Tuesday, October 6, 2009

TAHNIAH UNTUK SEMUA DI UMNO LARUT

Bukan untuk Raja Ahmad sahaja, tetapi juga Hamzah Zainuddin dan juga Mohd Daud.

Paling penting, Zamry sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak berjaya mengatasi ‘perang Larut’ hampir 11 bulan.

Padanlah Raja Ahmad berdiam diri sahaja dan tidak lagi bersuara mengenai ‘masalah bahagiannya’. Rupa-rupanya semua sudah beres!

RAJA Ahmad (tengah) diapit Hamzah (kanan) dan Mohd Daud (kiri) berkompromi demi parti sambil disaksikan Muhyiddin dan Zambry pada perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Larut di Selama, kelmarin.

Kalau dari awal begini kan bagus. Tidak adalah kemelut dan ibu pejabat UMNO pun tidak pening.

Persidangan perwakilan bahagian itu tertangguh beberapa kali selepas berlakunya perbalahan antara Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin dan Datuk Hamzah Zainuddin, yang juga Ahli Parlimen Larut yang dicalonkan merebut jawatan berkenaan.

Mesyuarat yang mulanya dijadualkan 2 November tahun lalu ditangguhkan beberapa kali selepas Raja Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah mengumumkan Umno Larut menolak pencalonan Hamzah atas alasan teknikal.

Hamzah bukan sekadar Ahli Parlimen tetapi juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi. Jadi eloklah kalau beliau tidak ‘merebut’ Ketua Bahagian. Biarkan sahaja Raja Ahmad menjadi Ketua Bahagian Larut.

Lagipun, dia menyokong dengan laluan mudah kepada Hamzah untuk bertanding sebagai ahli parlimen. Tiada sabotaj pun seperti di sesetengah bahagian.

Sebelum ini Raja Ahmad adalah ahli Parlimen tetapi diturunkan ke kerusi DUN Titi Gajah.

Saya ada menulis beberapa siri rencana ketika kemelut bahagian antara Oktober dan Disember tahun lalu bersama-sama dengan beberapa bahagian lain sebelum pemilihan yang lalu, termasuk bahagian Tanah Merah Kelantan, Seputeh Wilayah Persekutuan dan juga Bahagian Tenom di Sabah.

Kesian juga kepada perwakilian UMNO Larut pada perhimpunan tahun lalu apabila datang sebagai pemerhati dan tidak pun ada tempat untuk mereka di Dewan Merdeka.

Namun Alhamudulliah, kini segalanya-galanya kembali asal dan diharapkan tiga pihak yang ‘bersengketa’ sebelum ini akan melupakan segala-galanya demi UMNO.

Kepada Hamzah, mahu direbutkan apa lagi Ketua bahagian kerana selain menjadi Ahli Parlimen, beliau sibuk dengan tugasnya sebagai Pengerusi Felcra.

Dengan berlangsungnya persidangan perwakilan Umno Bahagian berkenaan selepas tertangguh hampir setahun berikutan kerana kemelut kelayakan calon yang ingin bertanding, kini menjadikan kesemua barisan jawatankuasanya kekal tanpa bertanding.

Mesyuarat perwakilan itu berlangsung dalam suasana mesra dan menyaksikan semua jawatan tidak ditandingi.

"Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana akhirnya Umno Bahagian Larut dapat mengadakan sidangnya setelah tertangguh beberapa kali kerana kemelut yang dihadapi," kata Raja Ahmad.

Bahagian Larut sepatutnya berterima kasih kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, walaupun baru dilantik beberapa bulan lalu tetapi berjaya membuka ruang kepada 385 perwakilan bahagian itu bermesyuarat dalam suasana mesra.

Zambry yang diberi tanggungjawab mencari penyelesaian mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak berkaitan termasuk Timbalan Ketua bahagian itu, Datuk Mohd Daud Yusof.

Kumpulan itu akhirnya berjaya meyakinkan Hamzah untuk berkompromi dan menarik diri daripada bertanding, sekali gus memberi laluan kepada Raja Ahmad kekal ketua bahagian, manakala Mohd Daud dengan jawatan yang disandangnya.

Penyelesaian kepada kemelut ini bermakna semua 191 bahagian UMNO sudah bermesyuarat.
Kelmarin, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan tahniah kepada pemimpin dan ahli Umno Larut serta menyifatkan semua pihak menunjukkan kematangan, tolak ansur selain sayangkan parti sehingga membolehkan Umno bahagian itu mengadakan mesyuarat.

Kemampuan bahagian itu mencapai kata sepakat dan berkompromi juga menunjukkan ahli Umno mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah dalaman tanpa membabitkan Majlis Tertinggi (MT) Umno.

1 comment:

  1. Pemimpin UMNO jangan hanya tahu merebut jawatan sahaja tetapi mesti ada agenda perubahan.kepada MB "halal Perak,lakukan kerja anda sebaik mungkin dan jangan terlibat dengan politik kotor lagi kerana pada pilihanraya akan datang saya tidak jamin Dato' MB akan kekal di jawatan itu.Datuk Hamzah dan Datuk Raja Ahmad jangan hanya tahu merebut jawatan dunia sahaja tetapi mesti ubah dasar UMNO kepada dasar yang boleh diterima oleh semua.Pada jangkaan saya BN akan kehilangan lagi 10 kerusi di DUN Perak.

    ReplyDelete