Tuesday, April 3, 2018

PARTI, LOGO PPBM BERTANDING PRU14 HANYA TINGGAL HARAPAN?


 
Hari ini Selasa.

Bukan hari untuk menyaman sesiapa. Cuma menunggu apa jadi dengan cakap-cakap Najib Razak akan menyaman tetapi tidak menjadi sehingga kini.

Hari ini Selasa. 

Masih menunggu keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk memberikan jawapan kepada permohonan Parti Pribumi Bersatu (PPBM) mengenai pendaftaran parti itu. Diluluskan atau dibatalkan pendaftaran parti itu.

Juga apakah logo PPBM boleh digunakan pada pilihan raya umum akan datang walaupun ada cakap-cakap bahawa semua parti Pakatan Harapan (HARAPAN) terpaksa menggunakan logo PKR.

Ada pemimpin dan penyokong PPBM melenting dan marah jika disebut HARAPAN terpaksa gunakan logo parti lain selain PPBM.

Namun realitinya?

PPBM sudah memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan RoS pada Khamis lalu bagi menyerahkan semua dokumen berkaitan yang diminta olehnya.

Walaupun penantian ini dirasakan lama dan apa sahaja kemungkinan akan berlaku, harapan tetap tinggi agar PPBM dan Logo PPBM dapat digunakan pada pilihan raya umum ke-14 yang akan diadakan dalam masa terdekat.


RoS menghantar notis mengancam PPBM menghadapi risiko dibatalkan pendaftaran  bertarikh 28 Februari lalu,  RoS juga memberi syarat PPBM menyerahkan minit mesyuarat dan dokumen kewangan dalam masa 30 hari daripada tarikh berkenaan.

Sebelum ini, pada lalu, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah mengakui parti itu tidak dapat memenuhi dua daripada sembilan perkara dituntut RoS menerusi notis mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1996 yang berkuat kuasa sejak 28 Februari lalu.

Dua tuntutan yang mungkin tidak boleh dipenuhi PPBM itu, membabitkan laporan berkaitan perjalanan mesyuarat bahagian dan cawangan parti itu seperti diarahkan menerusi notis terbabit.
Namun, usaha tetap dilakukan. Pemimpin dan penyokong PPBM tidak pernah kalah dalam konteks semangat perjuangannya.

Selain itu, biarpun PPBM berpendirian bahawa tarikh akhir melakukan perkara itu sepatutnya pada 9 April, iaitu tarikh surat diterima dan bukan pada 29 Mac, PPBM tetap melakukannya.

Harapan ahli dan penyokong PPBM begitu menyala-nyala, juga rakyat yang menentang rejim Najib Razak mahukan PPBM dibenarkan bertanding atas logo dan parti PPBM yang dilihat mempunyai banyak kelebihan berbanding UMNO dan PAS.

Dengan kekuatan sokongan sekutu PPBM - PKR, AMANAH dan DAP – peperangan di ‘padang yang sama rata’, tanpa adanya tekanan dan halangan dllihat akan memudah dan memberikan ruang adil kepada rakyat untuk menentukan siapa kerajaan baharu yang sepatutnya memerintah Malaysia.


Dikira sejak Khamis, hari ini Selasa  (3 April 2018), bermakna kini masuk hari lima PPBM sudah memenuhi tuntutan notis RosS yang dikeluarkan di bawah Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966.

Selepas semua dokumen sudah dihantar dan jika RoS masih dengan sikapnya untuk tidak melepaskan PPBM agar boleh bertanding pilihan raya dan menggunakan logonya sendiri, maka  akan terjawab dan terserlah syak wasangka dan punca sebenar kenapa PPBM dihalang.
Dengan kata lain ia ibarat ‘ramalan benar belaka’.

Pertama, amat jelas kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN)/UMNO sangat takut kepada perkembangan parti PPBM yang semakin mendapat sokongan ramai. Ini tidak termasuk yang tidak ‘mendedahkan identiti mereka’.

