Tuesday, March 17, 2009

MOHD ALI JADI KORBAN?

Tan Sri Isa Samad, bekas Naib Presiden Umno yang pernah digantung kerana kesalahan politik wang, mengulas hukuman yang dikenakan terhadap Mohd Ali berkata : "Pengalaman digantung daripada Umno tak dapat nak digambarkan dalam bentuk perkataan mahupun lukisan".

Mungkin mudah bagi pemimpin UMNO lain meminta mereka yang dikenakan tindakan bersabar tetapi tanyalah mereka yang pernah dikenakan tindakan umpamanya Isa atau Datuk Tajuddin Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak.

Selain itu, Datuk A Kadir Jasin pula bertanya apakah hanya dua ekor tupai sahaja yang gedebuk ke bumi?

Bagaimana dengan tupai-tupai lain yang juga menebuk buah (UMNO) dan merosakkannya?
Apakah akan ada lagi tupai-tupai yang akan ditembak di ranting UMNO yang semakin kering kini sebelum pemilihan UMNO minggu depan.

Jika tiada bermakna, Mohd Ali benar-benar dijadikan korban.

Persoalannya, apakah benar imej UMNO akan bersih dengan dua calon utama pertandingan Majlis Tertinggi Umno hujung bulan ini didapati bersalah mengamalkan politik wang (rasuah) dan melanggar disiplin parti oleh Lembaga Disiplin Umno?

Mana lagi tupai-tupai yang jelas menabur duit di atas dahan dan dapat dilihat dengan jelas, biarpun dari bawah?

Juga apa agaknya kesan keputusan lembaga berkenaan terhadap pilihan raya kecil Parlimen dan Dun yang akan diadakan tidak lama lagi.

Kini sudah ada suara supaya mereka ini meletakkan jawatan. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendesak agar Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat serta semua jawatan mereka dalam kerajaan.

Apakah Ketua Menteri Melaka yang dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden yang diharamkan bertanding jawatan berkenaan menjadi ‘kambing hitam’?

Beliau dikatakan tidak melakukan kesalahan itu secara terus tetapi melalui kerana tindak tanduk pegawai-pegawai yang berkempen bagi pihaknya.

Akibat daripada itu Setiausaha Politiknya, Saadun Basirun dan dua pemimpin UMNO Bahagian Bukit Katil digantung keahlian UMNO selama tiga tahun kerana didapati bersalah melanggar Tataetika Ahli UMNO.

Saadun yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil serta dua lagi pemimpin UMNO bahagian tersebut didapati bersalah di bawah Perkara 5.1.2, 5.5.1, 5.5.2 dan 5.6.1 Tataetika Ahli UMNO yang berkait dengan rasuah atau sogokan politik.

Dua lagi pemimpin terlibat ialah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil, Rosli Hassan dan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Katil, Zalina Ismail.

Lembaga Disiplin UMNO mendapati ketiga-tiga mereka telah melanggar Tataetika Ahli UMNO ketika berkempen untuk Mohd Ali yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden parti.
Ekoran itu Mohd. Ali juga bersalah di bawah Tataetika Ahli UMNO mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO dan dilarang daripada bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti hujung bulan ini.- Utusan.

Lagi satu yang pelik ialah kesalahan sama turut dilakukan Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, calon Ketua Pemuda namun dia hanya diberikan amaran tetapi tidak diharamkan daripada bertanding.

Bagus juga Mohd Ali tidak membuat reaksi spontan. Beliau akan membuat kenyataan penuh di Melaka esok berhubung keputusan Lembaga Disiplin UMNO melarangnya bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Beliau enggan mengulas lanjut kerana perlu meneliti dan mengesahkan keputusan berkenaan terlebih dahulu.

Calon Ketua Pemuda Umno, Dr Mohamad Khir Toyo, berharap Mohd Ali akan segera mengemukakan rayuannya terhadap keputusan itu dan terpulang kepada jawatankuasa rayuan untuk menimbangnya.

