Thursday, March 22, 2018

PERBUATAN AHLI POLITIK MEMAINKAN ISU PERKAUMAN MEMBAHAYAKAN MALAYSIA!



Apakah kita tidak belajar daripada kesan 13 Mei 1969?

Bukan sekadar isu ekonomi yang menyebabkan berlakunya tragedi sedemikian.

Isu serta api perkauman yang sengaja dibesar0besarkan juga menjadi penyumbang besar kepada konflik perkauman. Ia dianggap satu-satunya yang paling besar berlaku di Malaysia.

Kini selepas Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada awal 1970-an yang menekankan kepada membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat , Malaysia berdepan dengan ancaman perkauman yang semakin membimbangkan ketika ini.

Sedar atau tidak, mahu atau tidak mahu, kita perlu menerima hakikat bahawa pemimpin politik kita semakin kurang menekankan aspek perpaduan dalam pidato atau juga ucapan mereka.

Hanya di kalangan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kerap menyuarakan kebimbangan mengenai perkara ini.

Hakikatnya, sejauh manakah kefahaman antara kaum sudah dapat diwujudkan melalui pendidikan sejak di bangku sekolah dan penerapan semangat patriotisme dan pemantauan ketika remaja berada di universiti?

Juga sejauh mana kejayaan pihak berkuasa berjaya meleraikan pertelingkahan kaum dan tindakan agresif seperti yang pernah berlaku pada ketika solat Jumaat di Johor Bahru tidak lama dahulu?

Rakyat memang sedar bahawa perpaduan sangat penting bagi membentuk sebuah negara yang maju dan stabil. Tetapi siapa yang menggunakan faktor perkauman untuk kepentingan dan laba politik?

Bukahkah kalangan pemimpin, khususnya pemimpin politik yang mengambil kesempatan melaluinya?
 
Banyak manakah kata-kata dan ajakan ke arah perpaduan yang dilaungkan oleh pemimpin kita berbanding dengan cakap-cakap mengenai sesuatu kaum itu perlu bersatu untuk menyaingi atau bersedia menghadapi ancaman kaum lain.

Persoalannya – apakah dalam kehidupan seharian,  rakyat yang berlebih mengamalkan perkauman?

Jawapannya tidak sama sekali.

Rakyat berusaha untuk tidak menyakit atau menyebabkan jiran mereka terasa dengan  turut kata dan tindakan mereka yang bersifat perkauman.

Bagi yang sudah tinggal bersama di sesuatu kawasan sejak bertahun-tahun lamanya sama ada di banfar atau kampung, mereka akan terus menjaga kepentingan bersama demi keamanan dan kesejahteraan kawasan mereka.

Yang menyebabkan timbulnya perasaan perkauman dan syak wasangka (prejudis)  di kalangan masyarakat adalah pemimpin dalam sesebuah masyarakat, khususnya orang politik.

Kajian mengenai risiko atau sikap perkauman dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum pula  menunjukkan bahawa isu perkauman semakin membimbangkan.

Berdasarkan kajian oleh Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun lalu menunjukkan bahawa  walaupun hubungan etnik di Malaysia masih baik, namun risiko perkauman didapati semakin meningkat dan menebal.

Apakah selepas merdeka lebih 60 tahun isu perkauman masih menjadi halangan penting ke arah pembinaan negarabangsa?

Sekiranya tidak ditangani, ia akan menyebabkan rakyat mengutamakan kepentingan etnik masing-masing dalam tindakan hidup.

Membimbangkan perkara itu akan membawa kepada gejala negatif seperti stereotaip, prejudis, perkauman dan diskriminasi yang menebal dalam kalangan masyarakat.

Lebih mengejutkan, faktor politik menjadi punca utama ketegangan antara kaum di samping perbezaan agama, politik, negara, bangsa, ekonomi dan mobiliti sosial.

Tidak dapat dinafikan bahawa risiko etnik atau sifat perkauman akan semakin meningkat dalam kempen-kempen pilihan raya oleh parti-parti politik untuk mempertahankan kepentingan mereka sendiri sehingga mampu memusnahkan perpaduan.

Lebih menakutkan lagi, isu sensitiviti agama kurang diberikan perhatian sehingga menimbulkan kemarahan dan pergaduhan antara kaum terutamanya dengan perkembangan teknologi terkini yang membolehkan semua pihak menularkan sesuatu perkara dengan pantas.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyalahkan orang politik dalam mewujudkan perasaan perkauman yang semakin menebal dan kerana itu menggesa rakyat menolak ahli politik yang membuat kenyataan berbaur perkauman ketika kempen pilihan raya.

