Showing posts with label Hindraf. Show all posts
Showing posts with label Hindraf. Show all posts

Wednesday, March 2, 2011

KENAPA PERTUBUHAN HARAM BOLEH MENGADAKAN PERHIMPUNAN HARAM?

Kenapakah Kementerian Dalam Negeri tidak berani bertindak, apakah kerana Hindraf menyokong atau memberikan undi kepada Barisan Nasional (BN), lebih khusus untuki MIC? Dan kalau semuanya tidak, kenapa Hindraf haram dan memang diharamkan dan kini menjadi pertubuhan bawah tanah terus ‘terpelihara’? Siapa melindunginya?

TAK HERAN...Dua daripada lima pengikut Hindraf, S Jayathas (kanan) dan T. Periasamy dihadapan di Mahkamah Sesyen Selayang, semalam kerana pembabitan mereka dalam pertubuhan Hindraf.

Siapa Barisan Bertindak Hak-hak India atau Hindraf?

Bukankah pertubuhan ini haram? Haram itu bermakna ‘pertubuhan bawah tanah’. Apa pertubuhan bawah tanah yang haram dan diperangi polis dan tentera sebelum ini? Jawapnnya komunis.

Tidakkah Hindraf ini seakan sama dengan Komunis kerana ia pertubuhan yang diharamkan dan mengancam keselamatan negara.

Anggotanya begitu angkuh dan langsung tidak menghormati undang-undang negara. Kenapa mereka berperangai sedemikian dan kenapa ada anggotanya boleh menganjurkan perhimpunan di ibu negara? Siapa membenar dan membiarkannya?

Apakah kerajaan atau lebih khusus Kementerian Dalam Negeri takut kepada Hindraf dan kerana itu ia terus bermaharajalela?

Isunya bukan sama ada perhimpunan oleh Hindraf Ahad lalu mendapat sambutan atau sebaliknya.

Nampaknya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun keliru mengenai Hindraf ini apabila mengatakan di Jasin kelmarin bahawa demonsrasi Hindraf yang tidak mendapat sambutan ramai merupakan satu petanda baik sokongan masyarakat India kepada kerajaan.

Beliau berkata demonstrasi anjuran kumpulan tidak berdaftar itu tidak sepatutnya diadakan, namun beliau berpuas hati kerana ianya tidak mendapat sambutan dan langkah wajar yang telah diambil pihak keselamatan.

Isunya bukan tidak mendapat sambutan tetapi memang tidak sepatutnya dibenarkan diadakan. Di mana langkah pencegahan awal oleh kerajaan khususnya polis?

Lebih memalukan ialah kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Ipoh kelmarn yang bersyukur perhimpunan yang dirancang pertubuhan haram Hindraf di ibu negara itu tidak mendapat sambutan.

Apa bersyukurnya? Pertubuhan haram tidak boleh dibenarkan ‘muncul di bumi Malaysia’ ini walau di mana sahaja berada dan tidak mendapat sambutan bukan perkara yang perlu dinyatakan.

Malah menurut Hishamuddin, ‘berdasarkan laporan diterimanya daripada polis, ia tidaklah sebesar mana’. Isunya juga bukan ‘tidak besar’ atau kecil. Yang haram sepatutnya tidak wujud sama sekali!

Kenapakah Kementerian Dalam Negeri tidak berani bertindak, apakah kerana Hindraf menyokong atau memberikan undi kepada Barisan Nasional (BN), lebih khusus untuk MIC?

Dan kalau semuanya tidak, kenapa Hindraf haram dan memang telah diharamkan dan kini menjadi pertubuhan bawah tanah terus ‘terpelihara’?

Siapa melindunginya? Pemimpin MIC atau pakatan pembangkang?

Kerana itu saya bersetuju sangat dengan Awang Selamat apabila dia menyatakan dalam Utusan Malaysia bahawa perhimpunan haram oleh kumpulan Hindraf di KLCC kelmarin jelas dipengaruhi oleh pihak pembangkang.

Kata Awang Selamat, amat lucu sekali, beberapa kenyataan pihak pembangkang dikeluarkan sebaik sahaja perhimpunan itu tamat, kononnya sebagai kecaman terhadap tindakan polis menahan penunjuk perasaan.

Antara kecaman itu datangnya daripada anggota Exco Kerajaan Selangor, Dr. A. Xavier Jayakumar bertajuk: Kerajaan PR Selangor kutuk tangkapan lebih 100 orang aktivis masyarakat India.

Malang sungguh Xavier menggunakan nama Kerajaan Selangor sebagai platform untuk menyalurkan kecaman itu. Satu lagi kenyataan datangnya dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Ia jelas menunjukkan mereka telah merangka kenyataan itu awal-awal lagi, kerana sudah menjangka polis akan mengambil tindakan terhadap penunjuk perasaan.

