Thursday, July 14, 2016

JANGAN PERKECIL PERANAN DR MAHATHIR, ‘HUSAM’ DEMI ‘SELAMATKAN MALAYSIA’...


"UMNO dan BN perlu berwibawa untuk membawa reformasi pemikiran dan tindakan politik yang jauh meninggalkan perjuangan mereka yang ‘kecewa’...berjuang untuk rakyat dengan membuktikan siapa ‘yang dekat di hati rakyat dan benar-benar mengambil berat soal rakyat’."

Jangan cepat melatah atau membuat spekulasi awal kalaupun benar bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menubuhkan parti baru.

Lihat dan dengar dulu apa kata ‘orang tua itu’. Membuat kenyataan secara pra-pengumuman menunjukkan sikap penakut dan perasaan bimbang dengan berita itu.

Bukan Dr Mahathir yang kata beliau mahu tubuh parti baharu.

Kenyataan datang daripada pengikut setia Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang  mendedahkan bahawa terdapat rancangan untuk menubuhkan sebuah parti baru yang mungkin diterajui oleh bekas perdana menteri itu.

Dengan mengatakan Dr Mahathir perlu menubuhkan sebuah parti baru kerana pembangkang menganggap dirinya sebagai liabiliti, ia tidak membawa apa-apa kesan pun kerana perjuangan Dr Mahathir adalah bagi tujuan ‘Selamatkan Malaysia’.

Apapun, kita juga mahu tahu apa itu selamatkan Malaysia. Selamat daripada apa dan siapa? Bukan sekadar isu rasuh dan penyelewengan, juga bukan sekadar kempen Anti-Najib.

Yang penting apa perjuangan parti itu untuk membanteras jenayah, tembak-menembak,  keamanan negara dan sebagainya. Bagaimana dengan dasar luar kita, ke arah mana?


Semalam Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menyambut baik langkah itu kerana ia cara yang sah untuk menentang kerajaan secara demokrasi> Namun,  anggota Majlis Tertinggi UMNO itu yakin parti baru itu akan mencatatkan prestasi lebih teruk daripada bekas parti serpihan Umno Semangat 46.

Ini berdasarkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil berkembar bulan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Maknanya, tubuhlah parti apa pun, ia tidak akan mengguris UMNO atau BN sedikit pun.

Namun, beberapa persoalan boleh dilihat dalam penubuhan parti baru ini (jika benar berlaku).

Pertama,  siapa menjadi tulang belakangnya

Ramai mengatakan ia berkisar sekitar 3M - Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz.

Namun, mungkin daripada 3M itu ia menjadi ‘HUSAM’, iaitu Datuk Husam Musa, Datuk Seri Shafie Afdal serta 3M yang akan menjadi tulang belakang parti baharu itu.

Malah, Tun Dr Mahathir mungkin akan membawa mereka yang berpengaruh seperti bekas Menteri Pengangkutan. Tun Dr Ling Liong Sik.

Walaupun Nazri secara berseloroh tetapi memperkecilkan keupayaan pemimpin berkenaan dengan mengatakan:  “Muhyiddin akan jadi timbalan, Mukhriz sebagai ketua pemuda, (bekas Ketua Wanita Umno) Rafidah Aziz sebagai ketua wanita dan Khairuddin jadi budak bancuh teh, ” pengaruh mereka tetap ada.

DR Ling mungkin masih berpengaruh di kalangan masyarakat Cina.

Kedua, kemasukan pemimpin parti tradisi, termasuk PKR

Mungkin juga akan ada pemimpin dari parti UMNO, PAS dan parti-parti lain, tidak terkecuali, PKR akan tertarik dengan gerakan Dr Mahathir ini.

Memang benar parti baru ini akan menjadi ‘rumah baru’ kepada mereka yang ‘marahkan UMNO’ tetapi tidakkah ini akan merugikan BN dalam konteks mendapatkan undi dalam pilihan raya?

Kenapa tidak ada usaha untuk ‘memujuk’ mereka agar undi tidak hilang?

UMNO boleh berbangga dan bermegah mempunyai tiga juta ahli tetapi bagaimana dengan undi untuk BN?

Kalaupun mereka menyertai parti baru ini, yang nyata mereka akan tetap bersama berjuang dalam Pakatan Harapan yang akan menjadi semakin membesar hasil gabungan parti baru yang akan ditubuhkan ini.

Pada ketika pemimpin UMNO mengatakan pembangkang sedang menghadapi masalah, mereka juga perlu ‘lihat cermin’ dalam BN sendiri.

Husam Musa...tidak berminat?
Jangan perkecilkan pengaruh Husam, bukan sahaja di Kelantan tetapi di kalangan ‘golongan muda’.

Di pihak UMNO dan BN, basih banyak isu yang perlu diselesaikan antara parti, termasuk dalam isu ‘pemberontakan ketua cawangan UMNO’ kesan pemecatan Muhyiddin, Mukhriz dan Shafie, selain isu RUU 355, kuasa autonomi Sarawak serta pembahagian kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

UMNO juga berdepan dengan krisis sendiri seperti berlaku di Terengganu, selain perlu memantapkan kedudukannya di Kedah, Pahang, Perak dan Sabah.

Ketika ini yang dilihat sedikit tenang ialah di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Sokongan NGO Kepada ‘Selamatkan Malaysia’

Mungkin mereka tidak menyertai parti baru ini atas apa juga alasan. Namun jika mereka menyokong dan bersimpati dengan gerakan Dr Mahathir dan kumpulan ‘HUSAM’ itu, akan menyebabkan keadaan yang tidak baik untuk UMNO/BN

Perlu diingat bahawa NGO terdiri daripada kumpulan pekerja, belia, pelajar institusi pengajian tinggi, kumpulan anak seni, penulis, penggerak masyarakat, wanita, puteri dan pemuda serta agamawan adalah kumpulan yang merasakan mereka juga perlu layanan baik.

Sejauh ini UMNO dan BN dilihat tidak mendekati golongan ini dan mereka dibiarkan ‘bertaburan’. Sedangkan mereka adalah tenaga penggerak penting masyarakat dan kumpulan ‘pengundi muda’.

Suara mereka bagaikan tidak didengari oleh UMNO dan Barisan Nasional. Bagaimana jika mereka menyokong parti baru ini dalam pilihan raya?

Kumpulan Majoriti Senyap dan Maklumat Internet

UMNO dan BN mengharapkan media arus perdana dan cyber-trooper mereka untuk memenangkan hati rakyat.

Mungkin, mereka berjaya di dua PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Mereka berjaya kerana tumpuan 100 peratus dan yang menentang pula PAS dan parti yang baru mahu bertapak, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Namun pada pilihan raya umum nanti, masing-masing pihak menjaga kawasan masing-masing dan pandai-pandailah ‘membawa diri’.

Tidak jelas sejauh mana kumpulan ‘majoriti senyap’ di dua kawasan Parlimen itu, namun pada pilihan raya umum akan datang, kumpulan ini dijangka bangkit untuk menyatakan ‘pendirian mereka’

Tidak semestinya semuanya menentang kerajaan tetapi kemungkinan membantah terghadap isu-isu penting negara yang diperkatakan seperti penyelewengan, rasuah, salah laku dalam pentadbiran kerajaan Pusat dan negeri akan menjadi faktor yang menguntungkan pembangkang.

Bagaimana jika mereka – kalaupun tidak mengundi pembangkang tetapi tidak mkeluar mengundi menyokong kerajaan?

Berjuang melalui gagasan Pakatan Harapan


Memang sukar sebuah parti baharu bergerak memandangkan kini sudah ada parti yang asasnya berlandaskan kaum dan agama.

Kita perhatikan kedudukan kini dalam konteks parti politik di Malaysia:

1.      UMNO – berlandaskan bangsa Melayu dan Islam (terbuka untuk Bumiputera di Semenanjung dan Sabah), ditolak untuk berkembang di Sarawak;
2.      PAS – berlandaskan Islam dan Melayu (terbuka untuk sokongan bukan-Islam melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP));
3.      PKR – parti pelbagai kaum dan tidak merujuk kepada perjuangan agama tertentu;
4.      DAP – mendakwa untuk pelbagai bangsa tetapi majority bukan-Melayu;
5.      MCA – parti untuk orang Cina;
6.      MIC – parti untuk orang India;
7.      PBB – berbagai kaum pribumi Sarawak dan tidak terikat kepada Islam;
8.      AMANAH – serpihan PAS untuk Melayu –Islam.

Namun jalan tetap terbuka untuk parti baharu ini menawarkan alternatif sebagai parti berbagai kaum dengan menekankan kepada Islam progresif.

Bukan Melayu dan bukan Islam tidak akan bimbang kepada pendekatan ini jika parti benar-benar berjuang untuk melindungi ‘orang bukan Islam’ bukan mengeluarkan fatwa yang boleh meragukan rakyat bukan di negara ini.

Yang penting ialah parti ini menghormati dan menjaga kepentingan bukan-Melayu dan bukan-Islam bukan memperjuangkan Islam secara yang radikal atau tidak mengamalkan ‘kesederhanaan Islam yang tulen’.

Walaupun ada pihak mengatakan banyak parti sudah lingkup kerana tidak dapat melawan UMNO umpamanya parti Semangat 46 yang pernah dianggap terkuat pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tokoh yang amat kuat masa beliau jadi timbalan perdana menteri menubuhkan tubuhkan PKR, kes kali ini berlainan sekali.

‘Selamatkan Malaysia’ Jadi Gagasan

Kali ini UMNO bukan berdepan dengan isu pembangunan, kronisme, perbezaan kaum dan pendapat atau reformasi tetapi isu penyelewengan, salah laku dan rasuah selain ke mana Malaysia akan di bawa di masa hadapan.

Dengan kata lain, masa depan bagaimana untuk generasi Malaysia akan datang.

Ini menjadi satu persaingan yang sengit dan UMNO serta BN perlu bersedia melawannya.

UMNO dan BN tidak perlu gentar tetapi gerakan ini  tetap menjadi ancaman.

Masa kurang dua tahun ini perlu digunakan oleh UMNO untuk memperkuatkan kedudukannya dan meminimumkan seboleh mungkin segala persepsi buruk rakyat terhadapnya.

‘Perang BN melawan pembangkang’ jangan lagi berasaskan kononnya pemimpin pembangkang menjadikan fitnah, tuduhan atau kritikan palsu sebagai modal.

Fakta hendaklah dibalas dengan fakta dan hujah menentang dan mempengaruhi hujah.


Jangan bandingkan parti baru yang mungkin ditubuhkan oleh Dr Mahathir ini seperti AMANAH.

Semalam Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di kementeriannya berkata “...dalam negara kita bebas masing-masing nak tubuh parti, tubuhlah. Sedangkan Mat Sabu pun rasa layak dia tubuh parti dia.”

Jangan perkecilkan kemampuan parti lain kerana kita tidak tahu apa kan belaku dalam tepoh dua tahun ini.

Yang nyata perjuangan parti baru itu mirip perjuangan gerakan Selamatkan Malaysia – bukan sekadar untuk ‘menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak’  tetapi melaksanakan pembaharuan institusi dan perjuangan kea rah masyarakat yang lebih progresif, termasuk dalam konteks Islam.

UMNO dan BN mampu melawan ‘badai’ ini dengan syarat pemimpinnya tidak dihanyutkan oleh sikap selesa dan terlalu yakin.

Jentera partinya, termasuk tentera siber memerlukan pendekatan pengisian baru.
.
Dengan kedudukan entiti baru ini  berjuang untuk rakyat, seperti juga UMNO dan BN, masing-masing perlu membuktikan siapa ‘yang dekat di hati rakyat dan benar-benar mengambil berat soal rakyat’.

Selain itu yang penting, UMNO dan BN perlu berwibawa untuk membawa reformasi pemikiran dan tindakan politik yang jauh meninggalkan perjuangan kalangan mereka yang ‘kecewa’.


Apa pun, semuanya ditentukan dengan pengumuman jam 3 petang ini di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

No comments:

Post a Comment


Mulai Hari Ini Rakyat Malaysia akan menyiarkan siri rencana ‘Benarkah PAS Parti Islam’.

Siri rencana ini adalah kumpulan rencana yang dihasilkan oleh penyelidikan kumpulan mereka yang mahir mengenai Islam sambil mempertikaikan PAS sebuah parti yang mendakwa Islam.

PAS kini sudah berubah jauh daripada menegakkan Negara Islam sebaliknya bergerak bersama ‘jemaah bukan Islam’ untuk menubuhkan negara kebajikan.

Blog ini berharap pembaca akan menilai dengan sebaik-baiknya tulisan ini dan menilai apakah PAS benar-benar parti yang boleh diharapkan membela dan melindungi orang Islam atau hanya slogan pemimpinnya sahaja untuk kepentingan masa depan dan survival politik mereka.

BENARKAH PAS PARTI ISLAM?


BAHAGIAN 1 - PAS DARI KACA MATA AS-SUNNAH WAL JAMAAH

Salah faham mengenai maksud kafir, zalim dan fasiq menyebabkan perkataan itu disalahgunakan oleh pihak tertentu dalam memberi label kepada sesama Islam.

Malah maksud berjihad dan berjuang yang sebenar sepertimana yang dimaksudkan oleh ALLAH dan Rasul-Nya juga banyak kali disalagunakan untuk kepentingan tertentu pemimpin dan kumpulan.

Apa yang diharapkan pendapat para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah melalui penulisan ini dapat memecahkan persoalan salah faham yang timbul dalam masyarakat Islam kebelakangan ini.

Ikuti tulisan oleh Syiekh Abu Muhammad Iqamuddin dalam siri BENARKAH PAS PARTI ISLAM? berikut ini yang melihat PAS dari kaca mata atau berlandaskan As-Sunnah Wal Jamaah:

Orang PAS mendakwa parti mereka sahaja semata–mata Islam atau dengan kata lain ialah sebagai PARTI ALLAH atau HIZBULLAH. Selain daripada parti mereka semuanya dianggap parti taghut dan kerana itu mereka berani mendakwa sesiapa yang menyokong dan mengundi PAS dianggap jihad dan masuk syurga. 

Mana-mana kawasan atau negeri yang dimenangi PAS diumumkan sebagai kawasan dan negeri yang amat disenangi oleh Rasulullah SAW, sementara yang dimenangi oleh parti lain disedihi oleh Rasulullah SAW. 

Sebenarnya, jika kita membuat analisis dengan secara halus dan dinilai dengan ajaran Islam sebenar berdasarkan Al-Quran, As Sunnah, Ijma’ dan Qias, kita dapati tidak banyak perbezaan di antara parti PAS dengan parti –parti politik lain.

Cuma apa yang jelas lebihnya mereka (PAS) ialah stail bercakap dan tempikan “ALLAHUAKHBAR” pengikutnya. Oleh sebab itu kita berani mendakwa bahawa sebenarnya PAS Bukan Parti Islam, lebih-lebih lagi setelah diteliti parti itu tidak memenuhi cirri-ciri Parti Islam atau Parti ALLAH atau HIZBULLAH yang sebenar sepertimana yang terdapat dalam Al-Quran dan Al Hadis dan juga arthar serta sejarah perjuangan para pejuang Islam lampau, termasuk apa yang pernah diperjuangkan oleh para Nabi dan Rasul dahulu.

Bagi membentangkan hujjah ini digunakan sumber rujukan nas ( Al-Quran dan Al Hadis) dan juga sejarah perjuangan para Nabi dan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda SAW, bukan berdasarkan nafsu atau lain-lain teori politik bikinan manusia. Bagi membuktikan dakwaan ini, maka marilah kita lihat apa yang disebut oleh ALLAH didalam Al Quran dan juga Al Hadis serta athar yang dikemukakan di bawah ini.

Tujuan diketengahkan pandangan ini bukan kerana fanatik atau membenci kepada mana-mana golongan ataupun membencikan PAS, tetapi sekadar member penjelasan agar tidak timbul kekeliruan di dalam kalangan umat Islam berhubung dengan perjuangan Islam dan agar masyarakat tidak terus menerus tertipu dengan slogan dan label Islam yang digunakan oleh PAS dan tempikan “ALLAHU AKBAR” mereka serta ugutan kononnya, sesiapa tidak menyokong atau mengundi PAS berdosa dan masuk dan masuk neraka dan sesiapa sokong PAS masuk syurga.

Jadi kalau orang kafir seperti DAP dan lain-lain pakatan pmbangakang  yang menyokong yang menyokong dan undi PAS- APAKAH MEREKA JUGA AKAN MASUK SYURGA?

BENARKAH PAS PARTI ISLAM


BAHAGIAN EMPAT - PAS MILIKI CIRI-CIRI PARTI SYAITAN?



Maksudnya;"Syaitan telah menguasai mereka lalu ia (syaitan) menjadikan mereka itu lupa kepada ALLAH.Lalu mereka tergolongke dalam golongan hizbussyaitan( parti syaitan).ketahuilah,sesungguhnya PARTI SYAITAN itu parti yang rugi”-(Surah Al Mujadilah ayat 19)

Daripada huraian ayat di atas, didapati PAS mempunyai sekurang-kurangnya tiga sifat sepertimana yang tersebut dalam ayat di atas.

 Di antaranya ialah;

1. Mereka (PAS) memperalatkan agama untuk menimbulkan perpecahan ,iaitu mereka membuat pelbagai dalil agama untuk menuduh orang-orang Islam dalam UMNO dan BN sebagai orang-orang kafir; sembelihan mereka tidak boleh dimakan;dan jenazah mereka tidak boleh diziarah dan disembahyangkan-sehingga orang lain tidak bergaul dengan orang-orang Islam dalam UMNO dan BN dan memusuhi mereka.

2. PAS menggunakan sistem politik demokrasi dan politik pilihanraya sebagai saluran untuk menegakkan Islam. Ini di akiu sendiri oleh Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang dalam bukunya Amanat Haji Hadi, mukasurat 23 dan 24, yang berbunyi : "Walaupun demokrasi adalah ciptaan Barat bukan Islam, di mana di dalamnya terdapat pelbagai kelemahan dan penyelewengan yang ketara, namun Islam menerima kebebasan dan hak-hak yang diberi oleh demokrasi dan mengambil alih faedah darinya untuk menyuarakan ajaran Islam."

Selanjutnya beliau menyambung “PAS tetap menyertai pilihanraya dan menyertai sistem demokrasi….” Kenyataan Hadi ini bertentangan sekali dengan firman ALLAH;


Maksudnya: "Jangan kamu mencampur adukkan kebenaran dengan kebatilan…" - ( Al Baqarah ayat 42)

Ini menandakan PAS menganut falsafah barat iaitu "Matlamat menghalalkan cara".

Bahkan Hadi mendakwa dengan mengatakan ‘Islam menerima kebebasan dan hak-hak yang diberi oleh demokrasi” Dari mana sumber yang mengatakan Islam menerima sistem tersebut?

Ulama muktabar mana yang mengeluarkan fatwa sehingga Hadi berani mengaitkan sistem tersebut dengan Islam. Sedangkan pada awal ayat itu diakui sendiri bahawa sistem ‘ demokrasi adalah ciptaan Barat dan terdapat penyelewengan”.

Di akhir kenyataan dinyatakan bahawa Islam menerima sisrem yang di ciptakan barat yang menyeleweng itu. Ini menunjukkan bahawa kenyataan Hadi memeksudkan Islam menerima penyelewengan.

Dalam perjuangan PAS pula, mereka menentang dan menuduh UMNO kerana UMNO menyeleweng daripada Islam kerana berjuang dan memerintah atas dasar demokrasi. Sekarang ini, siapa sebenarnya yang menyeleweng?

Atas asas apa pendirian perjuangan PAS sebenar?

3. Sifat ketiga pula ialah orang-orang PAS memang bersikap sombong dan berbangga dengan parti mereka. Buktinya kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa kemenangan PAS kerana malaikat membantu mereka. Kelantan negeri yang disukai Rasulullah SAW.

Kenyataan itu secara tidak langsung menghina orang Islam di negeri-negeri lain.

Lantaran merasakan mereka (PAS) disayangi Rasulullah SAW dan suci, maka sebab itu mereka sanggup mencaci maki orang Islam lain sehingga boleh digelar sebagai “Barua” dan sebagainya.

Bersambung...Ciri-Ciri Parti Islam Berdasarkan Hadis & Athar

BENARKAH PAS PARTI ISLAM


BAHAGIAN TIGA - CIRI CIRI PARTI SYAITAN

Selain diterangkan cirri-ciri Parti ALLAH, terdapat juga ayat yang menyebut tentang cirri-ciri Parti Syaitan atau HIZBUSSYAITAN.


Tujuan ALLAH bentangkan firman-NYA itu ialah untuk membuat perbandingan agar umat Islam dapat membezakannya serta membuat pilihan engan tepat.

Firman ALLAH:


Maksudnya;"…mereka menjadikan agama (memperalatkan agama) untuk tujuan berpecah-belah dan berpuak-puak sehingga menjadi beberapa pecahan (parti-parti). Masing-masing puak(parti)pula berbangga dengan apa yang ada di sisi mereka….”-(Surah Al Mukminun ayat 53)

 Firman ALLAH lagi:


Maksudnya;"… orang-orang yang menyekutukan ALLAH itu ialah orang yang memecah-belahkan agama mereka(dengan cara meninggalkan agama tauhid dan menganut pelbagai ideology bikinan akal dan nafsu) sehingga menjadi beberapa golongan (parti-parti). Tiap-tiap golongan (parti) itu merasa bangga (sombong) dengan apa yang ada pada mereka “_( Surah Ar Rum ayat 32)

Selanjutnya ALLAH berfirman lagi:


Maksudnya;"Syaitan telah menguasai mereka lalu ia (syaitan) menjadikan mereka itu lupa kepada ALLAH.Lalu mereka tergolongke dalam golongan hizbussyaitan( parti syaitan).ketahuilah,sesungguhnya PARTI SYAITAN itu parti yang rugi”-(Surah Al Mujadilah ayat 19)

ALLAH telah menjelaskan tentang ciri-ciri parti syaitan dalam ayat di atas seperti berikut;


1. Pemimpin dan anggotanya memperalatkan agama untuk menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat. 

2. Mereka meninggalkan agama Tauhid, sebaliknya menjadikan ideology dan aliran fikiran manusia sebagai pegangan dan peraturan politik dan peraturan hidup mereka. 

3. Bersikap sombong dan berbangga dengan parti masing-masing. 

4. Lupa kepada ALLAH.Yakni, apabila ingin menyelesaikan masalah umat, mereka tidak merujuk kepada hukum ALLAH, sebaliknya merujuk kepada teori manusia. 

Bersambung...PAS PARTI SYAITAN?

BENARKAH PAS PARTI ISLAM


BAHAGIAN 2 - CIRI-CIRI PARTI ISLAM MENURUT AL QURAN


Dalam Al-Quran, ALLAH secara jelas dan tegas telah memperkenalkan cirri-ciri dan sifat-sifat Parti Islam dengan sebutan HIZBULLAH , iaitu PARTI ALLAH.

Ertinya, Islam memang memerintahkan umatnya memasuki parti yakni PARTI ALLAH. Bukan parti mengikuti sistem sekular,cara pemilihan pemimpin mengikut undi dan sebagainya seperti mana yang PAS amalkan sekarang ini.Tapi Parti ALLAH mempunyai ciri-ciri khusus yang ALLAH sendiri telah tetapkan; bukan macam PAS tetapkan.
 
ALLAH telah berfirman didalam Al-Quran:

 Maksudnya: “Sesungguhnya pemimpin kamu itu ialah ALLAH, Rasul-NYA dan orang-orang yang telah beriman yang mendirikan bersembahyang, yang mengeluarkan zakat, dan hal keadaan mereka itu tunduk (kepada ALLAH). Dan barangsiapa mengankat ALLAH, R asul-NYA dan orang-orang mukmin menjadi pemimpin, maka sesungguhnya HIZBULLAH( Parti ALLAH) itulah yang mendapat kemenangan.” –(Surah Al Maidah ayat 55-56)

Firman ALLAH lagi:

 Maksudnya; “Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum itu yang benar-benar beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, tergamak berkasih saying dengan orang-orang yang menentang ALLAH dan Rasul-NYA, sekalipun orang-orang(yang menentang ALLAH) itu terdiri daripada bapa-bapa mereka atau anak-anak mereka atau saudara- saudara mereka atau keluarga mereka.Meraka (golongan yang benar-benar beriman itu) telah ditetapkan iman di dalam hati mereka dan ALLAH telah menguatkan mereka dengan cara menanamkan semangat di dalam hati mereka. ALLAH akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang di bawahnya mengalir sunagi-sungai dan mereka kekal di dalamnya. ALLAH redha kepada mereka dan demikian juga mereka redha kepada ALLAH serta bersyukur kepada nikmat pemberian ALLAH.Mereka itulah anggota-angota HIZBULLAH( Parti ALLAH ). Sesungguhnya pendokong HIZBULLAH (Parti ALLAH) itu ialah orang-orang yang mendapat kemenangan (di dunia dan di akhirat)”- (Surah Al Mujadilah ayat 22).

 Ayat-ayat di atas secara tidak langsung ALLAH telah menerangkan tentang cirri-ciri Parti ALLAH dan sifat-sifat pemimpin dan anggotanya. Di antaranya ialah;

1. Mereka benar-benar beriman kepada ALLAH dan Rasul-NYA , menjadikan kedua-duanya sebagai pemimpin dan tempat rujuk serta tempat minta pertolongan.

2. Mereka meletakkan orang yang benar-benar beriman sebagai pemimpin, iaitu di kalangan mereka yang bertaqwa.

3. Mereka beriman kepada Hari Akhirat

4.Mereka mendirikan sembahyang.

5.Mereka mengeluarkan zakat.

6.Mereka benar-benar patuh kepada perintah dan hukum ALLAH.

7.Mereka sekali-kali tidak berkasih sayang dan bekerjasama dengan orang yang menentang agama (ingkar hukum) ALLAH.

8. Tidak bersikap asabiah qaumiah, yakni tidak bertolak ansur walaupun dengan ibu bapa, anak-anak, saudara mara, kerabat dan keluarga sendiri, sekiranya mereka itu anti-Islam atau melakukan maksiat dan kemungkaran.

9. Mereka( golongan Parti ALLAH) tidak pernah kalah dan sentiasa menang.

Menyentuh tentang ciri dan sifat nombor 7, bersesuaian dengan ayat 22 surah Al-Mujadilah di atas, kita dapati sifat-sifat dan ciri-ciri itu tidak ada pada parti PAS.Demikian dengan cirri nombor 9, kerana PAS sentiasa kalah dalam pilihanraya.

Tapi demi kerana untuk meraih undi, PAS sanggup berkerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Pembangkang yang terdiri daripada parti-parti menentang ALLAH kerana peribadi pemimpin mereka dan dasar parti mereka bukan berlandaskan Islam.Buktinya ialah DAP dan PKR dasar dan perlembagaan parti mereka tidak berlandaskan Islam, bahkan tidak ada langsung cita-cita untuk menegakkan Islam.

Mereka Cuma menyokong Islam untuk mengambil kesempatan di sebalik isu reformasi; yang isu tersebut juga tidak berlandas dan semangat Islam.sekiranya mereka (Pakatan Pembangkang) menang, mereka juga akan melaksanakan sistem pemerintahan seperti mana yang sedang dilaksanakan oleh UMNO dan BN sekarang ini.

Bersambung - Ciri-Ciri Parti Syaitan

BENARKAH PAS PARTI ISLAM?

PENGENALAN

Penyelidikan mengenai beberapa persoalan yang berkaitan dengan politik dan isu- isu yang timbul dalam masyarakat Islam diharapkan dapat menjelaskan tentang beberapa kekeliruan dan salah faham sehingga menimbulkan krisis persaudaraan di kalangan umat Islam.


Punca timbul krisis  itu sehingga berlaku perbuatan tuduh menuduh, caci mencaci, pulau memulau, kutuk mengutuk dan lain-lain terhadap sesamaa Islam ialah kerana salah faham berhubung dengan salah tafsir terhadap nilai keIslaman seseorang dan seumpulan atau parti berkenaan yang disertai masing-masing.

Sebagai usaha untuk mengatasi krisis itu, difokuskan esei-esei selepas ini kepada beberapa perkara pokok yang menjadi persoalan iaitu tentang cirri-ciri sebenar sesebuah Parti Islam dan cirri-ciri pemimpin dan pengikutnya, berdasarkan Al-Quran dan Al-Hadis serta athar dan sejarah perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat serta para pejuang Islam dahulu


Ciri-ciri itu dibuat perbandingan dengan parti dan kumpulan berkenaan yang menjadi focus dalam penulisan ini, iaitu PAS dan UMNO.

Selain itu dibuat juga perbandingan parti berkenaan dengan firqah-firqah aqidah yang menyalahi iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah yang disebut oleh Rassulullah SAW akan muncul di akhir zaman berjumlah 72 firqah, iaitu berdasarkan sikap dan tindak-tanduk harian mereka dalam politik.
 
Di antara firqah-firqah yang popular di negara ini ialah Muktazilah, Khawarij dan Syi’ah. Sementara Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah pegangan iktiqad yang diakui sah oleh Rasulullah SAW sendiri dan cirri-cirinya dihuraikan dalam buku ini meliputi pegangan dalam bidang politik.


Esei yang disiarkan selepas ini mengandungi pendedahan beberapa amalan yang menyalahi ajaran Islam oleh parti-parti politik, termasuk PAS.


Ini termasuk perbuatan pemimpinya seperti suka kafir mengkafir sesama Islam, berkasar, mendedahkan aib orang lain, boikot memboikot, berdemontrasi, mencarut, tidak mengenang budi dan lain-lain.

BENARKAH PAS PARTI ISLAM?

PENDAHULUAN


Segala puji bagi ALLAH ,Tuhan tempat disembah dan dirujuk segala perkara mengenai urusan dunia dan akhirat. Selawat dan salam kapada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW,Nabi dan Rasul yang ummi dan pemimpin umat Islam sejagat yang teragung. 

Polimik mengenai sama ada Parti PAS sebuah parti Islam sampai ke kemuncaknya baru-baru apabila ada pemimpin UMNO seperti Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said. melabelkan PAS sebagai Parti Ajaran Sesat.

Hakikatnya PAS dikatakan sebagai ‘Parti Ajaran Sesat’ bukan baru. Apabila Nik Abdul Aziz Nik Mat mengatakan ‘JIKA SYAITAN PUN NAK TOLONG PAS’ ia sanggup menerimanya, banyak pihak ketika itu mengatakan PAS sudah menjadi “Parti ‘Ajaran Sesat’.

Namun oleh kerana waktu Ahmad Said mengatakan ‘PAS Ajaran Sesat’ ketika hampir pilihan raya umum ke 13 dan halatuju perjuangan PAS terumbang ambing, kenyataan Menteri Besar Terengganu itu mengundang kritikan dan ada yang menyelar Ahmad Said.
 
Ada yang mengatakan Ahmad Said sebagai ‘Pemikiran Sesat’, ‘Tidak Waras’ dan banyak lagi yang semuanya bagaikan melepaskan geram. Namun ada di kalangan pemimpin PAS yang “sedia bersemuka’ dan duduk semeja untuk bincang ‘Parti Ajaran Sesat’.

Menteri Besar Terengganu itu bagaimanapun enggan tunduk kepada desakan PAS yang memberi tempoh tiga hari agar beliau menarik balik kenyataannya mendakwa parti itu sebagai ‘Parti Ajaran Sesat’.

Malah, Ahmad Said bersedia disaman oleh PAS berhubung dakwaan itu sambil menyerahkan kepada parti berkenaan untuk memilih sama ada kes itu dibawa ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah.

Beliau tidak sesekali gentar dengan desakan parti tersebut kerana yakin dakwaan terhadap PAS itu mempunyai kebenaran berdasarkan banyak bukti kukuh. Hakikatnya sehingga hari ini, umat Islam di Malaysia khususnya masih lagi keliru dengan uslub perjuangan menegakkan ajaran dan hukum Islam.

Kalau sebelum ini umat Islam keliru dengan pengertian ibadah, tetapi sekarang ini setelah timbul era kesedaran dan kefahaman Islam , umumnya telah memahami bahawa ibadah meliputi semua bidang kegiatan hidup.

Kebelakangan ini kita dapati masih lagi umat Islam keliru dengan pengertian tentang parti politik, jihad, berjuang dan persoalan kepimpinan dalam Islam.

Hal itu perlu ada penjelasan.Kita tidak boleh membiarkan masyarakat umum teraba-raba mencari jawapan, seperti orang buta teraba-raba untuk mengenal gajah, kerana ia akan timbul fanatic bahawa apa yang mereka temui itulah betul,sedangkan orang lain tidak betul.

Maka akan berlakulah pertelagahan yang tidak berkesudahan. Saya berusaha mencari bahan-bahan yang boleh dijadikan panduan bagi membantu masyarakat umum menghilangkan kekeliruan dalam persoalan politik dan Islam, kerana terdapat penjelasan mengenai cirri-ciri dan sifat-sifat Parti Islam, pemimpin serta pengikut dan uslubnya berdasarkan Al-Quran dan Al-Hadis serta pendapat para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang mana menjadi anutan dan pegangan umat Islam di Malaysia.

Di samping itu akan dibuat juga perbandingan dengan parti politik yang dikenali sebagai Parti Islam, sekaligus tindak-tanduk dan sikap pemimpin dan ahlinya, agar umat Islam menilai yang mana menepati ajaran Islam dan yang mana bercanggah dengan ajaran Islam.

Ini kerana kebenaran tidak hanya terletak kepada apa yang diucapkan atau apa yang terkandung di dalam kitab, tetapi dinilai kepada perbuatan, amalan dan tindak-tanduk seseorang.

Akhirnya yang penting, hendaklah kita menjadi orang mukmin sejati, yang lurus hatinya, lurus lidah dan benar perbuatan dan amalannya.