Sunday, February 8, 2009

BERTENANG & KAWAL PERASAAN

Dah lah, dah dapat berkuasa semula pun.
Barisan Nasional (BN) dan penyokongnya jangan sampai riak pula.

Ketika ini kita sewajarnya cuba mengawal perasaan sebaik mungkin – yang naik mahupun yang tersungkur.

Memang ada yang gembira dan yang berduka dan marah.
Kalau tidak tak kanlah gambar muka Datuk Seri Mohd Najib Razak di pijak-pijak!

Saya mendapat berita lebih 3,000 penyokong Barisan Nasional berhimpun tanda sokong Sultan Perak di Ipoh pagi ini.

Mereka mengadakan demonstrasi secara aman di Ipoh bagi menunjukkan sokongan mereka kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Demonstrasi selama sejam bermula pukul 10.30 pagi itu diadakan di belakang sebuah hotel dan diterajui oleh Barisan Bertindak Perpaduan Melayu Malaysia (BBPM).

Selepas perhimpunan itu, Ketua Umum BBPM, Osman Bakar menghantar memorandum sokongan tersebut kepada Istana Kinta untuk diserahkan kepada Tuanku Sultan.
Memorandum tersebut menyatakan taat setia kepada Tuanku dan agar keluhuran perlembagaan dan Rukun Negara dihormati oleh rakyat Malaysia seluruh negara.
Oklah, cukuplah setakat ini.

Himpunan ini diadakan sebagai jawapan kepada sekumpulan inidividu dipercaya penyokong Pakatan Rakyat mengadakan protes ketika majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru kelmarin.

Jangan menimbulkan sebarang kedudukan yang tidak tenteram dan tidak selesa di Perak.
Kerajaan ada polis, ada angkatan bersenjata dan sebagainya yang boleh menjaga keselamatan dan kita semua jangan turut serta dalam perhimpunan sama ada menentang atau menyokong.
Periksa dulu ada permit atau tidak.

Ini kerana polis sudah member amatan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengadakan atau terlibat dengan perhimpunan atau demonstrasi yang bertentangan dengan undang-undang, ekoran suasana politik di Perak sekarang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata semalam polis menerima maklumat bahawa terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khabar angin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya, mengajak orang ramai berkumpul bagi mengadakan perhimpunan atau berdemonstrasi.

"Pihak polis tidak akan membenarkan sebarang aktiviti tersebut yang bertentangan dengan peruntukan undang-undang negara yang sedia ada.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung kerana perbuatan sebegitu boleh menggugat suasana ketenteraman semasa," katanya dalam satu kenyataan.

Ismail menasihati orang ramai supaya tidak bertindak mengikut perasaan tetapi perlu bersikap bertanggungjawab, menghormati serta menyanjung keluhuran undang-undang negara.

Setakat ini keadaan di Perak adalah selamat dan terkawal dengan pihak polis sentiasa memantau keadaan agar situasi terus kekal aman dan damai, katanya.
Jadi dengarlah amaran polis, lagipun semuanya sudah selesai.

Bagi penyokong parti tunggulah apa juga keputusan yang akan dibuat – sama ada pilihan raya kecil atau sebagainya.

Kita semua sudah tahu bahawa keadaan politik di Perak kini walaupun tenang di atas tetapi sedang bergolak di bawah apabila Pakatan Rakyat tidak mengiktiraf kerajaan baru BN yang secara rasminya kembali 'merampas' negeri itu setelah Datuk Dr Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Jumaat lalu.

BN berjaya mengambil alih pentadbiran 11 bulan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu selepas tiga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bebas daripada Pakatan keluar parti dan menyatakan sokongan kepada BN.
Lagipun seperti saya ulangi berkali-kali sejak Khamis lalu, patuhi dan terimalah dengan hari terbuka keputusan Sultan Azlan Shah memutuskan baginda tidak berkenan untuk membubarkan DUN seperti yang dipohon Pakatan.
Tuanku sendiri sudah meminta Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar setelah yakin Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan ADUN.

Soal tindakan atau cara mana Mohammad Nizar sehingga hari ini masih enggan melepaskan jawatan itu kerana menganggap beliau masih secara sah menjawat jawatan Menteri Besar di bawah peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Perak, itu kita serahkan kepada kerajaan dan istana.
Jangan ambil keputusan melalui otak dan tangan kita sendiri. Tidak tercapai kita untuk memikirkannya dan lebih buruk jika termakan dakyah pihak tertentu yang gila kuasa!
Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya Jumaat lalu berkata, pihaknya akan memfailkan satu saman bagi mencabar kesahihan pelantikan Menteri Besar yang baru dari BN.
Biarlah Anwar berbuat sesuatu sekiranya ia mematuhi lunas undang-undang. Hormatilah tindakannya.

Yang benar tetap benar.

Ia tidak akan terserlah serta merta tetapi perlahan-lahan mereka ‘yang tersesat’ akan kembali ke pangkal jalan!

1 comment:

  1. 5 Sebab Hukuman Hudud perlu ada di Malaysia !!! Nak tahu?..... layari....www.taufiksm.blogspot.com untuk komen anda akan isu ini di blog saya.....

    ReplyDelete