Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts
Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts

Thursday, November 19, 2015

PAS ISYTIHAR JADI PEMBANGKANG DI PULAU PINANG GARA-GARA ISU JKKK


"Ketika bersama Pakatan Rakyat sebelum ini PAS turut menyumbang ke arah kemenangan DAP di negeri itu walaupun PAS hanya mempunyai sebuah kerusi dewan negeri, iaitu Permatang Pasir."
 - Setiausaha Agong PAS, Datuk Takiyuddin Hassan

Akhirnya selepas merasakan ia bagaikan 'melukut di tepi gantang', PAS umumkan jadi pembangkang di Pulau Pinang.

Baguslah kalau sudah sedar 'nasib untung berkahwin dengan DAP'

Ia juga sebagai susulan hampir 300 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) daripada PAS dipecat di negeri berkenaan.

Bukan letak jawatan atau menarik dirilah tu! Kenyataan PAS  Kepala Batas sebelum ini tidak betullah.


Menurut PAS,  langkah kerajaan Pakatan Harapan itu tidak memberikan manfaat kerana mungkin tiada pengganti bagi membolehkan kelangsungan perkhidmatan kepada rakyat.

PAS megatakan, ketika bersama Pakatan Rakyat sebelum ini parti itu turut menyumbang ke arah kemenangan DAP di negeri itu walaupun PAS hanya mempunyai sebuah kerusi dewan negeri, iaitu Permatang Pasir yang disandangoleh Datuk Mohd Salleh Man Mat Aji.

Tanda-tanda PAS akan menjadi pembangkang terserlah apabila pada 16 November lalu, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN-Teluk Bahang) meminta Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang menentukan kedudukan kerusi ADUN berkenaan.

Langkah itu perlu kerana Salleh Man bukan lagi berada dalam gabungan kerajaan Pakatan Harapan yang diwujudkan oleh kerajaan negeri.

Mohd Yusni
Beliau berkata, PAS hanya  menyertai PR dan berikutan perubahan gabungan baharu yang memasukkan Parti Amanah Negara (AMANAH), kedudukan ADUN PAS  itu sepatutnya sudah diubah.

Salleh Man pula menafikan desas desus kononnya dia akan meninggalkan PAS dan menyertai AMANAH.

“Saya menafikan akan meninggalkan PAS dan akan sertai AMANAH. Saya adalah Adun Pas dan ahli kerajaan. Saya akan bersama dengan Kerajaan Pulau Pinang,” katanya kepada media ketika ditemui di luar dewan di Sidang DUN 16 November lalu.

Bercakap dalam sidang media di lobi  Parlimen  hari ini, Setiausaha Agong PAS,  Datuk Takiyuddin Hassan  menafikan akan menyertai UMNO, sebuah lagi parti pembangkang di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Rashid Hasnon semalam menjelaskan anggota PAS yang memegang jawatan dalam JKKK, yang baru-baru ini melepaskan jawatan, sebenarnya dipecat.

Katanya, kekosongan itu akan digantikan dengan anggota parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH), yang juga sekutu baru DAP dan PKR di peringkat kebangsaan.

Rashid berkata kerajaan negeri telah mulakan proses menamatkan perkhidmatan anggota PAS itu kerana mereka tidak dapat melaksanakan dasar-dasar kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang.

Beliau berkata keputusan itu membabitkan 293 anggota JKKK. Setiap jawatankuasa mempunyai kira-kira 15 anggota.

Mengenai isu JKKK berkenaan, PAS negeri berkata Kerajaan Pulau Pinang berbohong berhubung pemecatan 300 ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) di kalangan ahli PAS di Parlimen Kepala Batas.

Ketua Penerangan PAS negeri, Mohd Yusni Mat Piah berkata, kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon berhubung surat pemecatan yang diserahkan kepada 300 ahli JKKK sama sekali tidak benar.

"PAS negeri berharap Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak berbohong kepada rakyat kononnya 300 ahli JKKK dari kalangan ahli dan pemimpin Pas telah dipecat sepanjang Oktober lalu. Ini kerana, ramai di kalangan mereka tidak menerima surat pemecatan dari Kerajaan Pulau Pinang.

"Jika tidak serahkan surat pemecatan, kenapa sanggup berbohong mengatakan semua 300 ahli JKKK itu dipecat? Lebih mengecewakan, Kerajaan Pulau Pinang dilihat seolah-olah 'segan silu' menafikan tindakan meletak jawatan oleh JKKK dari kalangan ahli dan pemimpin Pas," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, Pas negeri bersedia memberi rekod sebenar jumlah ahli Pas yang menjadi ahli JKKK di negeri ini.

"Kerajaan Pulau Pinang tidak memaklumkan jumlah sebenar ahli JKKK di kalangan ahli Pas. Kenapa hanya 300 JKKK sahaja dimaklumkan dipecat, sedangkan rekod sebenar menunjukkan 1,083 ahli PAS negeri yang berkhidmat dan terlibat dengan JKKK.

"Kenapa 783 orang lagi dibiarkan? Adakah disembunyikan kuota PKR dan DAP? Di sesetengah tempat, semua JKKK itu adalah ahli PAS yang memegang jawatan Pengerusi, Setiausaha serta seluruh ahli jawatankuasanya. Jika Kerajaan Pulau Pinang tiada rekod terperinci, saya bersedia mendedahkannya nanti," katanya.

Mohd Yusni berkata,  PAS negeri sudah lama mengambil keputusan untuk tidak bersama-sama Kerajaan Pulau Pinang selepas mengisytiharkan sebagai Kerajaan Pakatan Harapan.

"Pas negeri dari awal lagi iaitu sejak penubuhan Kerajaan Pakatan Harapan telah mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama-sama di dalam pentadbiran kerajaan negeri. Bukan sahaja di kalangan pengerusi dan setiausaha JKKK malah di kalangan semua peringkat jawatankuasa di semua kawasan yang terlibat.