"Badan disiplin ada tiga peringkat...pertamanya yang menyiasat, yang kedua yang mengadili, dan yang ketiga yang merayu. Jadi kita harap Datuk Seri Ali akan merayu dan harap rayuannya akan diterima," katanya.

Seorang lagi calon Timbalan Presiden, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, juga berharap Mohd Ali akan mengemukakan rayuannya.

"Kita akur dan hormat kepada keputusan Lembaga Disiplin," katanya.

Reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai keputusan lembaga berkata, beliau percaya Mohd Ali, sebagai seorang anggota parti yang setia, akan menerima keputusan Lembaga Displin dengan hati terbuka dan akan terus memberi sumbangan pada perjuangan parti.

"Ini keputusan Lembaga Displin. Kita hormati apa-apa keputusan mereka. Saya percaya (Mohd) Ali Rustam sebagai seorang ahli parti yang setia pada Umno akan juga menerima dengan hati terbuka (keputusan) dan akan terus memberi sumbangan pada pentadbiran dan perjuangan parti," katanya di Kuala Lumpur.

Mudah untuk meminta mereka yang dikenakan hukuman bersabar atau redha dengan keputusan, namun hakikat sebenar ialah ia memang menyakitkan dan sayu.

Dengan penyingkiran Mohd Ali, pertandingan jawatan Timbalan Presiden adalah antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Muhammad Muhd Taib.

Keputusan terhadap Mohd Ali sudah pasti tidak memuaskan hati penyokong-penyokongnya dan di Melaka esok dijangka aka nada perhimpunan besar.

Pengerusi lembaga, Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, memberitahu sidang akhbar di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur yang bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, bebas daripada segala tuduhan.

Dalam sidang akhbar itu, Tengku Ahmad Rithauddeen mengumumkan hasil penyiasatan membabitkan 29 orang ahli parti.

Sepuluh digantung keahlian selama tiga tahun bermula 12 Mac dan diberikan surat amaran.

Berikut adalah senarai 15 ahli Umno yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno yang diumumkan hari ini:

* Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (dilarang bertanding atau dipilih ke jawatan timbalan presiden)

* Ketua Pemuda Umno Sabah, Datuk Japlin Akim (digantung 3 tahun)

* Ketua Wanita Bandar Tun Razak, Salmah Pin (digantung 3 tahun)

* Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bukit Katil, Saadun Basiron (digantung 3 tahun)
* AJK Umno Bukit Katil, Rosli Hasan (digantung 3 tahun)

* Naib Ketua Puteri Umno Bukit Katil, Zalina Ismail (digantung 3 tahun)

* Ketua Pemuda Umno Maran, Mohamad Najuib Mohd Shahaimi (digantung 3 tahun)

* Ketua Bahagian Umno Bandar Tun Razak, Datuk Mokhtar Samad,
(digantung setahun)

* Ahli Umno Paya Besar, Datuk Abd Manan Ismail (digantung setahun)

* Timbalan Ketua Bahagian Kuala Krai, Amran Mat (digantung setahun)

* Ahli Umno Gua Musang, Mohd Zuki Mohd Zin (digantung setahun)

* Timbalan Ketua Bahagian Paya Besar, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (amaran)

* AJK Umno Bahagian Paya Besar, Mohd Zaili Besar (amaran)

* Naib Ketua Bahagian Paya Besar, Mohd Sohaimi Jusof (amaran)

* Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (amaran)

5 comments:

  1. UMNO perlu merobah persepsi rakyat terhadap parti ini supaya kebangkitan perjuangan membela agama, bangsa, dan negara bergema semula..

    Korupsi yang melata kini harus dikawal dan dikurang...

    Kepimpinan perlu tegas dalam membawa kembali wadah sebenar UMNO itu sendiri!!!

