Sunday, July 12, 2009

PPSMI BERKUBUR, UNTUNGKAH MELAYU?

(Sembang Ahad)

Bukan kira menang pembangkang atau kalah kerajaan. Bukan kira kemenangan kepada Najib atau kalahnya Dr Mahathir!

Yang penting, apabila lepas belajar, di mana lulusan SPM, STPM atau yang berijazah? Mudah dapat bekerja dan mampu bersaing?

Bangga dengan kelulusan tinggi tetapi tidak kemana-mana dengan subjek sains, matematik atau bahasa Inggeris?

Jangan sampai berlaku ‘antara dua darjat’. Bila mansuh sukar dibangunkan kembali dan akan mengambil masa yang lama.

Biarpun pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sudah ditarik balik dan Bahasa Malaysia akan kembali menjadi bahasa Matematik dan Sains di sekolah, pandangan tertentu wajar diberi perhatian.

Jangan pemansuhan ini memberikan kesan berbeza antara murid bandar dan luar bandar.

Kenapa mansuhkan PPSMI hanya kerana murid luar bandar lemah? Siapa murid luar bandar? Tidakkah ada mekanisme lengkap memulihkan keadaan di luar bandar?

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang menyifatkan keputusan Kabinet itu bukan penyelesaian mutlak kerana ia tidak bersifat serta-merta. Menurutnya, apa yang perlu ialah keputusan yang berani melalui pendekatan pendidikan baru dengan matlamat untuk meningkatkan pencapaian murid dalam Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
“Mungkin perlu ada cara yang berbeza kepada setiap aliran. Sebab murid SJKC mantap dalam Matematik dan Sains manakala untuk aliran kebangsaan lemah dalam ketiga-tiga subjek itu.

Jadi perlu keputusan berani dan fleksibel ikut keperluan aliran. Ada tinjauan pendapat kata majoriti ibu bapa Melayu di bandar mahu PPSMI diteruskan, mungkin kita perlu fleksibel. Patut beri ibu bapa hak memilih PPSMI atau sebaliknya. Tak boleh tangguh sampai tiga tahun,'' ujarnya.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, pemansuhan PPSMI akan menjejas masa depan anak-anak, sekaligus menjadikan mereka mangsa kepada keputusan kerajaan itu.

Bekas Perdana Menteri itu yang jelas tidak gembira dengan keputusan tersebut menyifatkannya sebagai tindakan yang akan menyukarkan anak-anak untuk mempelajari dan mengetahui perkembangan dunia sains pada masa depan.
“Saya sedih kerana masa depan anak-anak, anak-anak akan jadi mangsa dasar ini,” katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) pula mengalu-alukan tindakan pihak kerajaan memansuhkan dasar PPSMI yang telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelajaran sejak dari tahun 2003.
Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin Rabu lalu telah mengumumkan bahawa kerajaan bertindak memansuhkan dasar PPSMI sepenuhnya berkuatkuasa pada 2012.

Saya berharap sangat keputusan kerajaan itu bukan kerana motif politik.

Baca dan renungkan tiga pandangan berikut:

Pendapat 1:

Dong Zong terkejut kebodohan UMNO "Dong Zong yang mewakili kepentingan kaum Cina dalam bidang pendidikan menyatakan rasa terkejut mereka dengan kebodohan UMNO yang mengisytiharkan bahawa penggunaan bahasa inggeris dalam sains matematik merugikan bangsa tetapi bertegas hendak meneruskannya sehingga 2012.

Kalau kena tunggu sampai 2012, UMNO tak payah umumkan kerana Pakatan Rakyat dijangka sudahpun mengambil alih kerajaan persekutuan ketika itu. Artikel lengkap disediakan..


The Sun, 10 July 2009.

KUALA LUMPUR (July 9, 2009) :

Dong Zong (United Chinese School Committees Association) president Dr Yap Sin Tian hailed the government's decision to discontinue the use of English to teach science and mathematics (PPSMI) but is not happy that it will only be carried out in 2012.


"Why wait until 2012? It should take effect now," Yap told Sin Chew Daily when asked to comment on the government decision, which was announced by Deputy Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin yesterday.

He said as far as Chinese primary schools are concerned, the policy can be scrapped immediately as both Mandarin and English are used to teach the two subjects currently.


"What difference does it make to revert to the use of mother tongue to teach science and mathematics only in 2012 instead of now?"

Meanwhile, both Jiao Zong (United Chinese School Teachers Association) president Ong Kow Yee and Hua Zong (Federation of Chinese Associations in Malaysia) president Tan Sri Lim Gait Tong felt that PPSMI should be scrapped from next year.


----------------------------------

Kalau anda meneliti kenyataan Dong Zong, jelas bahawa anak Melayu yang paling rugi selama ini kerana Cina sebenarnya masih menggunakan bahasa Mandarin. Duit kita (rakyat) dah habis lebih RM4,000,000,000 / 4 BILLION kerana UMNO, MCA dan MIC sibuk nak mengampu Tun Mahathir. Sekarang cancel pulak. Anda halalkan duit cukai anda yang di ambil BN dibelanjakan sebegini?"


