Sunday, July 12, 2009

WAHAI UMNO – AMBILLAH KESEMPATAN KETERBUKAAN HADI

Pedulikan Nik Aziz. Ambillah kesempatan daripada sikap terbuka Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Usaha yang baik, lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan perpaduan dan syiar Islam perlu dijalankan terus.

Pintu sudah dibuka. UMNO hanya perlu meminta izin untuk masuk.

Semalam di Kuala Krai beliau mengulangi PAS tidak akan menutup pintu bagi berbincang dengan UMNO dan pihak-pihak lain mengenai Islam.

Katanya, walaupun pakatan pembangkang berusaha mengukuhkan hubungan kerjasama mereka, namun perbincangan mengenainya dengan semua pihak termasuk UMNO selaku parti yang menerajui pemerintahan perlu terus dibuka.

Abdul Hadi diminta mengulas mengenai cabaran Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya PAS membuktikan kenyataan mereka yang mengatakan UMNO menolak syiar Islam.

Pada 7 Julai lalu, pada ketika Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa kerajaan perpaduan telah terkubur tetapi nada yang sedikit berbeza diungkapkan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi ketika ditemui pemberita selepas berceramah di Kampung Sok mengatakan parti itu sedia berbincang dengan UMNO untuk kebaikan rakyat di negeri ini.

Rabu lalu sewaktu berceramah di kubu kuat PAS itu, Muhyiddin menegaskan bahawa UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 terlebih dahulu memperjuangkan syiar Islam daripada PAS dengan memperjuangkan kemerdekaan negara yang juga tuntutan fardu kifayah.

Fasal 3 Perlembagaan UMNO menyebut mengenai asas dan tujuan penubuhan UMNO yang antara lain menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama.

Sikap Hadi berbeza dengan sikap Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz yang tidak berminat menjawab cabaran itu.

Hadi berkata, perbincangan mengenai Islam haruslah berlandaskan tuntutan sebenar ajaran al-Quran dan hadis.

''Kita adalah satu bangsa satu agama tapi mestilah kita melaksanakan Islam dan sebab itu kita membuka pintu untuk berbincang dengan UMNO mengenai Islam berdasarkan al-Quran dan hadis.

''Supaya mana yang diucapkan dalam pakatan untuk mengukuhkan pakatan, dalam masa yang sama dibenarkan kita berbincang dengan semua pihak termasuk dengan UMNO dan kita mahu ruang ini dibuka,'' katanya selepas memberikan ceramah di Kampung Chuchoh Puteri A di Kuala Krai.

Abdul Hadi berkata, PAS menyambut baik untuk berbincang dengan semua pihak walaupun pada masa yang sama terikat dengan kerjasama yang ada dalam pakatan pembangkang.

1 comment:

  1. Lebih baik Haji Hadi berbincang dan putuskan dalam PAS dulu. Tak guna kalau hanya Haji Hadi dan dua tiga orang saja dalam PAS yang setuju nak buat Kerajaan Perpaduan sedangkan yang lain menentang. PAS bukannya hak Haji Hadi seorang.

    Silap-silap gaya kalau masih juga mahu diteruskankan perbincangan dengan UMNO mengenai Kerajaan Perpaduan, Haji Hadi akan ditolak oleh majoriti kepimpinan PAS dan akhirnya terpaksa bawa bungkus, lari keluar. Tentulah tidak berguna kalau hanya Haji Hadi dan beberapa kerat ahli PAS yang keluar.

    Mungkin cerita Datuk Asri dulu akan berulang. PAS tetap PAS.

    ReplyDelete