Wednesday, November 19, 2008

UMNO PECAT AJK TANAH MERAH

Pada ketika Mahkamah Tinggi Kota Bharu akan mendengar kes saman memohon diketepikan perintah injunksi yang menghalang 32 orang daripada menunaikan tanggungjawab sebagai ahli UMNO esok, ahli jawatankuasa Bahagian Umno Tanah Merah, Abdul Rahman Ibrahim dipecat daripada Umno.

Ia ekoran tindakannya mengemukakan saman pemula dan mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi menghalang 32 ahli termasuk bekas Ketua Pemuda, Ikmal Hisham Abdul Aziz menghadiri mesyuarat bahagian tersebut.

Abdul Rahman mendapatkan perintah itu pada 4 November lalu yang berkuatkuasa sehingga esok.

Sebagai plaintif dalam kes ini, Abdul Rahman mendakwa defendan tidak membayar yuran keahlian pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007 telah mendapatkan perintah mahkamah pada 6 November lalu yang menghalang kesemua defendan daripada menggunakan hak sebagai ahli UMNO.

Mereka ditegah daripada bercakap, mengemukakan pendapat, mengundi, memilih atau dilantik sebarang jawatan dalam parti dalam mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 8 November lalu.

Ekoran perintah itu, persidangan yang baru dimulakan telah ditangguhkan atas nasihat peguam parti. Difahamkan ini merupakan kes kedua sejak 2002, hal ehwal kesahihan keahlian dan mesyuarat UMNO telah dicabar di mahkamah.

Kemudian pada 12 November lalu, seramai 32 ahli UMNO Bahagian Tanah Merah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu bagi memohon diketepikan perintah injunksi yang menghalang mereka daripada menunaikan tanggungjawab sebagai ahli.

Permohonan agar saman pemula itu turut ditolak telah difailkan oleh Ali Akhbar Mayim bagi pihak semua defendan melalui peguam yang mewakili mereka, Datuk Mohd. Hafarizam Harun.
Hafarizam sebelum ini berkata pihaknya telah memohon mahkamah agar dapat mendengar kes ini dengan kadar segera.

''Ini kerana permohonan inter-parte (kedua-dua pihak) itu akan luput pada 20 November dan berharap ia dapat didengar sebelum atau pada tarikh berkenaan," ujarnya.
Menurut surat dari ibupejabat Umno yang bertarikh 18 November 2008 itu, pemecatan Abdul Rahman berkuatkuasa pada 4 November lalu.

Surat tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Surat itu antara lain menyebut, mesyuarat jawatankuasa pengurusa Majlis Tertinggi Umno yang bersidang kelmarin memutuskan keahlian Abdul Rahman gugur berkuatkuasa 4 November mengikut Fasal 20.7 Perlembagaan Umno kerana membawa perkara parti ke mahkamah.

Menurut Malaysiakini, ketika dihubungi petang ini, Abdul Rahman mengesahkan beliau menerima surat tersebut semalam.

Sebelum ini, beliau juga telah menerima surat tunjuk sebab bertarikh 12 November dari ibupejabat Umno berhubung tindakannya mendapatkan perintah mahkamah tersebut.

Surat tersebut, yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerja Umno, Datuk Husainay Hashim, meminta Abdul Rahman memberi sebab-sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya ekoran tindakannya itu.

Abdul Rahman diberi tempoh seminggu untuk memberi jawapan.
Afidavit untuk menolak saman pemula itu menyebut bahawa perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) telah dalam maksud tersurat dan tersirat menghalang persidangan perwakilan UMNO bahagian itu daripada berlangsung.

Walaupun ia ditujukan kepada perwakilan yang hadir tetapi tanpa kehadiran defendan-defenden itu, mesyuarat UMNO bahagian telah terpaksa ditangguhkan, justeru ia bersifat menghalang mesyuarat dan bertentangan dengan aturan 29 Kaedah B, Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

Di samping itu juga, plaintif tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) kerana dengan membawa tindakan ke mahkamah, maka menurut fasal 20.7 perlembagaan UMNO, plaintif telah gugur keahlian di dalam UMNO dengan sendirinya.

Dalam soal ini juga, defendan menegaskan tiada isu serius untuk dibicarakan kerana keahlian mereka telah disahkan oleh ibu pejabat UMNO Malaysia dan layak untuk menghadiri persidangan tersebut kerana telah membayar yuran keahlian 2007.

Afidavit itu turut mengemukakan pengesahan yang telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Dalam afidavit sokongan berkenaan, tiga alasan utama dikemukakan, termasuk bahawa prosiding sedemikian jelas dilarang oleh undang-undang di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan.

Akta itu antara lain menyatakan apa-apa keputusan sesebuah parti politik adalah akhir dan muktamad serta boleh dicabar, dirayu, dikaji semula, dipersoalkan di dalam mahkamah.
Di bawah akta itu, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayan apa-apa alasan berhubung kesahihan.

Menurut kandungan afidavit itu, keputusan sama ada ahli berkenaan membayar yuran atau tidak adalah suatu keputusan parti yang tidak boleh dicabar disebabkan halangan di dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan,

No comments:

Post a Comment