Monday, October 6, 2008

HADI SOKONG TINDAKAN PERTUBUHAN HARAM

Bagaimana kiranya pada perayaan Deepavali nanti, orang Melayu atau kumpulan Islam beramai-ramai datang mengganggu rumah terbuka pemimpin India dengan tunjuk perasaan serta tuntutan tertentu sebagai membalas perbuatan pertubuhan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf), tempoh hari?

Apakah wajar mereka berbuat demikian?Kalau mengikut fatwa Haji Hadi, perbuatan itu ‘tidak apa’ dan ‘wajar’ dilakukan kerana ia sebahagian proses demokrasi di negara ini.

Bagi Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau menyifatkan perbuatan kumpulan haram Hindraf itu tidak salah kerana di Amerika Syarikat, penunjuk perasaan memprotes di depan Rumah Putih.

Apakah Hadi sedar bahawa beliau sebenarnya menyokong perbuatan oleh pertubuhan haram?

Sebaliknya, bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh Haji Hadi, MIC menyifatkan tindakan penyokong Hindraf menyerbu Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet beragama Islam pada 1 Oktober lalu sebagai perbuatan yang menyimpang daripada budaya masyarakat India.

Cuma persoalannya, jika bukan budaya kaum India di Malaysia, apakah ia budaya ‘India Import’?

Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata di Klang pada 5 Oktober 2008, tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan oleh kumpulan berkenaan.
Ini kerana ia jelas menunjukkan mereka tidak menghormati semangat dan amalan budaya antara kaum di negara ini.

Beiau berharap supaya tidak ada lagi pihak tertentu menggunakan majlis-majlis seperti itu sebagai batu loncatan politik mereka kerana sambutan rumah terbuka perlu dirayakan dalam satu suasana yang lebih positif.

“Ini kerana rumah terbuka seperti yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dilihat sebagai satu penghormatan kepada masyarakat berbilang kaum dan ia diadakan agar ia dapat dirayakan bersama-sama bagi meningkatkan perpaduan rakyat,” katanya.

Banyak pihak menganggap perbuatan Hindraf itu tidak beradab.

Kerana itu amat wajar sekali seruan supaya polis membuka segera kertas siasatan ke atas pertubuhan haram Hindraf yang mengganggu ketenteraman awam serta bertindak keterlaluan tidak menghormati budaya masyarakat negara ini.

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri menegaskan polis tidak boleh berlembut dalam hal ini kerana tindak-tanduk kumpulan itu berbaur hasutan dan berpotensi menimbulkan kekecohan.

Tegasnya, jika perbuatan tersebut dibiarkan berleluasa ia boleh mengugat kesejahteraan rakyat berbilang kaum yang selama ini tinggal dengan aman kerana menghormati satu sama lain.

"Perbuatan menyerbu majlis orang, rosakkan majlis dengan jeritan langsung tidak menunjukkan sikap yang sopan dan sekali gus mencemarkan imej negara ini di mata masyarakat antarabangsa.

"Kerajaan dan pihak berkuasa mesti bertindak ke atas kumpulan tersebut agar ia tidak mempengaruhi dan mengelirukan orang lain," katanya dihubungi Utusan Malaysia di Kuala Lumpur pada 5 Oktober 2008.

No comments:

Post a Comment