Saturday, July 16, 2016

PEMUDA JADI PENGECUT KERANA PEMIMPIN UTAMA LAGI PENGECUT?

"Malaysia kini sudah menjadi penakut dalam isu-isu membabitkan nasib dan masa depan umat Islam...tidak ada haluan sendiri. Ucapan pada sidang antarabangsa sudah longlai dan kaku.Inikah ‘pejuang dan panglima’ negara Islam kini? 


Orang Islam yang membunuh tidak kiralah kepada sesama Islam atau ke atas penganut agama lain dihukum dan digelar dengan berbagai nama.

Ada menggelar pengganas, pelampau, pembunuh, malah menyebut mereka sebagai ‘setan’.

Bagaimana dengan penganut agama Buddha yang membunuh beribu-ribu rakyat beragama Islam di Myanmar, Thailand, China dan di beberapa negara lain?

Bagaimana dengan tindakan mereka membakar masjid dan rumah kediaman umat Islam? Bukankah mereka juga setan?

Adakah ‘pelampau Islam’ membakar gereja, kuil atau rumah ibadah lain sewenang-wenangnya seperti mana penganut Buddha membakar masjid?


Kita masih ingat bagaimana golongan muda di negara ini bersuara mengenai isu masjid Babri di India dan beberapa tempat lain, termasuk isu masjid Al-Aqsa. Namun kini? tanyalah diri sendiri.

Malah, perjuangan untuk Rohingya nampaknya banyak dilakukan oleh Barat, malah agensi berita Reuters - yang dilihat pro_Barat - pernah mengemukakan soalan, "Kenapa Tidak Ada Sesiapa Membantu Rohingya?"

Kita sedih dengan sikap negara-negara yang hanya menghukum pelampau Islam tetapi memejamkan mata kepada keganasan terhadap orang Islam,  tidak kiralah di mana juga.

Kita juga kesal kerana negara kita – Malaysia – kini sudah menjadi penakut dalam isu-isu membabitkan nasib dan masa depan umat Islam,  pada ketika pemimpin negara mengakui mereka ‘pejuang dan panglima’ negara Islam.

Malaysia hanya meminta Pertubuhan Islam (OIC) bertindak dalam isu Rohingya tetapi tidak menjadi penggerak atau pembuka langkah sebaliknya hanya mahu menjadi pengikut dan berlinadung di sebalik negara lain.

Kenapa terjadi begini? Apa posture dan strategi dasar luar kita?

Kita antara 34 negara Islam yang menyertai Arab Saudi untuk menentang keganasan Islam dan kerana itu mungkin kita dapat  balasan ‘derma RM2.6 bilion’. Namun apa kesannya?


Siapa yang melakukan pengeboman kononnya menentang ‘keganasan Islam’ di Syria? Ini jawapannya...

Kini seolah-olah negara  tidak ada haluan sendiri dan ikut sahaja apa yang berlaku. Ucapan pada sidang antarabangsa pun sudah longlai dan kaku!

Prioriti Perdana Menteri sendiri terhadap kedudukan kita dalam Pertubuhan Bangsa Bersatu, OIC, ASEAN, G-15, Pertubuhan Negara Berkecuali (NAM), APEC, ASEM pun sudah kabur.

Malah, dasar luar kita kini ibarat berada dalam jerebu yang ‘tidak berupaya memandang jauh’.

Kenapa kita tiba-tiba menjadi begitu lemah di persada antarabangsa berbanding kita juara ketika isu seperti  Bosnia-Herzegovina suatu ketika dahulu?

Berita Harian 2 September 1992
Kenapa kita tidak lagi berjuang untuk memajukan ekonomi negara Islam dan tidak lagi menjadi juara untuk pertubuhan ekonomi Islam seperti ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri?

Apa jadi dan kesannya  Forum Ekonomi Islam umpamanya perhimpunan WIEF ke 11 di Kuala Lumpur pada tahun lalu. Apa kesannya mengenai usaha memperkukuhkan lembaga kewangan Islam, pengembangan usaha mikro, kecil, dan menengah serta pembiayaan syariah untuk industri kecil dan menengah di negara-negara Islam?

