-mana parti politik dalam menentukan siapa bakal menjadi Menteri Besar dan kerajaan negeri.

Itu versi bekas Menteri Besar Perak. Jamaluddin akan menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah jika Barisan Nasional (BN) mengambil alih kuasa dengan Menteri Besar baru mengangkat sumpah semalam.

Beliau berkata Sultan Perak telah bertindak di luar bidang kuasanya dalam mengenepikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Nizar.

Kelamrin, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak berkenan untuk membubarkan DUN seperti yang dipohon Pakatan Rakyat dan menitahkan Nizar meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Pejabat Sultan Perak mengeluarkan kenyataan pada 2.15 petang semalam yang menyatakan bahawa Sultan Azlan Shah telah menitahkan Nizar meletak jawatan setelah baginda berpuas hati Menteri Besar itu tidak lagi mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ekoran tindakan empat wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat keluar daripada parti masing-masing untuk menyokong BN.

Karpal dalam sidang media di Kuala Lumpur, berkata Mohamad Nizar akan memfailkan saman terhadap Sultan dan kerajaan negeri yang baru di Mahkamah Tinggi Ipoh, Selasa ini jika BN mengambil alih kuasa.

Karpal berkata, Pakatan tidak mempunyai pilihan bagi mengambil tindakan itu kerana pelucutan jawatan Nizar oleh Sultan Azlan Shah, yang dikatakan mengikut Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri, adalah jelas di luar batas kuasa dalam peruntukan artikel itu.

"Dalam undang-undang, keputusan Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah undang-undang. Saya meminta Sultan menghentikan dan berhenti daripada melantik seorang MB BN baru dan ahli majlis mesyuarat selepas tengah hari ini," katanya.

Karpal berkata, tindakan ini tidak boleh, dalam apa jua cara, dilihat sebagai ancaman kepada sultan tetapi merupakan peringatan tegas bahawa pemerintah diperlukan untuk bertindak di dalam lingkungan had dan batas perlembagaan Undangundang Tubuh Negeri Perak yang merupakan undangundang tertinggi di negeri itu.

Sementara itu di Petaling Jaya, pemimpin PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat tidak akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak seperti yang didakwa oleh Pengerusi DAP Karpal Singh, kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, dakwaan menyaman Sultan Perak itu hanyalah menurut laporan media sahaja.

"Ini semua laporan media yang cakap kita nak saman Sultan Perak. Keputusan kita adalah untuk meminta Paduka Sultan Perak melihat semula peruntukan perlembagaan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Anwar berkata, Pakatan Rakyat berpendirian Mohammad Nizar masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang- undang dan perlembagaan negeri Perak.

Beliau mendakwa pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr Zambry Kadir sebagai Menteri Besar tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan.
Dalam isu ini baik juga kita mendengar apa kata Karpal Singh selepas ini.

Lagipun Karpal Singh kini nampaknya dihimpit oleh Anwar dan Mohamad Nizar sendiri.
Jangan main-main dengan isu saman Sultan Perak ini kerana ia boleh membawa kepada suatu kedudukan yang boleh membawa kepada ‘penderhakaan’.

Tahu sahajalah apa akibat ‘derhaka kepada Raja’.

Karpal Singh juga silap-silap terjebak dalam kancah menarik – pertelingkahan peguam terkemuka (Karpal Singh) dengan bekas Ketua Hakim Negara.

Hmmmm menariknya…