Tuesday, December 2, 2008

KUALA TERENGGANU – PAS, PKR BEREBUT

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu akan menjadi ujian kepada banyak pihak dalam Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat seperti PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu dimenangi Allahyarham Razali pada pilihan raya umum 2004 menewaskan calon Pas, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dengan majoriti 1,933 undi. Pada 1999, Syed Azman memenangi kerusi berkenaan.

Pada pilihan raya umum Mac lalu, Razali mengekalkan kerusi tersebut setelah menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dengan majoriti 628 undi.

Pas dan PKR terserlah mula berebut kerusi berkenaan kerana pada pilihan raya umum lalu PAS bertanding dengan meletakkan calon luar dan kini PKR mahukan kerusi itu untuk meletakkan calon tempatan.

Bagi Menteri Besar dan Pengerusi BN Negeri Terengganu, Datuk Ahmad Said, ia adalah ujian pertama baginya menghadapi pilihan raya kecil sebagai Menteri Besar.

Ujian kepada Perhubungan UMNO Terengganu ialah sejauh mana perpaduan akan ditunjukkan selepas agak berpecah seketika ketika krisis perlantikan Menteri Besar selepas pilihan raya umum lalu.

Sejauh mana krisis itu terserlah akan dapat dilihat tetapi dijangkakan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh akan sekali lagi menjamin kerusi Kuala Terengganu itu milik BN.

Ia juga akan menjadi ujian kedua kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak selepas pilihan raya kecil pertama di Permatang Pauh terkandas.

Belum dapat dipastikan sejauh mana pilihan raya kecil ini akan mengaitkan isu-isu nasional dengan isu kepemimpinan dan kepentingan rakyat Terengganu.

Apapun, PKR dan PAS dijangka akan terus ‘menyanyikan’ lagu lama yang dicampur sedikit dengan lagu baru – mengkritik peribadi pemimpin BN, isu kenaikan harga barang dan hala tuju baru PKR.

Perwakilan PKR Terengganu pada Kongres Nasional Tahunan Kelima PKR 2008, Razali Alias berkata kelmarin, PKR mahu kerusi itu ditandingi wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bukannya Pas.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Terengganu, kemudian mencadangkan pucuk pimpinan tertinggi PKR memilih calon dari negeri itu bertanding kerusi berkenaan.

Pas semalam tetap dengan pendiriannya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu meskipun kekosongan kerusi itu menarik minat PKR untuk turut berbuat demikian.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustaffa Ali semalam berkata, pihaknya tetap dengan pendirian untuk meletakkan calon seperti yang diumumkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Mat.

Katanya, kenyataan Menteri Besar Kelantan itu adalah melambangkan sikap dan pendirian sebenar Pas.

Mustaffa enggan mengulas lanjut berhubung kedudukan calon yang bakal bertanding kerana masih terlalu awal.

Razali ketika berucap membahaskan usul pendidikan pada kongres PKR mahu pucuk Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan cadangannya yang mewakili hasrat Perhubungan PKR Terengganu.

"Dengan ada kekosongan Kuala Terengganu ketika ini, kita berharap Datuk Seri (Anwar) memilih orang Terengganu sebagai calon (pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu)," katanya.

Bahagian perhubungan PKR Terengganu sudah ada tiga nama untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan parti.

Katanya, kemenangan Anwar pada pilihan raya kecil Permatang Pauh boleh memberikan impak kepada pilihan rakyat terutama di Kuala Terengganu.

Menyedari Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu bertanding bagi kawasan itu pada pilihan raya umum lalu, Razali berharap Pas dapat bertolak ansur dengan memberi laluan kepada PKR.

"Kita harap gelombang yang berlaku di Permatang Pauh dapat dibawa ke Kuala Terengganu, lagi pun majoriti BN dulu terlalu nipis. Kita sedar ia kerusi Pas sebelum ini, tetapi diharapkan supaya mereka (Pas) yang sama-sama dalam Pakatan Rakyat bertoleransi.

"Kita mahukan orang tempatan, lagi pun Mohamad Sabu orang luar," katanya.
Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, mengingatkan semua ahli dalam parti Pakatan Rakyat wajib akur dengan keputusan pucuk pimpinan mengenai kekosongan kerusi bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Umno Terengganu pula akan bermesyuarat malam ini untuk menggerakkan jentera bagi menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail, Jumaat lalu.

Ahmad Said berkata semalam, berkata pihaknya memang sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan tetapi enggan mengulas lanjut sama ada mesyuarat malam ini akan turut membincangkan mengenai nama calon.

“Mesyuarat untuk persiapan (pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu) akan diadakan malam esok (malam ini) tapi nama mungkin tak lagilah. Bila saya tak tahulah nak agak tetapi setakat ini saya tak mahu komen, kita tengoklah dulu,” katanya.

Ditanya jika beliau mahu anak tempatan bertanding pilihan raya kecil itu, Ahmad yang juga Menteri Besar enggan mengulas lanjut tetapi beliau akan berusaha memastikan calon berkenaan mampu mengekalkan kerusi Barisan Nasional (BN) di situ.

Bagi Ahmad Said, BN tidak memikirkan soal calon dari parti pembangkang mana yang akan berlawan dengan calon BN tetapi akan lebih menumpukan kepada persiapan jentera BN bagi pilihan raya kecil itu nanti.

Ahmad Said menjangkakan BN bakal berdepan tentangan sengit bagi mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu berikutan tiga daripada empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Terengganu kini diwakili Pas.

3 comments:

  1. Kenapa tidak Datuk Seri Idris Jusoh menjadi calon BN. Ini satu cara yang terbaik untuk mengubat luka lama. MB sekarang sendiri yang harus mencadangkannya. Pak Najib boleh menjadikannya Menteri Persekutruan suatu hari nanti. Okey kan? BN Trengganu tentu rasa terlepas dari tekanan kerana Mantan MB itupun bukannya calang-calang orang. Telah mampu membuktikan kepimpinannya.

    ReplyDelete
  2. Teranganu?
    Sesiapa juga calun itu faktor nomber 2. Faktor utama ialah MB Ahmad Said dengan Idris Jusoh mesti berganding tangan dengan ikhlas, jujur dan tulus. Jika ini tidak jelas, BN akan kecundang.

    ReplyDelete
  3. Pilihanraya kecil Kuala terengganu tidak akan memecahkan permuafakatan PAKATAN RAKYAT! Itu sebenarnya!

    Kita akan lihat bagaimana Parti-parti PAKATAN RAKYAT berkerjasama memastikan kemenangan Calon PAKATAN RAKYAT!

    Pemimpin PAKATAN RAKYAT telah matang dengan sepak terajang politik! Jangan cuba nak adu dombakan mereka! Mereka lebih faham selok belok politik tanahair kerana mereka tidak berdiri di atas andaian! Berdiri di atas pertimbangan realiti!

    ReplyDelete