Pendapat 2:
Orang Melayu kembali ke takuk yang lama...

Oleh: padiyappa

"1. Akhirnya kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran terpaksa akur dengan memansuhkan PPSMI di semua sekolah di seluruh Malaysia. Walaupun langkah pemansuhan tersebut hanya akan berkuatkuasa bermula tahun 2012 namun bagi saya ia merupakan satu keputusan yang agak mengecewakan dan merupakan satu kegagalan kepada dasar baik yang cuba dibawa dan diperkenalkan oleh kerajaan.

2. Tidak dinafikan bahawa salah satu faktor kemerosotan sokongan terhadap kerajaan BN terutama ketika PRU yang lalu adalah disebabkan isu PPSMI ini. Pihak pembangkang atau lebih tepat Pakatan Rakyat bijak memanipulasikan isu ini hingga membawa imej negatif kerajaan di mata rakyat. Akibatnya, kerajaan terpaksa akur dan tunduk terhadap desakan pembangkang.

3. Kerajaan sebenarnya berniat baik dengan memperkenalkan PPSMI ini di semua sekolah di seluruh Malaysia. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan mutu pembelajaran dalam usaha melahirkan generasi pelajar yang lebih berkualiti yang mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain seluruh dunia.

4. Dalam pada masa yang sama, kerajaan tidak pernah meminggirkan dan mengenepikan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar utama dan bahasa rasmi negara. Bezanya, kerajaan cuba menumpukan Bahasa Inggeris dalam pembelajaran Matematik dan Sains.

5. Para pelajar terutamanya dari kalangan bumiputera mungkin menghadapi masalah pada peringkat awal. Namun dengan usaha yang betul dan berterusan, ia akan menjadi lebih mudah. Para pelajar akan menerima manfaatnya setelah mula melangkah ke universiti dan alam karier.

6. Mungkin wujud beberapa kelemahan dalam perlaksanaan PPSMI ini oleh kerajaan. Namun tidak sewajarnya untuk kerajaan memansuhkan terus dasar yang baik ini. Mungkin beberapa penambah baikkan perlu disuntik dalam perlaksanaannya seperti meningkatkan kualiti tenaga pengajar, memperbanyakkan lagi bahan bantu mengajar dan beberapa lagi penambahbaikkan yang dapat membantu.

7. Perlu diingat, bangsa yang banyak menghadapi masalah dengan kaedah PPSMI ini adalah dari bumiputera. Dan bumiputera jugalah yang menentang PPSMI ini dengan bersungguh-sungguh. Bagaimana keadaannya dengan bukan bumiputera seperti Cina dan India? Hakikatnya, bumiputera terutamanya bangsa Melayu akan terus kekal dalam kepompong lama selagi orang Melayu takut untuk melakukan perubahan.

8. Walau apa pun, kerajaan sudah pun mengumumkan keputusan pemansuhan PPSMI ini. Tidak semua pihak akan berpuas hati dengan pemansuhan ini, sama seperti sewaktu perlaksanaannya dahulu. Dengan kegagalan PPSMI ini, diharap agar kerajaan dapat mencari jalan supaya mutu dan kualiti pelajar terutama bumiputera tidak terjejas malah akan terus meningkat pada masa hadapan.

Pendapat 3:
Pendirian Dr Mahathir isu PPSMI

Oleh Dr. Mahathir Mohamad (http://chedet.co.cc/chedetblog)

SAYA berasa amat sedih apabila membaca laporan berkenaan demonstrasi yang dipimpin oleh tokoh sastera Melayu menentang pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Kononnya ini akan menidakkan kebolehan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam ilmu ini. Konon ia akan mengurangkan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kita harus ingat bahawa pelajaran bukan semata-mata untuk memaju atau mengembangkan bahasa. Pelajaran adalah untuk penguasaan ilmu, pelbagai jenis ilmu.

Yang boleh meningkatkan taraf dan kemajuan bahasa ialah matapelajaran bahasa itu sendiri dan diperingkat yang lebih tinggi mata pelajaran sastera.

Sains dan matematik tidak mungkin menolong kemajuan bahasa, khususnya bahasa Melayu.
Ini disebabkan bahasa sains dan matematik bukan daripada bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada perkataan-perkataan dalam mata pelajaran ini adalah dalam bahasa Latin yang di-Inggeriskan.

Memang benar kita boleh Melayu-kan perkataan-perkataan ini, seperti juga kita Melayu-kan perkataan daripada lain-lain bahasa.

Memang boleh tetapi perkataan-perkataan sains bukan satu dua tapi beratus-ratus. Dan perkataan ini menjadi asas kepada perkataan yang mempunyai makna yang amat berlainan.

Umpamanya perkataan Oxygen (Oksigen) – satu jenis gas. Derivative (cabang) daripada perkataan ini adalah seperti berikut;

• Oxygenation

• Oxidation

• Oxide

• Oxidants

• Deoxydation

• Oxidise

• Oxidification

• Dioxide

• Monoxide

• Peroxide

Ini hanya bagi satu elemen daripada sebanyak 120 (118) elemen.

