Sunday, June 7, 2009

TUANKU MIZAN DUKACITA BUMBUNG STADIUM RUNTUH

Apakah akan ada yang akan mempertikaikan kenyataan Datuk Ahmad Said bahawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin sedih dan dukacita dengan insiden runtuhan sebahagian bumbung stadium yang dinamakan sempena nama Baginda di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak?

Selalunya beberapa blog yang ‘kurang senang’ dan sering mengambil bahagian dengan pihak-pihak tertentu meminta Menteri Besar itu meletakkan jawatan akan mempertikaikan apa sahaja yang beliau katakan.

Ahmad berkata beliau sedia mendedahkan kepada umum segala kepincangan yang berlaku termasuk berhubung insiden runtuhan bumbung stadium berkenaan, sebagai ingatan kepada pihak-pihak berkaitan supaya tragedi itu tidak berulang.

Beliau turut mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya melakukan pemeriksaan keselamatan termasuk daripada aspek pendawaian terhadap semua bangunan yang menjadi tumpuan ramai bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Ahmad Said juga memaklumkan bahawa beliau akan melawat bangunan-bangunan tersebut supaya arahan yang diberikannya dipatuhi oleh setiap PBT di negeri ini.

Mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tragedi runtuhan bumbung stadium berkenaan, setakat ini Ahmad Said belum dihubungi oleh suruhanjaya berkenaan untuk mendapatkan keterangan daripadanya.

"Saya bersikap terbuka dalam perkara ini dan bersedia memberi kerjasama kepada semua pihak untuk mengenalpasti punca tragedi runtuhan bumbung stadium berkenaan," katanya.

Kita tunggu apa bentuk dan isi ulasan dua tiga blok di Terengganu yang sering mengkritik Ahmad Said sebelum ini apabila beliau mengatakan bahawa Yang Di-Pertuan Agong sedih dan dukacita dengan kejadian itu.

Apakah akan ada pihak yang mengkritik Ahmad Said kerana ‘menggunakan nama Yang Di-Pertuan Agong’ dan mengaitkannya dengan keruntuhan bumbung stadium berkenaan?

Persoalannya, apakah Ahmad Said sengaja mendedahkan perasaan kecewa Tuanku Mizan untuk tujuan publisiti atau kerana mahu menghentam pihak tertentu?

Saya yakin ia tidak sama sekali tetapi beliau mendedahkan perasaan Tuanku Mizan ketika melahirkan perasaan itu apabila beliau menyampaikan sembah maklum berhubung tragedi tersebut kepada Baginda pada hari kejadian.

"Pada hari ini (semalam), saya sekali lagi menghadap Seri Paduka Baginda untuk mempersembahkan maklumat serta gambar-gambar runtuhan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Sudah tentu Baginda sedih dan dukacita terhadap apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai polis Terengganu dalam operasi bersepadu cegah jenayah dan samseng jalanan di Kuala Terengganu, tengah malam semalam.

Dalam kejadian pukul 9.30 pagi Selasa lepas, sebahagian struktur bumbung di tempat duduk utama, termasuk pentas diraja Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang keseluruhan pembinaannya bernilai RM292 juta, ranap.

Stadium yang boleh memuatkan 50,000 orang itu dirasmikan Tuanku Mizan pada 10 Mei tahun lepas dan yang pertama di Asia dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang.

Sementara itu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim berkata, semua agensi yang terlibat dalam pembinaan Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu tidak harus menuding jari antara satu sama lain apabila bumbung stadium yang baru siap itu runtuh tiga hari lepas.

Beliau menegaskan sebaliknya mereka harus bertanggungjawab di atas kejadian tersebut dan bukan menyalahkan orang lain.

"Kejadian bumbung stadium runtuh lebih-lebih lagi baru sahaja siap dibina adalah sesuatu yang serius. Seseorang harus dipertanggungjawabkan di atas kejadian ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek menaik taraf Stadium Sultan Ibrahim, di Muar semalam.

Razali yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno berkata walaupun kejadian runtuhan itu tidak melibatkan kematian tetapi ia tetap satu insiden yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.

1 comment:

  1. DENGAN IZIN SAYA NAK MINTAK SEMUA PEMBACA BUDIMAN SUPAYA MEMBACA ARTIKEL INI DAN EDARKAN PADA SEMUA! SEJARAH TIDAK BOLEH DI PADAM!

    http://parpukari.blogspot.com/2009/06/reid-commission-original-document.html

    ReplyDelete