Thursday, October 30, 2008

PKNS HILANG BERBILION RINGGIT?

Kenyataan berterus terang Pergerakan Wanita MCA yang menyokong keputusan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim melantik Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) semakin mencelarukan.

Ketuanya Datin Paduka Chew Mei Fun melihat aspek dunia global apabila mengatakan, perlantikan jawatan tinggi kerajaan tidak seharusnya berdasarkan kepada warna kulit atau jantina.

Beliau berkata mereka yang memiliki keupayaan dan mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan perlu diberikan peluang untuk mencurahkan khidmat bakti mereka.
Apa pula jawapan Khalid hari ini?

Khalid semalam dalam mempertahankan pelantikan Siew Moi yang sepatutnya bersara tahun ini tetapi dilanjutkan tempoh persaraannya, sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS untuk tempoh selama setahun berkata ia dilakukan kerana sebab-sebab PKNS kerugian atau kehilangan berbilion ringgit.

Siew Moi akan mengambil alih tugas Pengurus Besar PKNS sekarang, Datuk Harun Salim yang akan bersara hujung bulan ini.

Jelas Khalid mempertahankan pelantikan Siew Moi kerana memikirkan PKNS didakwa hilang berbilion ringgit.

Ini perkembangan menarik!

Menteri Besar itu berkata, lagipun perlantikan itu bersifat sementara dan Siew Moi sendiri telah bersetuju mengenai kedudukannya itu sehinggalah pengganti jawatan berkenaan diisi oleh calon bumiputera dari kalangan profesional.

Abdul Khalid mendakwa beliau tidak faham apabila ada pihak tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan negeri melantik Siew Moi untuk memangku jawatan itu berbanding memikirkan PKNS didakwa hilang berbilion ringgit.

“Kita mesti memandang berat, Marah tukar orang tapi tak marah hilang berbilion ringgit. Kalau ada pendirian berbeza sama ada memilih bukan bumiputera kemudian bagi beratus juta ringgit, atau memilih orang Melayu tetapi hilang berbilion ringgit," katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam semalam.

Apakah yang cuba diperkatakan oleh Khalid?

Benarkah pengurusan diketuai oleh Harun Salim menyebabkan PKNS hilang berbilion ringgit?
Jika benar apa yang didakwa sudah pasti PKNS ditubuhkan pada 1 Ogos 1964 di bawah Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, 1964 (Sel. Enact.No.4 of 1964) sebagai badan berkanun dan agensi pembangunan peringkat negeri itu perlu diperbetulkan.

Rakyat Selangor mahu tahu “kepincangan sebenar” dalam PKNS kerana ia ditubuhkan untuk mengisi kemerdekaan menerusi pengagihan dan penggalakkan pertumbuhan sosio-ekonomi ke seluruh negeri Selangor berpandukan dasar-dasar kerajaan dalam mewujudkan kestabilan, keharmonian dan keadilan sosial bagi mencapai wawasan negara.

Jadi adalah menjadi tugas Khalid mendedahkan perkara ini dan laporkan sahaja kepada Badan Pencegah Rasuah atau pihak berkuasa.

Persoalannya bagi saya: “Jika benar PKNS masalah atau kerugian berbilion ringgit diakibatkan oleh pengurusan Melayu, tidak adakah Melayu lain yang boleh dilantik dalam kadar segera untuk memulihkannya. Apakah Khalid berpendapat hanya Pengurus Besar bukan Melayu boleh memperbetulkan keadaan?”

Di mana keyakinan Khalid terhadap orang Melayu selama ini?

Semalam, wakil pegawai dan kakitangan PKNS yang diketuai Presiden Persatuan Pegawai Kanan PKNS , Idris Ishak menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar mengenai pemangkuan jawatan itu oleh Low.

Enam persatuan kakitangan PKNS sudah menyerahkan memorandum kepada Khalid dan mendesaknya menarik balik pelantikan Siew Moi itu kerana dikatakan tidak memenuhi aspirasi penubuhan PKNS bagi membantu meningkatkan sosial dan ekonomi bumiputera.