Benarlah ulasan Perdana Menteri mengenai insiden itu: ‘‘Kita tak nak guna kekerasan, mereka mengharapkan kita gunakan kekerasan supaya mereka nak terokai melalui televisyen antarabangsa yang menunjukkan kononnya kita sebuah rejim autokratif.’’Itulah niat mereka yang sebenar.

Dan jika mahu iktiraf sangat tuntutan mereka itu – tuntutan kaum India – bubar sahaja MIC dan gantikan dengan Hindraf kerana menurut pemimpin mereka, Hindraf akan dikuburkan jika kerajaan menyelesaikan masalah kemiskinan orang India.

Hmmm...mudahnya menyalahkan kerajaan!

Mengelirukan sekali apabila pertubuhan Parti Hak Asasi Manusia (HRP) turut menyalahkan polis yang membuat tangkapan terhadap penyokongnya dan ahli kumpulan Hindraf sebagai punca ramai yang tidak keluar berhimpun di KLCC semalam.

Presiden HRP W Sambulingam berkata sebelum ini, mereka telah memohon permit polis untuk mengadakan perhimpunan itu tetapi ditolak.

Aneh sekali apabila Sambulingam mengemukan soalan: "Kenapa mereka tidak menunaikan hak kami untuk berkumpul secara aman mengikut Artikel 10 (Perlembagaan Persekutuan)?" pada hal dia tahu perhimpunan itu tidak wajar diadakan, lebih-lebih lagi kerana Hindraf itu haram.

Dengan angkuh Sambulingam berkata Hindraf boleh dikuburkan selepas kerajaan menyelesaikan masalah masyarkat India di negara ini yang mendakwa mereka dipinggirkan. Uthayakumar yang turut hadir sama juga bersetuju dengan pandangan rakannya berhubung perkara tersebut.

Kerana itu polis menahan seramai 109 penyokong termasuk beberapa pemimpin utama HRP dan Hindraf . Antara mereka, setiausaha sementara HRP, P Uthayakumar dan ketua penerangannya S Jayathas. Bagaimanapun, semua mereka dibebaskan.

Persoalannya apakah kerajaan tidak berusaha menyelesaikan masalah mereka?

Persoalannya apakah pemimin India khususnya dalam Barisan Nasional tidak mampu menjelaskan kepada mereka ini usaha kerajaan menyelesaikan masalah mereka?

Atau mereka ini jenis keras kepala dan kerana itu sanggup bergerak ‘bawah tanah’ melalui pertubuhan haram seperti Hindraf?

Menurut Uthaya, sebelum ini pihaknya telah menyerahkan satu memorandum kepada perdana menteri - ketika itu - Tun Abdullah Ahmad Badawi mengenai 18 tuntutan mereka . Katanya, memorandum yang dihantar sejak tiga tahun lalu kini masih belum ada sebarang maklum balas. Ini termasuk daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri - yang turut diberi salinan memorandum tuntutan mereka.

Yang nyata seperti kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tindakan pertubuhan haram, Hindraf, mengadakan perhimpunan Ahad lalu memberi imej buruk kepada negara. Ini kerana "Kita nak tunjukkan kebaikan negara kita. Cara tersebut tidak sesuai dilakukan di negara yang aman seperti Malaysia," katanya.

Kita mahu melihat tindakan lanjut terhadap lapan pemimpin Hindraf yang mengadakan perhimpunan haram di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang akan diketahui Jumaat ini selepas kertas siasatan disemak oleh pihak pendakwa raya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, lapan pemimpin terbabit dibebaskan sehingga Jumaat sementara menunggu kertas siasatan disiapkan dan disemak untuk tindakan selanjutnya oleh DPP.

Jika perlu, kesemua lapan pemimpin berkenaan akan didakwa kerana berdegil mengadakan perhimpunan haram walaupun telah dinasihatkan supaya bersurai.

Bagaimana jika selepas ini polis berpendapat ‘tidak perlu’ mendakwa mereka?

Friday, July 3, 2009

HINDRAF – DAP BUKA PEKONGNYA

Baru sedarkah? Bila kena batang hidung sendiri baru terasa.

Semalam pemimpin DAP Pulau Pinang turut menyifatkan pemimpin Hindraf, termasuk yang melarikan diri ke luar negara sebagai anti-Malaysia.

“Saya berada di sini, bukan di luar negara. Saya tidak minta tolong pihak yang anti-Malaysia. Saya di Malaysia, lawan dan buat di sini. Saya tidak berbohong dan tipu dengan lari ke luar negara, bersahabat dengan ejen untuk menjatuhkan Malaysia. Itu bukan kita (DAP).”

