Sunday, June 7, 2009

APO NAK DIKATO…JANGGUT HUSAM TIDAK PANJANG

Kesian Husam.

Marah dan kebenciannya yang membara kepada UMNO, menjadikan dia hilang arah.
Kemarahan dan kebencian yang cuba ditonjolkan semaksimum mungkin ketika berlangsungnya Muktamar PAS ke 55 kali ini tidak menjadi.

Datuk Husam Musa tersungkur.
Bagaimanapun, Husam tetap Husam. Dia tetap bermain politik dengan kata-katanya.
Beliau bukan sahaja dilihat mempertahankan dirinya tetapi cuba membela mentornya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Husam menafikan kekalahannya untuk merebut jawatan timbalan presiden PAS, sebagai tanda penolakan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat di negeri itu.

Husam yang dilihat sebagai ‘anak emas’ Nik Aziz berkata: "PAS tidak bergantung kepada tokoh."

Walaupun ramai hanya beranggap bahawa kekalahan Husam juga mencerminkan penolakan terhadap kepimpinan Nik Aziz.

Ekoran kekalahan beliau, Husam dan Mohamad Sabu yang sebelum ini merupakan naib-naib presiden PAS, tidak lagi memegang sebarang jawatan tinggi parti di peringkat pusat.
Dalam pemilihan kali ini, Husam yang dilihat mendahului akhirnya terpinggir apabila Nasharuddin Mat Isa berjaya mengekalkan jawatan timbalan presiden PAS dengan memperolehi 480 undi dengan Husam mendapat 281.

Seorang lagi calon Mohamad Sabu mendapat 261 undi.
Husam dikatakan boleh menang jawatan timbalan presiden seandainya jika membabit satu lawan satu dengan penyandangnya Nasharuddin.

Keputusan itu menunjukkan undi yang diperolehi Husam dan Mohamad Sabu - bila digabungkan - berjumlah 452 - iaitu 62 undi lebih tinggi daripada undi yang diperolehi Nasharuddin (46.8%).

Walaupun Husam dan Mohamad Sabu berkongsi pendirian menolak sebarang kerjasama dengan Umno tetapi Mohamad Sabu tidak mahu menarik diri.

Ada terdengar desas-desus mengenai usaha-usaha untuk memujuk Mohamad Sabu menarik daripada bertanding jawatan tersebut, untuk mencerah lagi peluang Husam.

Namun, orang yang rapat dengan Mohamad Sabu terus menerus memujuk beliau jangan menarik diri, walaupun cuba dipujuk oleh penyokong Husam.

Jika tidak percaya, cubalah tanya Mohd Sayuti Omar yang dilihat antara yang rapat dengan Mohamad Sabu.

Usaha itu ternyata sia-sia apalagi Mohamad Sabu sendiri pernah menafikan ada usaha-usaha ke arah itu.

Dan dengan kedudukan di mana masing-masing calon berusaha menonjolkan kelebihan mereka, ternyata bukan semua perwakilan minat dengan ‘tembakan melampau’ Husam kepada UMNO iaitu parti orang Melayu sesama Islam.

Ketegasannya menolak gagasan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, walaupun mendapat sokongan Musyridul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak mendatangkan keuntungan kepadanya dari segi pemilihan kali ini ini.

Husam berikrar akan terus memantau perkara itu yang telah ditolak dalam muktamar tahunan mereka sebelum ini, walaupun tanpa jawatan.

"Saya mungkin janggut tak cukup panjang. Mungkin perwakilan tidak suka saya. Ia lebih kepada (faktor) saya," katanya berseloroh.

Menurut Berita Harian Online, beliau menyalahkan kekalahannya dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Pas berpunca daripada kepemimpinan dalaman parti itu yang tidak memahami tentangannya terhadap pembentukan kerajaan perpaduan.

Apakah kempen besar-besaran Husam sehingga ada yang menganggap publisiti untuknya melebihi publisiti terhadap Presidennya, tidak cukup untuk menjelaskan kepada perwakilan mengenai penentangannya terhadap pembentukan kerajaan perpaduan itu?

Apakah dengan sebab-sebab yang diberikan umpamanya PAS tidak menjadi parti terbesar jika bekerjasama dengan UMNO, tidak aka nada Perdana Menteri dari Pas serta PAS tidak boleh menentukan calon pilihan raya untuk kerusi yang dilihat berpotensi untuknya menang tidak jelas kepada perwakilan?

