Saturday, October 24, 2009

Nik Aziz atau PAS yang “Ghok-Ghak”?

(Isu Sabtu)

Siapa sebenarnya yang ghok-ghak (kacau)? Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau PAS?

Nik Aziz nampaknya menyerang Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan juga Datuk Dr Hassan Ali. Sebelum ini dia ‘menyerang’ Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa.

Jelas kini dalam PAS, kepimpinan utama parti adalah satu pasukan dan Nik Aziz bersendirian.
Kalau ada yang menyokongnya pun mungkin bekas Naib Presiden yang kalah seperti Datuk Husam Musa serta pemimpin PAS yang sudah dikitarsemula lagi seperti Datuk Mahfuz Omar dan Mohamad Sabu.

Bagi Nik Aziz, Hassan atau Mustafa tidak habis-habis dengan hendak bekerjasama PAS dengan UMNO ke arah kerajaan Perpaduan.

“Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan, kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni? “Tidak boleh jadi ni, kita “ghok-ghak” (kacau) begini, orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khas, senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana... kita nak kekal yang mana dan buang yang mana," katanya.

Nik Aziz begitu yakin hanya Muktamar Agung Khas saja yang dapat menyelesaikan masalah dalaman parti itu.

PAS kini menghadapi krisis besar selepas berlakunya pertelingkahan ketika isu kerajaan perpaduan digembar-gemburkan sebelum muktamar PAS lalu.

Semalam Mursyidul Am PAS itu, mahu parti berkenaan mengadakan Muktamar Agung Khas bagi menyelesaikan masalah dalaman parti itu, termasuk menukarkan pemimpin utamanya.

Beliau berkata, muktamar itu perlu diadakan bagi memberi peluang kepada perwakilan membuat keputusan yang akan menentukan haluan parti.

Amat jelas penyelesaian bagi Nik Aziz adalah menukar pemimpin.

Apakah pemilihan yang lepas tidak sah?

Jawapannya ialah Nik Aziz, yang sepatutnya tidak berpihak, seakan-akan mempersoalkan keputusan pemilihan parti apabila berkata: “Dalam muktamar khas yang dicadangkan itu, Nik Aziz menekankan keperluan kepada proses pemilihan yang ringkas, telus, dan melindungi kerahsiaan undi.”

Kenapa pula Nik Aziz yang ‘sour grapes’ sedangkan yang kalah Husam Musa?

Apakah Nik Aziz bermain politik untuk menjamin orangnya menang semula dengan menimbulkan isu kerajaan perpaduan ini?

Yang jelas, pemuda PAS dan Dewan Ulamanya selari dengan presiden dan timbalannya dalam isu kerajaan perpaduan ini.

Yang menentang keras hanyalah kumpulan yang ‘pro-Anwar’ dan mengharapkan Penasihat PKR itu menjadi Perdana Menteri.

Melalui blog peribadinya, www.blogtokguru.com, beliau menyatakan pendapat peribadinya (sama ada beliau sendiri tulis atau pembantunya tidak penting) : “Isu kita ialah dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang (Presiden MIC) Datuk Seri Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain, maka pelik apa kalau kita panggil mesyuarat parti tergempar.”

Malah Menteri Besar Kelantan itu turut mengaitkan UMNO yang mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membuat pindaan perlembagaan dan MCA mengadakan Perhimpunan Agung Luar Biasa sehingga ahlinya membuat keputusan untuk menyingkir dua pemimpin utama mereka.

Beliau berkata, kepemimpinan PAS perlu mendapat mandat baru bagi persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang. “Bila mesyuarat agung tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah, kita pakat-pakat belalah,” katanya.

Ada dua tiga persoalan di sini. Pertama, sah sudah jika berpakat dengan Melayu dan UMNO, Nik Aziz tidak mahu.

Kedua, dia rela menggoncang PAS untuk menjamin ‘anak didiknya’ mendapat tempat dalam parti, selain rela mengorbankan PAS untuk menjamin Anwar menduduki takhta Perdana Menteri.

Ketiga, Nik Aziz melihat DAP dan PKR lebih mulia daripada UMNO hanya kerana fobianya apabila PAS ditendang keluar oleh BN selepas berada dalam kerajaan campuran beberapa ketika.