Kedua, tindakan RoS menggambarkan kerajaan BN/UMNO mahu mempertahankan Najib sebagai Perdana Menteri melalui apa cara sekali pun, walaupun terpaksa melanggar lunas-lunas demokrasi;

Ketiga, menjadikan PPBM parti yang tidak diluluskan merupakan usaha kerajaan BN/UMNO menimbulkan berbagai ‘salah faham’ dan kepercayaan palsu bahawa PPBM sebagai penyebab gagalnya pendaftaran HARAPAN,  termasuk menggunakan logo HARAPAN.

Keadaan ini sedikit sebanyak akan menyebabkan timbulnya perasaan tidak puas hati di kalangan tertentu dalam komponen HARAPAN terhadap  PPBM kerana masalah yang diakibatkan oleh kehadirannya yang tidak mendapat kelulusan RoS, dan pailing penting

Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi PPBM cuba ditonjolkan sebagai ‘pemimpin gagal’ walaupun di peringkat partinya sendiri – PPBM – kerana tidak mampu mentadbir parti seperti yang disyaratkan oleh RoS.

Dengan kegagalalan mentadbir PPBM, dengan sengaja diajukan persoalan - bagaimana mungkin Dr Mahathir boleh mentadbir HARAPAN  dan seterunya mentadbir negara?

Semua ini adalah helah dan permainan politik kerajaan BN/UMNO bersama-sama RoS untuk menekan pembangkang, khususnya PPBM yang menyebabkan HARAPAN terpalit sama.


Sehingga RoS dapat memberi atau menjelaskan apa, di mana dan kedudukan sebenar kelemahan dokumen tambahaN yang diserahkan oleh PPBM kepada mereka Khamis lalu, selagi itulah RoS dilihat sebagai dipergunakan sepenuhnya oleh BN/UMNO.

Dokumen tambahan itu yang diserahkan oleh setiausaha penganjur PPBM, Kapten (B) Muhamad Suhaimi Yahya pada petang Khamis dirasakan boleh memenuhi semua perkara yang dituntut oleh RoS.

Bagi PPBM, mereka merasakan  telah mematuhi apa yang diperlukan oleh ROS. Menurut seorang peguam yang enggan namanya didedahkan, PPBM dianggap sudah mematuhi sepenuhnya syarat ROS dan berharap dibolehkan secara sah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Rakyat memerhati semua peristiwa ini.

Malah, tidak keterlaluan jika dianggap RoS sebagai sebauh agensi kerajaan sebenarnya sudah melakukan tindakan ‘kejam’ kepada parti politik yang mendapat sokongan ramai.

Akan semakin ramai membenci RoS dan akan merugikan kerajaan. Perbuatan mereka memang dianggap dan dilihat jahat dan kejam di mata rakyat.

Sedangkan dalam surat bertarikh 30 Mac 2018, PPBM sudah menyatakan harapannya agar ROS bersikap adil dan memberikan jawapan dalam tempoh dua hari selepas ia diserahkan.

Dengan kata lain, surat yang  ditandatangani oleh Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shaharuddin Md Salleh itu sudah menyatakan bahawa oleh kerana  semua syarat dalam notis itu telah dipatuhi, RoS tidak mempunyai sebab untuk tidak mendaftarkan HARAPAN.

Namun, harpan tinggal harapan.

Apakah dokumen tambahan terbaru yang diserahkan kepada RoS itu  juga akan hanya menjadi suatu harapan?

1 comment:


  1. شركة المثالية للتنظيف تسعد بتقديم خدماتها لعملائها بالمنطقة الشرقية خدمات تنظيف خدمات مكافحة حشرات خدمات تسليك مجاري المياه للمطابخ والحمامات جميع الخدمات المنزلية تجدونها مع شركة المثالية للتنظيف بافضل جودة وارخص الاسعار بالاعتماد علي كافة الادوات الحديثة والعمالة الماهرة

    شركة المثالية للتنظيف
    شركة المثالية للتنظيف بالدمام
    شركة المثالية للتنظيف بالخبر

    ReplyDelete