Tuesday, November 12, 2013

DEMI TEGAKKAN SYIAR ISLAM, POLIS PERLU BURU PEMBUNUH MOHD RAFLI HINGGA KE LUBANG CACING…


Semalam (11 November 2013), di Georgetown, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihati orang ramai agar tidak membuat andaian kes tembak ketua penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) ada kaitan dengan Syiah.

Katanya, tidak ada bukti jelas berhubung perkara itu dan orang ramai harus membiarkan polis menjalankan siasatan terlebih dahulu.

Namun, Polis Pahang percaya kematian Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Allahyarham Mohd Rafli Abdul Malik, 47, yang ditembak kelmarin ( Ahad 10 November 2013), bermotifkan dendam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin Ab Ghani (kiri) percaya tiga suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan tersebut mungkin berdendam atau tidak berpuas hati dengan Allahyarham dengan penguatkuasaan yang dijalankan.

Dengan polis tidak menolak kemungkinan kes pembunuhan itu bermotifkan dendam dan rasa tidak puas hati terhadap penguatkuasaan yang dijalankan mangsa, ia menguatkan andaian bahawa ancaman di atas penguatkuasaan yang dijalankan arwah terhadap kes berisiko tinggi menjadi ancaman peribadi terhadapnya. 

Polis Pahang sudah berikrar tidak akan sesekali memberi ruang kepada mereka yang terlibat dan akan memburu suspek hingga ke lubang cacing.

Selain itu polis turut memberi kawalan keselamatan terhadap waris mangsa bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang ancaman daripada pihak yang mungkin berdendam dengan mangsa.

Mengejutkan juga apabila semalam juga (11 November 2013), Ketua Polis Negara mahu seramai 31 pengikut ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ diarahkan menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Kesemua mereka dikehendaki hadir bagi membantu siasatan berhubung kematian Ketua Pegawai Penguat Kuasa jabatan agama itu.yang dilihat lebih cenderung berpunca daripada tugas mangsa membanteras penyelewengan agama dan maksiat.

"Kita akan melihat siasatan dari semua sudut bidang tugas dan pihak-pihak yang pernah terlibat dengan tindakan penguatkuasaan mangsa. Setakat ini polis telah mengerakkan pasukan untuk menemuduga semua yang boleh membantu siasatan termasuk meminta pengikut 'Tuhan Harun' ini tampil membantu siasatan," katanya


Malah, hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Kuantan menyebut, akan membuat keputusan sama ada akan mengeluarkan waran tangkap terhadap 'Tuhan Harun' atau Harun Mat Saad, 47, pada 15 November ini jika beliau gagal memberi kerjasama dalam kes menyebarkan ajaran sesat Februari lepas.

Hakim Syarie, Abdul Wahid Md Ali Al-Fakwie menetapkan tarikh tersebut selepas tertuduh gagal hadir buat kali kedua untuk proses pengurusan kes yang sepatutnya ditetapkan pada 20 Ogos lalu.

Abd Wahid turut menangguhkan sebutan semula kes berkenaan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Pada 24 April lalu Harun mengaku tidak bersalah terhadap 11 pertuduhan berkaitan penyebaran ajaran sesat, risalah dan buku-buku berkaitan ajaran tersebut.

Dia didakwa menyebar ajaran tersebut dengan mengaku dirinya sebagai Tuhan Harun atau Tuhan 2013 di sebuah premis di Lorong Pandan Damai, dekat Kuantan antara Februari hingga 4 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan jenayah tersebut di bawah Seksyen 162 (1) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang boleh membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Abdul Wahid Md Ali kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 bersama dua penjamin. Kesemua pengikut ajaran itu sebelum ini telah diarahkan untuk menyerah diri apabila beberapa pengikut dan ketua ajaran itu ditahan JAIP, sekitar tahun ini.

Persoalannya ialah dalam Ketua Polis Negara mengatakan tidak ada bukti jelas tetapi beliau meminta pengikut ‘Tuhan Harun’ menyerah diri. Apa kaitannya?

Beberapa perkembangan sejak awal April lalu, ternyata amat berkait rapat dengan Allahyarham Raffli. 

Harun pernah ditangkap tetapi kemudian diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin.
Antara kes besar yang dikendalikan oleh Raffli yang mati ditembak kelmarin ialah kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun , dimana ketua ajaran sesat ini Harun Mat Saad yang dituduh terlibat juga dalam kes penipuan deposit sebanyak RM 40 juta.

Ada mengatakan sehingga beratus-ratus juta ringgit, termasuk melibatkan pelabur dari negara Brunei.

Elok diperhatikan kes-kes yang melihat Raffli.

KES 1: Allahyarham banyak terlibat dengan kerja-kerja membanteras maksiat di Pahang, khususnya di Kuantan. Malah pada Januari 2010 lagi, dilaporkan Allahyarham Rafli mengadakan pemeriksaan terhadap 20 hotel bajet di Kuantan.

Tindakan beliau banyak mendapat liputan media luar apabila seolah-olah tindakannya mengganggu ‘kegembiraan’ dan ‘kedamaian’ yang cuba didapatkan oleh pihak-pihak tertentu umpamanya pada malam perayaan tahun baru.


Malah, dilaporkan, beberapa pihak, khususnya pengusaha pusat hiburan dan hotel bajet tidak berpuas hati dengan tindakan yang dijalankan oleh Raffli.

Ini bermakna Raflie menerusi operasi-operasi yang dijalankannya bersama-sama dengan PDRM, mendatangkan masalah kepada ketua-ketua kongsi gelap yang menguasai industri hiburan serta maksiat di seluruh Pahang.