Soalan lain ialah kenapakah Nik Aziz begitu tertarik dengan analisis pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Aziz Bari, yang memperkatakan kemerosotan undi PAS di Bagan Pinang baru-baru ini?

Antara penyebabkan kekalahan menurut Prof Aziz ialah kekecohan di Selangor dan mencadangkan PAS mengambil langkah drastik seperti memecat Hassan.

Selain itu profesor undang-undang terkenal itu juga mengkritik Abdul Hadi yang tidak membuat sebarang kenyataan terhadap isu membabitkan Hassan.

Bagus juga Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, tidak memulangkan paku buah keras atau membelasah balik Nik Aziz apabila sekadar berkata kenyataan Nik Aziz itu adalah pandangan peribadi.

Nasharuddin boleh ‘kurang ajar’ pada ketika pemimpin PAS lain melihat perpaduan Melayu-Islam penting dan hanya Nik Aziz tidak berpendapat sedemikian. Namun beliau tidak sedemikian.

Bagi Nasharuddin, dengan lembut beliau menolak pandangan Nik Aziz itu dengan mengatakan ia tidak boleh membawa kepada perubahan dasar dalam parti kerana parti adalah milik parti yang bermuktamar setiap tahun.

Dengan kenyataannya bahawa perkara itu akan dibawa dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama secepat mungkin dan mendapatkan penjelasan daripada Nik Aziz sendiri mengenai apa maksud beliau yang sebenar, yang tertekan kini Nik Aziz.

Bagi Hadi, Mustapa, Nasharuddin dan Dr Hassan, mereka boleh mendengar sendiri rungutan peribadi Nik Aziz dan PAS sewajarnya tidak perlu mengadakan mesyuarat luar biasa kalau hanya sekadar untuk memuaskan hati orang di sekeliling Nik Aziz.

Lagipun, PAS hanya kalah sekali di Bagan Pinang. Bagaimana dengan di Manek Urai, Kuala Terengganu di pilihan raya kecil di Perak, apakah sumbangan pemimpin PAS di situ terlalu kecil?

1 comment:

  1. Assalamualaikum Tuan,

    Apa masalahnya kalau Anwar jadi PM?saya pun nak tengok kerajaan Malaysia bertukar juga.BAgi peluang kepada PR memerintah Malaysia selama 2 ataau 3 penggal.Kita sama-sama tengok apakah PR boleh perjuangkan isu-isu yang mereka bicara sebelum ini?.

    Lebih baik PAS bekerjasama dengan DAP supaya PAS dapat ambil peluang ini untuk berdakwah kepada DAP supaya mereka memahami ISlam yang sebenar bukan ISlam Hadhari tajaan BN.

    Kenapa BN begitu berminat dengan isu kerajaan perpaduan?jawapannya mudah saja.Sebab sekarang BN dalam keadaan lemah dan mereka mencari PAS sebagai sistem sokongan hayat mereka.Sebab itu saya tidak terkejut apabila Dr Khir Toyo buat perjumpaan sulit dengan pemimpin PAS di Selangor semata-mata kerana BN nak bertumpang kuasa.Begitu juga dengan Tajol Rosli yang nak ajak PAS Perak bergabung dengan UMNO Perak atas nama kepentingan Melayu/Islam.Cuba bayangkan kalau BN menang banyak kerusi lebih dari PAS dalam pilihanraya akan datang.Adakah UMNO nak ajak PAS bergabung atas nama Melayu/Islam?

    UMNO pun tidak pernah ikhlas nak berjuang tentang Islam apatahlagi nak berjuang untuk rakyat.Pemimpin biar kaya tetapi rakyat terus terhimpit kemiskinan.

    Kepada pemimpin PAS yang membangkitkan isu kerajaan perpaduan lebih baik anda hentikan sahaja isu tersebut.Perkukuhkanlah PR.aAnda harus tahu UMNO hanya bersifat alim-alim kucing.

    Kepada Tuan Hambali,saya menghormati tulisan tuan di sini atas nama kebebasan berdemokrasi.Tetapi tuan juga harus fikir soal Islam.Adakah UMNO serius nak Islam?tuan boleh tengok sendiri perangai UMNO macam mana.Biarlah PAS bekerjasama dengan parti kafir daripada UMNO yang kononnya parti Islam.

    ReplyDelete