Monday, November 17, 2008

TERIMA KASIH ZIN, TERIMA KASIH PLUS!

Antara perkara yang dijadikan ‘peluru’ untuk menghentam kerajaan ialah kenaikan tol dan keengganan syarikat konsesi lebih raya menurunkan kadar tol ketika rakyat menghadapi ancaman kenaikan harga barang kesan kenaikan harga bahan api.

Berikutan itu kerajaan perlu mencari jalan sesuai membolehkan syarikat-syarikat yang menjadi pemegang konsesi lebih raya utama supaya berbakti kepada rakyat dan memulangkan ‘sedikit keuntungan’, agar kerajaan tidak dituduh menjadi punca kepada kenaikan kos hidup rakyat yang sudah terhimpit itu.

Kerajaan perlu terus mengadakan rundingan dengan semua syarikat pemegang konsesi, termasuk Plus Expressways Berhad (PLUS) bagi menilai semula bayaran tol lebuh raya di seluruh negara kerana ia ‘perjuangan untuk rakyat’.

Usaha yang dilakukan oleh Menteri Kerjaraya, Datuk Ir. Mohd Zin Mohamed bagi merundingkan isu tol ini sangat sesuai dengan kehendak rakyat agar syarikat-syarikat berkenaan turut memikirkan masalah rakyat.

Keengganan pemegang konsesi seperti Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) menurunkan kadar tol, walaupun sudah mencacat keuntungan besar wajar dikesali.

Memang sepatutnya Ir. Mohd Zin kesal dengan keputusan LDP kerana kerajaan sehingga kini sudah membayar pampasan tunai RM630.5 juta kepada LDP bagi pengurangan dan penyusunan semula kadar tol antara 1999 hingga 2007.

Kutipan tol sejak tempoh konsesi bermula pada 31 Disember 1996 pula mencecah RM1.28 bilion.
Berikutan itu, menurut Ir. Mohd Zin, LDP adalah lebuh raya yang merekodkan keuntungan dan sewajarnya meringankan sedikit beban pengguna kerana tempoh konsesi mereka hanya berakhir pada 31 Disember 2029.

Beliau juga dipetik Berita Harian berkata, mutu perkhidmatan lebuh raya berkenaan sudah merosot hingga ke tahap 'F' di Plaza Tol Petaling dan Penchala serta tahap 'D' di Plaza Tol Puchong Barat dan Puchong Selatan, manakala lokasinya pula tidak menyediakan laluan alternatif yang munasabah.

Pada 1 Januari lalu, kadar tol di enam lebuh raya iaitu Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah, Lebuh raya Kulim-Butterworth, Laluan Kedua Malaysia-Singapura, Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru serta Tambak Johor dan Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, dinaikkan antara 30 sen hingga RM10.70.

Bagi lebuh raya yang dikendalikan Plus Expressways Berhad (PLUS), Jambatan Pulau Pinang, Lebuh raya Bertingkat Ampang-Ulu Klang (Prolintas) serta Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint)-Kerinchi dan Damansara Link, kadar tol tidak dinaikkan.

Kali terakhir Plus menaikkan kadar tol di lebuh raya kendaliannya ialah pada 2005.
Sesuatu yang menggembirakan ialah apabila PLUS dijangka menurunkan kadar tol di lebuh raya kendaliannya.

Walaupun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu, tetapi Ir. Mohd Zin menjelaskan persetujuan berkenaan dicapai selepas kerajaan mengadakan rundingan dengan semua syarikat pemegang konsesi, termasuk Plus bagi menilai semula bayaran tol lebuh raya di seluruh negara, sejak beberapa bulan lalu.

“Saya yakin pengumuman berkenaan akan memberi khabar gembira kepada sebahagian besar pengguna lebuh raya di negara ini," katanya kelmarin.

Rakyat perlu menunggu hingga esok (Selasa) apabila pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat oleh syarikat berkenaan.
Terima kasih daun keladi!

No comments:

Post a Comment