Tiap satu mempunyai banyak derivative. Tetapi ada perkataan-perkataan lain yang hanya untuk ilmu sains. Jika semuanya nak di-Melayukan, bahasa Melayu akan bertukar menjadi bahasa Inggeris, ejaan lain bunyi semacam. Sebenarnya ia bukan bahasa Melayu lagi.

Ilmu sains dan matematik bukan ilmu yang statik. Ilmu-ilmu ini berkembang sepanjang masa. Tiap hari ada hasil kaji selidik, penerokaan, ciptaan dan perluasan yang diperkenal melalui ratusan kertas-kertas yang ditulis.

Hampir semua ditulis dalam bahasa Inggeris. Untuk menterjemah tulisan ini kita perlu orang yang fasih dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan faham ilmu yang hendak diterjemah.

Kita ada beberapa kerat sahaja orang yang berkebolehan seperti ini. Itupun dalam dua tiga bidang sahaja. Orang yang layak seperti ini tidak berminat menjadi penterjemah seumur hidup.

Apabila sains dan matematik diajar dalam bahasa Melayu, orang seperti ini tidak akan ada lagi. Bagaimanakah kita hendak ikuti perkembangan ilmu sains?

Sebaliknya kertas ilmiah akan terus dikeluarkan beratus-ratus lagi, semuanya dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain. Maka tanpa kebolehan menterjemah semua ilmu baru ini akan tertinggallah orang Melayu dalam bidang ilmu yang amat penting di zaman ini.

Kalau kita masih tidak dapat menerima kenyataan di atas, kaji sahaja jumlah Phd dalam bidang sains yang hanya belajar sains dalam bahasa Melayu dan tidak faham bahasa Inggeris. Berapa ramaikah daripada pakar dalam bidang perubatan yang hanya belajar dalam bahasa Melayu, tanpa buku dalam bahasa Inggeris sebagai buku teks.

Apakah penuntut luar bandar tidak dapat menguasai bahasa Inggeris?

Sekali lagi perhitungan perlu dibuat berkenaan jumlah mereka yang dari kampung yang memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan dan swasta kerana lulus dalam bahasa Inggeris dan mampu berhujah dalam bahasa berkenaan.

Yang menentang PPSMI pun dari kampung juga tetapi dapat kelulusan bahasa Inggeris. Bahkan mereka sering berbahasa Inggeris.

Duta dan diplomat kita, berapa ramaikah yang hanya boleh bertutur kata dalam bahasa Melayu yang memegang jawatan penting dalam Kementerian Luar?

Pakar sains dan perubatan dan juga pegawai tinggi Kerajaan sering dikehendaki mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa. Apakah mereka dapat berhujah dan mengambil bahagian secara berkesan dengan mengguna hanya bahasa Melayu?

Saya bukan hendak memandang rendah bahasa bangsa saya sendiri. Tetapi saya perlu terima hakikat yang sebenar.

Bahasa sesuatu bangsa akan dipelajari oleh orang asing jika bangsa itu amat maju dan terkenal dengan ilmu yang dimiliki dan diterokai olehnya. Demikian sebelum abad ke-15 Masihi orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab kerana tamadun Islam pada masa itu gah dan amat dihormati.

Tetapi selepas orang Islam ketepikan sains, ilmu perubatan dan hisab, orang Eropah tidak lagi mempelajari bahasa Arab. Sebaliknya orang Arab dan Islam terpaksa belajar bahasa Eropah.

Jika kita ingin bahasa Melayu digunakan dengan meluas kita perlu majukan diri kita dalam semua bidang terutama bidang ilmu dahulu. Sebelum daripada itu minat untuk belajar bahasa Melayu akan terhad kepada sekumpulan kecil sahaja.

Kita belajar sains dan matematik untuk memajukan bangsa kita supaya satu hari mungkin kita akan terkenal berkenaan dengan penerokaan dan kajiselidik oleh kita dan orang lain akan belajar bahasa kita untuk mendapat ilmu yang diteroka oleh kita.

Penguasaan ilmu amat penting bagi masa depan seseorang. Janganlah kita perjudikan masa depan anak orang kerana kononnya kita seorang nasionalis yang begitu sayang kepada bahasa kita. Sayang bahasa tidak boleh melebihi sayang bangsa.

Mereka yang sayang bangsa mereka ingin lihat bangsa mereka maju, berilmu dan dihormati dunia. Hanya kerana boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak akan menjadikan bangsa kita dihormati dan disegani orang.

Akan rosaklah bangsa dan negara jika dasar negara ditentukan oleh orang yang berdemonstrasi. Lebih rosak lagi jika yang berdemonstrasi didalangi oleh politik pembangkang.

1 comment:

  1. dulu rasanya ramai sangat yang tentang akan dasar ini..sehinggakan kerajaan BN hampir ditumbangkan oleh pembangkang kerana isu ini..tetapi menjadi terbalik pula sekarang.

    sejak zaman TUN lagi isu ini dimainkan dalam setiap pilihanraya.

    buat pun salah..tak buat pun salah..

    siapa yang salah..tiada siapa yang tahu.

    ReplyDelete