Wednesday, October 23, 2013

PRK SUNGAI LIMAU - PILIHAN ANTARA TRADISI & TRANSFORMASI EKONOMI DAN PENDIDIKAN...


"Walaupun ada pembangkang cakap kemenangan di sini (Sungai Limau) tak ubah apa-apa dari soal pentadbiran negeri, tapi bagi kami pembelaan nasib masyarakat di Sungai Limau itu yang paling utama...Sebab itu wakil rakyat  (BN) adalah penting. Mereka inilah yang kita yakin boleh sampaikan segala isu permasalahan yang penting untuk kita selesaikan."
 - Tan Sri Muhyiddin Yassin

Sebanyak 27,222 pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau sudah tahu calon yang akan bertanding. Malah, kedua-duanya sudah pun secara rasmi dinamakan mewakili parti masing-masing pada PRK 4 November ini.

Pengumuman perkara itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Abd Rashid Othman selepas proses penamaan calon di Dewan Dato' Madi di Yan ditutup pada 10 pagi ini tadi.

PRK Sungai Limau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, yang juga Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai, manakala PAS diwakili Ketua Pemuda Jerai Mohd Azam Samat, 37, yang juga pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam Kedah.


Dr Ahmad Shohaimi, 52, berasal dari Kampung Titi Batu, Guar Chempedak adalah bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia, Sarjana Muda Sastera, Universiti Malaya dan Doktor Falsafah Sejarah Politik, Universiti Sains Malaysia.

Bagi jawatan politik, beliau pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Titi Batu (1982-1990), Ketua Penerangan Pemuda Umno Yan/Jerai (1992-1995), Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Jerai (1995-1997) dan Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai (1992-2016).

Pemilihan Dr Ahmad Sohaimi, berdasarkan kelebihan beliau yang mempunyai kelulusan tinggi selain pernah terlibat dalam parti termasuk kini sebagai Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai dan aktiviti kemasyarakatan.

PRK ini menarik bukan kerana ia pertembungan antara pensyarah dan guru tetapi lebih penting ialah tawaran BN untuk mentransformasi DUN Sungai Limau sementara PAS hanya mahu meneruskan tradisi penguasaannya di DUN berkenaan.

Ketika mengumumkan calon BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon kerjasama pengundi untuk memberi peluang kepadanya. Jika terpilih segala perkara yang perlukan perhatian akan disampaikan kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Kenyataan ini penting dan amat mudah difahami jika rakyat di DUN Sungai Limau berfikiran secara terbuka.
 Muhyiddin hari ini menjelaskan maksudnya dengan mengatakan kerajaan persekutuan dan negeri akan lebih mudah membawa kemajuan ke kawasan DUN Sungai Limau jika calon BN dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Melaluinya juga, ia akan mewujudkan hubungan langsung antara wakil rakyat kawasan itu dengan pentadbiran kerajaan negeri dan pusat di bawah BN, bagi membawa masa depan yang lebih cerah kepada penduduk Sungai Limau.


"Kalau mereka lihat masa depan kawasan Sungai Limau ini, kalau wakil itu datang dari BN, urusan majukan dalam semua bidang seperti pembangunan, sosioekonomi, pendidikan, agama dan lain-lain lebih mudah dilaksanakan lebih-lebih lagi di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat pusat," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN itu di Yan.

"Kami yakin walaupun Sungai Limau dikatakan kubu kuat PAS, yang kita (BN) dilihat sebagai underdog, dan peluang tidak secerah PAS, tapi kami (BN) yakin pengundi di sini mempunyai sifat untuk membuat penilaian secara mendalam, terperinci dan tidak beremosi," kata Muhyiddin.

Ini kerana jika calon BN Ahmad Sohaimi diberi peluang, maka ini akan beri satu laluan yang lebih mudah untuk kerajaan melaksanakan apa saja agenda untuk majukan penduduk Sungai Limau.

Isu-isu itu akan dijelaskan secara terperinci baik soal pembangunan, belanjawan, harga barangan dan apa sahaja perkara berbangkit termasuk peningkatan harga padi dan infrastruktur.

"Walaupun ada pembangkang cakap kemenangan di sini tak ubah apa-apa dari soal pentadbiran negeri, tapi bagi kami pembelaan nasib masyarakat di Sungai Limau itu yang paling utama," tegas Muhyiddin.