KES 2 : Pada 12 Mei 2013, Allahyarham Raflie telah membuat sidang akhbar berhubung pemburuan seorang ketua ajaran sesat, HARUN MAT SAAD dan anak-anak serta isteri ketiganya serta 12 orang pengikutnya setelah mereka gagal tampil di mahkamah untuk dibicarakan.

Harun dalam menyebar ajaran tersebut mengaku dirinya sebagai Tuhan Harun atau Tuhan 2013 di sebuah premis di Lorong Pandan Damai, antara Februari lalu hingga 4 April lalu.

Pada 16 Mei , Jabatan Agama Islam Pahang mendapat perintah Mahkamah Syariah Pahang dan bersetuju mengeluarkan waran tangkap bagi memburu 12 pengikut ajaran sesat Tuhan Harun atau turut dikenali sebagai Tuhan 2013.

Allahyarham Rafli yang menjadi Ketua Penguat Kuasa JAIP berkata, mereka diburu dalam lingkungan umur di antara 12 hingga 41 tahun termasuk isteri ketiganya, Shuzliana Mokhtarudin, 29, dan empat anak-anaknya iaitu Mahni Harun 12, Saufi, 18, Lukman, 20 dan Muhammad, 21.

Kemudian pada 29 Mei 2013, selepas didakwa menyebarkan ajaran sesat dan mengaku sebagai tuhan, Harun Mat Saad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kota Bharu pada hari tersebut atas dua tuduhan menerima deposit secara haram sebanyak RM40 juta daripada beberapa buah syarikat dan orang ramai.

Ketua kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun' itu didakwa membantu dalam pengurusan dua syarikat untuk menerima deposit bermula dari September 2006 sehingga Mac 2008.

Harun, 47, yang bertindak sebagai penasihat syarikat Business Time Dina Sdn. Bhd., dan Pan Pheonix Dina Sdn. Bhd., mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Yusuff Yunus.

KES 3 : Pada 28 September 2013, laporan menyebut, Pahang mencatatkan kes pertama tangkapan berkaitan fahaman Syiah apabila seorang imam dipercayai pengikut ajaran itu ditahan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) di kuarters kakitangan ladang Risda Pekoti Timur, Muadzam Shah semalam.

Raffli yang mengetuai gerakan tangkapan berkenaan, berkata imam berumur 64 tahun itu disyaki mengamalkan ajaran itu sejak enam tahun lalu.

“Warga emas yang sudah menjadi imam berdaftar lebih 20 tahun itu tidak menyebarkan fahaman itu sebaliknya diamalkan secara individu,” katanya. Raffli berkata, siasatan awal juga mendapati keluarga imam berkenaan juga tidak terlibat dengan fahaman Syiah. “Kita percaya dia mempunyai rakan-rakan dan pernah hadir secara berkala ke beberapa pertemuan di beberapa tempat di antaranya Gombak dan Segamat.” 


Ketika serbuan, seorang anak lelaki imam berkenaan yang berumur 32 tahun yang kebetulan berada di rumah tersebut turut diminta untuk membantu siasatan.

Lelaki itu berdepan kemungkinan tuduhan mengikut Seksyen 165 dan Seksyen 170 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun. Beberapa minggu lalu,

Allahyarham dilaporkan mengetuai pasukan penguatkuasa agama menggempur sarang Syiah di Keratong dan dilaporkan berjaya.

Tidak sahaja sarang Syiah dimusnahkan, bahan-bahan bercetak untuk disebarkan, turut dimusnahkan.

Penggempuran yang dilakukan oleh Raflie telah menyebabkan Syiah sukar bergerak dan bernafas di Pahang.  
Amat nyata, Allahyarham Raflie sedang mengendalikan sekurang-kurangnya tiga kes besar melibatkan kes TUHAN HARUN, SYIAH, dan OPERASI KELAB MALAM.

Hari ini, Polis Pahang tidak menolak kemungkinan pengikut kumpulan 'Tuhan Harun' atau ajaran sesat lain terlibat dalam kes pembunuhan Raffli.


Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin Ab Ghani meminta pengikut kumpulan itu atau kumpulan ajaran sesat lain yang mempunyai maklumat berkaitan kes tembak itu tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Polis juga akan menyiasat kes itu daripada aspek lain dan sama ada suspek terlibat masih berada di dalam negeri atau tidak.

Sehingga kini belum ada pengikut 'Tuhan Harun' atau kumpulan ajaran sesat lain tampil di balai polis memberi kerjasama," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Polis Pahang hari ini mengedarkan fotofit lelaki yang disyaki terlibat dalam kes itu dan meminta orang ramai yang terjumpa lelaki menyerupai fotofit itu supaya menghubungi polis.


Sharifudin berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi balai polis Kuantan di talian 09-5132222, bilik gerakan IPD Kuantan (09-5142999), Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuantan, Deputi Superintendan Zakaria Abu Kassim (019-3822020) dan pegawai penyiasat Asisten Superintendan Zukri Muhammad (013-9764999).

Polis pastinya memerlukan kerjasama orang awam untuk bantu polis kesan pelaku pembunuhan itu.

Dengan polis sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam di setiap negeri bagi memastikan pengikut fahaman Syiah tidak menjadi golongan pelampau dan akhirnya militant, orang ramai perlu menghulurkan tangan persahabatan dengan polis memerangi ajaran berkenaan.

Banyak pihak kini khuatir penyelewengan fahaman agama akan membawa kepada kewujudan kumpulan militan di negara ini demi mempertahankan ketaksuban kepada pegangan mereka sehingga mengambil tindakan drastik seperti membunuh.

Yang pasti kita tidak mahu kes seperti yang menimpa Raffli berulang dan sebarang kegiatan ekstremisme agama di negara ini perlu dibendung dan dihapuskan.

No comments:

Post a Comment