"Kenyataan Mohd Rashid mengatakan 300  ahli JKKK PAS dipecat dan digantikan dengan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) tidak relevan lagi kepada PAS negeri.

Bagi mewakili PAS negeri, saya berharap Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang lebih telus serta lebih berintegriti dalam urusan tadbir mereka," katanya.

Mohd Yusni berkata, tindakan Mohd Rashid mengeluarkan kenyataan berhubung pemecatan ahli JKKK itu menyerlahkan sisi yang tidak baik dan tidak bertanggungjawab, jauh dari realiti sebenar yang sedang berlaku di Pulau Pinang.

Peguam yang juga Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin. bagaimanapun berkata tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang memecat Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) daripada Pas adalah hak kerajaan negeri.

Hanipa berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Mohd Rashid Hasnon yang mengatakan JKKK dari kawasan pilihan raya yang ditandingi oleh Pas ditamatkan perkhidmatan mereka bulan lalu.

Hanipa berkata tindakan itu selaras dengan pendirian kerajaan Pulau Pinang kini yang diterajui oleh kerajaan Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah.

‎"Kita tidak boleh hendak buat apalah, kerajaan negeri berhak untuk  mengantikan mana-mana orang yang dipecat sebab Pakatan Rakyat sudah tiada lagi, kerajaan Pulau Pinang umum kini menerajui kerajaan Pakatan Harapan.

"Dalam Pakatan Harapan ini Pas tiada, oleh itu  macam mana Pas hendak berada dalam itu, saya rasa ia lebih kepada soal polisi kerajaan negeri itu," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.


Takiyuddin menjelaskan, dengan apa yang berlaku sekarang, PAS akan bertindak sebagai pembangkang di negeri Pulau Mutiara itu.

Tuesday, August 24, 2010

DOA UNTUK GUAN ENG – RAMAI TAK BOLEH TIDUR MALAM

Di pihak pembangkang dan kerajaan negeri pula, tiba-tiba sahaja pakatan pembangkang Pulau Pinang mengadakan sidang tergempar Takut dengan siasatan dan bimbang polis akan bertindak?

"Ya Allah,Ya Tuhanku,Kau selamatkanlah pemimpin kami Yab Tuan Lim Guan Eng dan rakan-rakan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang"

Inilah doanya Zakaria Ahmad (gambar kanan) yang menyebabkan pakatan pembangkang Pulau Pinang makin gementar.

Siasatan bermula bila-bila masa sahaja.

Semua tak nyenyak tidur. Ketua Menterinya, Exco yang menjaga Agama Islam, khatib dan sesiapa juga yang terbabit dengan doa untuk Lim Guan Eng dalam khutbah semakin resah.

Apa tidaknya, Polis Pulau Pinang telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat isu kejadian khatib yang didakwa menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin kepada nama Ketua Menteri Lim Guan Eng, dalam doa khutbah kedua solat Jumaat itu

Ketua Polis negeri Datuk Ayub Yaakob berkata polis negeri telah menerima dua laporan mengenai isu itu iaitu yang pertama dibuat di Balai Polis Butterworth dan satu lagi di Balai Polis Tasek Gelugor dalam daerah Seberang Perai Utara.

"Satu pasukan khas polis telah ditubuhkan bagi menyiasat kejadian tersebut dan sehingga kini 15 orang saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan," katanya kelmarin.

Beliau berkata polis menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 4 A, Akta Hasutan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua- duanya jika sabit kesalahan.

"Pihak polis berharap siasatan terhadap isu tersebut akan dapat selesaikan minggu depan dan beberapa personaliti yang terlibat dengan kejadian tersebut akan dipanggil bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata kejadian pertama dipercayai berlaku pada bulan Jun di Masjid Jamek Padang Menora, sewaktu khutbah sembahyang Jumaat oleh seorang Khatib jemputan.

Hari ini pula, khatib yang mencetuskan kontroversi dengan mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dalam khutbah kedua solat Jumaat di beberapa masjid di negeri ini, dijangka memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Ellias Zakaria, berkata Zakaria Ahmad akan membuat penjelasan itu kepada barisan panel termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan MAIPP.

Zakaria juga telah membuat pengakuan beliau yang membaca doa yang disebut itu dan bagi pihak kami pula akan mendengar penjelasannya esok," katanya.

Zakaria mengakui tidak menyebut nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dalam doanya pada khutbah berkenaan.

Beliau memberi alasan bahawa beliau mendoakan kesejahteraan semua pemimpin dalam khutbah kedua solat Jumaat itu, termasuklah Yang di-Pertuan Agong.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad, yang juga pengerusi jawatankuasa bertanggungjawab menyediakan teks khutbah Jumaat di negeri itu, tidak akan menghadiri sesi tersebut kerana mempunyai urusan lain.

Sesi penjelasan itu akan diadakan 2.30 petang di Pejabat JHEAIPP di Bangunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) yang terletak di Lebuh Pantai.

Di pihak pembangkang dan kerajaan negeri pula, tiba-tiba sahaja pakatan pembangkang Pulau Pinang mengadakan sidang tergempar Ahad (22 Ogos 2010). Takut polis akan bertindak?

Untuk apa sidang diadakan?

Ia untuk menyatakan lafaz ikrar taat setia kepada DYMM Yang di Pertuan Agung sebagai pemimpin terunggul negara atau Kepala Utama bagi Persekutuan menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dan juga sebagai Ketua agama Islam bagi Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 5(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Selain itu ia untuk melafazkan ikrar taat setia kepada Yang di Pertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Ada lagi lapan perkara yang diluluskan pada mesyuarat tergempar itu (KLIK SINI).