Tambahnya: " Sebab itu wakil rakyat adalah penting. Mereka inilah yang kita yakin boleh sampaikan segala isu permasalahan yang penting untuk kita selesaikan," katanya.

Muhyiddin yakin Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir boleh merangka strategi baharu jika mempunyai perancangan khusus memajukan kawasan itu yang kelihatan banyak ketinggalan dari aspek pembangunan sejak beberapa tahun lepas.

Timbalan Pengerusi BN itu berkata BN telah memilih calon paling layak dengan latar belakang pendidikan dan pengurusan yang baik. Malah Ahmad Sohaimi sendiri telah menyatakan komitmen memajukan Sungai Limau, kata Muhyiddin.

Dr Ahmad Sohaimi bertekad untuk membangunkan modal insan dan pendidikan sebagai antara keutamaan yang perlu diberi perhatian untuk penduduk dalam DUN berkenaan.

Kedua- dua aspek itu akan diberikan perhatian utama sekiranya beliau diberi peluang mewakili kawasan itu pada PRK pada 4 November ini.

"Saya ada pengalaman dalam bidang akademik kerana itu saya mahu tumpu kepada pendidikan. Saya lihat anak-anak sekolah rendah agak ketinggalan kerana tiada pusat pembelajaran yang terancang…jika PAS masih terus menguasai DUN berkenaan, banyak program pembangunan tidak dapat dilaksanakan kerana kerajaan negeri dan Parlimen Jerai dikuasai oleh BN.

"Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Anggota Parlimen Jerai yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri) banyak perancangan tetapi usaha beliau untuk DUN Sungai Limau susah untuk dilaksanakan jika kita tak menang," katanya. Tanpa mahu menafikan kepentingan pembangunan fizikal, beliau juga melihat pesisir pantai di Sungai Limau berpotensi dibangunkan untuk agro pelancongan.

Dr Ahmad Sohaimi berkata beliau mahu membantu Jamil Khir mengendalikan kawasan itu dan menyifatkan idea anggota Parlimen Jerai itu untuk menubuhkan institusi latihan imam sebagai satu usaha yang baik.


Azam pula ketika memberikan ucapan sulung malam kelmarin berkata, beliau akan memikul amanah yang diberikan ini sebaik mungkin.

Azamnya untuk meneruskan agenda bekas Menteri Besar Tan Sri Azizan Abdul Razak sebelum ini. Beliau juga berharap seluruh jentera Pakatan Rakyat khususnya PAS untuk bekerja keras mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut sambil menyeru agar semua pihak menghadapi pilihan raya kecil kali ini dengan penuh harmoni.

Amat nyata tiada apa tawaran PAS sekadar mahu mengekalkan kemenangan dengan tidak membawa sebarang perubahan berbanding BN yang akan melakukan transformasi terhadap DUN ini. Dengan komitmen Muhyiddin dan Dr Ahmad Sohaimi, pengundi DUN ini sewajarnya memberikan peluang kepada BN untuk membuktikan janji-janjinya.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir sudah berikrar semalam bahawa rakyat tidak perlu bimbang kerana setiap projek yang dirancang akan diteliti dengan mengambil kira kebajikan mereka terlebih dahulu.

Sebagai contoh, jika melibatkan pengambilan tanah, ia akan berbincang dengan penduduk terlibat bagi menentukan nilai pampasan yang wajar.

Beliau member jaminan bahawa projek tidak akan dilaksanakan jika tidak menguntungkan penduduk tempatan atau sebahagian besarnya mendapat nikmat serta merugikan mereka.

Pengerusi BN Kedah itu membidas pembangkang yang membuat dakwaan kerajaan negeri seolah-olah memberi ugutan kepada penduduk tempatan agar menyerahkan tanah untuk membolehkan projek pembangunan dilaksanakan di kawasan Sungai Limau.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang berbentuk ugutan kepada penduduk. Kita hanya mahu menawarkan perkhidmatan dan membawa pembangunan di sini. Itu sahaja, bukan ada niat lain, “ tegasnya. 

DUN Sungai Limau mempunyai 27,222 pemilih berdaftar dan daripada jumlah itu, 25,323 orang atau 93 peratus ialah pengundi Melayu, Cina (1,842 orang atau 6.7 peratus), India (15 orang atau 0.6 peratus) dan selebihnya kaum-kaum lain.

Sebanyak 58 saluran di 17 pusat mengundi akan dibuka untuk pilihan raya kecil itu.

No comments:

Post a Comment