Dengan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semakin menghampiri dan suhu politik semakin panas sekarang, rakyat perlu memberi mesej kepada ahli politik supaya tidak menggunakan kenyataan berbaur perkauman untuk memancing undi.

Dalam menyatakan  sesuatu isu atau kepentingan rakyat, ahli politik cubalah elak daripada menyebut atau memfokus kepada sesuatu kaum tetapi  memanggil atau menggelar  orang ramai sebagai rakyat Malaysia.

Sebarang tindakan hendaklah memperlihat dan menjuruskan perjuangan kea rah membentuk perpaduan.

Semua pihak jangan cuba mencuri peluang untuk melaga-lagakan rakyat berbagai kaum dengan isu perkauman.

Sama ada dalam kempen, pembahagian kerusi atu juga membentuk dasar-dasar, ia perlu mewakili kepentingan dan bertujuan ‘sama merasa nikmat pembangunan negara’.

Berikutan itu laporan Laporan Diskriminasi Kaum Malaysia 2017 yang dilancarkan baru-baru ini perlu diberikan perhatian mendalam.

Kerajaan dan pemimpin sama ada yang sedang atau akan memerintah jangan sampai dituduh memungkiri janji menggalakkan perpaduan negara.

Perpaduan negara adalah elemen penting kepada pembangunan negara kerana semua rakyat adalah penyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial.

Pandangan NGO berkaitan laporan kumpulan hak asasi manusia NGO perlu diberikan perhatian segera khususnya dalam perkara bersifat perkauman kian seperti sentimen “Islam sahaja” atau “Cina sahaja” atau apa-apa sahaja yang berbau rasis.

Kita tidak mahu Malaysia yang berjaya dibangun dan dipertahankan melalui konsep dan amalan perpaduan dimusnahkan oleh eleman dalaman sendiri – masalah perpaduan dan prejudis di kalangan etnik dan kaum..

Dalam kalangan parti – khususnya parti yang dibentuk bersifat perkauman – mereka perlulah menegakkan aspirasi Barisan Nasional atau Pakatan Harapan (HARAPAN) agar isu perkauman dan prejudis terhadap kaum lain dikurangkan, jika pun tidak dapat dihapuskan.

Dalam pembentukan dasar-dasar ekonomi, pentadbiran, pendidikan, budaya dan sosial, kepentingan perpaduan perlu dijadikan asas penting.

Kita berharap semua kaum dan bukan beberapa kaum dan etnik sahaja yang mengorbankan ;kepentingan mereka’ dalam isu perpaduan tetapi yang msih mempertahankan kekebalan sikap perkauman mereka mulai merobohkan benteng kepentingan perkauman.

Hanya melalui persefahaman kental sahaja negara dapat dibangunkan secara bersama.

kerana itu rakyat wajar memilih parti atau ahli politik yang tidak mengamalkan perkauman dan meletakkan kepentingan kaum mereka sebagai penentu segala-galanya.

Yang nyata, kita tidak mahu isu perkauman dijadikan asas penting ataualat kea rah ‘pecah dan perintah.”

Janganlah kerana demi sokongan dan kemenangan demi PRU14, ahli politik di pihak kerajaan dan pembangkang  menggunakan strategi kempen dan merayu undi  berasaskan kaum – apa lagi agama - untuk meraih sokongan.

Pendedahan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia  Datuk Seri Mukhriz Mahathir kelmarin yang mengaku beliau pernah menggunakan isu perkauman dan agama ketika berada dalam UMNO adalah salah satu daripada bukti nyata bahawa orang politik bergelut dengan 'permainan isu perkauman dan agama'.


Permainan seperti ini dan diskriminasi kaum dan agama perlu diatasi segera.

Kita tidak mahu lagi membaca atau mendengar laporan mengenai tindakan seperti larangan bertudung dalam industri perhotelan,  tandas untuk Islam sahaja di satu lebuh raya, cawan minuman berasingan bagi murid-murid berbeza latar belakang agama, kedai dobi “orang Islam sahaja” serta berbagai perkara lagi.


Ini belum lagi berkaitan diskriminasi antara pengamal Islam yang menjurus kepada siapa akan masuk syurga atau neraka dan siapa pula perlu dilaknat dan siapa pula perlu dilindungi yang semakin ketara akhir-akhir ini.

1 comment: