Thursday, November 28, 2013

AHMAD SAID TIDAK DIPERLUKAN BAGI MAJLIS PERASMIAN MONSUN CUP 2013?

Kerusi kosong di sebelah kanan Datuk Mohd Jidin Shafee itu untuk siapa?
Apakah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mewakilkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri atau Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri pada perasmian Kejohanan Perahu Layar Antarabangsa Piala Monsun kelmarin?

Jika tidak, kenapakah Ahmad Said tidak hadir pada majlis perasmian berkenaan?

Apakah beliau sengaja atau ada sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan ketidakhadirannya pada majlis berkenaan?

Menurut laporan media, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato' Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah menyempurnakan majlis perasmian kejohanan berkenaan yang berlangsung Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyung, Kuala Terengganu, petang kelmarin.

Sepatutnya Ahmad Said hadir pada majlis itu kerana ia acara tahunan Kerajaan Negeri sejak 2007.

Turut hadir kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja serta beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Ada maklumat mengatakan Menteri Besar sepatutnya tiba pada majlis berkenaan pada jam 2.15 petang untuk majlis perasmian.


Bagaimanapun, dimaklumkan oleh pihak tertentu, majlis perasmian diawalkan 10 minit kerana ketibaan Menteri yang menyambut Tengku Sri Temenggong.

Diberitahu juga Menteri Besar sudah memaklumkan kepada pihak urusetia majlis bahawa beliau akan hadir tepat jam 2.15 petang bagi tujuan perasmian itu.

Bagaimanapun, apabila Tengku Sri Temenggong disambut dan dibawa ke pentas perasmian, majlis terus dimulakan oleh pihak urusetia.

Bukan menyalahkan Tengku Sri Temenggong atau meletakkan kesalahan kepada Menteri kerana ‘meng awalkan’ majlis berkenaan.

Ada pihak – mungkin urusetia – yang tidak sabar-sabar atau `sengaja?’ melakukan acara perasmian hinggakan ketibaan Menteri Besar ke tempat menyambut tidak disedari oleh sesiapa.

Ketibaan Ahmad Said tidak bersambut pada ketika majlis sudah dimulakan dengan dendangan Lagu Negaraku. Mungkin menyedari ‘beliau tidak diperlukan’ atau juga ‘Menteri Besar tidak penting’ untuk hadir di majlis perasmian itu, Ahmad Said membuat keputusan untuk meninggalkan sahaja majlis yang sudah bermula itu.


Apakah penganjur kejohanan yang berlangsung bermula kelmarin (26 November) sehingga 30 November ini ‘tidak memerlukan kehadiran Menteri Besar’ di majlis berkenaan?

Apakah urusetia yang menyambut dan menganjurkan majlis merasakan cukup dengan kehadiran dua Exco berkenaan (Datuk Mohd Jidin dan Rozi Mamat) sebagai mewakili Menteri Besar?

Walaupun ada pihak menuduh kononnya Kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Ahmad Said membazir sebanyak RM2.4 bilion wang rakyat dengan menganjurkan Piala Monsun namun Menteri Besar Terengganu tetap mempertahankan pentingnya acara tahunan berkenaan.

Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat, Rosli Abdullah mendedahkan bahawa dengan perbelanjaan sebanyak RM300 juta setahun maka jumlah untuk tempuh lapan tahun kontrak penganjuran bermakna RM2.4 bilion yang dipercayai wang ehsan hasil petrol, hangus.

Rosli berkata, “dengan jumlah tersebut kerajaan negeri boleh membina 80,000 unit rumah kos rendah dengan harga RM30,000 sebuah untuk rakyat Terengganu.

“Dengan jumlah wang itu juga, kerajaan negeri boleh memberi biasiswa kepada anak-anak Terengganu sebanyak RM50,000 setiap seorang untuk 48,000 pelajar,” tambah beliau.

 Namun di pihak Ahmad Said, walaupun banyak pihak meragui bahawa beliau akan meneruskan kejohanan ini apabila mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Datuk Seri Idris Jusoh, beliau menganggap Kejohanan Piala Monsun yang kini menjadi ciri utama Pulau Duyong, dilihat berjaya mencapai matlamatnya terutama dalam memperkenalkan Terengganu sebagai lokasi sukan pelayaran antara yang berprestij di dunia, Menteri Besar itu tetap meneruskannya.


Malah pada satu majlis pada 22 November 2011, Ahmad Said, berkata pihaknya akan mengambil langkah selanjutnya bagi membolehkan Terengganu terus menjadi tuan rumah piala berprestij itu.

Pada majlis itu, Menteri Besar menerima trofi berkenaan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Garrad, Eric Deardoff dan menyerahkannya kepada Pengerusi Kejohanan Piala Monsun, Tan Sri Sabbaruddin Chik. 

Ahmad Said turut menegaskan, kerajaan negeri mengalu-alukan jika kejohanan bertaraf dunia itu diteruskan kerana ia mampu memberi pulangan dari segi pelaburan asing dan meningkatkan industri pelancongan dalam jangka masa panjang.

Ini kerana Terengganu mempunyai banyak kemudahan asas bagi menganjurkan kejohanan tersebut dan jika dihentikan, dikhuatiri boleh menyebabkan pembaziran.

Malah, semalam Ahmad Said mengulangi bahawa beliau tetap berharap Kementerian Belia dan Sukan dan pihak penganjur dapat memberi pertimbangan sewajarnya untuk Terengganu terus menganjurkan kejohanan ini  kerana  Terengganu memiliki kemudahan yang lengkap selain pengalaman yang luas dalam penganjuran kejohanann berkenaan.

Beliau mengulas cadangan KBS yang ingin melihat pembentangan kajian yang dilakukan sebelum menentukan lokasi terakhir siri jelajah dunia pada musim depan.

"Jika Terengganu terus dipilih (sebagai lokasi) penutup perlumbaan, sudah pasti kita akan memberi yang terbaik namun terpulang kepada mereka untuk menilai kerana jika mahu dibuat di tempat lain, negeri itu perlu menyediakan kemudahan infrastruktur yang lengkap seperti yang kami miliki," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco semalam.


Ahmad Said juga berkata jika Terengganu tidak dipilih pada tahun depan, kerajaan negeri akan menganjurkan acara sukan lain di lokasi sedia ada.

No comments:

Post a Comment