Siapa menyuarakannya?, Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P Ramasamy.

Selama ini kenapa tuduh kerajaan zalim apabila dengan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf)?

Apabila ‘terpercik ke muka sendiri’ baru tersedar daripada lamunan dan mengetahui bahawa Hindraf tetap Hindraf.

Semalam terdedah sudah bahawa rupa-rupanya DAP turut membela dan memberikan sokongan kepada gerakan haram itu.

Dr P Ramasamy mengesahkan bahawa DAP yang berjuang untuk membebaskan lima pemimpin Hindraf yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri.
ini.

Ini semua terserlah apabila semalam, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang pimpinan DAP membidas Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang didakwa mengugut dan menuduh Lim Guan Eng, bersifat perkauman berhubung isu Kampung Buah Pala.

Kerajaan negeri juga menyifatkan pemimpin pertubuhan haram itu tidak mengenang budi kepada DAP yang berjuang untuk membebaskan lima pemimpin Hindraf yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Malah, kerajaan negeri juga mendakwa Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy, yang melarikan diri ke luar negara cuba mengambil kesempatan daripada isu itu dengan meminta kerajaan supaya tidak dikenakan tindakan apabila pulang ke tanah air.

Perkara itu dinyatakan pada sidang media bersama Dr P Ramasamy; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, RSN Rayer dan Adun Batu Uban, S Raveentharan di Pulau Pinang, semalam.

"Sebelum ini, siapa yang berdepan dengan pemaju (Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd)? Kalau kita tidak buat sesuatu, pemaju sudah roboh rumah tahun lalu. Di mana Hindraf masa itu?

“Jadi, jangan ugut dan berasakan kerajaan negeri lemah. Kita bertindak dan bersabar mencari jalan penyelesaian.

“Saya berada di sini, bukan di luar negara. Saya tidak minta tolong pihak yang anti-Malaysia. Saya di Malaysia, lawan dan buat di sini. Saya tidak berbohong dan tipu dengan lari ke luar negara, bersahabat dengan ejen untuk menjatuhkan Malaysia. Itu bukan kita (DAP)," kata Dr Ramasamy.

Ramasamy mengulas kenyataan Waythamoorthy yang menuduh Guan Eng sebagai bersifat perkauman.

Waythamoorty dipetik sebagai berkata, kerajaan Pakatan Rakyat gagal memberi harapan dalam usaha mencari penyelesaian terhadap isu dihadapi penduduk Kampung Buah Pala.

Penduduk sepatutnya mengosongkan rumah kerana pemaju akan merobohkannya semalam tetapi kerajaan negeri berjaya mendapat persetujuan pemaju supaya ditangguhkan selama sebulan.

Wednesday, January 28, 2009

ISU KUGAN UJI KEWIBAWAAN POLIS

Ujian terhadap kewibawaan polis dan keutuhan masyarakat berbilang kaum di negara ini berlaku lagi hari ini.

Penyebaran SMS atas nama Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) semalam mengajak orang ramai menyertai perarakan membawa mayat A Kugan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPU) ke Puchong.

Kugan, 23, yang ditahan 15 Januari lalu kerana disyaki terbabit dalam sindiket curi kereta mewah, mati ketika disoal siasat di Balai Polis Taipan, USJ8, Subang Jaya, seminggu kemudian.

Polis sudah menasihatkan orang ramai tidak menyertai cadangan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengadakan perarakan membawa mayat A Kugan hari ini.

Kita semua akan menyaksikan hari ini sama ada nasihat dipatuhi atau sebaliknya dan sejauh mana pemimpin India mampu menenangkan pihak-pihak yang mahu mengadakan perarakan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata pihaknya tiada halangan jika mayatnya dibawa terus dari rumah mayat (PPUM) ke tanah perkuburan Batu 14 Puchong.

"Bagaimanapun, jika ada cubaan untuk berarak ke kawasan lain dengan tujuan untuk menimbulkan kekacauan kita terpaksa mengambil tindakan tegas.

Bedah siasat mendapati Kugan mati akibat paru-paru berair, bagaimanapun ia tidak diterima keluarga mangsa berikutan penemuan banyak kesan cedera di muka dan badan.

Keluarganya yang tidak berpuas hati dengan kematian Kugan mahu bedah siasat dilakukan sekali lagi. Ekoran kecaman orang ramai, Peguan Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah mengklafikasikannya sebagai kes bunuh.

Bedah siasat kali kedua di PPUM dilakukan pada kelmarin (25 Januari 2009) dan dijalankan oleh pakar patologi, Dr Prashant.

Menurut laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam memberitahu bahawa doktor telah memberi penerangan ringkas kepada keluarga Kugan, peguam mereka N N Surendran dan ahli-ahli Parlimen yang hadir.