Juga sejak pengunduran Dr Mahathir, apa jadi dengan pergerakan Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D8)?  Cetusan kerajasama ini dibangkitkan oleh Dr Necmettin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki pada satu seminar “Kerjasama Dalam pembangunan” diadakan di Istanbul in pada Oktober 1996. 

Kenapa dan apa masalah dengan Malaysia kini?

Kenapa kita lemah membuat pendirian mengenai nasib umat Islam yang diserang bertalu-talu di Iraq, Syria, Lebanon, Libya, Yemen  serta beberapa negara lain di Afrika, sedangkan kita bukan sahaja membuktikan kita ‘juara negara Islam’ pada 1990-an - bersuara menentang kezaliman Barat pada Perang Teluk misalnya?

Apa sudah jadi dengan dasar luar dan ‘diplomasi politik’ Malaysia di pertubuhan antarabangsa?

Apakah dengan dasar berkecuali bermakna kita boleh berdiam diri? Istilah berkecuali dalam diplomasi antarabangsa ialah kita tidak berpihak tetapi perjuangan menegakkan keadilan menjadi keutamaan perjuangan dan dasar luar kita.

Kita juga sedih dengan peranan yang dimainkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO yang berlebih-lebihan dalam isu tertentu di Malaysia.

Di mana mereka dalam isu antarabangsa? Kenapa Pemuda UMNO di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Mohd Najib Razak,Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz atau juga ketika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi begitu vocal dalam isu antarabangsa di era mereka?

Malah Biro Antarabangsa Pemuda UMNO dipimpin oleh Nazri Aziz dan Setiausahanya Mustapha Yaakob  dilihat biro yang sangat aktif dalam memperjuangkan isu antarabangsa dan masyarakat antabangsa yang tertindas.

Malah mereka turut bersuara kekejaman yang dilakukan terhadap masyarakat Islam di Asia Tengah, selain Asia Barat, di Balkan atau di mana jua.

Juga ada gerakan mengutip derma untuk masyarakat antarabangsa, bukan sahaja Islam di negara-negara yang rakyat mereka ditindas oleh pemerintah. Kini? Pemuda UMNO hanya mengharampkan ‘derma’.

Persoalannya, kenapa Pemuda UMNO sekitar 1980-an dan 1990-an, berani membuat kenyataan dan membuat pelbagai gerakan?

Kenapa mereka berani bertindak menyokong masyarakat antabangsa yang tertindas dan teraninaya?

Tetapi kenapa Pemuda UMNO kini membisu? Apakah kerana pemimpin utama UMNO berdiam diri dengan menunjukkan sikap pengecut, mereka turut menjadi ‘pengecut’?

Beraninya Pemuda UMNO pada 1980-an dan 1990-an kerana ketua mereka juga berani?

Sekawan itek berenang mengikut ketua mereka, jika ketua ke kiri, kekirilah mereka dan jika membelok ke kanan, ke kananlah mereka. Itulah kekuatan Pemuda UMNO sebelum ini tetapi sekarang?

Mohd Fakhrulrazi
Dalam isu Rohingya ini, kita menyokong penuh kenyataan Naib Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar yang menyeru supaya pertubuhan Buddha di Malaysia  dapat berperanan untuk menyampaikan mesej mahupun tekanan kepada pelampau Buddha di Myanmar untuk menamatkan pembunuhan ke atas umat Islam.

"Saya percaya agama Buddha tidak bersetuju dengan apa jua bentuk keganasan. Oleh itu, kita minta organisasi berkaitan Buddha di negara ini berkongsi idea dan tampil berperanan. Penganut Buddha di Malaysia contohnya tidak bersikap seperti mereka di Myanmar’ “ katanya.

Beliau yakin rakan-rakan Buddha di negara ini dalam menyumbang idea dan peranan untuk menamatkan kezaliman dan pembunuhan terhadap masyarakat Islam di Myanmar," tambahnya lagi.

Setidak-tidaknya Pemuda AMANAH mempunyai pendirian.
Pemimpin PAS dan pemudanya juga berani dengan mnghadirkan diri diri dalam bantahan di Kedutaan Myanmar semalam.

Pemuda UMNO? Hanya sanggup ‘berperang’ dengan pemimpin DAP dalam negara tetapi tidak dalam isu-isu antarabangsa yang lebih menyeluruh.