Ini sesuatu yang mengejutkan kerana ia diadakan pada ketika ada masjid mendoakan Lim Guang Eng menggantikan doa dan lafaz taat setia untuk Yang di-PertuanAgong sebagai pemimpin terunggul negara atau Kepala Utama bagi Persekutuan menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dan juga sebagai Ketua agama Islam bagi Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 5(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Mengikut kenyataan media yang dikeluarkan oleh biro komunikasi ibu pejabat PKR, mesyuarat tergempar diadakan berikutan isu “Guan Eng gantikan Agong” yang digembar-gemburkan oleh Umno dan media massa. Menurutnya, permainan politik oleh Umno adalah begitu karut kerana hanya orang tidak siuman dan berniat jahat baru berani menggantikan nama Yang DiPertuan Agong dengan nama lain.

Saksikanlah sendiri, dua buat hal, UMNO pula yang kena belasah.

Menghairankan orang Islam yang menyokong pakatan pembangkang ini tidak sedarkan bahawa kerajaan Pulau Pinang itu sedang menjahanamkan Islam dengan memecahbelahkan ummah dan menikam Islam dengan jarum halusnya?

Saturday, March 6, 2010

KEDUDUKAN MELAYU PP LEBIH BAIK DARIPADA MELAYU LAIN?

Saya tertarik dengan ulasan deepthroat (March 5, 2010 6:52 PM) dan uop iaitu anak jati Jelutong berkaitan entri saya semalam bertajuk ‘Melayu PP-Malulah Sikit UMNO’..

Kata uop (March 5, 2010 11:27 AM ) : “Saya nak sokong tuan pun malu tapi itulah hakikatnya.”

deepthroat menulis seperti berikut (saya tidak mengedit sepatahpun berkata yang beliau ulas terhadap entri saya):

Melayu Pulau Pinang dipinggirkan atau meminggirkan diri dari arus pembangunan? Betulkah UMNO tidak melakukan apa yang perlu utnuk memajukan Melayu Pulau Pinang?

Apakah Melayu Pulau Pinang lebih terkebelakang jika dibandingkan dengan Melayu, umpamanya di Terengganu?

Dan persoalan pokok, Melayu Pulau Pinang ini terbahagi kepada dua; Melayu Pulau dan Melayu Seberang. Siapa di antara mereka terpinggir?

Kedudukan Melayu di Pulau Pinang adalah lebih baik jika di bandingkan dengan Melayu di negeri-negeri seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu yang dikuasai oleh kuasa politik Melayu.

UMNO tidak pernah diam dalam memperjuangkan nasib Melayu di Pulau Pinang samada semasa Bn menerajui negeri malah sekarang lebih lagi bila mana kerajaan negeri dikuasai DAP.

Diakui tempoh dua tahun dibawah DAP belum memberi apa-apa perubahan kepada Melayu di Pulau Pinang. Penulis artikel asal mempersoalkan hal perumahan.

Tanah di sebelah pulau lebih mahal berbanding dengan tanah di Seberang Perai atau pun di negeri jiran Kedah. Perumahan mampu milik di pulau hanya boleh dibina secara high rise atau flat kerana keluasan tanah terhad dan nilai tanah yang tinggi, maximizing land area and value. land property hanya boleh dibina di kawasan seberang perai.

Orang Melayu Pulau, Pulau Pinang adalah kelompok yang 'proud to the extent of arrogant'. Mereka tak mahu tinggal di flat. Jadi berlakulah migrasi ke seberang perai dan kedah yang menawarkan rumah-rumah teres.

Projek Tanjung Pinang yang dimajukan oleh UDA umpamanya. Ia melibatkan perpindahan keluarga-keluarga nelayan pesisir pantai yang pendapatannya tidak seberapa. Mereka telah ditawarkan rumah-rumah ganti pada harga diskaun namun mereka menolak.

Mereka mahukan landed property sedangakn status mereka sebelum itu pun setinggan di tanah reserve pantai. Pelbagai alasan mereka berikan kerana tidak mahu berpindah seperti di mana nak 'tambat bot' mereka.

Pendapat nelayan pantai di Pulau Pinang cukup kecil. Kerajaan telah menawarkan perubahan pekerjaan untuk mereka menikmati kehidupan yang lebih baik namun di tolak.

Ini semua dilakukan oleh kerajaan BN terdahulu termasuk perancangan Kampung Warisan yang disebut Lim Guan Eng. Kampung Warisan terdapat dalam masterplan pembangunan Tanjung Pinang sebelum Guan Eng jadi KM pada 2008.

UMNO perlu malu bukan shaja kerana Melayu di Pulau Pinang tetapi juga UMNO perlu dengan keadaan Melayu di selutuh negara.

Di Terengganu, negeri yang diperintah sekian lama oleh UMNO yang juga mendapat berbillion ringgit royalti minyak sejak 1975 pun kehidupan ramai Melayu di sana di bawah tahap kemiskinan.

Kesusahan orang Melayu boleh dilihat sepanjang perjalanan dari Kuala Besut hinggalah ke sempadan Pahang. Kalau Petronas tidak majukan Paka dan Kerteh tiada kawasan yang boleh dibanggakan kecuali Kuala Terengganu. Tiada PM dan TPM dari Terengganu, tapi pendapatan Terengganu lebih banyak dari Pulau Pinang dibandingkan dengan jumlah penduduk kedua negeri.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini baru dapat dilihat pembangunan infrastruktur di seluruh Terengganu.Rumah-rumah yang hampir roboh dipinggiran jalan di Pulau Kerengga umpamanya memperlihatkan keunduran dan kedaifan Melayu terengganu yang diperintah oleh Melayu samada UMNO mahupun PAS.

Diakui peratusan kecil Melayu yang telah maju dan berjaya menikmati taraf hidup yang lebih baik, namun sebahagian besar Melayu samada diluar bandar mahupun di bandar masih terkebelakang. UMNO seharusnya malu bukan sahaja dengan keadaan Melayu di Pulau Pinang malah UMNO sewajibnya malu dengan keadaan Melayu seluruh negara.

