Utusan Malaysia
UTUSAN: Nama anda disebut-sebut sebagai antara yang akan dicalonkan di sini sejak dari awal. Tetapi anda pernah membuat kenyataan menyokong G. Palanivel sebagai calon sebelum semuanya terjawab semalam. Mengapa terjadi begitu?
Kamalanathan: Pada mulanya, memang MIC hanya calonkan Palanivel. Nama saya pula timbul setelah disebut oleh rakan-rakan media dan MIC yang memahami cara saya bekerja. Saya ikhlas ketika membuat kenyataan itu (menyokong Palanivel) dan tidak berharap untuk dicalonkan kali ini.
Sebenarnya saya pasti, nama saya turut direstui bukan sahaja oleh Datuk Seri Samy Vellu, malah Palanivel sendiri. Jika tiada restu daripada kedua-dua pemimpin itu, tidak mungkin saya dapat dicalonkan. Justeru, saya yakin dapat bertemu Palanivel dalam masa terdekat untuk meminta bantuan beliau bagi mendekati pengundi Hulu Selangor kerana beliau amat arif tentangnya.
Begitu juga dengan V. Mugilan. Kami kawan karib ketika sama-sama berjuang di dalam pemuda MIC. Saya yakin beliau akan membantu saya bukan sahaja kerana MIC dan BN, malah atas dasar persahabatan.
UTUSAN: Di pihak UMNO pula, ada yang berpendapat Parlimen Hulu Selangor perlu diberi kepada mereka sebelum ini. Setelah tercalon, bagaimana anda melihat desakan itu?
Kamalanathan: Dalam UMNO, ahlinya mempunyai budaya yang amat menghormati pemimpin sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman lagi. Justeru, apabila Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri telah beri restu untuk saya bertanding, saya yakin mereka akan patuh.
Lebih dari itu, Saya yakin mereka akan membantu sepenuhnya menggerakkan jentera bagi memperoleh kemenangan. Saya menganggap diri sebagai calon 1Malaysia. Jika UMNO, MCA, PPP, GERAKAN, IPF tidak beri bantuan, mustahil saya akan menang. Saya tidak akan mampu berdiri sendiri.
Semalam sempat saya bisikkan kepada Pengerusi UMNO Bahagian Hulu Selangor untuk mendekati ahlinya. Saya mahu ikhlas bekerjasama dengan mereka kerana ini bukan soal bantu MIC atau bantu Kamalanathan tetapi ia lebih kepada membantu Barisan Nasional menegakkan kepentingan rakyat.
UTUSAN: Boleh jelaskan apa yang anda maksudkan dengan calon 1Malaysia?
Kamalanathan: Saya dapat pesanan daripada seorang teman di laman sosial Twitter yang mengatakan nama saya sendiri sudah ada 1Malaysia.
Sebabnya, di awal nama saya ada Kamal (Melayu), Alan (Cina) dan Nathan (India).
Namun apa yang lebih penting saya sentiasa mengutamakan soal penyatuan kaum. Setiap aktiviti dilakukan termasuk dalam Pesta Ponggal baru-baru ini, saya pastikan mempunyai penglibatan masyarakat majmuk di negara ini.
Saya juga menganggap rukun negara dan lagu Negaraku sebagai dua elemen penting dalam penyatuan rakyat negara ini. Semua prinsip itu akan saya pegang dan sebarkan sebaik mungkin kepada masyarakat sekiranya terpilih menjadi pemimpin.
UTUSAN: Aspek yang akan diberi perhatian di Parlimen sekiranya terpilih nanti?
Kamalanathan: Pembangunan yang dapat memperkasa rakyat Hulu Selangor bakal menjadi perhatian saya. Di peringkat nasional pula, saya akan sentiasa berada di belakang Perdana Menteri dalam apa jua situasi bagi menyampaikan hasrat serta matlamat beliau kepada rakyat di akar umbi.
Impian besar saya adalah untuk memastikan setiap yang dilakukan Perdana Menteri difahami di kawasan Parlimen ini supaya dapat diwujudkan keluarga besar 1Malaysia di sini.
UTUSAN: Bagaimana takrifan anda terhadap diri sendiri?
Kamalanathan: Saya peramah, senang didekati dan suka mendengar. Keunikan saya rasanya terletak kepada kefasihan penggunaan Bahasa Melayu. Guru-guru saya dahulu pun terkejut dengan kelancaran saya menggunakan bahasa kebangsaan.
Pergaulan saya juga tidak terbatas kepada sesuatu agama, kaum atau bangsa. Sudah 43 tahun saya tinggal di sini dan semua itu bakal memberi kelebihan bagi menghadapi pilihan raya kecil ini sekali gus membantu menunaikan hasrat MIC menghadiahkan Hulu Selangor kepada Perdana Menteri sempena setahun pemerintahannya.
No comments:
Post a Comment