Pas Selangor turut mempersoalkan kenapa dua pegawai paling kanan PKNS iaitu Timbalan Pengurus Besar Pentadbiran, Md Nasir Md Arshad dan Timbalan Pengurus Besar Teknikal, Abdul Ghani Hassan tidak dipertimbangkan untuk mengisi jawatan itu.

Pas mahukan pemilihan dibuat daripada kalangan orang kanan dalam PKNS atau bakat luar untuk mengisi jawatan itu.

Datuk Dr Hasan Mohamad Ali berkata parti itu berpendapat Md Nasir dan Abdul Ghani lebih layak dipertimbangkan kerana mereka sudah lebih 30 tahun berkhidmat dan menyumbang kepada PKNS.

Pesuruhjaya Pas Selangor, mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam bagi membincangkan isu pemilihan Pengurus Besar PKNS berikutan persaraan Datuk Harun Salim, hujung bulan ini.

Apakah Khalid menyatakan kemelut PKNS kehilangan berbilion ringgit itu?

Sewajarnya, Pemuda UMNO Selangor tidak sahaja patut merayu campur tangan Sultan Sharafuddin Idris Shah ekoran banyak tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kebelakangan ini dilihat semakin mengabaikan kepentingan orang Melayu.

Ini kerana kelak digambarkan bahawa Pemuda UMNO Selangor melihat pelantikan itu dalam konteks politik.

Pemuda UMNO Selangor boleh membuat aduan polis dan melaporkan kepada BPR mengenai kedudukan ini. Ia bukan sahaja akan mengesahkan kenyataan Khalid mengenai PKNS hilang berbilion ringgit tetapi membuktikan ketelusan Pemuda UMNO sendiri dalam soal ini.

Dengan menekankan aspek ini Pemuda UMNO tidak dilihat prejudis dan mementingkan bangsa sendiri kerana Ketua Wanita Selangor sudah menggesa Khalid supaya tidak dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu yang prejudis dan mempersoalkan perlantikan Low berdasarkan kepada aspek kaum dan jantina.

Dengan mengatakan “walaupun ideologi politik saya berbeza dengan Tan Sri Khalid, saya percaya dengan keyakinan serta kepercayaan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Selangor itu terhadap keupayaan kaum wanita untuk menerajui PKNS.

Sekiranya seseorang yang dilantik itu berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik, dia seharusnya dibenarkan untuk meneruskan perkhidmatannya pada kedudukan itu, namun sekiranya di gagal, masih tidak terlalu lambat untuk menamatkan saja perkhidmatannya,” katanya.

Persoalannya juga, apakah Wanita MCA merujuk kepada pihak atasan sebelum membuat kenyataan dan apakah kenyataan seperti ini akan meredakan keadaan?

Pada asasnya, Khalid mahu menukar Pengurus Besar kerana pengurus yang ada sekarang menyebabkan masalah kepada PKNS.

Diulangi sekali lagi, apakah tidak ada Melayu yang mampu melakukan tugas itu?
Apakah pandangan seperti ini prejudis?

Ini kerana yang nyata tindakan Khalid ini memecah tradisi kepimpinan PKNS sebelum ini diterajui bumiputera dan apa yang dilakukan itu seolah-olah menutup ruang dan memperkecilkan pengalaman dan kredibiliti pegawai-pegawai berketurunan Melayu di PKNS sendiri.

Berikutan itu, semua pihak yang merasakan pengurusan Melayu cuba dipertikaikan oleh Khalid, sama ada daripada UMNO atau apa juga, wajar melakukan sesuatu untuk memperbetulkan persepsi sedemikian.

1 comment:

  1. salam

    itulah kaum india dan cina...asalkan kepentingan kaum sendiri memang disukai dan akan disokong tanpa memikirkan parti apa yang dianggotai..tak seperti melayu..walaupun tgl berjiran tapi dek kerana UMNO-Pas-Pkr, Bergaduh sampai anak-anak pun dilarang bergaulan..

    che-moq.blogspot.com

    ReplyDelete