Saturday, December 13, 2008

TARIF AIR DI SELANGOR, KL NAIK?

Sebagai pengguna, saya bimbang jika tariff air naik terlalu banyak sehingga 37 peratus tahun depan.

Air adalah antara keperluan harian sama seperti elektrik, makanan, perlindungan dan kesihatan yang menjadi keperluan asas kehidupan seharian.

Persoalannya bagaimana jika Kerajaan Selangor tidak bertegas tidak mahu menyerahkan aset perkhidmatan airnya kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Mac tahun depan?

Penyerahan aset perkhidmatan air Selangor kepada PAAB, di bawah Kementerian Kewangan, bertujuan meringankan beban kewangan pengurusan air di Selangor yang turut membekalkan airnya kepada Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Masalah beban kewangan itu dapat dikurangkan kerana PAAB akan mengambil alih pengurusan aset termasuk bebanan hutang mereka melalui perpindahan aset itu dan kemudian menyewakannya semula kepada Kerajaan Selangor dan pemegang konsesinya pada kadar yang rendah.

PAAB boleh mengambil risiko tersebut kerana kadar faedah pinjaman Kerajaan Persekutuan yang rendah dan tempoh bayar balik pinjaman yang fleksibel berbanding dengan kerajaan negeri yang terpaksa membuat pinjaman bank bagi menguruskan aset perkhidmatan air mereka.

Mengikut perjanjian konsesi itu, tarif air di ketiga-tiga kawasan itu sepatutnya dinaikkan sebanyak 37 peratus pada 1 Januari 2009.

Bagaimanapun, Kerajaan Pusat bersetuju untuk memberi kelonggaran sehingga 31 Mac tahun depan untuk membolehkan kerajaan Selangor menyerahkan aset tersebut kepada PAAB.

Bukan saya sahaja malah seramai seramai 1.5 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mungkin terpaksa membayar kenaikan tarif air sebanyak 37 peratus jika Kerajaan Selangor tetap dengan keputusannya.

Kerajaan Persekutuan memberi jaminan tiada langsung kenaikan tarif air di kawasan-kawasan tersebut pada tahun depan sekiranya aset itu diserahkan.

Ini kerana perjanjian konsesi antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Selangor dan Syabas selama 30 tahun antara 1 Januari 2005 hingga 31 Disember 2034 boleh dibatalkan dan tarif air boleh distrukturkan semula setelah penyerahan aset itu, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor semalam.

Aset perkhidmatan air Selangor bernilai RM5.5 bilion termasuk paip utama, loji rawatan serta kawasan tadahan air dan aset itu adalah milik kerajaan Selangor dan empat pemegang konsesi air di negeri itu iaitu Syabas, Puncak Niaga, Splash dan Abas.

Jika tidak, Kerajaan Persekutuan tiada pilihan dan terpaksa memenuhi hak Syabas untuk mendapatkan kenaikan tarif itu seperti termaktub dalam perjanjian konsesi.



No comments:

Post a Comment