    ReplyDelete
  2. Bertuahnya pemimpin2 UMNO ni ye, tidak terikat dengan akta pencegahan rasuah. Rupa2nya undang2 ini hanya untuk rakyat malaysia je. Kalau rakyat marhaen tentu dah meringkuk dalam penjara untuk beberapa tahun.

    ReplyDelete
  3. Ada sekor anok tupa atah jula mok te,kudung ekor perut lapa jale cari make....(petikan anok tupa nyayian Halim Yazid)

    Lagu anok tupa menjelang PAU...
    Ada rama bapok tupa tengoh bagi pitih,
    blanjo make ko perwakilan tiap-tiap male,
    Minggu depe perwakilan mari kuala lumpor,
    Mari kosong balik penuh pitih,
    SPRM jange tido igat bapok tupa,
    Kalu tidok gak UMNO dale kubur,,,, (nyanyi cara lagu anok tupa)

    ReplyDelete
  4. Kalau dah bersalah terima sajalah hukumannya. Cuma tak boleh bertanding sahaja, bukannya kena gantung keahlian dua tiga tahun dan dilucutkan jawatan-jawatan lain.

    Ianya lebih kurang langgar lampu isyarat merah. kadang-kadang kita terlepas kadang-kadang kita tertangkap. Tak semestinya bila tak tertangkap dulu kita tak langgar undang-undang, cuma tak tertangkap.

    Driver yang bawa kereta langgar lampu merah, kita di dalam kenapa tak tegur. Betullah yang kena saman driver,tapi yang kena malu kita. Dah tahu salah kenapa tak tegah. Takkan tak tahu undang-undang ada. Kalau tak tahu tak patut sangat.

    Dulu pun ada yang kena tangkap dan dijatuhi hukuman. Itupun pasal dok bermegah bercerita sendiri dia langgar lampu merah. Tak payah ceritapun semua orang tahu dia memang langgar lampu merah. Yang lain pun ada langgar juga tapi taklah dok bermegah.

    Bab sama kesalahan berlainan hukuman ni lebih kurang macam kesalahan memandu laju di jalanraya, awak pandu laju dan kena speed trap, anda didapati bersalah dan kena saman dek polis, kadang-kadang anda terlepas juga kerana polis tu kata anda pandu lebih sikit sahaja dari hadlaju, dia lepaskan anda dengan amaran.

    tetapi jika anda tidak tertangkap adakah anda tidak bersalah?

    ReplyDelete
  5. Hasil mahsul keputusan Lembaga UMNO telah dengan sendirinya mengamit beberapa persoalan;
    1.Dah selesai kah semua 900 aduan?

    2.Apa dah jadi dengan lebih kurang 870 aduan lagi?(NFA ke?)

    3.Hukuman dan mangsa-mangsa LDP semacam selektif sahaja?
    Sebab;kesalahan sama,satu dilarang bertanding,yang satu lagi amaran.

    4.tidak kah itu 'double standard' namanya?
    Menampakkan UMNO mengamal budaya ANTARA DUA DARJAT.

    5.Apabila LDP mendapati ada elemen politik wang dan memperakuinya melalui hukuman(verdict)tak kira samada kena gantung atau amaran tak boleh bertanding dan amaran boleh bertanding(kelamkabut bentuk keputusannya)bermakna elemen rasuah sudah wujud.Sepatutnya LDP kena serahkan atau membuat lapuran kepada SPRM untuk diambil tindakan selanjutnya.

    Adalah satu kesalahan apabila ada elemen rasuah berlaku, orang yang mengetahuinya tidak melaporkan kepada SPRM. Melindungi Rasuah namanya tu.

    6.Sedih melihat Ku Din nampak macam stress ‘gila’. Nampak macam ada sesuatu tekanan. Dari segi saikologi, itu lah potret seorang professional yang tertekan.Berada dipersimpangan samada melaksanakan keadilan atau membaca keputusan yang telah dirancang. YM Ku Din bukan seorang pelakun handalan macam penasihat undang-undang yang disebelahnya tu

    ReplyDelete