Bangkitlah dan lihatlah kepentingan yang lebih luas jika kita mahu dihormati dan mendapat pengiktirafan rakyat.

Jangan berbangga dengan BAJU MERAH digunakan untuk ‘bertelagah’ sesama kita di dalam negara tetapi gunakan BAJU MERAH – warna kebanggaan UMNO itu -  untuk perjuangan isu-isu global.

Kalaupun benci dan marah dengan Dr Mahathir baca dan faham pendapat beliau bahawa:

1.      1. Beliau meramalkan Abad ked-21 adalah abad yang penuh ceria generasi muda yang lebih beretika, berilmu dan memahami roh tamadun dunia.  Bagi generasi muda, kata Dr Mahathir, mereka hendaklah berani merungkai ikatan budaya yang lapuk dan sebaliknya mengamalkan nilai ilmu yang lebih tinggi dan bermanfaat kepada dunia seluruhnya.

2.      2. Generasi muda abad ke-21 mesti memikirkan diri mereka adalah rakyat dunia. Manfaatkan teori dunia tanpa sempadan (lihat Kenichi Ohmae: Borderless World, 1989) dengan menghapuskan prejudis bangsa, politik, ekonomi, agama dan pelbagai lagi.

3.     3.  Generasi muda abad ke-21 mesti mengelakkan diri dan menghalang berlakunya perperangan antara tamadun dunia. Zaman informasi dan teknologi maklumat yang tinggi pada abad ke-21 itu perlu dimanfaatkan secukupnya dan seadil-adilnya supaya tidak ada negara yang akan terpulau. Mereka perlu membina kekuatan diri sendiri dan menjadikan tamadun dunia untuk satu bangsa saja.

Semua ini boleh di dapati jika membaca buku A New Deal for Asia (1999) iaitu sanggahan kepada propaganda ahli sains politik Amerika Syarikat, Samuel P Huntington melalui buku-bukunya, Clash of Civilisation (1993) dan Clash of Civilisation and Remaking of World Order (1996).

Inilah yang dinamakan sebagai ‘point counter point’ atau ‘hujah dengan hujah’ bukan jawapan merapu yang hanya untuk membela atau menyokong seseorang. Jawapan Dr Mahatahir tidak menyokong sesiapa tetapi pendirian intelektualnya.

Jadi kepada pemuda-pemuda di negara ini - masyarakat Islam di negara-negara yang menindas mereka memerlukan sokongan dan perjuangan kita  untuk bersama mereka.

Dan golongan muda, tidak terkecuali Pemuda UMNO, mereka  adalah harapan kita dan harapan mereka!



1 comment:

  1. Tak tahulah kenapa post2 dlm blog tuan kebelakangan ini bnyk menghentam kerajaan. Saya teliti kebanyakan post tuan sejak dua menjak ni. Ianya tidaklah drastik berubah. Saya kesan ia bermula dgn pembentangan RUU oleh presiden pas, hj hadi. Tuan tidak bersetuju mp umno menyokong pindaan tersebut. Atad dasar apa, boleh baca balik tulisan tuan terdahulu. Mungkin ada maksud tersirat. Kini cara pengolahan tulisan lebih vokal dan lebih keras. Kenapa tuan? Adakah telah berubah tuan atau ada 'something' tersembunyi? Saya rasa tindak tanduk kerajaan dalam hubungan luar tidak berubah. Usaha membantu, menyuarakan keadilan untuk masyarakat Islam di luar tetap berlaku. Bila masanya kerajaan membisu? Tak perlulah puji kononnya kerajaan barat lebih cakna dengan nasib rohingya di myanmar. Barat yg lebih berkuasa di dunia telah melepaskan masyarakat rohingya dari deraan dan siksaan buddha di myanmarkah? Kalau ye, kenapa masih ada pembunuhan, pembakaran dan sebagainya? Saya tak pasti kenapa tuan mula berubah membina persepsi negatif terhadap geopolitik antarabangsa negara sendiri. Ada tuan baharukah?
    Sekadar bertanya, tiada niat menuduh. Tuan fahamkan?

    ReplyDelete