Friday, March 5, 2010

MELAYU PP - MALULAH SIKIT UMNO…

Memang benar apa yang dikatakan oleh Lim Guan Eng mengenai kenapa orang Melayu Pulau Pinang terpinggir.

Saya menyokong kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa apa yang berlaku bukan salah Kerajaan Pakatan Rakyat sekarang sebaliknya Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana dasar yang menjadi amalan kerajaan terdahulu menyebabkan gejala tersebut berlaku.

Pemimpin Melayu Pulau Pinang kalau dalam seminar atau Perhimpunan Agung UMNO berdegar-degar mahukan perub ahan tetapi apa tindakan susulan?

“Kita baru dua tahun memerintah mana mungkin boleh melakukan kezaliman sedemikian rupa dan kita tidak akan mengamalkan dasar yang sama dengan BN," tegas beliau.

Walaupun kenyataan Guan Eng bahawa ia tidak melakukan kezaliman tetapi masalah orang Melayu diperkatakan sekian lama.

Saya sendiri pernah menulis artikel mengenai perkara ini pada 1976 di Berita Harian dan ketika itu UMNO bukan tidak kuat.

Bukan saya sahaja, Yahya Ismail dan Mansor Mat Saman turut menulis buku mengenai kemunduran orang Melayu Pulau Pinang.

Tidak apalah pada 1970-an dan 1980-an. Bagaimana ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Pengerusi Perhubungan Pulau Pinang dan sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pulau Pinang?

Adakah beliau membantu memajukan Melayu Pulau Pinang?

Dan apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, apakah ada rancangan konkrit membantu Melayu Pulau Pinang?

Sama saja. Balik-balik ‘dok tang tu je”! Sekarang nak salahkan Guan Eng?

Malulah sikit UMNO. Mana muka Anwar dan Pak Lah mahu diletakkan? Mana muka menteri-menteri Melayu dari Pulau Pinang nak letakkan muka kalau bercakap mengenai kemunduran orang Melayu?

Guan Eng benar apabila mengatakan penghijrahan orang Melayu berlaku sejak dulu lagi apabila Umno yang berkuasa tidak bertindak membantu masyarakat Melayu khususnya di Balik Pulau, Bayan Baru, Jelutong, Tanjung Bungah dan banyak lagi tetapi menekan dari belakang dengan memberi peluang golongan elit dalam UMNO menikmati kemewahan manakala orang bawahan dibiarkan menderita kehilangan kampung halaman.

Pendapat ini benar 100 peratus dan janganlah meludah ke langit wahai pemimpin UMNO Pulau Pinang.

Janganlah sekarang baru mahu memburuk-burukan Kerajaan Pakatan Rakyat yang kononnya tidak pandai memerintah serta bersikap tidak mempedulikan orang Melayu Islam sehingga sanggup merampas hak mereka yang berniaga, meroboh gerai serta berlakunya kemerosotan ekonomi golongan minoriti itu sehingga menyebabkan mereka berpindah ke negeri lain.

Saya sokong Guan Eng apabila mengatakan: “Siapa yang harus dipersalahkan bila bilangan Melayu semakin mengecil melainkan Umno yang merupakan juara Melayu atau tulang belakang perjuangan orang Melayu. Orang ramai akan bertanya apa yang mereka laksanakan demi kebaikan masyarakat Melayu sepanjang 50 tahun memimpin bersama komponen dalam BN,”
Malas ulas lanjut. Bacalah petikan berikut yang saya petik daripada harakahdailky:

Rencana BH kena batang hidung pemimpin Umno

Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 4 Mac: Apa yang ditulis dalam Berita Harian (BH) semalam kononnya 'Orang Melayu Pulau Pinang Semakin Terpinggir' ibarat meludah ke langit akhirnya terkena batang hidung kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) sendiri.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut kesal terhadap penyiaran berita bermotif memburuk-burukan Kerajaan Pakatan Rakyat yang kononnya tidak pandai memerintah serta bersikap tidak mempedulikan orang Melayu Islam sehingga sanggup merampas hak mereka yang berniaga, meroboh gerai serta berlakunya kemerosotan ekonomi golongan minoriti itu sehingga menyebabkan mereka berpindah ke negeri lain.

"Apa yang berlaku bukan salah Kerajaan Pakatan Rakyat sekarang sebaliknya Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana dasar yang menjadi amalan kerajaan terdahulu menyebabkan gejala tersebut berlaku.

“Kita baru dua tahun memerintah mana mungkin boleh melakukan kezaliman sedemikian rupa dan kita tidak akan mengamalkan dasar yang sama dengan BN," tegas beliau dalam sidang media di pejabatnya, semalam.

Katanya, penghijrahan orang Melayu berlaku sejak dulu lagi apabila Umno yang berkuasa tidak bertindak membantu masyarakat Melayu khususnya di Balik Pulau, Bayan Baru, Jelutong, Tanjung Bungah dan banyak lagi tetapi menekan dari belakang dengan memberi peluang golongan elit dalam Umno menikmati kemewahan manakala orang bawahan dibiarkan menderita kehilangan kampung halaman.

“Siapa yang harus dipersalahkan bila bilangan Melayu semakin mengecil melainkan Umno yang merupakan juara Melayu atau tulang belakang perjuangan orang Melayu. Orang ramai akan bertanya apa yang mereka laksanakan demi kebaikan masyarakat Melayu sepanjang 50 tahun memimpin bersama komponen dalam BN,” katanya.

Umno yang mempunyai 11 kerusi dan empat orang Exco Kerajaan BN termasuk seorang Timbalan Ketua Menteri dahulunya tidak berjaya membawa Melayu keluar dari kepompong cuba sekadar mengheret tangan-tangan yang rapat dengan kroni sahaja.

"Umno hanya berjaya meningkatkan tahap sosial ekonomi Melayu Umno sahaja bukan rata-rata bangsa Melayu yang berada di bawah, " katanya.

Bercakap tentang tiga projek besar di Pulau Pinang kononnya kerajaan sekarang sengaja menghakis kedudukan Melayu, beliau berkata, tidak pernah Kerajaan Pakatan Rakyat berbuat demikian kerana semua projek seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Penang Global City Centre (PGCC) merupakan projek Kerajaan Pusat dan dilaksanakan pada era pemerintahan BN.

Semasa Pakatan Rakyat memerintah, sambungnya, langkah pertama ialah membatalkan projek PGCC yang bukan sahaja menguntungkan koporat tertentu bahkan merugikan kerajaan.

Begitu juga dengan NCER yang sampai kini sunyi bersesuaian dengan pengasasnya yang kini tidak berbisa lagi iaitu mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau turut menjelaskan projek Tanjung Pinang di Tanjung Tokong juga dikaitkan dengan Kerajaan Pakatan Rakyat kononnya menghalau orang Melayu dari situ secara halus.

"Sebenarnya projek besar dibuat oleh Kerajaan BN dan menyerahkan kepada Syarikat Uda untuk dibangunkan. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat cuma masuk campur mendesak Uda membina 'Kampung Warisan' seperti mana yang diinginkan oleh penduduk asal Tanjung Tokong," ujarnya.

Apa yang diperkatakan oleh Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Karim, semua bermatlamat fitnah untuk mengais simpati terhadap perjuangan menegakkan benang yang basah.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat langsung tidak pernah menghalau penduduk Melayu dengan tujuan menjadikan pulau ini sebagai tempat tinggal orang Cina serta menaikkan taraf dan mempromosi pulau yang terkenal dengan panggilan Pulau Mutiara untuk didiami oleh penduduk yang kaya sahaja.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Saleh Man ketika ditemui membidas kenyataan Jais Karim dengan menggelarkan golongan terbabit sebagai 'hero tua' kerana apa yang mereka perkatakan telah lama diperjuangkan oleh PAS ketika menjadi pembangkang di Dun Pulau Pinang.

Katanya, PAS waktu itu diwakili oleh Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman telah beberapa kali membangkitkan ke mana arah orang Melayu di Tanjung Tokong jika projek mewah dilaksanakan di situ.

Tetapi, isu berkenaan tidak mendapat reaksi daripada Umno malahan acap kali mempersendakan ucapan beliau yang menggangap ucapan itu melalut ekoran PAS tiada sokongan di Pulau Pinang.

"Apa yang diperjuangkan oleh GPMS semuanya ada dalam kocek PAS kerana selama ini kami bersuara pada BN tetapi malangnya tidak diberi perhatian," tambahnya yang juga Adun Permatang Pasir.

Soalnya, kenapa tiba-tiba Jais menjadi hero dalam soal itu.

“Dulu ke mana beliau menghilang seolah-olah tiada dalam negara ketika projek tersebut mendapat bantahan penduduk,” ujarnya.

Monday, February 15, 2010

SEE U IN COURT

Tidak habis perang mulut, perang mahkamah pula.

Itulah yang terjadi antara bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ia gara-gara kenyataan Setiausaha Agung DAP itu yang menyifatkan tindakan Zahrain letak jawatan dalam PKR adalah tindakan peribadi.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyifatkan keretakan antara beliau dan Anggota Parlimen Bayan Baru itu berpunca semaa-semata kerana Zahrain gagal mendapatkan kelulusan tender bernilai RM40 juta untuk mengurus projek Bukit Jambul Golf Resort.

Bukan sikit jumlah tu. Boleh dapat komisen pun jadilah!

Guan Eng mengatakan Zahrain geram dengannya kerana kegagalan mendapatkan kelulusan itu.
Katanya, beliau tidak meluluskan tender tersebut kerana syarikat yang disokong kuat oleh Zahrain baru sahaja ditubuhkan dua bulan sebelum tender projek dikeluarkan iaitu pada akhir September 2008.

"Saya rasa punca utama beliau letak jawatan ialah gagal dapat projek itu. Adakah saya diktator jika saya tidak beri kelulusan tender berjuta-juta itu kepada syarikat 'dua ringgit' itu?," katanya Sabtu lalu.

Apakah ini bermakna Zahrain kecewa kerana ‘kepentingan peribadinya’ tidak dilayan yang menyebabkan beliau rela meninggalkan PKR.

Namun lain pula reaksi Zahrain apabila menegaskan akan mengheret Ketua Menteri Pulau Pinang itu ke mahkamah kerana mendakwa membuat fitnah terhadapnya.

Zahrain berkata, tuduhan Guan Eng terhadapnya itu juga mencemar integriti dan maruah ahli lembaga syarikat.

Bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu berkata, peguam untuk mengendalikan kes ini telah dilantik dan dalam proses mendakwa Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP.

“Kenyataan beliau berunsur fitnah semata-mata untuk memperkecil dan mencemar imej saya dan keluarga. Beliau membuat kenyataan tanpa merujuk kepada saya terlebih dulu.

“Saya hanya Pengerusi (Island Golf Propeties), manakala setiap cadangan dan keputusan berhubung projek itu adalah urusan pihak pengurusan dan perunding syarikat itu,” katanya semalam.

Zahrain berkata, beliau dilantik ketika dalam PKR dan Guan Eng boleh berjumpa dengan ahli lembaga syarikat untuk mengetahui sama ada beliau terlibat atau tidak dalam projek berkenaan.

“Saya juga akan menghantar surat meletak jawatan sebagai Pengerusi syarikat itu selepas Tahun Baru Cina,” katanya.

Guan Eng berkata syarikat berkenaan baru sahaja ditubuhkan dan menyebabkan beliau tidak yakin dengan keupayaan syarikat untuk mengendalikan projek yang bernilai lebih RM40 juta itu.

"Saya rasa Zahrain masih lagi geram kerana saya tidak luluskan tender tersebut pada syarikat dua ringgit itu dan punca beliau keluar parti dengan mengatakan saya seorang diktator," katanya.

Selain itu, Lim juga mempersoalkan tindakan Zahrain meletak kesemua jawatannya dalam parti, tetapi tidak sebagai Pengerusi dan anggota lembaga pengarah Island Golf Properties Sdn Bhd sedangkan jawatan itu dilantik oleh kepimpinan parti dalam pakatan pembangkang.

Pada Jumaat, Zahrain mengumumkan keluar daripada PKR kerana kecewa dengan perjuangan parti itu dan hilang kepercayaan terhadap penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, beliau yang mengisytiharkan dirinya sebagai Anggota Parlimen Bebas, berkata keputusan itu dibuat kerana tidak yakin dengan kerajaan pakatan pembangkang Pulau Pinang pimpinan Lim yang dianggapnya diktator dan berfikiran ala komunis.

Sunday, February 14, 2010

GUAN ENG SERTAI PERARAKAN MAULIDUR RASUL?

Kerajaan Pulau Pinang berkata sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri pada akhir bulan ini akan diadakan selama empat hari, termasuk perarakan kontinjen di Padang Kota.

Jelas sambutan tidak dibatalkan dan empat hari pula tu!

Jadi – siapa kata kerajaan negeri tidak akan mengadakan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul pada 26 Februari ini? Apakah akhbar Melayu, khususnya Utusan Malaysia sengaja menabur fitnah? Utusan Malaysia lagi…









Tolong jangan cepat buat andaian. Kita lihat dulu fakta di bawah!

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, menegaskan sambutan kali ini akan menjadi yang bersejarah bagi Pulau Pinang. “Saya akan menyertai perarakan itu,” katanya ketika berceramah di Tapak Ekspo Sungai Nibong malam kelmarin.

Itu kata Guan Eng. Bagaimana dengan kenyataan seorang ketua jabatan yang kesal dengan tindakan kerajaan negeri membatalkan majlis perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul?
Beliau tampil menunjukkan pekeliling mengenai perkara itu semalam.

Pekeliling yang diterimanya itu adalah dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bertarikh 5 Februari 2010 mengenai pembatalan majlis perarakan itu pada tahun ini.

''Saya tidak faham mengapa mereka hendak berbuat demikian (menafikan) sedangkan saya dan ketua-ketua jabatan yang lain sudah menerima pekeliling mengenai pembatalan perarakan Maulidur Rasul. Macam mana saya tidak marah, sebagai orang Islam kita tentu marah kerana kerajaan negeri selama ini melaung-laungkan konsep pentadbiran Amar Maaruf Nahi Mungkar dan kononnya mengikut cara kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz.

''Apa yang paling saya sedih apabila ada di kalangan orang Islam sendiri seolah-olah menghalalkan pembohongan yang dibuat ini," katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Menurut ketua jabatan itu yang enggan dikenali, beliau tampil menunjukkan pekeliling itu kerana tidak mahu bersekongkol dengan pembohongan tersebut dan kemudian menuduh Utusan Malaysia membuat fitnah terhadap kerajaan negeri.

Selain ketua jabatan berkenaan, sebuah blog turut mendedahkan surat Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pulau Pinang yang menunjukkan bahawa acara perarakan sempena Maulidur Rasul 1431 Hijrah/2010 Masihi pada 26 Februari ini dibatalkan.

Pendedahan oleh blog, mysrimuara.blogspot.com itu jelas berbeza dengan kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, bahawa sebuah akhbar berbahasa Melayu menipu, dengan menegaskan perarakan tidak dibatalkan.

Blog itu melampirkan surat ditandatangani Timbalan SUK (Pengurusan), Datuk Muhammad Yusoff Wazir, bertarikh 5 Februari, memaklumkan bahawa Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Pulau Pinang dalam mesyuaratnya pada 3 Februari lalu memutuskan membatalkan majlis perarakan.

Turut dilampirkan dalam blog itu adalah atur cara Majlis Perhimpunan Ummah sempena Maulidur Rasul bermula jam 8 sehingga 11.30 pagi.

Surat menggunakan kepala surat dengan logo kerajaan negeri itu dihantar kepada Ketua Jabatan Negeri, Persekutuan, Badan Berkanun Negeri, Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri.

Ia turut dihantar kepada Setiausaha Sulit kepada Timbalan Ketua Menteri I, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp).

Pekeliling yang ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Muhammad Yusoff Wazir itu sekali gus membuktikan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng berbohong apabila menafikan membatalkan perarakan tersebut.
Kandungan pekeliling itu berbunyi:

"Sebagai makluman, Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 1431H/2010M dalam mesyuaratnya bertarikh 3 Februari 2010 telah memutuskan bahawa majlis perarakan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul adalah dibatalkan dan diteruskan dengan Majlis Perhimpunan Ummah pada 26 Februari 2010 yang akan diadakan di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang".

Pekeliling berkenaan diedarkan kepada semua ketua jabatan negeri dan Persekutuan, ketua badan berkanun negeri dan Persekutuan serta ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan negeri.

Salinan pekeliling itu dihantar kepada Setiausaha Sulit, Timbalan Ketua Menteri I; Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Agama negeri, Abdul Malik Abul Kassim, pula semalam berkata sambutan bermula pada 25 Mei sehingga 28 Mei.

Majlis dimulakan dengan bacaan Yassin dan tahlil pada semua masjid di seluruh negeri dan bagi peringkat negeri diadakan di Masjid Negeri yang dijadual dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Pada keesokannya, diadakan perarakan kontinjen di Padang Kota, diikuti Perhimpunan Ummah di Dewan Sri Pinang, bersebelahan Padang Kota serta Forum Perdana.

Kita tunggu dan lihatlah apa akan terjadi 24 Februari ini!

Monday, December 21, 2009

PENGERUSI BN PULAU PINANG - ALASAN UMNO KUKUH...

Gerakan pegang jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang selama 35 tahun. Masa yang lama.

Walaupun pernah suatu ketika UMNO menang lebih banyak kerusi daripada Gerakan dan komponen lain, UMNO akur dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).


Selain tidak ‘merampas’ jawatan Ketua Menteri, UMNO juga akur Gerakan terus menjadi Pengerusi BN.
Semalam Naib Presiden Gerakan, Senator A Kohilan Pillay berhujah, UMNO perlu menghormati keputusan yang dibuat kepemimpinan tertinggi BN yang mengiktiraf Gerakan sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang sejak 35 tahun lalu.
Untuk rekod, jawatan pengerusi BN Pulau Pinang tidak pernah dipegang wakil UMNO dan jawatan itu kini dipegang Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Kata Kohilan, pengiktirafan itu tidak perlu dipersoalkan mana-mana komponen parti BN kerana ia sudah

mencapai kata sepakat antara pucuk pemimpin BN sejak parti itu bergabung.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Selangor berkata, walaupun keputusan itu tidak termaktub dalam perlembagaan parti, ia sudah mencapai persefahaman yang jelas dan menjadi panduan kepada pemimpin BN selama ini.

Bagus kalau ingat begitu. Gerakan dan komponen lain tidak menng satu kerusi pun berbanding Umno yang memiliki 11 kerusi Dewan Undangan Negeri dan dua Parlimen.

Apa maknanya dari segi sokongan orang Cina dan India di Pulau Pinang? Mereka menolak Gerakan tetapi orang Melayu dan sebilangan bukan Melayu masih setia dengn UMNO.

Cadangan menukar Pengerusi BN Pulau Pinang itu diputuskan pada mesyuarat UMNO negeri yang dipengerusikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Georgetown, Pulau Pinang Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menolak permintaan pemimpin UMNO negeri dengan alasan jawatan itu telah disandang oleh para pemimpin Gerakan selama lebih 35 tahun dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

Malah Kohilan berkata, Gerakan juga mengatakan BN Pusat yang lantik Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang untuk terus mentadbir, bukan Gerakan yang lantik dan pelantikan ini dipersetujui Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Najib Razak.

Bagi Gerakan, semua pihak kena hormati keputusan itu dan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Gerakan untuk terus menerajui Pulau Pinang, tidak kira pada masa parti itu kalah atau menang besar pada pilihan raya.

Di pihak UMNO pula, kenapa ia mahu jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang yang kini dipegang oleh Gerakan diserahkan kepada parti itu?

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, permintaan itu adalah munasabah kerana hanya wakil UMNO telah memenangi semua kerusi yang dikuasai BN di Pulau Pinang pada pilihan raya umum lepas.

"Parti komponen lain tidak ada satu kerusi pun di Pulau Pinang,” kata Zahid.

Selain itu usaha ini adalah bertujuan mengukuhkan kedudukan perikatan itu di peringkat negeri.Gerakan dikatakan gagal menjalankan program untuk menarik semula sokongan rakyat selepas kalah teruk pada pilihan raya umum lalu.

Soal penting kata Zahid, UMNO Pulau Pinang tidak puas hati dengan Gerakan yang langsung tidak menjalankan program memastikan BN kembali menawan negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.
Kata Zahid, tuntutan itu telah lama dibuat tetapi baru diumumkan kelmarin setelah pihaknya mendapati Gerakan masih tidak melakukan apa-apa program sepatutnya dansekiranya Gerakan meneruskan program yang baik untuk BN di Pulau Pinang, beliau berpendapat UMNO sendiri boleh membantu.

“Jadi soal Tsu Koon (Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon) mahu lepas atau kekalkan jawatan, itu soal dia. Kita hanya minta, pelantikan Pengerusi BN negeri kuasa mutlak Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya,

Jelas, permintaan UMNO Pulau Pinang ini benar-benar menguji kewibawaan dan keputusan Najib.
Yang pasti sebarang keputusan yang diambil kelak akan mengambil kira semangat permuafakatan BN dan lebih penting kemenangan BN di Pulau Pinang.

Kenapa kemenangan BN dilihat penting?

Pertama, kemenangan BN akan membolehkan Pulau Pinang dibangunkan seiring dengan kepentingan Pusat.
Kedua, pembangunan Pulau Pinang yang kini dilihat cenderung kepada sesuatu pihak sahaja perlu diperbaiki kerana sebelum ini kerajaan pimpinan Gerakan sudah ditegur.

Apabila pembangkang mengambil alih, pembangunan dilihat menjurus kepada kepentingan kaum tertentu sahaja dan kumpulan miskin terus terhimpit.

Najib perlu melihat semua sudut dan jikapun masih mahu mengekalkan status quo, kepentingan mereka yang diwakili UMNO hendaklah diberikan perhatian penuh.

Jangan biarkan apa yang berlaku kepada rakyat Pulau Pinang seperti ketika kepimpinan Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri.

Sokongan rakyat kepada UMNO menggambarkan kehendak pengundi.

Thursday, July 2, 2009

BALIK MELAKA SAJALAH GUAN ENG!

Saya hairan juga dengan orang Pulau Pinang.

Bagaimana boleh mereka menerima ‘orang luar’ menjadi ketua Menteri Pulau Pinang.

Apakah kerana sentiment parti dan ideology, sebahagian besar orang Pulau Pinang memilih beliau?

Apakah dia faham keadaan dan kepentingan orang Pulau Pinang?

Penduduk Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor yang menghadapi masalah tidak dapat diselesaikan oleh Guan Eng, Itu baru satu kampung.

Hari ini, penduduk kampung itu mula berkumpul sejak jam 9.30 pagi bagi menunggu notis mahkamah yang mengarahkan mereka mengosongkan rumah dalam tempoh sebulan.

Kelihatan juga ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), JERIT yang datang untuk memberi sokongan kepada penduduk.

Beberapa pegawai polis juga sudah tiba di kampung itu bagi mengawal keadaan.
Pada jam 11.30 pagi, pegawai dari mahkamah dan pemaju projek, Nusmetro Venture (P) Sdn Bhd dan pemilik tanah, Persatuan Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang tiba untuk menampal notis pengosongan rumah.

Ia menimbulkan keadaan kelam kabut apabila penduduk membantah dan menghalang kemasukan mereka.

Kita menunggu apa perkembangan selanjutnya.

Semalam penduduk Buah Pala menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meletakkan jawatan

Penduduk kampung itu menyuarakan kekecewaan mereka Guan Eng kerana gagal membantu mereka.

"Jika beliau tidak boleh mengambi balik tanah ini daripada pemanju dan mengekalkan kampung ini, maka lebih baik beliau letak jawatan," kata penolong setiausaha persatuan penduduk kampung berkenaan, C Tharmaraj.

Bercakap kepada pemberita di kampung tersebut hari ini, Tharmaraj menuduh Lim lebih berminat melindungi kepentingan syarikat terbabit daripada menjaga kepentingan rakyat.

Katanya, penduduk di situ tidak menyalahkan Guan Eng terhadap masalah yang menimpa mereka sekarang.

Sebaliknya, kata beliau, mereka mahu kerajaan negeri sekarang memperbetulkan penyelewengan kerajaan sebelumnya.

"Adakah permintaan itu banyak sangat?

Jika Lim tidak dapat melakukan ini untuk rakyat yang mengundi kerajaannya, maka beliau harus meletak jawatan dan balik ke negerinya di Melaka," tegasnya.

Wednesday, February 4, 2009

BILAKAH MELAYU NAK SEDAR

Bila kena kepada Melayu isu kecil.

Tetapi kalau kena kepada bukan Melayu walaupun seorang, isu besar – nasional dan dunia.
Dulu PAS lakukan, kini DAP. Yang jadi mangsa adalah Melayu!

Kepada PAS yang menjadi ‘sahabat baik DAP’, perbuatan seperti ini halal sebab tindakan kerajaan Pulau Pinang dilakukan ke atas kanak-kanak Melayu (bukan Islam?)
Lagipun mereka adalag ‘guru’ kepada perbuatan seperti ini.

Anggapan Lim Guan Eng mengenai tindakan Tabika Kemas Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, yang dikunci sehingga menyebabkan muridnya terpaksa belajar bawah pokok, kelmarin, sebagai isu kecil adalah tidak bertanggungjawab.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak pun mengambil tanggungjawab atau minta maaf sebaliknya meminta semua pihak supaya tidak terlalu memperbesarkan isu itu kerana ia dianggap selesai.

"Janganlah uar-uar isu ini sangat besar sedangkan ia tidak besar mana pun. Mungkin ada kesilapan sehingga perkara itu boleh berlaku," katanya semalam.

Pelik sungguh. Pada ketika mengatakan mungkin ada kesilapan, Guan Eng bagaikan tidak melihat bagaimana kanak-kanak Melayu ini diperlakukan sedemikian rupa.

Beliau mengulas mengenai tindakan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) yang mengunci pagar tabika itu, kelmarin.

Berikutan itu, 22 murid tabika terbabit terpaksa belajar bawah pokok.

Difahamkan kejadian kali ketiga itu berlaku sejak JKKK menghantar notis pengosongan bangunan pada awal Januari lalu.

Guan Eng berkata, beliau tidak mengetahui langsung tujuan sebenar JKKK Kuala Sungai Pinang berbuat demikian tetapi dasar kerajaan negeri tidak pernah menghalang murid belajar di situ.

Tidak munasabah beliau tidak tahu kerana isu ini sudah berlarutan sejak Januari lalu. Ternyata Guan Eng lepas tangan bila tidak ada kena mengena dengan sokongan terhadap diri dan partinya DAP.

Semalam, seramai 22 murid Tabika Kemas Kuala Sungai Pinang terpaksa belajar bawah pokok selepas kelas mereka dikunci, kelmarin.

Kanak-kanak yang berusia empat hingga enam tahun duduk beralaskan tikar dan belajar di bawah pokok antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Berikutan itu, enam murid mengadu tidak sihat termasuk demam dipercayai kerana terpaksa belajar di bawah terik matahari.

Kejadian itu dipercayai kali ketiga sejak Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK) Kuala Sungai Pinang menghantar notis pengosongan bangunan pada awal Januari lalu.

Apakah JKKK itu mempunyai hak menghantar notis pengosongan bangunan, apatah lagi mengunci pagar bangunan kerana Tabika berkenaan terletak di tanah milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda)?

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat wajar didesak memberi penjelasan kerana membenarkan JKKK terbabit sesuka hati mengunci tabika berkenaan, selain membuktikan yang tanah itu dalam bidang kuasa mereka.

Seorang ibu kepada murid Tabika, Azizah Mohd Ismail, 45, berkata anaknya, Noor Hidayat Mustahpha, enam tahun yang sihat sebelum ini, muntah dan mengadu demam selepas belajar di bawah pokok.

Orang Melayu Pulau Pinang sewajarnya insaf dan memperjuangkan kepentingan mereka dan tidak lagi mengelamun akibat dibuai mimpi oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang ternyata tidak membela mereka.

Pengajaran ini sangat bermakna untuk Mamu, Mami dan seluruh rakyat Melayu di Pulau Mutiara!