Thursday, March 1, 2012

TERENGGANU BANTU JAYAKAN GTP ECERDC MELALUI PELABURAN ASING RM1b


Bercakap pada sidang media di Kuala Terengganu semalam, Ahmad Said berkata pelaburan dari China sebanyak RM1b membantu menjayakan GTP wilayah Pantai Timur.

Daripada teganuku

Kejayaan Terengganu meraih nilai pelaburan asing tertinggi melalui projek akuakultur sebanyak RM1 bilion menyumbang kepada nilai projek berimpak tinggi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).


Kejayaan itu sebahagian daripada sumbangan kerajaan negeri Terengganu menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Projek yang dilaburkan syarikat dari China di daerah Marang itu juga dijangka akan membantu mempercepatkan lagi usaha kerajaan negeri untuk menjadi negeri maju.

Usaha kerajaan negeri dengan Ocean Aquatic Marine (M) Sdn Bhd dan syarikat China berkenaan, Zhanjiang Guolian Aquatic Products Co Ltd, itu kelmarin sudah dimuktamadkan dalam mesyuarat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang disaksikan Perdana Menteri, Dattk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasinggam Issace John berkata pembangunan dan kemajuan kawasan Pantai Timur semenanjung akan bertambah pesat berikutan keyakinan pelabur untuk melaksanakan 12 projek yang membabitkan pelaburan bernilai RM9 bilion di ECER dalam tempoh tiga bulan mulai Januari tahun ini.

Katanya, pelaburan itu membabitkan sembilan projek baru, termasuk dua bernilai RM5.5 bilion di Mersing, Johor; lima projek bernilai RM2 bilion di Pahang dan masing-masing satu projek bernilai RM1 bilion di Terengganu dan RM500 juta di Kelantan.

Projek oleh syarikat tempatan serta gabungan syarikat asing itu membabitkan sektor pelancongan, pembuatan, pendidikan teknikal tinggi, akuakultur dan automotif yang dijangka mewujudkan hampir 20,000 peluang pekerjaan serta menyumbang RM6 bilion kepada pendapatan negara kasar (GNI) menjelang 2020.

Perdana Menteri turut menyaksikan upacara pertukaran dokumen komitmen pelaburan antara wakil pelabur dengan ECERDC.



Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Selain pelaburan di Terengganu, pelaburan terbesar adalah dalam sektor pelancongan dengan Radiant Starfish Development Bhd merancang melabur RM4.2 bilion bagi membangunkan pusat peranginan eko-pelancongan bersepadu, Mersing Laguna, di tanah seluas 809 hektar yang ditambak di luar pantai Mersing.

Ia dijangka mewujudkan 12,600 peluang pekerjaan menjelang 2014. Damansara Assets Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Johor Corporation pula akan melabur RM1 bilion bagi membangunkan bandar peranginan Resort Bersepadu Tanjung Leman dan Bandar Pesisir Pantai di kawasan seluas 142 hektar di Mersing yang dijangka mewujudkan 1,500 peluang kerja.

Sementara Encorp Berhad membangunkan pusat peranginan pelancongan bersepadu dan padang golf antarabangsa di Cherating, Pahang dengan nilai pembangunan kasar RM1.3 bilion, di tapak seluas 404 hektar.

Projek yang dijangka bermula pada suku kedua 2012 itu diunjur mampu mewujudkan 3,000 peluang kerja.

Pada sidang media semalam, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menjelaskan, projek ternakan udang di kawasan seluas 1,000 hektar dijangka menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan.



"Alhamdulillah, lawatan saya ke China pada Oktober lepas berjaya menarik pelaburan, dan telahpun dimuktamadkan semalam pada majlis Pertukaran Dokumen Komitmen Pelaburan ECER (Wilayah Ekonomi Pantai Timur) yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Selain itu, kerajaan negeri bersedia menarik lebih ramai pelabur asing untuk menjalankan pelaburan di Terengganu dan akan mengenal pasti lebih banyak kawasan yang sesuai bagi membuka lebih banyak kawasan projek akuakultur pada masa depan.

No comments:

Post a Comment