Apakah Husam cuba melindungan kemarahan dan kesedihannya kerana kalah sedangkan beliau digambarkan sebagai calon paling terkedepan?

Biarpun ada amaran bahawa calon paling banyak atau kuat berkempen tidak akan menang, Husam menggunakan segala saluran, termasuk akhbar arus perdana untuk menonjolkan imejnya.

Ada sebuah akhbar perdana bagaikan ‘dibeli’ oleh Husam apabila cerita mengenainya positif sahaja. Seolah-olah Husam itu PAS dan PAS itu Husam.

Akhirnya Husam mengalah apabila mengatakan bahawa keputusan pemilihan saf kepimpinan PAS yang baru diumumkan membuktikan keterbukaan dalam parti itu.

"Saya menganggap kekalahan ini sebagai suatu bukti keterbukaan dalam PAS," katanya pada satu sidang media Muktamar Tahunan PAS kali ke-55 di Stadium Melawati Shah Alam hari ini.
Tiada apa lebih sedap daripada skrip yang berbunyi “beliau melahirkan rasa gembira dengan keputusan tersebut dengan menyatakan keyakinan terhadap kemampuan para pemimpin yang dipilih oleh perwakilan menerusi pemilihan pada kali ini.

"Saya yakin dan percaya bahawa saf kepimpinan yang dipilih mampu untuk meneruskan perjuangan sesuai dengan misi parti pada masa akan datang terutamanya dalam menempuh pelbagai cabaran," ujarnya.

Ternyata dia merasakan hanya melalui pertandingan untuknya merubah PAS. Katanya: “Saya bertanding pada kali ini adalah kerana tiada jalan pintas untuk melaksanakan sebarang perubahan.”

Bekas Naib Presiden dan Exco kanan Kerajaan Negeri Kelantan itu menegaskan bahawa beliau akan tetap meneruskan perjuangan walaupun tanpa sebarang jawatan.
Beliau juga menganggap kesediaan beliau untuk kalah adalah suatu pengorbanan kepada parti itu.

Lebih jauh, Husam bagaikan mahu menunjukkan pengaruhnya masih kuat dengan nada angkuh mengatakan walaupun gagal merebut kerusi timbalan presiden PAS, Datuk Husam Musa yakin, ketiga-tiga naib presiden yang baru terpilih, akan terus menolak sebarang kerjasama dengan Umno.

Menurutnya, Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar serta separuh daripada ahli jawatankuasa yang baru itu, berkongsi pandangan politik yang sama dengan beliau.

Tuan Ibrahim dan Salahuddin dilihat lebih rapat dengan kumpulan profesional manakala Mahfuz pula - walaupundilihat bersikap berkecuali - tetapi dikatakan lebih rapat dengan kumpulan berkenaan.

Dalam pemilihan tersebut, Tuan Ibrahim yang Pesuruhjaya PAS Pahang, mendapat 871 undi; diikuti oleh Salahuddin yang juga bekas ketua Dewan Pemuda PAS (824) dan Mahfuz yang juga ketua Penerangan PAS memperolehi 636 undi.

Dua lagi calon - Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mujahid Yusof Rawa mendapat 277 undi manakala Exco Kerajaan Kelantan, Nik Amar Nik Abdullah memperolehi 333 undi

Mengenai masa depan karier politiknya, Husam hanya mengatakan perkara itu tidak penting kerana beliau "dari mula menggangotai PAS sebagai aktivis".

"Mana boleh terpinggir, melukut pun ada peranannya," katanya di hadapan kira-kira 50 wartawan yang mengerumuni beliau bagi mendapat reaksinya.

Tambahnya, pelbagai pihak mempunyai peranan dalam parti itu mengikut kedudukan masing-masing.

Sementara itu, ketika diminta mengulas isu kerajaan perpaduan yang dicadangnya presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Husam berkata:

"Sampai hari ini saya tak faham macam mana ia boleh berjaya. Saya tak faham, kalau kita katakan Afrika Selatan atau England, itu berlaku apabila tidak ada satu parti yang ada majoriti dalam parlimen.

"Dalam keadaan itu, semua parti bersedia bekerjasama. Tetapi dalam kes di Malaysia, Umno dan BN telah ada majoriti. Dan Umno tidak tawarkan pembangkang menyertai kerajaan," katanya.

No comments:

Post a Comment