Penerangan tersebut mengambil masa lebih daripada 30 minit mengenai keputusan bedah siasat tersebut.

Bagaimanapun, keputusan bedah siasat itu tidak boleh didedahkan menunggu siasatan terhadap kes kematian Kugan.Sebelas anggota polis berpangkat konstabel dan lans koperal dari balai polis Subang Taipan - tempat Kugan meninggal dunia sudah dipindahkan serta merta kelmarin.

Dijangkakan laporan penuh mengenai bedah siasat kedua itu akan disiapkan awal bulan depan.

Kelmarin, pengerusi DAP, Karpal Singh menggesa pihak kuasa mendakwa doktor yang melakukan bedah siasat ke atas mayat Kugan yang didakwanya membuat laporan palsu.

Timbalan Ketua Polis Negara meminta semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu kematian
Kugan dan memberi jaminan pasukan khas Bukit Aman yang ditubuhkan untuk menyiasat kes itu akan melakukannya dengan terbaik dan telus.

Bagaimanapun, tindakan tegas akan diambil sekiranya ada sesiapa yang sengaja melanggar arahan polis dan menimbulkan kekacauan kerana perarakan sedemikian dianggap perhimpunan haram.

Kelmarin, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang membawa sepanduk atau mengadakan demonstrasi ketika perarakan majlis pengkebumian Kugan di Batu 14 Puchong hari ini.

Monday, October 6, 2008

HADI SOKONG TINDAKAN PERTUBUHAN HARAM

Bagaimana kiranya pada perayaan Deepavali nanti, orang Melayu atau kumpulan Islam beramai-ramai datang mengganggu rumah terbuka pemimpin India dengan tunjuk perasaan serta tuntutan tertentu sebagai membalas perbuatan pertubuhan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf), tempoh hari?

Apakah wajar mereka berbuat demikian?Kalau mengikut fatwa Haji Hadi, perbuatan itu ‘tidak apa’ dan ‘wajar’ dilakukan kerana ia sebahagian proses demokrasi di negara ini.

Bagi Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau menyifatkan perbuatan kumpulan haram Hindraf itu tidak salah kerana di Amerika Syarikat, penunjuk perasaan memprotes di depan Rumah Putih.

Apakah Hadi sedar bahawa beliau sebenarnya menyokong perbuatan oleh pertubuhan haram?

Sebaliknya, bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh Haji Hadi, MIC menyifatkan tindakan penyokong Hindraf menyerbu Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet beragama Islam pada 1 Oktober lalu sebagai perbuatan yang menyimpang daripada budaya masyarakat India.

Cuma persoalannya, jika bukan budaya kaum India di Malaysia, apakah ia budaya ‘India Import’?

Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata di Klang pada 5 Oktober 2008, tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan oleh kumpulan berkenaan.
Ini kerana ia jelas menunjukkan mereka tidak menghormati semangat dan amalan budaya antara kaum di negara ini.

Beiau berharap supaya tidak ada lagi pihak tertentu menggunakan majlis-majlis seperti itu sebagai batu loncatan politik mereka kerana sambutan rumah terbuka perlu dirayakan dalam satu suasana yang lebih positif.

“Ini kerana rumah terbuka seperti yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dilihat sebagai satu penghormatan kepada masyarakat berbilang kaum dan ia diadakan agar ia dapat dirayakan bersama-sama bagi meningkatkan perpaduan rakyat,” katanya.

Banyak pihak menganggap perbuatan Hindraf itu tidak beradab.

Kerana itu amat wajar sekali seruan supaya polis membuka segera kertas siasatan ke atas pertubuhan haram Hindraf yang mengganggu ketenteraman awam serta bertindak keterlaluan tidak menghormati budaya masyarakat negara ini.

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri menegaskan polis tidak boleh berlembut dalam hal ini kerana tindak-tanduk kumpulan itu berbaur hasutan dan berpotensi menimbulkan kekecohan.

Tegasnya, jika perbuatan tersebut dibiarkan berleluasa ia boleh mengugat kesejahteraan rakyat berbilang kaum yang selama ini tinggal dengan aman kerana menghormati satu sama lain.

"Perbuatan menyerbu majlis orang, rosakkan majlis dengan jeritan langsung tidak menunjukkan sikap yang sopan dan sekali gus mencemarkan imej negara ini di mata masyarakat antarabangsa.

"Kerajaan dan pihak berkuasa mesti bertindak ke atas kumpulan tersebut agar ia tidak mempengaruhi dan mengelirukan orang lain," katanya dihubungi Utusan Malaysia di Kuala Lumpur pada 5 Oktober 2008.